#51 Taudhih Al-Hukmi :  Hukum Sedekahkan al-Fatihah Kepada Rasulullah SAW

 

Tarikh: 18/4/2024

Disediakan oleh: Muhammad Aiman Akmal Bin Omar

 

Pengenalan

Rasulullah SAW adalah insan yang paling sempurna dari segala aspek, secara zahirnya mahupun batinnya, yang mana ciri keinsanan Rasulullah itu tidak sama seperti manusia lain. Sehinggakan para ulama telah menulis secara khusus tentang biografi baginda di dalam kitab-kitab mereka ketika menceritakan kesempurnaan keperibadian baginda SAW secara terperinci; antara yang terkenal iaitu kitab Syamail Muhammadiyah, karangan Imam Tirmizi. Tidak dapat diragukan lagi bahawa Rasulullah SAW mempunyai kemuliaan dan darjat yang tinggi tanpa memerlukan kepada mana-mana pihak untuk meninggikan lagi kedudukan baginda disisi Allah SWT. Justeru, apakah hukum menghadiahkan pahala amalan kebaikan seperti bacaan al-fatihah dan sebagainya kepada Rasulullah SAW?

 

Hukum Sedekah Amalan Kebaikan Untuk Rasulullah SAW Setelah Kewafatannya

 

Para ulama berselisih pendapat mengenai hukum menghadiahkan pahala amalan kepada Rasulullah SAW, kepada dua pendapat:

 

Pandangan Pertama: Tidak membenarkan. Sandaran mereka adalah kerana tiada keizinan daripada Nabi SAW berkenaan perkara ini. Selain itu ia juga merupakan suatu perbuatan yang dilihat seolah-olah merendahkan kedudukan Baginda yang mulia kerana dilihat seolah-olah Baginda memerlukan sedekah daripada amalan orang-orang yang soleh.

 

Antara ulama yang tidak membenarkan sedekah pahala amalan kepada Rasulullah SAW adalah:

       Syeikh ‘Imad al-Din bin al-‘Attar: Beliau berpandangan bahawa amalan membaca al-Quran dan sedekahkan pahalanya kepada Rasulullah SAW hendaklah dilarang kerana ia mempunyai unsur penghinaan kepada Baginda SAW. Hal ini kerana ia menunjukkan seolah-olah Baginda memerlukan kepada sedekah amalan kebaikan daripada umatnya.[1]

 

       Imam Ibnu Hajar: Amalan membaca sesuatu dari al-Quran dan berdoa dalam doanya, “Ya Allah, jadikanlah pahala bagi apa yang telah aku bacakan ini untuk menambah kemuliaan baginda Rasulullah SAW.” Maka beliau menjawab: Ini adalah rekaan dari kalangan pembaca al-Quran terkemudian, dan aku tidak mengetahui seorang pun ulama terdahulu yang melakukannya.[2]

 

       Syeikh Taj al-Din al-Fazariy: Beliau melarangnya daripada berbuat demikian dengan alasan supaya dia tidak sewenang-wenangnya melakukan sesuatu terhadap kedudukan yang mulia melainkan apa yang telah diizinkan oleh syarak, dan keizinan hanya berlaku pada amalan berselawat kepada Nabi SAW, serta meminta wasilah (perantaraan) darinya.[3]

 

       Al-‘Allamah Dardir al-Maliki: Sebahagian ulama kami menyatakan bahawa membaca al-Fatihah dan menghadiahkan pahala bacaan itu kepada Nabi SAW adalah makruh.[4]

 

Pandangan Kedua: Membenarkan, sandaran mereka adalah ada  riwayat yang mengatakan bahawa saidina ‘umar melaksanakan Umrah bagi pihak nabi SAW, kemudian setelah itu para ulama terdahulu meneruskan jejak langkah Saidina ‘Umar. Begitu juga, berdalilkan satu hadis yang memberi keharusan berdoa dan pemberian pahala kepada Nabi SAW.  

 

Antara ulama yang membenarkan sedekah pahala amalan kepada Rasulullah SAW adalah:

 

       Imam al-Subki: Beliau berhujah bahawa Saidina Ibn ‘Umar RA, pernah melakukan umrah bagi pihak Nabi SAW selepas kewafatan baginda tanpa berwasiat kepadanya.[5]

       Imam al-Ghazali: Beliau meriwayatkan dalam al-Ihya mengenai Ali bin Al-Muwaffaq -sezaman al-Junayd- bahawa beliau mengerjakan haji bagi pihak Nabi SAW berkali-kali, dan pernah dihitung oleh Al-Fuqqa’iy bahawa beliau melakukan sebanyak enam puluh kali haji.[6]

       Muhammad bin Ishaq Al-Sarraj Al-Naysaburi: Bahawa beliau pernah mengkhatamkan lebih dari 10 ribu khataman al-Quran bagi pihak Nabi SAW, dan menghadiahkan pahala ibadah korban bagi pihak baginda SAW.[7]

       Imam Bahuti al-Hanbali: Setiap amalan ketaatan yang dilakukan oleh seseorang muslim dan dia jadikan pahala amalannya itu atau separuhnya seperti separuh, atau ⅓  atau ¼  untuk seorang muslim lain yang hidup atau yang telah mati adalah harus dan bermanfaat untuk orang tersebut kerana keberhasilan pahala untuknya sehinggakan untuk Rasulullah SAW.[8]

 

Berdasarkan petikan-petikan di atas bahawa amalan menghadiahkan pahala kepada Baginda SAW melalui apa cara ibadah secara umum adalah harus. Mereka bersandarkan kepada sebuah riwayat bahawa Ibnu ‘Umar RA pernah mengerjakan umrah bagi pihak Nabi SAW selepas kewafatan baginda. Selain itu, tidak ada dalil yang jelas menunjukkan amalan ini diharamkan.

 

Selain petikan dari para ulama, terdapat juga hadis yang memberi kefahaman berkenaan keharusan berdoa dan pemberian pahala kepada Nabi SAW serta keutamaannya, begitu juga dengan amalan ketaatan yang lain sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Saidina Ubai bin Ka’ab RA berkata; ketika mana telah berlalu ⅓ malam maka Rasulullah SAW bangun dan bersabda:

 

‌يَا ‌أَيُّهَا ‌النَّاسُ ‌اذْكُرُوا ‌اللهَ ‌اذْكُرُوا ‌اللهَ، جَاءَتِ الرَّاجِفَةُ» تَتْبَعُهَا الرَّادِفَةُ، جَاءَ الْمَوْتُ بِمَا فِيهِ، جَاءَ الْمَوْتُ بِمَا فِيهِ. قَالَ أُبَيٌّ: قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللهِ، إِنِّي أُكْثِرُ الصَّلَاةَ عَلَيْكَ فَكَمْ أَجْعَلُ لَكَ مِنْ صَلَاتِي، فَقَالَ: مَا شِئْتَ قَالَ: قُلْتُ: الرُّبُعَ، قَالَ: مَا شِئْتَ، فَإِنْ زِدْتَ فَهُوَ خَيْرٌ لَكَ قُلْتُ: النِّصْفَ، قَالَ: مَا شِئْتَ، فَإِنْ زِدْتَ فَهُوَ خَيْرٌ لَكَ قَالَ: قُلْتُ: فَالثُّلُثَيْنِ، قَالَ: مَا شِئْتَ، فَإِنْ زِدْتَ فَهُوَ خَيْرٌ لَكَ. قُلْتُ: أَجْعَلُ لَكَ صَلَاتِي كُلَّهَا، قَالَ: إِذًا تُكْفَى هَمَّكَ وَيُغْفَرَ لَكَ ذَنْبُكَ.

Maksudnya: Wahai, sekalian manusia, berzikirlah kepada Allah, berzikirlah kepada Allah! Pasti datang tiupan Sangkakala pertama yang diikuti dengan yang kedua. Datang kematian dengan kengeriannya, datang kematian dengan kengeriannya. Ubai berkata: Wahai Rasulullah, aku ingin memperbanyakkan selawat untuk kamu, lalu berapa banyak aku perlu berselawat untuk kamu? Rasulullah SAW menjawab: Sebagaimana yang kamu kehendaki. Aku bertanya: Seperempat? Rasulullah SAW menjawab: Sebagaimana yang kamu kehendaki, jika kau tambahi itu lebih baik bagimu. Aku bertanya: Separuh? Baginda menjawab: Sebagaimana yang kamu kehendaki, jika kau tambahi itu lebih baik bagimu. Aku bertanya: Dua pertiga? Sebagaimana yang kamu kehendaki, jika kau tambahi itu lebih baik bagimu. Aku berkata: Aku akan menjadikan seluruh doaku untuk kamu. Baginda bersabda: Kalau begitu, kau dicukupkan dari dukamu dan dosamu diampuni.[9]    

(Riwayat Tirmizi)

 

Pemilihan Surah al-Fatihah Dalam Amalan Sedekah Pahala Untuk Baginda Rasulullah SAW

Terdapat banyak kebaikan yang tersimpan dan boleh diperoleh daripada surah al-Fatihah. Antaranya adalah permintaan seseorang akan dikabulkan oleh Allah SWT seperti:

 

أنَّ هذه السُّورة مختصَّةٌ بمُناجاةِ الرَّبِّ تعالى ولهذا اختصَّت الصَّلاةُ بها فإنَّ المصلِّي يُناجي رَبَّه، وإنَّما يُناجي العبدُ رَبَّه بأفضلِ الكلامِ وأشرفِه… وهذه الخصوصيّةُ ليسَتْ لغيرِها من السُّوَرِ.

Maksudnya: Surah ini khusus untuk berkomunikasi secara langsung dengan Allah SWT. Oleh itu, solat juga dikhususkan dengan membaca Al-Fatihah, kerana orang yang bersolat sedang berhubung dengan Tuhannya. dan seorang hamba hanya berkomunikasi dengan Tuhannya dengan perkataan yang terbaik dan paling mulia…  Keistimewaan ini tidak terdapat dalam mana-mana surah lain.[10]

 

Begitu juga, hadis yang diriwayatkan daripada Saidina Ibn ‘Abbas RA, Nabi SAW bersabda:

 

أَبْشِرْ ‌بِنُورَيْنِ ‌أُوتِيتَهُمَا ‌لَمْ ‌يُؤْتَهُمَا ‌نَبِيٌّ ‌قَبْلَكَ: ‌فَاتِحَةُ ‌الْكِتَابِ، ‌وَخَوَاتِيمُ ‌سُورَةِ ‌الْبَقَرَةِ ‌لَنْ ‌تَقْرَأَ ‌بِحَرْفٍ ‌مِنْهُمَا ‌إِلَّا ‌أُعْطِيتَهُ.

Maksudnya: Sampaikanlah berita gembira dengan dua cahaya yang telah diberikan kepadamu yang tidak pernah diberikan kepada Nabi sebelummu: iaitu fatihah al-kitab (surah al-Fatihah), dan khawatim (penutup) surah al-Baqarah yang mana tidak akan dibacakan satu huruf pun dari kedua surah ini melainkan telah diberikan kesemuanya kepada kamu.[11]

 

Di sini dapat difahami bahawa pemilihan surah al-Fatihah secara khusus dalam sesuatu amalan menghadiahkan pahala bukanlah suatu pilihan yang dibuat secara membuta tuli. Pemilihan surah ini dapat ditemui kebanyakannya melalui amalan sedekah pahala kepada si mati adalah diharuskan dan dapat memberi manfaat kepadanya berdasarkan fadilat yang disebutkan diatas, mereka yang melakukannya bersikap optimis dengan memohon agar segala kebaikan akan sampai kepada si mati.

 

Pentarjihan Pandangan Mengenai Amalan Sedekahkah al-Fatihah Untuk Baginda SAW

Oleh kerana terdapat perselisihan pandangan mengenai hukum sedekahkan pahala amalan kepada Nabi SAW, kami cenderung kepada pandangan yang membolehkan amalan sedekahkan al-Fatihah kepada Nabi SAW berdasarkan rumusan hujah dan dalil yang lalu seperti berikut:

 

       Dikiaskan kepada amalan berselawat ke atas Nabi SAW. Merujuk kepada pensyariatan selawat itu sendiri membawa makna keagungan dan menambah kemuliaan untuk Baginda. Selawat daripada Allah yang diberikan kepada selain Nabi adalah bermaksud rahmat. Manakala selawat Allah kepada Nabi adalah satu bentuk kemuliaan dan tambahan pangkat kepada Baginda.[12] Sehubungan itu, berselawat dan bacaan al-Fatihah kedua-duanya merupakan amalan yang mempunyai asal di dalam syarak dan ma’thur dari Baginda SAW bahkan bukan sesuatu amalan yang direka-reka dalam Islam.

 

       Nabi SAW pernah meminta Saidina ‘Umar agar mendoakan Baginda ketika Nabi SAW masih hidup. Hal ini telah disebutkan di dalam nas ulama seperti:

 

وَأَجَابَ بَعْضُهُمْ بِجَوَازِهِ بَلْ اسْتِحْبَابِهِ قِيَاسًا عَلَى مَا كَانَ يُهْدَى إلَيْهِ فِي حَيَاتِهِ مِنْ الدُّنْيَا وَكَمَا طَلَبَ الدُّعَاءَ مِنْ عُمَرَ وَحَثَّ الْأُمَّةَ عَلَى الدُّعَاءِ بِالْوَسِيلَةِ عِنْدَ الْأَذَانِ وَعَلَى الصَّلَاةِ عَلَيْهِ.

 

Maksudnya: Sebahagian ulama berpandangan bahawa amalan sedekahkan bacaan al-Quran adalah diharuskan bahkan disunatkan berdasarkan qiyas ke atas Nabi pernah diberikan hadiah ketika Baginda masih hidup. Begitu juga, Nabi SAW pernah meminta Saidina ‘Umar untuk mendoakan Baginda, dan meminta umatnya berdoa melalui wasilahnya (perantaraan) setelah azan, serta berselawat ke atasnya.[13]  

 

       Pensyariatan doa selepas azan dan iqamah bagi mendoakan dan menambahkan kemuliaan Nabi SAW, berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Jabir bin Abdillah RA, Rasulullah SAW bersabda:

 

مَنْ قَالَ حِينَ يَسْمَعُ النِّدَاءَ: ‌اللَّهُمَّ ‌رَبَّ ‌هَذِهِ ‌الدَّعْوَةِ ‌التَّامَّةِ، ‌وَالصَّلَاةِ ‌الْقَائِمَةِ، آتِ مُحَمَّدًا الْوَسِيلَةَ وَالْفَضِيلَةَ، وَابْعَثْهُ مَقَامًا مَحْمُودًا الَّذِي وَعَدْتَهُ، حَلَّتْ لَهُ شَفَاعَتِي يَوْمَ القيامة.

Maksudnya: Barangsiapa yang mendengar azan, kemudian dia membaca (doa azan setelah selesai azan); Wahai Allah, Tuhan kepada panggilan sempurna ini dan solat yang didirikan, berikan kepada Muhammad SAW kemuliaan dan keutamaan serta kurniakan Baginda tempat yang terpuji sebagaimana yang Engkau janjikan, maka baginya mendapat syafaaku di hari kiamat.[14]

(Riwayat Bukhari)

 

Maka berdasarkan riwayat di atas, tiada larangan untuk berdoa bagi meningkatkan darjat kedudukan Nabi SAW melalui pelbagai cara bahkan ia digalakkan oleh syarak. Justeru, amalan sedekahkan al-Fatihah kepada Baginda adalah diharuskan dikiaskan dengan amalan-amalan seperti ini. Terdapat persamaan yang jelas antara amalan-amalan tersebut iaitu bagi mendoakan kebaikan, menzahirkan rasa syukur serta berdoa bagi meninggikan lagi darjat Baginda SAW di sisi Allah SWT. Justeru, semua ini adalah sebagai bukti cinta kepadanya SAW yang juga merupakan satu kewajipan ke atas orang yang beriman. Walaupun cinta itu pada dasarnya dengan mematuhi serta mengikuti segala sunnahnya yang telah Nabi SAW tinggalkan untuk kita seperti yang diabadikan di dalam al-Quran dan as-Sunnah, maka tidak ada nas yang melarang kita untuk membuktikan cinta kita dengan mengabdikan pahala al-Fatihah dan berselawat untuk Rasulullah SAW, iaitu memohon rahmat daripada Allah untuknya.

 

Kesimpulan

Hukum sedekahkan al-Fatihah kepada Rasulullah SAW adalah diharuskan berdasarkan hujah dan dalil yang telah disebutkan. Amalan ini adalah perkara yang berlaku perselisihan dalam kalangan para ulama antara yang tidak membenarkannya dan membenarkannya. Namun, perkara yang lebih utama bagi umat Islam adalah terus menunjukkan rasa cinta terhadap Baginda SAW.

 



[1] Shamsuddīn Abū Abdillah Muhammad bin Muhammad bin ‘Abd al-Raḥman at-Ṭarabisī al-Maghribī al-Ḥaṭtāb, Mawāhib al-Jalīl fī Syarḥ Mukhtaṣar Khalīl, (Dār al-Fikr, 1412H/1992M), Jil. 2, ms. 544-545.   

[2] Al-Ḥaṭtāb, Mawāhib al-Jalīl fī Syarḥ Mukhtaṣar Khalīl, Jil. 2, ms. 544-545.   

[3] Shamsuddīn Muhammad Bin Ahmad Al-Khāṭib Al-Sharbīnī Al-Shafiʿ(m. 977H). Mughnī Al-Muhtāj Ila Al-Maʿrifati Maʿānī Al-Alfāz Al-Minhāj, (Dār Al-Kutub Al-‘Ilmiyyah, 1415H/1994M), Jil. 4, ms. 111.

[4] Muhammad bin Ahmad bin ‘Irfah ad-Dusuqī al-Malikī, Ḥasyiyah ad-Dusūqī ‘ala al-Syarh al-Kabīr, (Dār al-Fikr), Jil. 2, ms. 10.

[5]Al-Khāṭib Al-Sharbīnī Al-Shafii’, Mughnī Al-Muhtāj Ila Al-Maʿrifati Maʿānī Al-Alfāz Al-Minhāj, (Dār Al-Kutub Al-‘Ilmiyyah, 1415H/1994M), Jil. 4, ms. 111.

[6]Ibid. Jil. 4, ms. 111.

[7]Ibid.

[8] Mansur bin Yunus bin Idris al-Buhuti, Kassyāf al-Qinā’ ‘An al-Iqnā’, (Beirut, Lubnan: Dār al-Fikr, 1968M), Jil. 2, ms. 147.

[9] Al-Tirmidhī, Muḥammad binʿĪsā. Sunan al-Tirmidhī. (Mesir: Musṭafā al-Bābī al-Ḥalabī, 1975), Jil. 4, ms. 245. Hadis no. 2457.

[10] Abū al-Farj Abdurrahman bin Aḥmad bin Rajab al-Dimasqī al-Ḥanbali (795 H), Tafsīr al-Fātiḥah, (Dār al-Muḥaddis li al-Nasyr wa al-Tawzī’, 1427H), ms. 40.

[11] Ibid, Jil. 2, ms. 198. Hadis no. 806.

[12] Abū Fadhl, ‘Iyād bin Mūsā bin ‘Iyād al-Yahṣubī al-Sabtī, Al-Shifā bi Ta’rīf Huquq al-Muṣṭafā. (Amman: Dār al-Faiḥā’, 1407H),  Jil. 2, ms. 138.

[13] Al-Ḥaṭtāb, Mawāhib al-Jalīl fī Syarḥ Mukhtaṣar Khalīl, Jil. 2, ms. 545.

[14] Al-Bukhārī, Muḥammad bin Ismāīl, Ṣaḥīḥ al-Bukhārī. (Damsyiq: Dar Ibn Kathir, Dar al-Yamamah, 1414H/1993M), No. Hadis 4442, Jil. 4, ms. 1749. 

Accessibility Toolbar

PHP Code Snippets Powered By : XYZScripts.com