#9 Taudih al-Hukmi : Hukum Najis Air Kencing Bayi Lelaki Berumur Kurang 2 Tahun Setelah Pertukaran Susu Formula ke Susu Ibu

Tarikh: 6 Mac 2023

Disediakan oleh: Naimah Mohamad Nasir 

Secara asasnya, bayi lelaki kurang 2 tahun, air kencingnya dikategorikan sebagai najis mukhaffafah. Najis mukhaffafah ialah najis ringan yang boleh dibersihkan dengan merenjis air ke atasnya (kesan air kencing tersebut) dengan syarat air tersebut mestilah lebih banyak daripada air kencing, dan tidak disyaratkan air tersebut mengalir sehinggalah hilang ain najis serta sifat-sifatnya (bau, rasa dan warna)[1]. Ia dinamakan sedemikian kerana syariat telah memberi keringanan pada kaedah menyucikannya. Najis air kencing tersebut hanya dikira sebagai najis mukhaffafah sekiranya memenuhi kesemua empat syarat yang berikut[2]:

1- Najis tersebut adalah air kencing.

2-Ia adalah air kencing bayi lelaki.

3-Bayi tersebut belum mencapai umur 2 tahun qamariah.

4-Bayi tersebut masih belum makan apa-apa makanan yang mengenyangkan selain daripada menyusu ibunya.

Sekiranya tidak cukup salah satu daripada syarat-syarat tersebut, maka najis tersebut termasuk dalam kategori mutawassitah.

Namun timbul persoalan hukum najis air kencing bayi lelaki  pada zaman kini kerana penggunaan susu formula semakin meluas dalam kalangan ibu bapa khususnya yang melibatkan ibu dan bayi yang mengalami masalah kekangan tertentu.

 

Perbezaan susu formula dan susu ibu

Bayi pada awal kelahiran amat memerlukan susu ibu sebagai makanan. Dalam hal ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan penyusuan susu dieksklusifkan bagi bayi yang berumur 6 bulan pertama kelahirannya[3]. Hal ini bermaksud tiada sebarang pemberian makanan tambahan seperti makanan pejal, susu formula, susu skim, susu segar daripada haiwan malahan air mineral dan kepada bayi yang baru lahir sehingga bayi itu mencapai umur 6 bulan selepas kelahiran.

Penyusuan susu ibu ini juga digalakkan setelah tempoh 6 bulan dan makanan diperkenalkan kepada bayi sehinggalah bayi berumur dua tahun. Hal ini kerana, susu ibu mengandungi pelbagai nutrien terbaik yang memberi khasiat, perlindungan dan membantu perkembangan bayi terutama di fasa awal tumbesaranya. Kebaikan penyusuan ibu bukan sahaja bermanfaat bagi tumbesaran anak malah mempengaruhi kesihatan si ibu.

Walau bagaimanapun, terdapat ibu yang tidak dapat menyusukan bayinya secara semula jadi atas beberapa masalah tertentu seperti sakit dan kekurangan susu. Begitu juga pemberian susu ibu juga terhalang apabila bayi jatuh sakit atau yang mempunyai alahan tertentu. Oleh itu, susu formula diperlukan dan diberikan kepada bayi bagi menggantikan susu ibu bagi mengatasi permasalahan ini.

Dari segi pemakanan, kandungan susu formula jauh berbeza dengan kandungan susu ibu. Hasil perkembangan teknologi, susu formula dihasilkan sama ada dari susu haiwan seperti lembu atau kambing dan kekacang melalui proses tertentu bersesuaian kandungan nutrisinya mengikut umur kanak-kanak. Hal ini diakui dari sudut perubatan bahawa susu formula hanya bertindak sebagai makanan pelengkap buat bayi dan tidak dapat menandingi khasiat susu ibu dari segi nutrien dan kebaikannya[4].

 

Penentuan najis air kencing bayi lelaki

Berbalik kepada persoalan berkenaan hukum najis air kencing bayi lelaki ini, titik perbincangan adalah pada makna lafaz hadis (لَمْ يَأْكُلِ الطَّعَامَ) sebagaimana yang telah diriwayatkan daripada Ummu Qais binti Mihsan RA :

أَنَّهَا أَتَتْ بِابْنٍ لَهَا صَغِيرٍ لَمْ يَأْكُلِ الطَّعَامَ إِلَى رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَجْلَسَهُ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي حَجْرِهِ فَبَالَ عَلَى ثَوْبِهِ فَدَعَا بِمَاءٍ فَنَضَحَهُ وَلَمْ يَغْسِلْهُ

 

Maksudnya: Beliau datang membawa seorang bayi lelaki yang masih kecil kepada Rasulullah SAW dan belum lagi makan sebarang makanan. Rasulullah SAW terus meletakkannya di atas pangkuan Baginda, kemudian bayi itu kencing di atas pakaian Baginda. Maka Nabi SAW meminta air lalu merenjiskannya (ke atas pakaian) dan tidak pula membasuhnya.

 

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Ibn Hajar al-’Asqalani menjelaskan makna (الطعام) dalam hadis tersebut;

الْمُرَادُ بِالطَّعَامِ ‌مَا ‌عَدَا ‌اللَّبَنَ ‌الَّذِي ‌يَرْتَضِعُهُ ‌وَالتَّمْرَ الَّذِي يحنك بِهِ وَالْعَسَل الَّذِي يَلْعَقُهُ لِلْمُدَاوَاةِ وَغَيْرِهَا فَكَانَ الْمُرَادُ أَنَّهُ لَمْ يَحْصُلْ لَهُ الِاغْتِذَاءُ بِغَيْرِ اللَّبَنِ عَلَى الِاسْتِقْلَالِ[5]

Maksudnya: Perkara yang dimaksudkan dengan makanan ialah selain susu yang dihisap, kurma yang ditahnikkan untuknya, madu yang dijilat untuk berubat dan sebagainya. Maksudnya bayi tidak menerima gizi utama selain susu ibu.

 

Imam al-Nawawi juga dalam mensyarahkan hadis ini, menyatakan air kencing anak lelaki (kurang 2 tahun) dibersihkan dengan cara al-Nadh (النَّضْح) iaitu merembeskan air selagimana anak tersebut masih menyusu, adapun setelah dia mula memakan makanan yang mengenyangkannya, maka wajib membasuh air kencingnya tanpa khilaf (seperti najis-najis lain)[6]

 

Hal ini menunjukkan bahawa hanya bayi lelaki yang meminum susu ibu sahaja selain kurma yang dimakan bagi tujuan tahnik dan madu untuk dikira najis air kencingnya sebagai najis mukhaffafah.

 

Hukum Najis air kencing bayi lelaki setelah pertukaran susu formula

Perbahasan mengenai najis air kencing bayi yang minum susu formula ini tidak dibincangkan secara khusus oleh ulama terdahulu melainkan dalam perbahasan bayi yang meminum susu haiwan seperti lembu. Dalam hal ini, para ulama kontemporari berbeza pandangan dalam menentukan najis air kencing bayi lelaki yang minum susu formula ini kepada dua pendapat :

 

Pertama, kekal sebagai najis mukhaffafah.

Menurut pandangan ini, susu formula termasuk dalam jenis-jenis susu[7]. Oleh itu, ia sama kedudukannya seperti susu ibu yang menjadi sebab hukum najis air kencing bayi lelaki berumur dua tahun ke bawah ini sebagai najis mukhaffafah.

 

Kedua, bertukar daripada najis mukhaffafah kepada najis mutawassitah

Hukum air kencing bayi lelaki bawah dua tahun yang telah mula minum susu formula  akan bertukar daripada najis mukhaffafah kepada najis mutawassitah[8]  meskipun kembali minum susu ibu selepas itu.

 

Hal ini kerana, hakikatnya susu formula berbeza daripada susu ibu yang diminum oleh bayi sebagaimana yang disebutkan dalam hadis diriwayatkan Ummu Qais RA. Susu formula kebiasaannya diperbuat daripada susu haiwan (seperti lembu atau kambing) atau kekacang yang juga mengandungi bahan lain yang menambah khasiat dan rasa sehingga dapat memberikan rasa kenyang dan nutrisi yang diperlukan oleh bayi. Manakala, perbuatan mengambil susu formula tersebut termasuk sebagai langkah mula mengambil makanan dengan tujuan mengenyangkan  bayi selain daripada susu ibu sebagai makanan utama. Oleh itu, keadaan ini telah menafikan salah satu daripada empat syarat yang diambil kira sebagai najis mukhaffafah apabila bayi lelaki sudah mula mengambil susu formula, bahan-bahan tersebut akan mengubah air kencingnya berbeza dengan bayi yang minum susu ibu sahaja. 

 

Oleh itu, dalam menanggapi permasalahan hukum ini mengambil sikap atau pendekatan berhati-hati (ihtiyat) dan keluar dari khilaf  (الخروج من الخلاف مستحب) perlu diutamakan dengan mengambil kira hukum najis yang lebih berat iaitu air kencing bayi lelaki yang minum susu formula ini  dihukumkan sebagai najis mutawasitah yang perlu dibasuh sehingga hilang ain najis serta sifat-sifatnya (bau, rasa dan warna). Bagi bayi lelaki yang masih menyusu (sebagai makanan utamanya) tetapi telah diberi makan ubat atau kurma ketika mentahniknya atau apa-apa yang seumpamanya, selagimana makanan tersebut tidak mengenyangkannya, air kencingnya masih dikira sebagai najis Mukhaffafah.

 




[1] Ḥassan bin Aḥmad al-Kaff, al-Taqrīrāt al-Sadīdah fī al-Masāil al-Mufīdah, (Yaman, Ḥadramawt: Dār al-Miras an-Nabawiyyah), 134

[2] Ibid., 134

[3]  World Health Organization (WHO), https://www.who.int/health-topics/breastfeeding#tab=tab_1

[4] ‘Abdullah bin Yusuf bin Abdullah al-Aḥmad, al-Nawāzil fī al-Raḍā’, Tesis: Jāmi’ah al-Imām Muḥammad bin Sa’ūd al-Islāmiah, 1437, 305.

[5] Ibn Hajar al-Asqalāni, Fatḥ al-Bāri bī Sharḥ al-Muslim. (Beirut, Lubnan: Dār al-Ma’rifah), 1/236.

[6] Al-Nawawi, Abu Zakariyya Muhyi al-Din Yahya bin Sharaf, al-Minhaj Sharh Sahih Muslim (Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi: Beirut, Lubnan, 1972), 3/194

[7] ‘Abd al-Rahman al-Jaziri, al-Fiqh ‘ala al-Mazahib al-Arba’ah, (Dar al-Kutub al-Ilmiah: Beirut, Lubnan, 2003), 1/26

[8] ‘Abd al-Azīz bin ‘Abdullah al-Rajḥī, Hal al-’Uqdah fī Syarḥ al-’Umdah, (Riyādh: Dār al-Tauḥīd li al-Nasyr, 1432), 17.

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Accessibility Toolbar

PHP Code Snippets Powered By : XYZScripts.com