#35 Taudih al-Hukmi : Panduan Mengira Minimum Haid 24 Jam

Tarikh: 10 Oktober 2023

Disediakan oleh: Naimah Mohamad Nasir 

Pendahuluan

Haid secara normalnya merupakan kitaran yang berlaku setiap bulan bagi setiap wanita. Darah haid juga mempunyai tempoh yang tertentu pada setiap kitaran tersebut. Ramai dalam kalangan wanita  masih keliru dalam menentukan hukum darah ini terutama pada permulaan atau pada minimum 24 jam, sama ada darah itu haid atau istihadah. Maka, perkara ini perlu diperhalusi kerana terdapat hukum-hakam berbeza bagi setiap status darah tersebut sebelum dan selepas mencukupi tempoh minimum haid tersebut.

 

Definisi Haid

 

Haid dari sudut bahasa ialah (السيلان) iaitu mengalir[1]. Manakala, dari sudut istilah ialah

 

دَمُ ‌جِبِلَّةٍ ‌أَيْ ‌تَقْتَضِيهِ ‌الطِّبَاعُ ‌السَّلِيمَةُ ‌يَخْرُجُ ‌مِنْ ‌أَقْصَى ‌رَحِمِ ‌الْمَرْأَةِ ‌بَعْدَ ‌بُلُوغِهَا ‌عَلَى ‌سَبِيلِ ‌الصِّحَّةِ

مِنْ غَيْرِ سَبَبٍ فِي أَوْقَاتٍ مَعْلُومَةٍ[2]

Maksudnya: Darah semula jadi (normal) yang keluar daripada pangkal rahim seorang wanita yang telah baligh dalam keadaan sihat tanpa sebab-sebab tertentu dan pada waktu-waktu yang diketahui.

 

Penentuan Minimum Haid Menurut 4 Mazhab

 

Secara asasnya, syarak tidak menentukan tempoh minimum haid secara khusus. Oleh itu, para ulama melihat kepada uruf kebiasaan yang berlaku kepada wanita yang diketahui umum dalam menentukan tempoh minimum ini. Kaedah ini berdasarkan pernyataan berikut:

 

مَا ورد فِي الشَّرْع ‌وَلَا ‌ضَابِط ‌لَهُ ‌شَرْعِي وَلَا لغَوِيّ يتبع فِيهِ الْوُجُود كَالْقَبْضِ والحرز[3]

 

Maksudnya: Apabila tidak terdapat penetapan khusus (suatu hukum) dari segi syarak atau dari segi  bahasa, maka, hukum tersebut ditentukan berdasarkan kepada apa yang telah wujud seperti permasalahan al-qabadh[4] dan al-hirz[5].

 Oleh itu, ulama berselisih pendapat dalam menetapkan minimum haid ini. Menurut Imam Abu Hanifah minimum darah haid ialah selama 3 hari 3 malam[6]. Hal ini berdasarkan kepada riwayat daripada Abu Umamah al-Bahili RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 

أَقَلُّ مَا يَكُونُ الحيضُ للجَارِيةِ الثيبِ، والبكرِ جميعًا ثَلاَثَةَ أَيَّامٍ وأَكْثَرُ مَا يَكُونُ مِنْ الحَيْضِ عَشْرَةِ أَيَّامٍ،

ومَا زَادَ عَلَى العَشَرَةِ فَهُوَ اسْتِحَاضَةٌ[7]

Maksudnya: Sekurang-kurang haid bagi wanita sama ada janda atau dara ialah 3 hari  dan sebanyak-banyak tempoh haid selama 10 hari. Darah yang keluar lebih daripada 10 hari adalah istihadah.

 

Namun, hadis ini dihukum oleh Imam al-Nawawi dan imam al-Zayla’i sebagai hadis doif[8]

 

Manakala, menurut mazhab Maliki tempoh minimum haid berbeza pada permasalahan ibadah dan ‘iddah. Tiada had minimum haid bagi permasalahan ibadah seperti solat, puasa dan lain-lain iaitu cukup sekadar lahzah atau sedetik sahaja. Manakala, bagi ‘iddah dan istibra’ (memastikan rahim suci daripada benih) pula minimum haid ialah separuh hari atau sehari penuh[9].

 

 Hal ini berbeza dengan mazhab Syafi’i[10] dan mazhab Hanbali[11] yang menetapkan minimum tempoh darah  haid ialah sehari semalam (يوم وليلة). Artikel ini akan menerangkan kaedah kiraan 24 jam minimum haid menurut mazhab Syafi’i.

 

24 jam Penanda Aras Minimum Haid

Hasil al-istiqrā’ (kajian dan pemerhatian)[12] oleh Imam Syafi‘i tempoh paling minimum bagi haid ialah sehari semalam iaitu keluar darah sehingga cukup 24 jam[13]. Hal ini kerana, suatu darah yang dihukumkan haid tidak dapat digambarkan melainkan ia keluar daripada pangkal rahim wanita secara al-ittiṣāl (berterusan dan bersambung) sama ada kelihatan secara jelas atau tidak jelas[14]. Menurut mazhab Syafi’i yang dimaksudkan gambaran bersambung 24 jam dijelaskan dalam  2 keadaan iaitu[15] :

 

1)      Jika darah keluar berterusan tanpa henti.

 

Jika wanita mendapati darah keluar secara berterusan, maka pengiraan sehari semalam (أقل فقط) bermula sejak darah keluar sehingga 24 jam[16]. Hal ini bermaksud, darah yang keluar berterusan dalam tempoh 24 jam sama ada jelas kelihatan iaitu pada bahagian zahir faraj[17] (bahagian yang terbuka ketika seseorang duduk mencangkung untuk buang air kecil atau beristinja’) atau tidak jelas kelihatan ketika waktu fatrah dihukumkan haid. Istilah fatrah ini bermaksud darah yang tidak jelas kelihatan dengan mata kasar dan hanya diketahui terdapat kesan darah atau tidak dengan memasukkan kapas ke dalam kemaluan.

 

Jadual 1 berikut contoh darah haid keluar minimum 24 jam secara berterusan sehari semalam.

 

Tarikh

Masa

Keadaan darah

 Hukum

1 Jan

10 pagi

Keluar darah secara berterusan selama  sehari semalam yang jelas dilihat dengan pandangan mata

Darah yang keluar mencukupi syarat minimum haid iaitu 24 jam

2 Jan

10 pagi

 

Jadual 2 berikut contoh darah haid keluar minimum 24 jam secara berterusan sehari semalam bersama fatrah.

 

Tarikh

Masa

Keluar /Tidak keluar darah

Keadaan darah

 Hukum

1 Jan –

2 Jan

10 a.m-12 p.m

Darah jelas kelihatan

Keluar darah secara berterusan selama  sehari semalam, cuma sebahagian waktu  tidak kelihatan pada pandangan mata

Darah yang keluar mencukupi syarat minimum haid iaitu darah keluar berterusan dalam tempoh 24 jam

1 p.m

fatrah

2 p.m

fatrah

3 p.m

fatrah

4 p.m

fatrah

5 p.m. -10 p.m.

Darah jelas kelihatan

11 p.m.- 10 a.m a.m.

Darah jelas kelihatan

Jumlah jam: 24 jam

 

Maka, dapat difahami bahawa sedikit atau banyaknya darah tidak menjadi ukuran hukum tempoh darah keluar untuk dihukumkan haid tetapi yang diambilkira ialah jumlah jam darah keluar cukup 24 jam sama ada keluar secara jelas atau tidak jelas. Dalam hal ini, seorang wanita dinasihatkan tidak perlu memeriksa atau memasukkan kapas pada setiap jam namun hanya memeriksa ketika waktu fatrah sahaja untuk memastikan masih terdapat kesan darah. Keadaan darah ketika fatrah disepakati oleh para ulama dihukumkan sebagai haid.

 

2)      Jika darah keluar secara terputus-putus.

 

Jika seorang wanita melihat darah yang keluar terputus-putus (يوم وليلة متفرقا) dan diselangi dengan naqo’ iaitu apabila dimasukkan kapas tiada kesan darah dalam tempoh beberapa hari, maka kaedah pengiraan ialah menggabungkan keseluruhan jam keluar darah sehingga hari ke-15 (أَقَلُّ مَعَ غَيْرِهِ مِنْ الْغَالِبِ وَالْأَكْثَر). Sekiranya tempoh keseluruhannya cukup 24 jam maka keseluruhan darah tersebut dihukumkan sebagai haid.

 

Jadual 3 berikut contoh darah haid keluar minimum 24 jam secara terputus-putus yang digabungkan dengan hari-hari lain dalam tempoh kebiasaan haid 6 atau 7 hari.

 

Tarikh

 Masa

Keadaan darah

 Hukum

1 Feb

 10 a.m – 2 p.m

4 jam dan bakinya naqo’

Darah yang keluar  serta naqo’ daripadanya adalah haid kerana himpunan darah keluar mencukupi minimum haid iaitu 24 jam yang digabungkan dengan hari-hari lain yang kurang daripada maksimum haid 15 hari 15 malam

2 Feb

8 p.m – 11 p.m

4 jam dan bakinya naqo’

3 Feb

10 a.m- 2 p.m

4 jam dan bakinya naqo’

4 Feb

1 p.m – 5 p.m

4 jam dan bakinya naqo’

5 Feb

10 p.m  -12 p.m

2 jam dan bakinya naqo’

6 Feb

9 a.m  -11 a.m

2 jam dan bakinya naqo’

7 Feb

 10 a.m dan 5 p.m

7 jam dan bakinya naqo’

Jumlah hari=

6 hari

Jumlah jam=

27 jam

 

 

Jadual 4 berikut contoh darah haid keluar minimum 24 jam secara terputus-putus yang digabungkan dengan hari-hari lain dalam tempoh kurang daripada 15 hari 15 malam.

 

Tarikh

 Masa

Keadaan darah

 Hukum

1 Feb

 10 a.m – 12 a.m

 2 jam dan bakinya naqo’

Darah yang keluar  serta naqo’ daripadanya adalah haid kerana himpunan darah keluar mencukupi minimum haid iaitu 24 jam yang digabungkan dengan hari-hari lain yang kurang daripada maksimum haid 15 hari 15 malam

2 Feb

  10 a.m – 12 a.m

2 jam dan bakinya naqo’

3 Feb

12 p.m – 4 p.m

4 jam dan bakinya naqo’

4 Feb

 10 a.m – 12 p.m

2 jam dan bakinya naqo’

5 Feb

 4 p.m – 6 p.m

2 jam dan bakinya naqo’

6 Feb

Sepanjang hari

Darah Tidak keluar (naqo’)

7 Feb

Sepanjang hari

Darah Tidak keluar ( naqo’)

8 Feb

10 a.m – 12 a.m

2 jam dan bakinya naqa’

9 Feb

2.00 p.m -4.00 p.m

2 jam dan bakinya naqa’

10 Feb

4.00 p.m- 5.00 p.m

1 jam dan bakinya naqa’

11 Feb

10 a.m – 12 a.m

2 jam dan bakinya naqa’

12 Feb

10 a.m -1 p.m

3 jam dan bakinya naqa’

13 Feb

Sepanjang hari

Darah Tidak keluar (naqo’)

14 Feb

Sepanjang hari

Darah Tidak keluar (naqo’)

15 Feb

10 a.m – 12 a.m

2 jam dan bakinya naqa’

16  Feb

10 a.m – 12 a.m

2 jam dan bakinya naqa’

Jumlah hari=

15 hari 15 malam

 

Jumlah jam =

 24 jam

Wanita dalam keadaan ini, apabila mendapati darah keluar pada hari pertama selama beberapa jam hendaklah meninggalkan larangan haid seperti solat, puasa, berjimak dan sebagainya. Apabila darah berhenti, hendaklah dia memastikan bahawa dia telah naqa’ dengan memasukkan kapas. Jika tidak terdapat kesan darah maka apabila masuk waktu solat wanita tersebut  wajib bersolat dan tidak wajib mandi kerana belum mencapai 24 jam. Keadaan ini berulang sehingga cukup 24 jam selagimana tidak melebihi maksimum haid 15 hari[18].

Masa naqa’ dicelah-celah darah yang tidak melebihi tempoh maksimum haid 15 hari dan melebihi tempoh minimum haid 24 jam dihukumkan sebagai haid mengikut pendapat muktamad (qaul al-sahbi)[19].Maka, ibadah yang dilakukan pada waktu ini tidak sah. Namun, ibadah yang dilakukan wanita pada ketika ini tidaklah berdosa kerana wanita tersebut hanya boleh menghukumkan secara zahir sahaja. Jika ada darah, maka akan dianggap haid dan jika tiada darah maka dianggap suci dan perlu solat. Selain itu, wanita tersebut hanya perlu menggantikan puasa, tawaf dan tidak perlu menqadakan solat. Hal ini dijelaskan dalam kitab al-Taqrirat al-Sadidah fi al-Masail al-Mufidah[20]:

 

1)    فإذا صلت فلا تصح صلاتها فيها ولا يجب قضاؤها

2)    وإذا صامت  رمضان فلا يصح صومها ويجب قضاؤه

Maksudnya:

1)       Jika dia telah mengerjakan solat dalam tempoh tersebut, maka tidak sah solatnya  namun tidak wajib ke atasnya qada semula.

2)      Jika dia telah berpuasa dalam tempoh tersebut, maka tidak sah puasanya dan wajib ke atasnya untuk qada semula puasa tersebut.

 

Status Ibadah dalam tempoh Minimum haid 24 jam

Penggunaan istilah minimum haid 24 jam secara bersambung atau terputus-putus hanya pada segi istilah sahaja. Oleh itu, wanita apabila mendapati darah keluar pada masa kemungkinan besar dianggap haid kerana mencukupi syaratnya walaupun belum mengetahui statusnya mencukupi minimum haid 24 jam atau tidak, hendaklah meninggalkan larangan haid seperti solat, puasa dan sebagainya[21]. Berdasarkan hadis Aisyah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 

إِذَا أَقْبَلَتْ الْحَيْضَةُ فَدَعِي الصَّلَاةَ وَإِذَا أَدْبَرَتْ فَاغْسِلِي عَنْكِ الدَّمَ وَصَلِّي[22]

Maksudnya: Jika haid datang, maka tinggalkanlah solat. Dan jika haid telah selesai, maka basuhlah darah itu dari dirimu (bersucilah) dan laksanakanlah solat.

(Riwayat al-Bukhari)

 

Namun, sekiranya darah yang keluar secara berterusan atau secara terpisah tersebut tidak mencapai minimum haid 24 jam maka darah tersebut dihukumkan istihadah. Dalam keadaan ini, wanita tersebut tidak diwajibkan mandi wajib untuk bersuci kerana diri wanita tersebut masih dalam keadaan suci pada asalnya kerana darah yang keluar tersebut belum dikira sebagai haid. Maka, hendaklah wanita tersebut menggantikan solat dan puasa jika meninggalkannya pada tempoh tersebut. Menurut Imam Ibn Hajar al-Haitami dalam kitabnya:

 

ثُمَّ إنْ ‌انْقَطَعَ ‌قَبْلَ ‌يَوْمٍ ‌وَلَيْلَةٍ بَانَ أَنْ لَا شَيْءَ فَتَقْضِي صَلَاةَ ذَلِكَ الزَّمَنِ وَإِلَّا بَانَ أَنَّهُ حَيْضٌ، وَكَذَا فِي الِانْقِطَاعِ بِأَنْ كَانَتْ لَوْ أَدْخَلَتْ الْقُطْنَةَ خَرَجَتْ بَيْضَاءَ نَقِيَّةً فَيَلْزَمُهَا حِينَئِذٍ الْتِزَامُ أَحْكَامِ الطُّهْرِ، ثُمَّ إنْ عَادَ قَبْلَ خَمْسَةَ عَشَرَ كَفَّتْ وَإِنْ انْقَطَعَ فَعَلَتْ وَهَكَذَا حَتَّى تَمْضِيَ خَمْسَةَ عَشَرَ [23]

 

Maksudnya: Kemudian sekiranya darah itu terputus sebelum mencapai tempoh sehari semalam, maka nyatalah wanita itu tidak berhaid, justeru hendaklah wanita tersebut menggantikan solatnya pada tempoh tersebut. Akan tetapi jika darah (berterusan sehari semalam atau lebih maka jelaslah) bahawa wanita itu sedang berhaid. Jika wanita itu memasukkan ke dalam farajnya lalu kapas itu dikeluarkan dalam keadaan bersih, maka wajiblah melazimkan diri  dengan hukum orang yang suci. Jika darah itu kembali semula sebelum berlalu tempoh 15 hari, maka hendaklah wanita tersebut menahan diri daripada perkara-perkara yang dilarang. Jika darahnya terputus berhenti pula selepas itu maka wanita itu mesti melakukan perkara yang telah lepas (berhenti darah dan lihat tanda bersih). Begini keadaannnya sehingga berlalu tempoh 15 hari.

 

Pada dasarnya, wanita apabila mengalami darah terputus-putus tidak mengetahui tempoh naqa’nya melainkan telah berlalu tempoh maksimum haid 15 hari 15 malam barulah wanita tersebut mengetahui tempoh tersebut memenuhi tempoh minimum haid 24 jam atau tidak. Justeru, sebaik sahaja darah wanita berhenti wanita perlulah ia mengambil hukum suci tanpa perlu menunggu tempoh tertentu. Secara zahirnya, darah tersebut telah berhenti sedangkan wanita tidak mengetahui darah tersebut akan keluar semula.

 

‌وَلَا ‌خِلاَفَ ‌أَنَّهَا فِي يَوْمِ النَّقَاءِ تَعْمَلُ عَمَلَ الطَّاهِرَاتِ؛ لِأَنَّهُ قَدْ لاَ يَعُود، فَإِذَا عَادَ الدَّمُ غَيرنَا الحُكْمَ[24]

Maksudnya: Tiada khilaf bahawa wanita pada hari naqa itu  perlu mengerjakan amalan sebagaimana wanita-wanita suci kerana darah itu mungkin tidak akan keluar semula. Namun jika darah tersebut keluar semula, maka hukumnya turut berubah.

 

Kesimpulan

 

Secara asasnya, wanita dengan sekadar melihat darah keluar akan dihukumkan haid apabila menepati syarat-syaratnya dan hendaklah meninggalkan segala larangan haid. Manakala, wanita dihukumkan suci sekiranya bersih atau naqa’ daripada darah. Namun begitu, bagi menentukan darah itu haid hendaklah menepati syarat minimum haid yang ditetapkan iaitu 24 jam sehari semalam. Tempoh minimum haid 24 jam ini dapat difahami berlaku dalam dua keadaan iaitu darah keluar berterusan dalam kadar masa selama 24 jam bersambung sehari semalam atau darah keluar  terputus-putus selama 24 jam iaitu hasil gabungan darah yang keluar terputus-putus atau bercerai dalam tempoh  kebiasaan atau maksimum 15 hari haid. Oleh itu, kiraan tempoh darah pada setiap jam  sangat penting supaya wanita lebih berhati-hati sebelum menentukan status hukum haid dan ibadahnya.

 



[1] Alī bin Muhamad bin ‘Ali al-Zayn al-Sharīf al-Jurjānī. al-Ta’rīfāt. (Beirut Lubnan: Dār al-Kutub al-Ilmiyyah, 1983), ms. 94.

[2] Shamsuddīn Muhammad Bin Ahmad Al-Khaṭīb Al-Sharbīnī. Mughnī Al-Muhtāj Ila Al-Maʿrifati Maʿānī Al-Alfāz Al-Minhāj. (Kaherah, Mesir: Dār Al-Kutub Al-Islamiyyah, 1994). Jil. 1 , ms. 277.

[3] Al-Sharbīnī, Jil. 1 , ms. 277.

[4] Penerimaan barang dalam bab muamalat.

[5] Tempat simpanan yang bersesuaian dengan masalah jenayah.

[6] Ala’uddin Abū Bakr Bin Mas’ud al-Kasānī. Badāi’ al-Ṣanāi’ fī Tartib al-Sharai’( Dār al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1910). Jil. 1, ms. 40.

[7] Ibid., Jil. 1, ms. 39-40.

[8] Al-Sharbīnī. Mughnī Al-Muhtāj. Jil. 1 , ms. 278; Jamāl al-Dīn Abū Muhammad Abdullah Bin Yūsof Bin Muhammad al-Zayla’ī. Naṣb al-Rāyah li al-Ahādith al-Hidāyah ma’a Hasyiah Bughyah al-Ma’ī fī Takhrīj al-Zayla’ī. (Beirut, Lubnan: Muassasah al-Rayyan) Jil. 1 , ms. 191.

[9] Mohamad Bin Ahmad Bin ‘Arafah al-Dusūqī al-Mālikī, Hāshiyah al-Dusūqī ‘ala al-Sharh al-Kabīr,(Dār al-Fikr, Amman: t.t). Jil. 1, ms. 168.

[10] Abū Zakariyyā Muhyī al-Din bin Sharaf al-Nawawī. al-Majmū’ Sharh al-Muhadzdzab. (Amman, Jordan: Dar al-Fikr, 1928). Jil.  2, ms. 380.

[11] Abu Muḥamad Bin Aḥmad Bin Muḥamad Bin Qudāmah, Al-Mughnī (Riyādh, Arab Saudi: Dār ‘Ālam al-Kutub,  1997). Jil. 1, ms. 388.

[12]  ‘Abd al-Wahhāb Ibrāhim Bin Abū Sulaymān. Manhajiyyah al-Imam Muhammad Bin Idrīs al-Shafi’ī fi al-Fiqh wa usūluh: Ta’ṣīl wa Tahlīl. (Beirut, Lubnan: Dār Ibn Hazm, 1999). Ms. 39-40.

[13]  Al-Sharbīnī. Mughnī Al-Muhtāj. Jil. 1 , ms. 278.

[14] Mansūr bin Ismail. Tuhfah al-A’izzā’ fi iḍāhi masāil dimāi al-Nisa’. (Nine over ten  Dot Biz: Negeri Sembilan, 2021), ms.124.

[15] Al-Sharbīnī. Mughnī Al-Muhtāj. Jil. 1 , ms. 278.

[16] Al-Sharbīnī. Mughnī Al-Muhtāj. Jil. 1 , ms. 278.

[17] al-Nawawī. al-Majmū’ Sharh al-Muhadzdzab. Jil.  1, ms. 314.

[18] Mansūr bin Ismail. Tuhfah al-A’izzā’ fi iḍāhi masāil dimāi al-Nisa’. ms.133.

[19] Mansūr bin Ismail. Tuhfah al-A’izzā’ fi iḍāhi masāil dimāi al-Nisa’. (Nine over ten  Dot Biz: Negeri Sembilan, 2021), ms. 215.

[20] Hassan bin Ahmad al-Kāf. Al-Taqrīrat al-Sadīdah fi al-Masāil al-Mufīdah.  Dār al-Mirāth an-Nabawiyyah:Yaman, Hadramawt, 2022) Jilid 1, ms.166.

[21] Ahmad bin Muhammad bin Alī  bin Hajr al-Haitamī. 1983.Tuhfah al-Muhtāj fī Sharh al-Minhaj wa al-Hawāshī al-Sharwānī al-Ibādī. (Maktabah al-Tijariyyah al-Kubra: Mesir, 1983). Jilid. 1, ms, 399.

[22] Abū Abdullah Muhammad Bin Isma’il al-Bukhārī al-Ja’fi. Ṣahīh al-Bukhārī. Peny. Mustafa Dib al-Bughā, (Damsyik, Syria:  Dār Ibn Katsīr, 1993). Jil. 1, ms. 125.

[23]  Ibn Hajr al-Haitamī. Tuhfah al-Muhtāj fī Sharh al-Minhaj wa al-Hawāshī al-Sharwānī al-Ibādī. Jilid. 1, ms. 400.

[24] Kamāl al-Din, Muhammad Bin Musa Bin ‘Isa Bin ‘Alī al-Damīrī. Al-Najm al-Wahhāj fi Sharh al-Minhāj. (Dār al-Minhāj, Jeddah: 2004), Jil. 1, ms. 511.

Accessibility Toolbar

PHP Code Snippets Powered By : XYZScripts.com