#58 Taudhih Al-Hukmi : HUKUM BERHUTANG UNTUK MENUNAIKAN HAJI

Tarikh: 6 Jun 2024

Disediakan oleh: Ahmad Mursyid bin Azhar

 

Pendahuluan

Ibadah haji merupakan rukun yang kelima dalam rukun Islam. Oleh itu, ia menjadi satu ibadah yang sangat diimpikan oleh umat Islam untuk menunaikannya. Tambahan pula, ibadah haji dikenali sebagai ibadah yang memerlukan perbelanjaan yang besar termasuk perbelanjaan tiket penerbangan, perbelanjaan makan dan minum serta perbelanjaan yang berkaitan. Perkara ini menyebabkan kemampuan orang ramai untuk menunaikan haji adalah berbeza-beza terutamanya daripada segi kewangan. Tambahan pula, beberapa syarikat perbankan telah menawarkan pembiayaan menunaikan ibadah haji kepada individu yang ingin menunaikan haji. Seterusnya menimbulkan persoalan dalam kalangan masyarakat tentang hukum berhutang untuk menunaikan haji. Justeru itu, artikel ini akan membincangkan isu tersebut.

 

Pengenalan Ibadah Haji

 

1.      Dalil Pensyariatan

 

Allah SWT telah berfirman dalam surah Ali Imran ayat 97:

وَلِلَّهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا ۚ

Maksudnya: Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya.

 

Ayat ini menjadi dalil pensyariatan ibadah haji kepada seluruh umat Islam. Begitu juga terdapat satu hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Umar RA, sabda Rasulullah SAW:

 

بُنِيَ ‌الإِسْلامُ عَلَى ‌خَمْسٍ: شَهَادَةِ أَنْ لا إِلَهَ إِلا اللهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللهِ، وَإِقَامِ الصَّلاةِ، وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ، وَالْحَجِّ، وَصَوْمِ رَمَضَانَ

Maksudnya: Islam terbina atas lima perkara: Mengakui bahawa tiada tuhan selain Allah dan Nabi Muhammad adalah utusan Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, berhaji dan berpuasa pada bulan Ramadhan.[1]

 

Ayat al-Quran serta hadis yang dinyatakan ini menjadi dalil akan kewajipan menunaikan haji bagi mereka yang mampu.

 

 

2.      Definisi Haji

 

Haji menurut bahasa adalah al-Qasdu (tujuan). Haji menurut syarak pula adalah tujuan menuju ke Baitulllah al-Haram untuk menunaikan ibadah tertentu dengan syarat-syarat tertentu.[2]

 

3.      Syarat Wajib Haji

 

Dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji ada menyenaraikan syarat wajib haji. Syarat-syarat wajib haji adalah seperti berikut:

 

        i.            Islam

      ii.            Berakal

    iii.            Baligh

    iv.            Merdeka

      v.            Aman perjalanan

    vi.            Berkemampuan[3]

 

Apabila kesemua syarat-syarat tersebut dipenuhi oleh seseorang individu, maka telah menjadi satu tuntutan secara wajib kepada individu tersebut untuk menunaikan haji. Begitu juga sebaliknya, individu yang belum memenuhi syarat-syarat berikut maka individu tersebut belum dituntut untuk menunaikan ibadah haji.


Mampu Menunaikan Haji

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, salah satu syarat wajib haji adalah berkemampuan. Berkemampuan menurut mazhab al-Syafi’i terbahagi kepada dua jenis. Kata al-Nawawi dalam Minhaj al-Thalibin:

والاستطاعة وهي نوعان أحدهما: استطاعة مباشرة … النوع الثاني: استطاعة تحصيله بغيره

Maksudnya: Berkemampuan terbahagi kepada dua jenis. Pertama adalah berkemampuan secara langsung dengan menunaikan haji oleh diri sendiri. Jenis kedua adalah berkemampuan melalui orang lain.

 

Berkemampuan yang akan dibahaskan adalah berkemampuan yang pertama. Ini kerana ia terkait dengan individu yang ingin berhutang bagi melaksanakan haji. Dalam kitab al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuh ada menyenaraikan beberapa syarat berkemampuan antaranya adalah:

 

        i.    Kemampuan tubuh badan: Iaitu seseorang mestilah sihat tubuh badan. Juga seorang yang mampu bermusafir tanpa ada sebarang mudarat yang melampau. Jika syarat ini tidak dipenuhi maka ia belum dikira berkemampuan untuk dirinya sendiri.

      ii. Kemampuan harta: Iaitu ada bekal perjalanan dan makanan sepanjang perjalanannya pergi dan balik ke Mekah. Juga disyaratkan ada lebihan perbelanjaan untuk orang yang dinafkahinya sepanjang ketiadaannya setelah menolak kos perbelanjaan pengangkutannya.

    iii.  Mempunyai pengangkutan yang selamat untuk digunakan.

    iv. Kemampuan memperoleh keamanan: Iaitu aman perjalanan dirinya dan hartanya pada setiap tempat yang disinggahinya walaupun secara zhan.

      v.  Perlu bagi wanita ditemani suami atau mahramnya daripada kalangan ahli keluarga atau rakan wanita yang dipercayai.

    vi. Kebolehan untuk bermusafir: Iaitu tempoh haji masih berbaki untuk menunaikan haji setelah mampu untuk menunaikannya. Dianggap mampu apabila telah masuk waktu menunaikan haji bermula syawal sehingga 10 Zulhijjah.[4]

 

Berhutang Untuk Menunaikan Haji

Perbahasan berhutang untuk menunaikan haji terkait dengan perbincangan kemampuan pada sudut harta. Seseorang berhutang untuk menunaikan haji kerana wang simpanannya masih belum mencukupi untuk melaksanakan ibadah haji tersebut. Pada perbahasan ini terdapat beberapa perkara yang perlu diperhatikan.

1.      Hukum berhutang untuk menunaikan haji.

Hukum berhutang untuk menunaikan haji adalah tertakluk kepada hukum asal berhutang atau memberi hutang. Berhutang atau meminjam adalah diharuskan jika dia tahu dirinya mampu untuk melunaskan hutang tersebut. Jika dia tahu dirinya tidak mampu melunaskan hutang tersebut maka haram untuk dia berhutang. Kata al-Khatib al-Syirbini:

إنما يجوز الاقتراض لمن علم من نفسه القدرة على الوفاء إلا أن يعلم المقرض أنه عاجز عن الوفاء

Maksudnya: Harus untuk berhutang kepada sesiapa yang tahu dirinya mampu untuk melunaskan hutang tersebut kecuali kepada sesiapa yang tahu dirinya tidak mampu melunaskan hutang tersebut.[5]

 

Kata Ibnu Hajar al-Haytami:

ويحرم الاقتراض والاستدانة على غير مضطر لم يرج الوفاء

Maksudnya: Haram meminjam dan berhutang bagi sesiapa yang tidak berada dalam kesempitan dan tidak bercita-cita untuk melunaskan hutang tersebut.[6]

 

 

Bukan itu sahaja, al-Nawawi juga ada menyatakan tentang hukum berhutang untuk menunaikan haji dalam Majmu’ Syarh al-Muhazzab:

أنه لا يجب عليه استقراض مال يحج به بلا خلاف

Maksudnya: Sesungguhnya tidak diwajibkan berhutang dengan sesuatu harta untuk menunaikan haji tanpa ada khilaf.[7]

 

Berdasarkan teks-teks yang telah dinyatakan, jelas bahawa hukum berhutang untuk menunaikan haji adalah harus dengan syarat penghutang mampu untuk melunaskan hutang tersebut. Jika seseorang yang tidak mampu untuk melunaskan hutang yang dipinjamnya, maka haram baginya berhutang walaupun untuk tujuan ibadah seperti menunaikan haji. Oleh itu, perlu bagi mereka yang hendak berhutang untuk menunaikan haji melihat dan menilai keadaan dirinya dan status kewangannya sebelum berhutang.

 

2.      Status ibadah haji secara berhutang.

Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, berhutang untuk menunaikan ibadah haji terkait dengan kemampuan seseorang pada sudut hartanya. Berkemampuan pada sudut harta adalah salah satu syarat dalam syarat wajib haji iaitu berkemampuan. Oleh itu jelas bahawa mereka yang berhutang untuk menunaikan haji belum dikira berkemampuan. Maka orang yang berhutang tersebut masih belum dituntut untuk menunaikan haji secara wajib.

 

Walaupun begitu, status hajinya masih sah walaupun dengan cara berhutang dan masih belum diwajibkan untuk menunaikan haji. Ini kerana tidak disyaratkan dalam syarat sah haji itu mesti berkemampuan untuk menunaikan haji. Dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji ada menyatakan selepas membincangkan tentang syarat-syarat sah haji:

فهذه هي شروط صحة الحج، فإذا توفرت صح الحج

Maksudnya: Maka ini adalah syarat-syarat sah haji. Jika lengkap syarat-syarat ini maka sah haji tersebut.[8]

 

Seterusnya dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji turut menyatakan selepas membincangkan tentang syarat-syarat wajib haji:

أن هذه الشروط لا علاقة لها بصحة الحج وعدمها، بل ربما صح الحج مع عدم توفر شروط وجوبه

Maksudnya: Sesungguhnya syarat-syarat (wajib haji) ini tiada kaitan dengan sah atau tidak sah suatu ibadah haji. Bahkan terkadang sah haji tersebut walaupun tanpa lengkap syarat wajib haji.[9]

 

Maka, ibadah haji seseorang dengan cara berhutang adalah sah jika syarat-syarat sah haji dipenuhi.

 

Kesimpulan

Kesimpulannya, hukum berhutang untuk menunaikan haji adalah harus dengan syarat mampu untuk melunaskan hutang tersebut. Haram berhutang sekiranya tidak mampu untuk melunaskan hutang tersebut walaupun tujuan berhutang adalah baik. Status haji orang yang berhutang adalah sah jika syarat-syarat sah haji dipenuhi.



[2] Muṣṭafā al-Khin, Muṣṭafā al-Bughā, ʿAlī al-Sharbajī. Al-Fiqh al-Manhajī. (Syria: Dār al-Qalam, 1992), 2/113.

[3] Muṣṭafā al-Khin, Muṣṭafā al-Bughā, ʿAlī al-Sharbajī. Al-Fiqh al-Manhajī. 2/122.

[6] Al-Haytamī, Aḥmad bin Muḥammad. Tuḥfat al-Muḥtāj Fi Sharḥ al-Minhāj. (Mesir: al-Maktabah al-Tijāriyyah al-Kubrā, 1983), 5/36.

[7] Al-Nawawī, Muḥy al-Dīn bin Sharf. Al-Majmūʿ Sharḥ al-Muhadhdhab. (Mesir: al-Ṭibā`ah al-Munīriyyah, 1929), 7/76.

[8] Muṣṭafā al-Khin, Muṣṭafā al-Bughā, ʿAlī al-Sharbajī. Al-Fiqh al-Manhajī. 2/128.

[9] Muṣṭafā al-Khin, Muṣṭafā al-Bughā, ʿAlī al-Sharbajī. Al-Fiqh al-Manhajī. 2/127.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Accessibility Toolbar