#41 Taudhih Al-Hukmi : Solat di Masjid untuk Jenazah Wanita Meninggal ketika Haid

Tarikh: 27 Februari 2024

Disediakan Oleh: Nor Hanani binti Ahmad

 

Pendahuluan

Umum mengetahui bahawa wanita haid dilarang untuk melakukan beberapa perkara seperti solat, puasa, membaca al-Quran, hubungan kelamin suami isteri dan menetap di dalam masjid. Menjadi persoalan apabila wanita yang sedang haid meninggal dunia. Adakah jenazah wanita yang sedang haid dibolehkan untuk disolatkan di dalam masjid sedangkan wanita haid adalah dilarang untuk masuk ke masjid? Adakah dengan mandi wajib yang telah dilakukan oleh pengurusan jenazah menjadikan jenazah tersebut suci dan boleh disolatkan di masjid?

 

Pengurusan Jenazah

Aturan kehidupan apabila setiap yang hidup pasti merasai kematian. Secara asasnya, setiap kematian yang berlaku mesti diuruskan dengan baik oleh mereka yang masih hidup sebagai hak memuliakan manusia walaupun apabila seseorang itu sudah meninggal dunia. Menjadi fardu kifayah kepada umat Islam untuk menyelesaikan pengurusan jenazah meliputi memandikan, mengkafankan, mensolatkan dan mengebumikannya jenazah tersebut.

 

(1)   Memandikan jenazah

Pensyariatan mandi jenazah adalah berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Ummu ‘Atiyyah katanya:

 

‌تُوُفِّيَتْ ‌إِحْدَى ‌بَنَاتِ ‌النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَخَرَجَ فَقَالَ: اغْسِلْنَهَا ثَلَاثًا، أَوْ خَمْسًا، أَوْ أَكْثَرَ مِنْ ذَلِكَ إِنْ رَأَيْتُنَّ ذَلِكَ، بِمَاءٍ وَسِدْرٍ، وَاجْعَلْنَ فِي الْآخِرَةِ كَافُورًا، أَوْ شَيْئًا مِنْ كَافُورٍ، فَإِذَا فَرَغْتُنَّ فَآذِنَّنِي. قَالَتْ: فَلَمَّا فَرَغْنَا آذَنَّاهُ، فَأَلْقَى إِلَيْنَا حِقْوَهُ، فَقَالَ: أَشْعِرْنَهَا إِيَّاهُ[1]

Maksudnya: Nabi SAW telah masuk ke tempat kami ketika anak perempuan Baginda meninggal, lalu bersabda: Mandikanlah dia tiga kali, lima kali atau lebih dari itu jika tambahan itu elok bagi pandangan kamu dengan air dan (serbuk) daun bidara dan campurkan sedikit kapur barus pada kali yang terakhir. Setelah kamu selesai memandikannya beritahulah aku. Kami kemudian memberitahu Baginda, lalu memberi kami kain Baginda, sabdanya: balutlah badannya dengan kain ini.

(Riwayat al-Bukhari)

 

Semua jenazah orang Islam sama ada lelaki atau wanita wajib dimandikan jenazahnya kecuali jika mereka mati syahid di medan peperangan. Tujuan memandikan jenazah adalah untuk membersihkan anggota tubuh jenazah daripada kekotoran atau najis serta sebagai cara untuk mensucikannya. Ia sebagai suatu penghormatan kepada manusia sebagai makhluk yang dimuliakan Allah SWT serta menjadikan jenazah tersebut menghadap Allah SWT dalam keadaan bersih dan suci.

 

(2)   Mengkafankan jenazah

Proses seterusnya apabila selesai jenazah dimandikan hendaklah dikafankan sebagai tujuan menjaga maruah dan kehormatan jenazah tersebut serta keinsafan kepada yang masih hidup semua manusia adalah sama di sisi Allah kecuali ketaqwaan yang membezakan darjat seseorang.

 

(3)   Solat jenazah

Solat jenazah bermaksud orang yang masih hidup menunaikan solat bagi seseorang yang telah meninggal dunia. Tujuannya adalah sebagai memohon ampun, keredhaan serta rahmat daripada Allah SWT kepada jenazah tersebut. Hukum solat kepada jenazah yang bukan mati syahid menurut Ulama ialah fardu kifayah iaitu dilakukan oleh sebahagian penduduk di kawasan tersebut. Pensyariatan solat jenazah adalah berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA:

 

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَعَى النَّجَاشِىَّ فِى الْيَوْمِ الَّذِى مَاتَ فِيهِ، فخَرَجَ إِلَى الْمُصَلَّى فَصَفَّ بِهِمْ وَكَبَّرَ أَرْبَعًا[2]

Maksudnya: Rasulullah SAW bersedih atas kematian al-Najasyi, lalu Baginda keluar ke tempat solat, berbaris bersama-sama sahabat dan bersolat sebanyak empat kali.

(Hadis Riwayat al-Bukhari)

 

(4)   Kebumikan jenazah

Kewajipan terakhir yang perlu diuruskan apabila seseorang meninggal dunia ialah dengan mengebumikan jenazah. Ia merupakan suatu penghormatan yang diberikan kepada setiap umat Islam yang telah meninggal dunia supaya tidak dibiarkan begitu sahaja atau dipermainkan oleh binatang buas jika tidak dikebumikan.


Hukum Wanita Meninggal ketika Haid

Secara asasnya, wanita yang sedang haid mempunyai beberapa perkara larangan dalam beribadat seperti  menunaikan solat, berpuasa, membaca al-Quran, menyentuh dan membawa al-Quran, masuk ke masjid, tawaf dan bersetubuh[3].

 

Adapun begitu, wanita yang ditakdirkan meninggal walaupun ketika sedang haid, nifas atau junub tidak mengubah cara pengurusan jenazah terhadap jenazah tersebut. Imam al-Nawawi dalam kitabnya menukilkan bahawa:

 

مَذْهَبُنَا ‌أَنَّ ‌الْجُنُبَ ‌وَالْحَائِضَ ‌إذَا ‌مَاتَا غُسِّلَا غُسْلًا وَاحِدًا وَبِهِ قَالَ الْعُلَمَاءُ كَافَّةً إلَّا الْحَسَنَ الْبَصْرِيَّ فَقَالَ يُغَسَّلَانِ غُسْلَيْنِ قَالَ ابْنُ الْمُنْذِرِ لَمْ يَقُلْ بِهِ غَيْرُهُ[4]


Maksudnya: Dalam mazhab kami, lelaki yang berjunub atau wanita haid ketika meninggal dunia, maka dia dimandikan sekali sahaja. Ini adalah pendapat semua ulama kecuali al-Hasan al-Basri yang menyatakan perlu mandi dua kali bagi jenazah yang meninggal dalam keadaan berjunub. Ibn Munzir mengatakan (komentar terhadap pandangan Hasan al-Basri): Pandangan ini tidak disebut oleh seorang pun selain beliau.

 

Hal ini menunjukkan bahawa, apabila seseorang itu meninggal dunia dalam keadaan berjunub atau berhadas besar, memadai bagi jenazah tersebut hanya dimandikan sekali sahaja . Perkara ini turut diteguhkan lagi dengan kenyataan Imam Ibn Qudamah bahawa: 

 

والأوَّلُ أوْلَى(والحَائِضُ والجُنُبُ إذا ماتَا كَغَيْرِهما في الغُسْلِ)… ‌لأنَّهما ‌خَرَجَا ‌من ‌أحْكامِ ‌التَّكْلِيفِ ولم يَبْقَ عليهما عِبادَةٌ وَاجِبَةٌ وإنَّما الغُسْلُ لِلْمَيِّتِ تَعَبُّدٌ ولِيكونَ في حالِ خُرُوجِهِ من الدُّنْيَا على أكْمَلِ حَالٍ من النَّظافَةِ والنَّضارَةِ وهذا يَحْصُلُ بِغُسْلٍ واحِدٍ ولأنَّ الغُسْلَ الواحِدَ يُجْزِئُ مَن وُجِدَ في حَقِّه مُوجِبَانِ له لو اجْتَمَعَ الحَيْضُ والجنابةُ[5]


Maksudnya: Pandangan pertama lebih utama (Memandikan jenazah wanita yang meninggal ketika haid atau junub sama seperti jenazah lain)… Hal ini kerana kedua-dua keadaan (jenazah) ini telah terkeluar daripada hukum taklif yang tidak mewajibkan lagi bagi mereka sesuatu ibadah. Adapun mandi bagi jenazah tersebut adalah sebagai suatu taa’budi kepada Allah supaya apabila seseorang meninggal dunia jenazah tersebut berada dalam keadaan paling bersih dan sempurna. Perkara ini boleh dilakukan dengan hanya sekali mandi kerana sekali mandi sudah memadai bagi mengangkat dua kewajipan iaitu mandi junub dan haid.


Manakala mengenai tempat untuk disolatkan bagi jenazah wanita yang meninggal ketika haid atau nifas, jenazahnya boleh disolatkan di masjid. Hal ini berdasarkan kepada persoalan yang ditujukan kepada Syeikh Muhammad bin Ibrahim bin Abd Latif sebagaimana berikut[6]:

 

سئل الشيخ محمد بن إبراهيم بن عبد اللطيف والشيخ عبد العزيز العنقري عن الحائض والنفساء إذا ماتت إحداهما هل تجوز الصلة عليها في المسجد فأجابا: نعم، يجوز إذا أمن تلويثه، لأن الأحكام انقطعت بالموت


Maksudnya: Syeikh Muhammad bin Ibrahim telah ditanya mengenai wanita haid atau nifas apabila meninggal kedua-dua mereka adakah dibolehkan solat ke atas mereka di masjid? Maka jawab beliau: Ia boleh selagi mana ia tidak mencemari kerana hukum taklifan ke atasnya telah tiada setelah meninggal dunia.

 

Tambahannya, seseorang yang telah meninggal dunia gugur taklifan atau tanggungjawabnya terhadap sesuatu ibadah. Firman Allah SWT dalam surah al-Hijr ayat 99:

وَاعْبُدْ رَبَّكَ حَتَّىٰ يَأْتِيَكَ الْيَقِينُ ‎﴿٩٩﴾‏

Maksudnya: Dan sembahlah Tuhanmu sehingga datang kepadamu (perkara yang tetap) yakin (iaitu kematian).

 

Tafsir al-Munir menerangkan ayat di atas seperti kenyataan berikut:

 

أي فاشتغل بذكر الله وتحميده وتسبيحه وعبادته التي هي الصلاة، وداوم على ذلك حتى يأتيك اليقين، أي الموت، وسمي الموت باليقين؛ لأنه أمر متيقن[7]


Maksudnya: Maka sibukkanlah dirimu dengan mengingati Allah, tahmid, tasbih dan beribadah kepada-Nya iaitu dengan solat, teruslah berbuat demikian sehingga datang kepadamu sesuatu perkara yang yakin, iaitu kematian. Dinamakan kematian itu suatu keyakinan kerana ia adalah sesuatu yang sudah menjadi kepastian berlaku.

 

Begitu juga seperti dijelaskan oleh Ibnu Kathir bahawa apabila berlaku sesuatu kepastian ini iaitu kematian, maka gugurlah kewajipannya (taklifan) dalam beribadah[8]. Selain itu, Imam Ibn Taymiyah dalam kitab Syarh al-Humuwiyah li Ibn Taymiyah menyatakan bahawa:

 

‌وإذا ‌مات ‌سقط ‌عنه ‌التكاليف، ولا تسقط التكاليف إلا بأحد أمرين: إما رفع العقل، فإذا رفع العقل سواء كان صغيراً لم يبلغ أو مجنوناً أو مغمى عليه، فهذا تسقط عنه التكاليف، والثاني: الموت إذا مات، أما ما دام العقل ثابتاً والحياة موجودة، فإنه يكلف ولا تسقط عنه التكاليف[9]

Maksudnya: Gugur pentaklifannya seseorang apabila beliau meninggal dunia, dan tidak gugur pentaklifan kecuali dengan dua perkara berikut. (1) seseorang itu belum berakal kerana masih kecil, belum baligh, gila atau pengsan, maka gugur ke atasnya pentaklifan. (2) kematian: seseorang telah mati. Adapun selagi mana seseorang mempunyai akal yang waras serta masih hidup maka tidak gugur pentaklifannya untuk beribadah.

 

Berdasarkan kepada perbahasan di atas, jelas di sini bahawa apabila meninggal seseorang tersebut maka taklifannya untuk menunaikan ibadah di dunia telah terhenti sama ada ketika dalam keadaan berjunub (berhadas besar) atau tidak. Oleh itu, wanita yang meninggal dunia ketika haid adalah dibolehkan untuk disolatkan jenazahnya di masjid.

 

Kesimpulan

Jenazah wanita yang meninggal ketika haid atau nifas memadai hanya sekali sahaja mandi wajib yang menjadikan jenazah tersebut telah suci. Justeru itu, tiada larangan bagi jenazah wanita yang meninggal ketika haid atau nifas disolatkan di masjid kerana seseorang yang telah meninggal dunia telah terputus taklifannya daripada sebarang hukum syara’. Semoga dengan solat yang dilaksanakan oleh mereka yang masih hidup kepada jenazah tersebut memberi kesejahteraan dan rahmat Allah kepadanya agar diampunkan segala dosa dan mendapat keredhaan-Nya.

 



[1] Abu Abdullah Muhammad bin Ismail al-Bukhari al-Ja’fi, (1993), Sahih al-Bukhari, (Damsyik: Dar Ibn Kathir), No. Hadis 1200, Jil. 1, Ms. 424.

[2] Abu Abdullah Muhammad bin Ismail al-Bukhari al-Ja’fi, (1993), Sahih al-Bukhari, (Damsyik: Dar Ibn Kathir), No. Hadis 1188, Jil. 1, Ms. 420.

[3] Aḥmad bin al-Ḥusayn bin Aḥmad al-Aṣfahānī, Mukhtaṣar Abī Syujā’ Matan Ghāyah al-Taqrīb fī al-Fiqh al-Syāfi’ī, (Kaherah: Dār al-Salām lil Ṭabā’ah wa al-Nasyr wa al-Tawzī’ wa al-Tarjamah, 2017), ms. 39.

[4] Abū Zakariā Muḥy al-Dīn bin Syarf al-Nawawi, al-Majmu’ Syarḥ al-Muhaẓẓab, (Kāherah: Idārah al-Tibā’ah al-Muniriah, 1929), Jil. 5, ms. 152.

[5] Mawfiq al-Dīn Abū Muḥammad Abdullah bin Aḥmad bin Muḥammad bin Qudāmah al-Maqdisī, al-Mughnī li Ibn Qudāmah, (Riyādh: Dār al-’Alam al-Kutub lil Tabā’ah wa al-Nasyr wa al-Tawzī’, 1997), Jil. 3, ms. 381Abū Muḥammad Abdullah bin Aḥmad bin Muḥammad bin Qudāmah al-Maqdisī, al-Mughnī li Ibn Qudāmah, (Qāherah: Maktabah al-Qāherah, 1968), Jil. 2, ms. 345.

[6] Muḥammad bin Ibrāhīm bin Abd al-Laṭīf Āli al-Syeikh, Fatāwā wa Rasā’il Samāḥah al-Syeikh Muḥammad bin Ibrāhīm bin Abd al-Laṭīf Āli al-Syeikh, (Mekah: Matba’ah al-Ḥukūmah, 1399H), Jil. 3, ms. 190.

[7] Wahbah al-Zuḥaylī, (1991),  al-Tafsīr al-Munīr fī al-‘Aqīdah wa al-Syarīah wa al-Manhaj, (Damsyik: Dār al-Fikr), Jil. 14, ms. 74.

[8] Ibn Kathīr, Abū al-Fida’ Ismāil bin Amr bin Kathīr al-Qurasyi al-Baṣrī, Tafsīr al-Qurān al-Azīm, (Dār Ṭayyibah li al-Nasyr wa al-Tawzī’, 1999), Jil. 4, ms. 554.

[9] Abd al-Azīz bin Abd Allah al-Rājiḥī, Syarḥ al-Ḥumuwiyah li Ibn Taimiyah, (Durūs Ṣautiyah Qāma bitafrīghiha Mawqi’ al-Syibkah al-Islāmiyah), Jil. 9, ms. 2.

Accessibility Toolbar

PHP Code Snippets Powered By : XYZScripts.com