#16 Taudhih al-Falak : Khilaf Terhadap Tafsiran Rupa Bentuk Bumi Menurut al-Quran

#16 Taudhih al-Falak : Khilaf Terhadap Tafsiran Rupa Bentuk Bumi Menurut al-Quran

Tarikh: 25.8.2025

Disediakan oleh: Nabeela Akrasha binti Surtahman

 

Pendahuluan

Artikel ini bertujuan untuk meneliti secara ilmiah khilaf terhadap tafsiran rupa bentuk bumi menurut al-Quran, berpandukan pandangan ulama serta pendekatan ilmu Falak. Ia juga bertujuan merungkai kekeliruan dalam memahami istilah-istilah dalam al-Quran berkaitan bumi.

 

Konsep Bumi dalam al-Quran

Al-Quran banyak menyebut tentang alam semesta ciptaan Allah sebagai tanda kekuasaan-Nya, termasuklah langit, bumi, bulan, matahari dan bintang-bintang. Dalam menggambarkan bumi, al-Quran menggunakan beberapa istilah yang membawa maksud keadaan bumi sebagai tempat tinggal yang sesuai, luas dan stabil.

Menurut Muhammad Fu’ad al-Baqi’ dalam al-Mu’jam al-Mufahraz li Alfaz al-Qur’an, lafaz al-arḍ (bumi) disebut sekurang-kurangnya 451 kali[1] dalam al-Quran. Namun, tiada satu pun ayat eksplisit yang menyatakan bentuk geometri bumi. Sebaliknya, beberapa ayat memberikan gambaran metafora atau fungsi bumi dengan menggunakan istilah seperti daḥāhā (dihamparkan), madda (dibentangkan), firāsha (hamparan), mihād (tempat tinggal), bisāṭ (hamparan), dan suṭiḥat (dihamparkan). Antara ayat-ayat tersebut adalah seperti berikut:

      i.        Surah al-Nazi’at ayat 30:

وَٱلْأَرْضَ بَعْدَ ذَٰلِكَ دَحَىٰهَا

Maksudnya: Dan bumi sesudah itu dihamparkan-Nya.

    ii.        Surah Nuh ayat 19:

وَٱللَّهُ جَعَلَ لَكُمُ ٱلْأَرْضَ بِسَاطًۭا

Maksudnya: Dan Allah telah menjadikan bumi bagi kamu sebagai hamparan.

 

   iii.        Surah al-Ghasyiyah, ayat 20:

وَإِلَى ٱلْأَرْضِ كَيْفَ سُطِحَتْ

Maksudnya: Dan (tidakkah mereka memerhatikan) kepada bumi, bagaimana ia dihamparkan?

   iv.        Surah an-Naba’, ayat 6:

أَلَمْ نَجْعَلِ ٱلْأَرْضَ مِهَٰدًا

Maksudnya: Bukankah Kami telah menjadikan bumi sebagai hamparan?

    v.        Surah al-Zumar, ayat 5:

يُكَوِّرُ ٱلَّيْلَ عَلَى ٱلنَّهَارِ وَيُكَوِّرُ ٱلنَّهَارَ عَلَى ٱلَّيْلِ

Maksudnya: Dia menggulungkan malam ke atas siang dan menggulungkan siang ke atas malam.

 

Pandangan Terhadap Rupa Bentuk Bumi

Terdapat dua pandangan ahli tafsir berkenaan rupa bentuk bumi;

1-    Bumi mendatar

Pandangan ini berdasarkan tafsir al-Mahalli, dan diulangi oleh Ibn ‘Atiyyah al-Andalusi¹[2] dan al-Tha’labi[3] dalam tafsir mereka.

Al-Mahalli dalam mentafsirkan kalimah suiḥat berkata:

وظاهر هذه الآية أن الأرض سطح لا كرة، وهو الذي عليه أهــل العلم، والقول بكريتها وإن كان لا ينقص ركنا من أركان الشرع، فهو قول لا يثبته علماء الشرع[4]

Maksudnya: Ayat ini secara zahir menunjukkan bahawa bumi ini adalah rata, bukannya sfera seperti pandangan ahli astronomi. Pandangan yang mengatakan bahawa bumi ini berbentuk sfera, meskipun tidak menjejaskan mana-mana rukun syarak, tetap merupakan pandangan yang tidak disabitkan oleh para ulama syarak.

2-    Bumi berbentuk sfera

Pandangan ini disandarkan oleh kebanyakan ahli tafsir seperti Imam Fakhruddin al-Razi, al-Shanqiti dan Ibn Asyur.

Imam Fakhruddin al-Razi menyatakan bahawa penggunaan istilah suṭiḥat dalam ayat ini tidak menafikan bentuk bumi yang sfera. Hal ini kerana, bagi objek sfera yang besar seperti bumi, permukaannya tetap boleh kelihatan rata apabila dipandang oleh manusia biasa. Justeru, penggunaan istilah itu adalah bersifat persepsi visual, bukan geometri hakiki.

وَإِلَى الْأَرْضِ كَيْفَ سُطِحَتْ، سَطْحًا بِتَمْهِيدٍ وَتَوْطِئَةٍ، فَهِيَ مِهَادٌ لِلْمُتَقَلِّبِ عَلَيْهَا، وَمِنَ النَّاسِ مَنْ اسْتَدَلَّ بِهَذَا عَلَى أَنَّ الْأَرْضَ لَيْسَتْ بِكُرَةٍ، وَهُوَ ضَعِيفٌ، لِأَنَّ الْكُرَةَ إِذَا كَانَتْ فِي غَايَةِ الْعَظَمَةِ، يَكُونُ كُلُّ قِطْعَةٍ مِنْهَا كَالسَّطْحِ فِي الْحِسِّ.[5]

Maksudnya: Dan kepada bumi, bagaimana ia dihamparkan, iaitu sebagai suatu hamparan yang dimudahkan dan disediakan, maka bumi menjadi tempat yang selesa untuk didiami dan dilalui. Sebahagian manusia menggunakan ayat ini sebagai dalil bahawa bumi bukanlah berbentuk sfera. Namun, pendapat itu adalah lemah, kerana apabila sesuatu sfera itu sangat besar, maka setiap bahagian daripadanya akan kelihatan seperti permukaan rata pada pandangan mata kasar.

Manakala, Syeikh Ibn ‘Asyur ketika mentafsirkan kalimah bisāṭ dalam Surah Nuh ayat 19 menegaskan bahawa kalimah tersebut berbentuk tasybīh (perumpamaan) dan tidak bermaksud bumi benar-benar datar, tetapi menggambarkan keselesaan dan keluasan bumi untuk kehidupan manusia[6]. Imam Fakhruddin al-Razi juga berkata saiznya yang sangat besar menyebabkan permukaannya kelihatan rata. Seperti mana manusia tinggal di atas gunung yang disebut sebagai “pasak”, begitu juga bumi, yang boleh digambarkan sebagai hamparan tanpa menafikan bentuk bulatnya[7].

 

Adapun pada istilah takwīr dalam Surah al-Zumar ayat 5 merupakan isyarat jelas kepada bentuk sfera bumi bagi pandangan Ibn ‘Asyur, kerana tidak mungkin siang dan malam saling melingkari jika bumi itu datar.

Beliau menyatakan kalimah takwīr merujuk kepada kurrah (sfera), dan ini adalah salah satu isyarat saintifik al-Quran yang luar biasa. Pertukaran malam dan siang ibarat lilitan serban ke atas kepala yang bulat.

وَالتَّكْوِيرُ حَقِيقَتُهُ: اللَّفُّ وَاللَّيُّ، يُقَالُ كَوَّرَ الْعِمَامَةَ عَلَى رَأْسِهِ إِذَا لَوَاهَا وَلَفَّهَا، وَمُثِّلَتْ بِهِ هُنَا هَيْئَةُ غَشَيَانِ اللَّيْلِ عَلَى النَّهَارِ فِي جُزْءٍ مِنْ سَطْحِ الْأَرْضِ وَعَكْسُ ذَلِكَ عَلَى التَّعَاقُبِ بِهَيْئَةِ كُوَرِ الْعِمَامَةَ، إِذْ تَغْشَى اللِّيَةُ اللِّيَةَ الَّتِي قَبْلَهَا. وَهُوَ تَمْثِيلٌ بَدِيعٌ قَابِلٌ لِلتَّجْزِئَةِ بِأَنْ تُشَبِّهَ الْأَرْضُ بِالرَّأْسِ، وَيُشَبَّهَ تَعَاوُرُ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ عَلَيْهَا بِلَفِّ طَيَّاتِ الْعِمَامَةِ، وَمِمَّا يَزِيدُهُ إِبْدَاعًا إِيثَارُ مَادَّةِ التَّكْوِيرِ الَّذِي هُوَ مُعْجِزَةٌ عِلْمِيَّةٌ مِنْ مُعْجِزَاتِ الْقُرْآنِ الْمُشَارِ إِلَيْهَا فِي الْمُقَدِّمَةِ الرَّابِعَةِ وَالْمُوَضَّحَةِ فِي الْمُقَدِّمَةِ الْعَاشِرَةِ، فَإِنَّ مَادَّةَ التَّكْوِيرِ جَائِيَةٌ مِنِ اسْمِ الْكُرَةِ، وَهِيَ الْجِسْمُ الْمُسْتَدِيرُ مِنْ جَمِيعِ جِهَاتِهِ عَلَى التَّسَاوِي، وَالْأَرْضُ كُرَوِيَّةُ الشَّكْلِ فِي الْوَاقِعِ وَذَلِكَ كَانَ يَجْهَلُهُ الْعَرَبُ وَجُمْهُورُ الْبَشَرِ يَوْمَئِذٍ فَأَوْمَأَ الْقُرْآنُ إِلَيْهِ بِوَصْفِ الْعَرَضَيْنِ اللَّذَيْنِ يَعْتَرِيَانِ الْأَرْضَ عَلَى التَّعَاقُبِ وَهُمَا النُّورُ وَالظُّلْمَةُ، أَوِ اللَّيْلُ وَالنَّهَارُ[8]

Maksudnya: Al-takwīr bermaksud menggulung dan melingkar. Dikatakan kawwara al-‘imamah dengan maksud menggulung dan melilit serban. Dianalogikan takwīr di sini dengan fenomena pertukaran siang ke malam pada satu bahagian di permukaan bumi, dan sebaliknya, secara bergilir seperti perbuatan melilit serban, iaitu pertukaran malam berlaku ke atas pertukaran malam yang sebelumnya. Ini merupakan satu analogi yang unik dan boleh diterima, bahawa bumi itu ibarat bentuk kepala. Dan dianalogikan pertukaran siang dan malam ke atas bumi itu, ibarat pergerakan lilitan serban ke atas kepala yang bulat. Ini juga merupakan sebahagian daripada mukjizat saintifik al-Quran. Kalimah takwīr merujuk juga kepada kurrah yang bermaksud sfera, iaitu objek yang berbentuk bulat yang sama tiap penghujungnya. Justeru, bumi ini adalah sfera. Fakta ini tidak diketahui oleh bangsa Arab dan manusia, sehinggalah al-Quran memberikan isyarat dengan dua elemen, iaitu pertukaran secara giliran iaitu gelap kepada terang atau malam kepada siang.

Al-Shanqiti berkata dalam tafsirnya Adwa’ al-Bayan bahawa ahli falak bersepakat bahawa bumi itu sfera, sekaligus menolak dakwaan bahawa bentuk datar bumi berasal daripada kefahaman Islam;

فَإِنَّنَا نُوَاجِهُ الْجَدَلَ الْقَائِمَ بَيْنَ بَعْضِ عُلَمَاءِ الْهَيْئَةِ، وَبَعْضِ الْعُلَمَاءِ الْآخَرِينَ، فِي مَوْضُوعِ شَكْلِ الْأَرْضِ، وَلَعَلَّنَا نُوَفَّقُ بِفَضْلٍ مِنَ اللَّهِ إِلَى بَيَانِ الْحَقِيقَةِ فِي ذَلِكَ، حَتَّى لَا يَظُنَّ ظَانٌّ تَعَارُضَ الْقُرْآنِ، وَمَا يَثْبُتُ مِنْ عُلُومِ الْهَيْئَةِ أَوْ يَغْتَرَّ جَاهِلٌ بِمَا يُقَالُ فِي الْإِسْلَامِ إِذَا رَجَعْنَا إِلَى كَلَامِ مَنْ نَظَرَ فِي عِلْمِ الْهَيْئَةِ مِنَ الْمُسْلِمِينَ، فَإِنَّا نَجِدُهُمْ مُتَّفِقِينَ عَلَى أَنَّ شَكْلَ الْأَرْضِ مُسْتَدِيرٌ.[9]

Maksudnya: Sesungguhnya kita sedang berdepan dengan perbahasan yang berterusan antara sebahagian ahli falak dan sebahagian lagi para ulama dalam isu bentuk bumi. Mudah-mudahan kita diberi taufik oleh Allah untuk menjelaskan kebenaran dalam hal ini, agar tidak ada yang menyangka bahawa terdapat pertentangan antara al-Quran dan apa yang telah dibuktikan oleh ilmu Falak, atau agar tidak ada orang jahil yang terpedaya dengan kata-kata yang dilemparkan terhadap Islam. Jika kita merujuk kepada pandangan para ulama Muslim yang mendalami ilmu Falak, nescaya kita akan dapati bahawa mereka semuanya sepakat bahawa bentuk bumi itu adalah bulat.

 

Kesimpulan

Himpunan pandangan daripada ulama dan ahli tafsir berikut menjelaskan terdapat perbezaan pandangan berkenaan bentuk bumi, iaitu bumi berbentuk datar, dan bumi berbentuk sfera. Walaupun begitu, majoriti ulama telah memperkukuh bahawa istilah bagi bentuk bumi di dalam al-Quran, terutamanya bagi istilah hamparan bukanlah bukti kepada bumi datar, sebaliknya menunjukkan fungsi bumi sebagai tempat tinggal yang stabil dan mudah diterokai, tanpa menafikan bentuk geometri sfera sebagaimana dibuktikan oleh ilmu Falak dan ijtihad para ulama terdahulu.

 

 



[1] Muḥammad Fu’ād ‘Abd al‑Bāqī, al‑Mu‘jam al‑Mufahras li Alfāẓ al‑Qur’ān al‑Karīm, Muṣṭafā al‑Ṣaḥḥāf (al‑Qāhirah: Dār al‑Kutub al‑Miṣrīyah, 1364H/1945M), 27–32.

[2] Ibn ‘Atiyyah ‘Abd al-Haq bin Ghalib al-Andalūsi al-Muharibi, Al-Muharrir al-Wajiz fi Tafsir al-Kitab al-Aziz (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 2001), jil. 5, ms. 475,

[3] Abd al-Rahman bin Muhammad bin Makhlüf al-Tha’labi, al-Jawahir fi Tafsir al-Quran, ed. Muhammad Ali Mu’awwid & ‘Adil Ahmad Abd al-Maujud, (Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-Arabiy, 1997), jil. 5, ms. 583

[4] Jalāl al-Dīn al-Maḥallī, Tafsīr al-Jalālayn (Cairo: Dār al-Ḥadīth, t.t.p.), ms. 805.

[5] Abū ‘Abdullah Muhammad bin Rāzī, Mafātīh al-Ghaib (Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabiy, 1999), jil. 31, ms. 145.

[6] Mubammad al-Tahir bin Muhammad bin Muhamad al-Tahir bin Ashür, Al-Tahrir wa al-Tomwir, (Tunisia al-Dar al-Tunisiah li al-Nashr, 1984), jil. 29, ms. 205-206.

[7] Abū ‘Abdullah Muhammad bin Rāzī, Mafātīh al-Ghaib (Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabiy, 1999), jil. 19, ms. 5

[8] Muhammad al-Tahir bin Muhammad bin Muhamad al-Tahir bin ‘Ashür, Al-Tahrir al-Tanwir (Tunisia al-Dar al-Tunisiah li al-Nashr, 1984), jil. 23, ms. 328.

[9] Muhammad al-Amīn bin Muhammad al-Mukhtar al-Shanqīti, Adwa’ al-Bayan fi Idah al-Quran bi al-Quran (Beirut: Dār al-Fikr, 1995), jil. 8, ms. 42.

Accessibility Toolbar