#13 Taudhih Al-Hukmi : Bilangan Rakaat di dalam Solat Tarawih

Tarikh: 6 April 2023

Disediakan oleh: Ahmad Amiruddin bin Ahmad Shukri

 

 

Pendahuluan:

Allah SWT telah memuliakan Islam dengan kedatangan satu bulan yang sangat bermakna iaitu bulan Ramadhan. Bulan Ramadhan merupakan bulan ketaatan jua bulan ketakwaan yang disusuli dengan perbuatan amalan soleh dalam kalangan umat Islam. Maka umat Islam disarankan agar memperbanyak amalan di dalam bulan yang mulia ini kerana ganjaran di sisi Allah SWT amat besar sebagaimana yang telah diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda :

[1]مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِه

Maksudnya: Sesiapa yang melakukan qiyam Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran serta keampunan, akan diampunkan buatnya dosa-dosa yang terdahulu.

 

(Riwayat al-Bukhari) 

 

Hadis di atas menerangkan bahawa perbuatan qiyam Ramadhan yang meliputi sekalian amalan soleh seperti solat tarawih, bacaan al-Quran, zikir dan doa, serta selainnya, sekiranya ia dilakukan dengan penuh keimanan, nescaya akan diampunkan dosa-dosa kecil yang terdahulu. Menurut Imam Nawawi yang dimaksudkan dengan qiyam Ramadhan adalah solat Tarawih[2] . Timbul persoalan yang sering kali menjadi tanda tanya dalam kalangan masyarakat berkenaan bilangan rakaat di dalam solat Tarawih. Hal ini disebabkan oleh ada sebahagian yang mengatakan solat Tarawih 8 rakaat, manakala sebahagian yang lain mengatakan solat Tarawih 20 rakaat.

 

Pandangan Para Ulama:

Asal pensyariatan solat Tarawih adalah thabit berdasarkan hadis-hadis Nabi SAW yang banyak. Antaranya adalah hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah RA,

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلَّى ذَاتَ لَيْلَةٍ فِي الْمَسْجِدِ فَصَلَّى بِصَلاَتِهِ نَاسٌ، ثُمَّ صَلَّى مِنَ الْقَابِلَةِ فَكَثُرَ النَّاسُ، ثُمَّ اجْتَمَعُوا مِنَ اللَّيْلَةِ الثَّالِثَةِ أَوِ الرَّابِعَةِ، فَلَمْ يَخْرُجْ إِلَيْهِمْ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم، فَلَمَّا أَصْبَحَ قَالَ: ‏قَدْ رَأَيْتُ الَّذِي صَنَعْتُمْ وَلَمْ يَمْنَعْنِي مِنَ الْخُرُوجِ إِلَيْكُمْ إِلاَّ أَنِّي خَشِيتُ أَنْ تُفْرَضَ عَلَيْكُمْ، وَذَلِكَ فِي رَمَضَانَ[3]

Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah SAW pada suatu malam sedang solat di dalam masjid. Maka orang ramai pun mengikut solat bersama Baginda. Kemudian pada malam berikutnya, Baginda solat sekali lagi dan jemaah yang mengikutnya semakin ramai. Pada malam yang ketiga atau keempat, orang ramai berkumpul menanti ketibaan Rasulullah SAW sebaliknya Baginda tidak keluar kepada mereka. Apabila masuk waktu Subuh, Baginda bersabda kepada para jemaah: Sesungguhnya aku telah melihat apa yang kamu semua lakukan. Dan tidaklah yang menghalang aku dari keluar kepada kamu melainkan aku takut solat itu akan difardukan ke atas kamu semua. Yang demikian itu berlaku pada bulan Ramadhan. 

(Riwayat al-Bukhari)

    

Berdasarkan hadis di atas, Nabi SAW melakukan solat tarawih pada waktu malam tanpa menyebut bilangan rakaatnya. Kemudian baginda tidak keluar (untuk solat) pada malam yang ketiga atau keempat kerana bimbang akan difardukan ke atas umatnya dan bimbang mereka tidak mampu melaksanakannya. Perbuatan Nabi SAW ini menjadi dalil bahawa solat Tarawih tidaklah difardukan bahkan dihukumkan sebagai sunat oleh para ulama.

 

Kalimah Tarawih berasal daripada perkataan tarwihah yang membawa erti kerehatan. Justeru, solat tarawih tidak boleh dihimpunkan secara sekaligus dan tidak pula melebihi 2 rakaat bagi setiap perselangan. Hal ini dinyatakan oleh Imam al-Mawardi dalam al-Hawi al-Kabir, katanya:

 

كل ترويحة شفعين كل شفع ركعتين بِسَلَامٍ[4]

 

Maksudnya: Setiap tarwihah itu ialah dengan dua syafa’, setiap syafa’ ialah 2 rakaat dengan satu salam.

 

Bilangan rakaat di dalam solat Tarawih:

Terdapat 3 pandangan dalam kalangan ulama berkenaan bilangan rakaat solat Tarawih.[5]

1. Pandangan Pertama:

20 rakaat menurut pandangan Mazhab Hanafi, Shafi’i dan Hanbali. Hal ini berdasarkan athar Khalifah Umar al-Khattab yang memerintahkan solat Tarawih 20 rakaat secara berjemaah pada zamannya[6] dan juga berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Malik yang menerangkan pelaksanaan solat Tarawih adalah sebanyak 23 rakaat termasuk witir. Perihal 20 rakaat ini jelas dinyatakan oleh Imam Nawawi, katanya:

 

مَذْهَبُنَا أَنَّهَا عِشْرُونَ رَكْعَةً بِعَشْرِ تَسْلِيمَاتٍ غَيْرَ الْوِتْرِ وَذَلِكَ خَمْسُ تَرْوِيحَاتٍ وَالتَّرْوِيحَةُ أَرْبَعُ رَكَعَاتٍ بِتَسْلِيمَتَيْنِ هَذَا مَذْهَبُنَا وَاحْتَجَّ أَصْحَابُنَا بِمَا رَوَاهُ الْبَيْهَقِيُّ وَغَيْرُهُ بِالْإِسْنَادِ الصَّحِيحِ عَنْ السَّائِبِ بْنِ يَزِيدَ الصَّحَابِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ ” كَانُوا يَقُومُونَ عَلَى عَهْدِ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ فِي شَهْرِ رَمَضَانَ بِعِشْرِينَ ركعة[7]

Maksudnya: Mazhab Syafi’i melaksanakan (solat Tarawih) sebanyak 20 rakaat dengan 10 kali salam tidak termasuk witir. Ia juga termasuk 5 kali perselangan rehat, bagi setiap perselangan rehat ialah 4 rakaat beserta 2 kali salam. Ini adalah pegangan Mazhab Shafi’i dan telah berhujah para ashab kami dengan apa yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi dan yang lain dengan sanad yang sahih. Daripada as-Saib bin Yazid RA, beliau berkata: Pada zaman Umar bin al-Khattab RA mereka mendirikan solat Tarawih sebanyak 20 rakaat di bulan Ramadhan.

 

Tambahan lagi, Imam Nawawi menukilkan daripada al-Baihaqi, katanya:

كَانُوا يَقُومُونَ بِعِشْرِينَ رَكْعَةً وَيُوتِرُونَ بِثَلَاثٍ[8]

Maksudnya: Mereka pada ketika itu mendirikan 20 rakaat Tarawih diikuti juga 3 rakaat witir.

 

2. Pandangan Kedua:

36 rakaat menurut pandangan dalam Mazhab Maliki. Hal ini berdasarkan pengamalan Ahlul Madinah, pengamalan ini adalah kerana mereka memuliakannya atas penghijrahan Nabi Muhammad SAW.[9] Menurut keterangan yang lain, penduduk Madinah melihat penduduk Makkah bergembira dengan solat Tarawih mereka kerana setiap empat rakaat, mereka akan tawaf. Lalu penduduk Madinah menambah lagi 16 rakaat kepada 20 rakaat sebagai ganti mereka tidak dapat tawaf di Madinah, menjadikan solat mereka 36 rakaat.[10]. Oleh itu, perlaksanaan ini hanya dikhususkan untuk Ahlul Madinah sahaja.

 

3. Pandangan Ketiga:

Solat tarawih 8 rakaat berserta 3 rakaat solat sunat Witir menurut pandangan sebahagian ulama. Hal ini adalah berpandukan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah RA,

أَنَّ النَّبِي -صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- مَا كَانَ يَزِيدُ فِيْ رَمَضَان وَلَا فِيْ غَيْرِهِ عَلَىْ ‌إِحْدَىْ ‌عَشْرَةَ رَكْعَةً؛ يُصَلِّي أَرْبَعًا فَلَا تَسْأَلْ عَنْ حُسْنِهِنَّ وَطُولِهِنَّ ثُمَّ يُصَلِّي أَرْبَعًا فَلَا تَسْأَلْ عَنْ حُسْنِهِنَّ وَطُولِهِنَّ ثُمَّ يُصَلِّي ثَلَاثًا[11]

Maksudnya: Rasulullah tidak solat melebihi 11 rakaat sama ada pada Ramadhan atau selain daripadanya. Baginda bersolat empat rakaat dan janganlah kamu bertanya akan kesempurnaan dan panjang solat Rasulullah. Kemudian, Baginda solat lagi empat rakaat dan janganlah kamu bertanya akan kesempurnaan dan panjang solat Baginda. Setelah itu, Baginda solat tiga rakaat. 

(Riwayat al-Bukhari)

 

Hukum solat Tarawih kurang daripada 20 rakaat:

Berdasarkan pendapat-pendapat yang dikemukakan, jelas menyatakan bahawa solat Tarawih menurut mazhab Shafi’i ialah sebanyak 20 rakaat beserta 3 rakaat Witir. Namun bagi mereka yang mengerjakan solat Tarawih sebanyak 8 rakaat juga mendapat pahala Tarawih. Hal ini sebagaimana yang dijelaskan di dalam Syarh al-Muqaddimah al-Hadramiyyah:

‌ولو ‌اقتصر ‌على ‌بعض العشرين .. صح وأثيب عليه ثواب التراويح خلافاً لبعضهم[12]

Maksudnya: Sekiranya dia mengerjakannya kurang daripada 20 rakaat, maka hukumnya sah serta diberi pahala Tarawih kepadanya, berbeza dengan pandangan sebahagian ulama

 

Perbahasan ini juga, turut dijelaskan di dalam al-Yaqut al-Nafis:

صلاة التراويح عشرون ركعة. أي أكثرها ذلك، فلو اقتصر على بعض العشرين صح وأثيب عليه ثواب التراويح، وقيل: لا[13].

Maksudnya: Solat Tarawih ialah 20 rakaat. Yakni sebanyak-banyak Tarawih adalah bilangan tersebut. Namun jika dikerjakannya kurang daripada 20 rakaat, maka hukumnya tetap sah serta diberi pahala Tarawih kepadanya. Sebahagian ulama berpendapat tidak diberi pahala Tarawih.

 

Kesimpulan:

     Rasulullah SAW tidak menetapkan bilangan tertentu di dalam solat Tarawih. Oleh itu, ulama menilai semua dalil dengan menyelaraskan makna hadis itu sehingga menyimpulkan bahawa solat Tarawih tidak dihadkan dengan sesuatu jumlah tertentu.

     Justeru itu, solat Tarawih menurut pandangan yang lebih tepat di dalam Mazhab Shafi’i adalah sebanyak 20 rakaat. Adapun pelaksanaannya terpulang mengikut kepada kemampuan masing-masing. Nasihat bersama, tunaikanlah mengikut kemampuan dan kekuatan masing-masing serta jauhi perkelahian di dalam masyarakat berkenaan isu bilangan rakaat dalam solat Tarawih yang sememangnya terdapat khilaf.


[1]Al-Bukhārī, Muḥammad bin Ismāīl. (1994). Ṣaḥīḥ al-Bukhārī. Damsyiq: Dar Ibn Kathir, Dar al-Yamamah. Hadis no. 1905. Jil. 2, ms. 707.

[2]Al-Nawawī, Abu Zakariyyā. Syar al-Nawawī ‘ala Ṣaḥīḥ Muslim, Dar Ihya’ Turath al-Arabi, Bab Targhib fi Qiyami Ramadan, Jil. 6, ms. 39. Ibnu Qudamah. (1997). Al-Mughni li Ibni Qudamah, Maktabah al-Kaherah. Jil. 2, ms. 122.

[3]Al-Bukhārī, Muḥammad bin Ismāīl. (1994). Ṣaḥīḥ al-Bukhārī. Damsyiq: Dar Ibn Kathir, Dar al-Yamamah. Hadis no. 1077. Jil. 1, ms. 380.

[4]Al-Māwardī, Alī bin Muhammad. (1999).  al-Hāwī al-Kabīr. Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiah.  Jil. 2, ms. 291.

[5]Al-Zuhaylī, Wahbah bin Mustafā.  Fiqh al-Islamī Wa Adillatuhu, Dar al-Fikr. Jil. 2, ms. 1089.

[6]Wizārah al-Awqāf wa al-Syuun al-Islāmiyyah. Al-Mausu’ah al-Fiqhiyah al-Kuwaitiah. Dar as-Salasil Kuwait. Jil.  27, ms. 141.

[7]Al-Nawawī, Abu Zakariyyā. Al-Majmu’ Syarḥ al-Muhadhab. Dar al-Fikr. Bab Solat at-Tatawwu’. Jil. 4, ms. 32

[8]Al-Nawawī, Abu Zakariyyā. Al-Majmu’ Syarḥ al-Muhadhab. Dar al-Fikr. Bab Solat at-Tatawwu’. Jil. 4, ms. 33

[9]Al-Nawawī. Al-Majmu’ Syarḥ al-Muhadhab. Jil. 4, ms. 33

 

[10]Al-Jamal, Sulaimān bin Umar. asyiah al-Jamal ‘ala Syar al-Minhāj, Dar al-Fikr, Jil. 1, ms 490.

[11]Muhammad bin Yusuf. (1981). Al-Kawākib al-Durārī fi Syarḥ Ṣaḥīḥ al-Bukhārī. Dar Ihya’ Turath al-Arabi. Hadis no. 3342, Jil. 14, ms. 148.

[12]Sa’īd bin Muḥammad Bā’alī al-Ḥadramī. (2004). Busyrā al-Karīm bi Syarḥ Masāil al-Ta’līm, Dar al-Minhaj, ms. 316.

[13]Aḥmad bin ‘Umar al-Syātirī. (2015). al-Yāqut al-Nafīs Fī Madhhab Ibn Idrīs, Dar al-Minhaj, ms. 81.

Accessibility Toolbar

PHP Code Snippets Powered By : XYZScripts.com