#53 Taudhih Al-Hukmi : Adat Baraan di Malaysia

Tarikh: 2 Mei 2024

Disediakan oleh: Alifah Ilyana binti Hamizan


Pendahuluan

Islam agama mesra adat dan budaya. Salah satu daripada adat tersebut adalah baraan. Baraan merupakan istilah dalam bahasa Jawa bermaksud berjalan-jalan atau ziarah beramai-ramai dalam kumpulan setiap kali tibanya perayaan Hari Raya Eidulfitri. Asal usul adat ini berkemungkinan bermula sebagai amalan kunjung-mengunjung sesama ahli keluarga semasa berada di Tanah Jawa dan apabila berhijrah ke Tanah Melayu, resam itu turut dibawa bersama dan masih terpelihara. Hari raya adalah waktu yang ditunggu-tunggu dan sehingga kini baraan telah menjadi acara tahunan yang hampir berstatus ‘wajib’ di kawasan-kawasan taman perumahan mahupun dikampung-kampung.

 

Pengenalan Aktiviti Baraan

Aktiviti baraan kebiasaannya dilakukan pada hari raya kedua. Semua yang berminat menyertainya akan berkumpul di surau atau masjid secara beramai-ramai terdiri daripada pelbagai peringkat umur tanpa ada had bilangan peserta dengan mengenakan busana lengkap hari raya termasuk bersampin dan bersongkok. Aktiviti ini selalunya mengambil tempoh sehari bagi memberi peluang kepada penduduk kampung berziarah dari rumah ke rumah. Ia dimulakan dengan melaungkan selawat serta puji-pujian kepada Baginda SAW dengan hanya berdiri tegak di sekeliling kawasan ruang tamu rumah secara beramai-ramai. Uniknya, setiap rumah yang diziarahi akan dinasyidkan irama selawat dengan pelbagai lenggok yang berbeza. Tugas yang diberikan kepada ketua baraan adalah untuk memohon maaf bagi pihak warga penduduk kampung kepada tuan rumah dan diakhiri dengan doa sebagai penutup majlis. Sesudah itu, tetamu yang hadir akan disajikan jamuan ringan kebiasaan hari raya, seterusnya bersiap sedia untuk berkunjung ke rumah yang seterusnya. Amalan ini memberi ruang dan menjadi pentas yang sesuai untuk memperkenalkan ahli keluarga baharu termasuk anak, menantu dan cucu yang pulang ke kampung halaman kepada komuniti setempat[1]. Begitulah berlangsungnya amalan ini saban tahun dan mendapat sambutan yang amat menggalakkan dari warga masyarakat setempat.


Amalan Baraan Sebagai Amalan Ziarah-Menziarahi

Secara umumnya, amalan berziarah ini sememangnya menjadi budaya masyarakat Muslim sama ada menjelang perayaan ataupun pada hari-hari tertentu dan ia merupakan amalan yang dianjurkan dalam Islam. Allah SWT telah berfirman di dalam hadis qudsi bahawa :

 

حَقَّتْ مَحَبَّتِي عَلَى ‌الْمُتَزَاوِرِينَ فِيَّ[2]

Maksudnya: Orang-orang yang saling ziarah-menziarahi kerana-Ku berhak mendapatkan kasih sayang-Ku.

 

Dapat diertikan ‘ziarah-menziarahi kerana-Ku’ di sini adalah mereka yang saling mengunjungi demi mencari redha Allah dan sebagai bukti yang menunjukkan bahawa seseorang itu taat dengan perintah-Nya. Amalan menziarahi sanak saudara, jiran tetangga, sahabat handai, dan umat Islam umum yang lain adalah sebagai perantaraan untuk mengeratkan kasih sayang, menyatukan hati, mengeratkan hubungan, mengingatkan kembali orang-orang yang mungkin sudah lupa, menyedarkan orang yang lalai, mengajarkan orang-orang yang jahil sesuatu perkara yang mungkin belum diketahui, melegakan jiwa serta memberi ketenangan, meringankan musibah dan kesedihan, dan faedah-faedah lain yang dapat diperoleh daripada kunjungan tersebut sepertimana yang dapat dipupuk melalui aktiviti baraan ini.

 

Firman Allah SWT di dalam surah Al-Hujurat ayat 13:

 

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ                                                                   

 

Maksudnya: Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, kemudian Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling kenal mengenali. Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya. Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Teliti.

 

Sebagaimana firman Allah SWT tersebut ia merupakan satu perkhabaran kepada manusia bahawa Dia menciptakan manusia daripada seorang lelaki dan dijadikan daripada lelaki tersebut pasangannya dan mereka berdua itu adalah Adam & Hawa. Kemudian dijadikan daripada pasangan tersebut bangsa yang pelbagai untuk saling kenal mengenali.[3] Secara tidak langsung, aktiviti baraan ini juga sebagai salah satu platform yang sesuai untuk menyambut seruan tersebut dalam kalangan Muslim khususnya.

 

Begitu juga telah berkata Nu’man bin Basyir RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 

 مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِي تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ مَثَلُ الْجَسَدِ، إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى[4]

 

Maksudnya: Perumpamaan orang-orang yang beriman pada perasaan kasih sayang, berbelas kasihan dan bersimpati mereka adalah seperti satu tubuh badan, sekiranya salah satu anggota daripadanya mengadu sakit, maka bersahut-sahutanlah lain-lain anggota kepadanya dengan tidak dapat tidur dan demam (panas badan).                                                                                                                                                                                               

 

Rasulullah SAW menyifatkan bahawa keadaan orang yang beriman umpama tubuh badan manusia yang mempunyai pelbagai anggota. Apabila salah satu daripadanya sakit, maka kesakitan itu dapat dirasai oleh anggota-anggota badan yang lain begitu juga ia adalah sesuatu perkara yang sepatutnya dirasai oleh sesama manusia. Secara tidak langsung aktiviti baraan itu sendiri menyemai persaudaraan dan kasih sayang dalam kalangan masyarakat Muslim.

 

Galakan Mengeratkan Hubungan Persaudaraan Sesama Muslim

Amalan ziarah-menziarahi merupakan salah satu cara untuk mengeratkan hubungan persaudaraan dalam Islam yang bukan hanya terbatas kepada hubungan kekerabatan kerana faktor keturunan malah merangkumi ikatan yang diikat dengan tali akidah yang sama dan kerana fungsi kemanusiaan itu sendiri. Dalam surah al-Hujurat ayat 10 Allah SWT berfirman:

 

اِنَّمَا الْمُؤْمِنُوْنَ اِخْوَةٌ فَاَصْلِحُوْا بَيْنَ اَخَوَيْكُمْ وَاتَّقُوا اللّٰهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُوْنَ

 

Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara, kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu (yang berselisih) dan bertakwalah kepada Allah SWT agar kamu mendapat rahmat.

 

Untuk memperoleh kasih sayang dan rahmat daripada Allah SWT maka hendaklah saling berdamai sesama manusia dan bermaaf-maafan. Ia merupakan salah satu cara untuk mengeratkan hubungan sesama orang Islam di dalam masyarakat. Daripada Anas bin Malik RA bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:

 

لا يؤمنُ أحدُكم حتى يحبَّ لأخيه ما يحبُّ لنفسِه[5]

 

Maksudnya: Tidak beriman salah seorang di antara kamu hingga dia mencintai untuk saudaranya apa yang dia cintai untuk dirinya sendiri.

 

Sehubungan dengan amalan baraan ini dari sudut kerangka persaudaraan, interaksi sosial sesama manusia adalah perlu mengikut adab-adab yang telah digariskan oleh Islam. Bagi mencerminkan persaudaraan mengikut batas-batas syarak, maka konsep persaudaraan ini perlu didasari dengan ikatan akidah dan akhlak yang mulia bagi mengelakkan timbulnya perselisihan faham dan persengketaan yang membawa kepada renggangnya hubungan.

 

Orang yang benar-benar beriman itu adalah yang menyambung hubungan persaudaraan dan sekiranya terdapat orang lain yang memutuskannya maka hendaklah dia memilih untuk terus melakukan kebaikan dan berlaku ihsan terhadapnya.

  

Faedah Tuntutan Ziarah-Menziarahi

Amalan ziarah-menziarahi juga merupakan salah satu wasilah yang memenuhi tuntutan agama sebagaimana sesama Muslim itu  dituntut untuk saling menyebarkan salam. Daripada Abdullah bin Salam RA berkata bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:

 

يَا أَيُّهَا النَّاسُ، أَفْشُوا السَّلَامَ وَصِلُوا الْأَرْحَامَ، وَأَطْعِمُوا الطَّعَامَ، وَصَلُّوا بِاللَّيْلِ وَالنَّاسُ نِيَامٌ، تَدْخُلُوا الْجَنَّةَ بِسَلَامٍ[6]

 

Maksudnya: Wahai manusia! Sebarkanlah salam, sambungkanlah silaturahim, berikanlah makanan, dan solatlah ketika orang-orang sedang tidur, kalian pasti akan masuk syurga dengan selamat.

 

Hadis tersebut mengandungi anjuran dan peringatan tentang sebahagian sifat yang terpuji dan baik serta jaminan daripada Baginda SAW bahawa barangsiapa yang memiliki sifat-sifat tersebut nescaya akan dimasukkan ke dalam syurga dengan selamat. Sifat-sifat tersebut adalah menyebarkan salam, menyambung silaturahim, memberi makanan dan solat malam ketika manusia sedang tidur. Sifat yang terkait dengan perbahasan ini adalah menyebarkan salam dan menyambung silaturahim. Menyebarkan salam yang dimaksudkan adalah dengan memperlihatkannya, mencontohkannya kepada orang lain serta memperbanyakkan ucapan salam tersebut. Maka dapat dilihat bahawa amalan baraan tidak lari daripada makna tuntutan ini kerana pada waktu tersebutlah masyarakat saling menyebarkan salam dan menyambung silaturahim.

 

Daripada Anas bin Malik bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 

مَنْ أَحَبَّ أَن يُبْسَطَ عَلَيْهِ فِي رِزْقِهِ، وَأَن يُنْسَأَ لَهُ فِي أَثَرِهِ، فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ[7]

 

 

Maksudnya: Sesiapa yang ingin dilapangkan baginya rezekinya dan dipanjangkan untuknya umurnya, hendaklah dia menyambung silaturahim.

 

Menyambung silaturahim juga salah satu sebab kepada kelapangan rezeki seseorang di mana dengan saling berkongsi rezeki ia dapat menguatkan lagi ikatan sesama masyarakat lantas memberikan kesan yang baik terhadap hubungan masyarakat tersebut.

 

Menurut Imam Al-Nawawi, kelapangan rezeki di sini bermaksud akan dipermudahkan jalan untuk memperoleh rezeki, dilipatgandakan dan boleh juga diertikan sebagai terdapat keberkatan pada rezeki tersebut. Adapun maksud dipanjangkan umur orang-orang yang menyambung silaturahim ini adalah dengan bertambahnya keberkatan pada usia, semakin bertambah petunjuk untuk sentiasa berada dalam ketaatan, mampu memanfaatkan waktu yang ada untuk kehidupan di hari akhirat kelak serta menjaga masa daripada perkara yang melalaikan.[8]

 

Maka dapat kita fahami di sini bahawa amalan baraan ini tidaklah bercanggah di sisi agama selagi mana menepati adab-adab yang telah ditetapkan syarak serta tidak membawa kepada salah-faham dan penyelewengan kepada agama Islam itu sendiri. Ziarah-menziarahi juga adalah perkara yang digalakkan sepanjang masa tanpa mengira waktu. Bertepatan dengan galakan menyambung hubungan persaudaraan ketika Hari Raya Eidulfitri, menyebarkan salam, bermaaf-maafan, mengadakan jamuan makan dan sebagainya yang sememangnya dituntut oleh syarak.

 

 

Kesimpulan

Aktiviti baraan ini adalah tidak lain dan tidak bukan hanyalah untuk berkenalan dan mengeratkan hubungan. Tabiat asal manusia cenderung kepada sikap suka untuk mengenal dan berkasih sayang. Benarlah bahawa kedatangan Islam telah membawa rahmat kepada sekalian makhluk dan perkara ini dapat dilihat daripada galakan kepada umatnya untuk menyambung tali persaudaraan.

 

Amalan baraan ini selari dengan kriteria-kriteria dan hak-hak persaudaraan yang digariskan Baginda SAW. Ia bukan sahaja mengharuskan perbuatan-perbuatan seumpama ini malah menggalakkan lagi amalan-amalan yang membawa kepada perpaduan dan keharmonian masyarakat Muslim. Sempena dengan bulan Syawwal, amalan ziarah-menziarahi ini lebih giat dijalankan oleh masyarakat. Justeru, adat baraan yang diamalkan dalam bulan Syawwal ini merupakan salah satu aktiviti yang baik serta boleh diamalkan.

 

 



[1] Jabatan Penerangan Malaysia.

[2] Ibn Abū Al-Dunyā, Abū Bakr ‘Abdullah bin Muhammad bin Qays Al-Baghdādī (w. 281H), Al-Ikhwān Li Ibni Abī Al-Dunyā, (Beirut: Dār Al-Kutub Al- ‘Ilmiyah, 1409M/1988H) ms. 151, no. hadis 99.

[3] Abū al-Fida’ Ismāīl bin Umar bin Kathīr al-Qurosyī al-Basrī, Tafsīr ibn Kathīr. Dār at-Thoyyibah lil an-Nasyr wa at-Tauzī’. 1999M. Jil. 7, ms. 385.

[4] Abu Husayn Muslim Bin Al-Hajjāj bin Muslim Al-Qusyairī Al-Nisāburī. Sahīh Muslim. (Turki: Dar Al-Tibā’ah Al-‘Amārah, 1915).Jil. 8, ms. 20.

[5]Abū Muhammad ‘Abdullah Bin ‘Abdul Rahman Bin Abdul Al-Ṣamad Al-Dārimī Al-Tamīmī Al-Samarqandī (m.255H), Musnad Al-Dārimī, (Saudi : Dār Al-Mughnī Li Nasyr Wa Al-Tauzī’) 1412H/2000M, Jil.3, ms.1801, no. hadis 2782.

 

[6] Abū Isā Al-Tirmiẓi, (1975), Sunān Al-Tirmiẓi, (Mesir: Maktabah Muṣṭafā Al-Bābi Al-Halabi), No. hadis: 2485, Jil. 4, Ms.  652.

[7] Al-Bukhari, Abū Abdullah Muhammad Bin Isma’il Al-Bukhārī Al-Ja’fi, Sahih al-Bukhari, (Damsyik, Syria: Dar Ibn Kathir, 1993), 5/2232.

[8] Al-Nawāwī, Abū Zakariyyā Muhyī al-Dīn bin Sharaf al-Nawāwī (1972M), Syarḥ al-Nawawī ‘ala Muslim. (Beirut, Lubnan: Dār Iḥyā’ Turath ‘Arabiy), Jil. 16, Ms. 114.

Accessibility Toolbar

PHP Code Snippets Powered By : XYZScripts.com