#96 Taudhih Al-Hukmi : Mengaminkan Doa Khatib Ketika Khutbah Jumaat
Tarikh:
1 Oktober 2025
Disediakan oleh: Unit Dirasat Ilmiah
Pendahuluan
Secara asasnya, doa khatib untuk
kebaikan orang beriman adalah salah satu daripada rukun khutbah Jumaat. Oleh
itu, menjadi kewajipan bagi seseorang khatib berdoa ketika khutbah kedua
khususnya mendoakan kaum muslimin. Timbul persoalan, adakah para jemaah yang
mendengar khutbah disunatkan mengaminkan doa khatib sedangkan mereka tidak
boleh bercakap atau berbual ketika khatib sedang berkhutbah?
Pandangan para ulama
Mengaminkan doa adalah disyariatkan ketika solat iaitu
selepas membaca al-Fatihah serta ketika doa qunut dibacakan dalam solat Subuh
dan solat sunat Witir pada malam-malam separuh kedua Ramadhan. Terdapat dua
keadaan dalam berdoa, iaitu ketika di dalam solat dan ketika di luar solat.
Maka para ulama mengkategorikan perbuatan mengaminkan doa khatib ketika khutbah
Jumaat sebagai perbuatan berdoa di luar solat.
Para ulama empat mazhab berpendapat
hukum mengaminkan doa khatib adalah sunat, akan tetapi mereka berbeza pendapat
dalam hal bagaimana cara mengaminkan doa khatib ketika khutbah jumaat seperti
berikut;
●
Pandangan Pertama:
Ulama
Mazhab Hanafi berpandangan bahawa sunat mengaminkan doa khatib dalam hati. Hal
ini sebagaimana dijelaskan dalam Hasyiah
Ibn ‘Abidin:
وَإِذَا
شَرَعَ فِي الدُّعَاءِ لَا يَجُوزُ لِلْقَوْمِ رَفْعُ الْيَدَيْنِ وَلَا تَأْمِينٌ
بِاللِّسَانِ جَهْرًا فَإِنْ فَعَلُوا ذَلِكَ أَثِمُوا وَقِيلَ أَسَاءُوا وَلَا
إثْمَ عَلَيْهِمْ وَالصَّحِيحُ هُوَ الْأَوَّلُ وَعَلَيْهِ الْفَتْوَى وَكَذَلِكَ
إذَا ذُكِرَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم لَا يَجُوزُ أَنْ يُصَلُّوا عَلَيْهِ
بِالْجَهْرِ بَلْ بِالْقَلْبِ وَعَلَيْهِ الْفَتْوَى رَمْلِيٌّ[1]
Maksudnya: Apabila imam memulakan
doa, tidak dibenarkan bagi makmum mengangkat tangan ataupun mengaminkan dengan
suara yang kuat. Jika mereka melakukannya, maka mereka berdosa. Ada juga
pendapat yang menyatakan bahawa perbuatan tersebut hanya tercela dan tidak
berdosa. Namun pendapat yang sahih ialah
yang pertama, dan fatwa ditetapkan berdasarkan pendapat tersebut. Begitu juga
apabila nama Nabi SAW disebut, maka tidak harus berselawat ke atas baginda
dengan suara yang kuat, bahkan memadai dilakukan di dalam hati. Demikianlah
pendapat yang difatwakan oleh al-Ramli.
Berdasarkan kenyataan di atas,
makmum tidak dibenarkan mengaminkan doa khatib dengan suara yang kuat kerana
perbuatan tersebut menyalahi adab ketika khutbah. Namun, jika ia dilakukan
dalam hati maka hukumnya dibenarkan. Tambahan pula, menurut pandangan dalam
Mazhab Hanafi, makmum hanya disunatkan berdoa di dalam hati ketika khutbah
kerana pada waktu itu mereka diperintahkan untuk diam dan memberi perhatian
kepada khatib. Perkara ini dijelaskan dalam Hasyiah
Ibn ‘Abidin pada menerangkan hadis berkaitan waktu mustajab berdoa pada
hari jumaat:
وَفِي
هَذِهِ السَّاعَةِ أَقْوَالٌ، أَصَحُّهَا أَوْ مِنْ أَصَحِّهَا أَنَّهَا فِيمَا
بَيْنَ أَنْ يَجْلِسَ الْإِمَامُ عَلَى الْمِنْبَرِ إلَى أَنْ يَقْضِيَ الصَّلَاةَ
كَمَا هُوَ ثَابِتٌ فِي صَحِيحِ مُسْلِمٍ عَنْهُ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ
وَسَلَّمَ – أَيْضًا حِلْيَةٌ. قَالَ فِي الْمِعْرَاجِ: فَيُسَنُّ الدُّعَاءُ
بِقَلْبِهِ لَا بِلِسَانِهِ لِأَنَّهُ مَأْمُورٌ بِالسُّكُوتِ.[2]
Maksudnya: Berkenaan waktu mustajab
ini, para ulama telah mengemukakan beberapa pendapat. Pendapat yang paling
sahih atau antara yang paling sahih
menyatakan bahawa waktu itu bermula dari saat imam duduk di atas mimbar
sehingga solat Jumaat selesai, sebagaimana yang sabit dalam Sahih Muslim serta
dinyatakan dalam kitab al-Ḥilyah
berkenaan perkara ini. Disebutkan dalam kitab al-Mi‘rāj: Maka disunatkan untuk berdoa di dalam hati dan bukan
dengan lisan, kerana makmum diperintahkan untuk diam (ketika khutbah).
Menurut
ulama Mazhab Shafi’i, sunat mengaminkan doa khatib tanpa mengangkat suara
secara berlebihan (sederhana). Imam Abu Bakr
Syata al-Bakri (1310 H) pada menghuraikan kata-kata Imam Al-Malibari (987 H) menyatakan
dalam kitabnya:
أما
حكم الصلاة عليه – صلى الله عليه وسلم عند سماع ذكره برفع الصوت من غير مبالغة،
فهو أنه جائز بلا كراهة، بل هو رفع صوت. وكذا التأمين لدعاء الخطيب[3]
Maksudnya: Hukum berselawat ke atas Nabi SAW dengan
mengangkat suara yang tidak berlebihan ketika mendengarnya dibenarkan dan
begitu jugalah hukumnya mengaminkan doa khatib.
Berdasarkan pendapat ini, sunat
mengaminkan doa khatib dengan mengeluarkan suara tetapi tidak terlalu kuat
sehingga mengganggu orang lain. Imam Ibn Hajar Al-Haytami (974 H) dalam
kitabnya Al- Fatawa Al-Fiqhiyyah Al-Kubra
menjustifikasikan faktor tidak digalakkan menguatkan suara ketika mengaminkan
doa khatib kerana dikhuatiri boleh menganggu para jemaah lain ketika khutbah
Jumaat disampaikan:
وأما
التأمين على ذلك جهرا فالأولى تركه لأنه يمنع الاستماع ويشوش على الحاضرين من غير
ضرورة ولا حاجة إليه[4]
Maksudnya: Mengaminkan dengan kuat lebih utama ditinggalkan
kerana perbuatan tersebut akan menghalang pendengaran dan menganggu para Jemaah
yang hadir tanpa sebarang darurat dan tidak ada keperluan untuk melakukannya.
● Pandangan
Ketiga:
Manakala, bagi ulama
Mazhab Maliki dan Hanbali, para makmum mengaminkan doa khatib adalah secara ‘sir’ iaitu suara hanya didengari oleh diri sendiri sahaja. Menurut Imam Al-Mawwaq (897H), beliau menukilkan
kata-kata ulama Mazhab Maliki Abu Walid Al-Baji (474 H) yang menyebut:
لا خلاف في التأمين عند دعاء الخطيب، لأنه كان يستدعي التأمين
منهم، وإنما الخلاف في السر به والجهر[5]
Maksudnya: Tiada perselisihan pendapat terhadap perkara
mengaminkan doa khatib ini kerana mereka dituntut untuk mengaminkannya, akan
tetapi perselisihan pendapat berlaku pada (cara penyebutannya iaitu) sama ada
suara yang perlahan atau kuat.
Begitu juga sebagaimana dinyatakan
dalam Hasyiah al-Adawiy:
[قوله: والتأمين عند سماع الخطيب] يعني: أنه يجوز التأمين
والتعوذ جوازا مستوى الطرفين سرا لا فرق بين أن يكثر أو يقل[6]
Maksudnya: [Perkataannya: Dan mengaminkan ketika mendengar
khutbah] – Harus mengaminkan dan membaca ta‘awwuz
ketika mendengar khutbah, dan keharusannya adalah seimbang antara kedua-duanya.
Ia dilakukan secara perlahan, dan tidak ada beza sama ada ia dilakukan banyak
kali atau sedikit.
Selain itu, Sheikh Mustafa al-Rahibani (1243H) berpandangan:
(و) سن (دنو من إمام واستماع) خطبته لعله يتعظ بها. (و) (صلاة سرا
على النبي – صلى الله عليه وسلم – إذا سمعها) ، قاله الشيخ تقي الدين. (كدعاء)
اتفاقا (وتأمين عليه) ، أي: على الدعاء[7]
Maksudnya: (Dan) disunatkan (mendekatkan diri kepada imam
dan mendengar) khutbahnya, mudah-mudahan dia mendapat peringatan daripadanya.
(Dan) (berselawat ke atas Nabi SAW secara perlahan ketika mendengarnya),
demikian kata Syaikh Taqiyuddin. (Seperti juga doa), menurut kesepakatan ulama,
(dan mengaminkannya), iaitu doa yang dibacakan.
● Pandangan
Terpilih:
Setelah meneliti hujah-hujah yang dikemukakan oleh setiap
mazhab, dapat disimpulkan bahawa hukum mengaminkan doa khatib ketika khutbah
Jumaat adalah sunat menurut keempat-empat mazhab. Namun, cara pelaksanaannya
perlu diberi perhatian agar tidak bercanggah dengan adab ketika mendengar
khutbah. Pandangan yang lebih kuat dan menjadi pilihan ialah mengaminkan doa
khatib dengan suara yang sederhana iaitu tidak terlalu kuat sehingga mengganggu
jemaah lain, dan tidak pula ditinggalkan secara mutlak.
Hal ini bertepatan dengan penjelasan
ulama Shafi‘iyyah seperti Ibn Hajar al-Haytami yang menegaskan bahawa
menguatkan suara ketika mengaminkan doa boleh mengganggu pendengaran jemaah
lain serta menjejaskan tujuan utama khutbah, iaitu untuk didengar dan diambil
pengajaran. Pada masa yang sama, ia juga selari dengan pendirian ulama Maliki
dan Hanbali yang menekankan agar perbuatan mengaminkan doa dilakukan secara
perlahan ‘sir’, mengikut kadar yang
mampu didengari oleh diri sendiri sahaja.
Kesimpulan
Hukum mengaminkan doa khatib ketika khutbah Jumaat adalah
sunat. Menurut ulama Mazhab Shafi’i, amalan mengaminkan doa tersebut boleh
dilakukan secara perlahan tanpa mengganggu jemaah lain. Oleh itu, para jemaah
yang hadir ke masjid hendaklah berusaha sedaya upaya untuk mengelakkan sebarang
perbuatan yang boleh mengganggu tumpuan diri sendiri mahupun orang lain. Semoga
dengan itu, ganjaran pahala solat Jumaat dapat diraih dengan sebaiknya.
[1] Ibn ‘Abidin,
Hasyiah Ibn ‘Abidin, (Dar al-Fikr:
Beirut, t.t), Jil 2, ms, 158.
[2] Ibn
‘Abidin, Hasyiah Ibn ‘Abidin, (Dar
al-Fikr: Beirut, t.t), Jil 2, ms, 164.
[3] Abu Bakr
Uthman bin Muhammad Syata Al-Bakri Al-Dimyati, I’anah Talibin ‘ala hilli alfazi Fathul Muin, (Dar Al-Fikr: Amman,
Jordan), Jil. 2, ms. 100-101.
[4] Ibn Hajar al-Haitami, al-Fatawa
al-Fiqhiyyah al-Kubra, (al-Maktabah al-Islamiyyah), Jil.1, ms. 253.
[5] Muhammad bin
Yusuf bin Abi Al-Qasim Al-Gharnati bin Yusuf Al-Abdari, Al-Taju wa Al-Iklil li mukhtasori Al-Khalil, (Dar Al-Kutub
Ilmiyyah: Mesir, 1994), Jil 2, ms. 547.
[6] Abu al-Hasan al-’Adawiy, Hashiah Al-Adawiy, (Dar al-Fikr: Beirut), Jil. 1, ms. 378.
[7] Mustafa al-Rahibani, Matalib
Uli al-Nuha fi Sharh Ghayat al-Muntaha,(al-Maktab al-Islami, 1994), Jil. 1,
ms. 790.