#7 Taudhih Al-Hukmi : Hukum Menziarahi Orang bukan Islam yang Sakit serta Mendoakannya

Tarikh: 27 Februari 2023

Disediakan oleh: Ahmad Amiruddin bin Ahmad Shukri

 

 

Pendahuluan

Islam merupakan agama yang sangat menitikberatkan aspek keharmonian di dalam masyarakat. Islam juga datang sebagai sebuah agama yang membawa rahmat bagi sekalian alam. Sejarah telah membuktikan bahawa Nabi Muhammad SAW telah mempamerkan contoh teladan yang baik dalam membina hubungan harmoni bersama masyarakat Madinah yang terdiri daripada kelompok-kelompok agama yang berbeza. Hasilnya, mereka hidup dalam keadaan aman dan damai serta harmoni antara satu sama lain walaupun berbeza pegangan agama. Pentadbiran Madinah juga menunjukkan bahawa masyarakat daripada golongan bukan Islam diterima dan dilayan secara baik serta dijamin hak asasi mereka di bawah kepimpinan negara Islam Madinah. Dalam konteks kemasyarakatan pula, Islam sangat menitikberatkan kepentingan mengeratkan hubungan ukhuwah islamiyyah antara satu sama lain khususnya sesama Muslim. Antara amalan yang dilakukan bagi mengeratkan tali persaudaraan sesama Islam adalah dengan menziarahi mereka yang sedang sakit. Persoalannya, adakah seseorang muslim juga dibenarkan menziarahi orang bukan Islam yang sedang sakit serta mendoakan mereka?

Hukum menziarahi orang Islam yang sedang sakit

 

            Perbuatan menziarahi orang yang sedang sakit merupakan amalan mulia dan pengamalannya sangat dianjurkan kepada setiap umat Islam. Orang yang sedang sakit harus diberi motivasi dan kekuatan agar sentiasa cekal dan kuat dalam menempuhi penderitaan yang dialami. Hal ini juga secara tidak langsung telah memenuhi hak-hak setiap Muslim ke atas Muslim lain yang perlu ditunaikan kerana setiap muslim adalah bersaudara dan ada hak-hak yang perlu ditunaikan. Perkara ini adalah bersandarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, beliau berkata bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:

حَقُّ الْمُسْلِمِ عَلَى الْمُسْلِمِ خَمْسٌ رَدُّ السَّلَامِ وَعِيَادَةُ الْمَرِيضِ وَاتِّبَاعُ الْجَنَائِزِ وَإِجَابَةُ الدَّعْوَةِ وَتَشْمِيتُ الْعَاطِسِ[1]

Maksudnya: Hak seorang Muslim ke atas Muslim yang lain ada lima. Membalas salam, melawat orang sakit, mengiringi jenazah, hadir jemputan dan mendoakan orang yang bersin.

(Riwayat al-Bukhari)

 

Di dalam riwayat yang lain, daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 

حَقُّ ‌الْمُسْلِمِ ‌عَلَى ‌الْمُسْلِمِ ‌سِتٌّ قِيلَ: مَا هُنَّ؟ يَا رَسُولَ اللَّهِ! قَالَ: إِذَا لَقِيتَهُ فَسَلِّمْ عَلَيْهِ. وَإِذَا دَعَاكَ فَأَجِبْهُ. وَإِذَا اسْتَنْصَحَكَ فَانْصَحْ لَهُ. وَإِذَا عَطَسَ فَحَمِدَ اللَّهَ فَسَمِّتْهُ وإذا مرض فعده. وإذا مات فاتبعه[2].

Maksudnya:  Hak seorang Muslim ke atas Muslim yang lain ada enam. Seseorang berkata: Wahai Rasulullah! apakah perkara-perkara tersebut? Rasulullah berkata: Apabila engkau bertemu dengannya maka ucapkanlah salam. Apabila dia mengundangmu maka penuhilah undangannya, Apabila dia meminta nasihat kepadamu maka nasihatilah dia. Apabila dia bersin dan mengucapkan Alhamdulillah maka doakanlah dia (dengan mengucapkan Yarhamkallah). Apabila dia sakit maka ziarahilah. Dan apabila dia meninggal maka iringilah jenazahnya.

(Riwayat Muslim)

 

Justeru, berdasarkan hadis di atas, seseorang Muslim digalakkan menziarahi saudaranya yang sedang sakit bahkan ia dihukumkan sebagai satu perkara sunat mustahab (yang digalakkan) menurut pandangan Jumhur Fuqaha[3] dan tidak boleh diabaikan serta dipandang remeh. Malah, anjuran menziarahi pesakit ini turut diperkukuhkan lagi dengan hadis daripada Abu Musa al-Asy’ari RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 

أَطْعِمُوا الْجَائِعَ وَعُودُوا الْمَرِيضَ وَفُكُّوا الْعَانِيَ[4]

 

Maksudnya: Berilah makan kepada orang yang lapar, jenguklah orang yang sakit, dan bebaskan tawanan.

(Riwayat Al-Bukhari)  

 

Hukum menziarahi orang bukan Islam yang sedang sakit

 

            Perihal menziarahi orang bukan Islam yang sedang sakit pula, ia dibahaskan bersandarkan peristiwa Nabi Muhammad SAW menziarahi seorang kanak-kanak daripada kaum Yahudi yang sedang sakit. Hadis daripada Anas RA, beliau berkata:

 

كَانَ غُلَامٌ يَهُودِيٌّ يَخْدُمُ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَمَرِضَ، فَأَتَاهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَعُودُهُ، فَقَعَدَ عِنْدَ رَأْسِهِ، فَقَالَ لَهُ: أَسْلِمْ”. فَنَظَرَ إِلَى أَبِيهِ وَهُوَ عِنْدَهُ فَقَالَ لَهُ: أَطِعْ أَبَا الْقَاسِمِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَأَسْلَمَ، فَخَرَجَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ يَقُولُ: الْحَمْدُ لِلهِ الَّذِي أَنْقَذَهُ مِنَ النَّارِ[5]

Maksudnya: Ada seorang budak berbangsa Yahudi yang bekerja membantu Nabi SAW telah menderita sakit. Maka Nabi SAW menziarahinya dan Baginda duduk di sisi kepalanya lalu menyeru: Masuklah Islam. Budak itu memandang kepada bapanya yang berada berdekatan dengannya, lalu bapanya berkata,: Taatilah Abu al-Qasim SAW. Lantas budak itu memeluk Islam. Kemudian Nabi SAW keluar sambil bersabda: Segala puji bagi Allah yang telah menyelamatkan budak itu dari neraka.

(Riwayat al-Bukhari)

 

Merujuk kepada hadis di atas, Imam al-Nawawi membahaskannya di dalam al-Azkar, katanya:

 

عيادة الكافر في الجملة جائزة، والقربة فيها موقوفة على نوع حرمة تقترن بها من جوار أو قرابة[6]

Maksudnya: Menziarahi orang bukan Islam yang sedang sakit adalah dibenarkan, pengamalannya adalah dikira sebagai penghormatan kepada kenalan-kenalan sama ada daripada kalangan jiran tetangga atau kenalan rapat.

 

Kemudian beliau menambah lagi:

فينبغي لعائد الذميّ أن يرغّبه في الإِسلام، ويبيِّن له محاسنَه، ويحثَّه عليه، ويحرّضه على معاجلته قبل أن يصيرَ إلى حال لا ينفعه فيها توبته، وإن دعا له دعا بالهداية ونحوها[7]

Maksudnya: Seseorang (Muslim) yang melawat pesakit bukan Muslim harus menggalakkan pesakit agar memeluk agama Islam serta menerangkan kepada mereka tentang kebaikan yang terdapat pada agama Islam. Menggesa mereka supaya menyegerakan (pengislamannya) sebelum berlalunya peluang untuk bertaubat. Dalam masa yang sama, mendoakan juga bagi mereka agar diberi petunjuk dan seumpamanya.

 

Maka, diharuskan bagi seseorang Muslim menziarahi orang bukan Islam yang sedang sakit. Perbuatan menziarahi mereka adalah harus selagi dikategorikan sebagai kafir zimmi iaitu golongan kafir yang tidak memerangi orang islam[8]. Ziarah juga mestilah disertakan tujuan berdakwah kepada agama Islam serta mempamerkan sikap terpuji yang melambangkan imej seseorang Muslim agar dapat menyentuh hati mereka kepada agama Islam. Hal ini kerana, hadis ini menunjukkan kesan dakwah yang jelas bahawa Islam adalah agama yang bersifat rahmah kepada seluruh alam termasuk kepada orang bukan Islam.

Mendoakan orang bukan Islam yang sedang sakit

Perintah agar berlaku ihsan serta berbuat baik sesama manusia tanpa mengira latar belakang agama, kaum, bangsa dan warna kulit adalah berdasarkan firman Allah SWT di dalam Surah al-Mumtahanah ayat ke-8:

لَّا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ أَن تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ

Maksudnya: Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.

 

Syeikh Mutawalli asy-Sya’rawi ketika menafsirkan ayat ini telah menyatakan bahawa sekalipun terdapat hamba-hamba-Nya yang tidak beriman kepada-Nya, Allah SWT tidak mencelakakan mereka bahkan tetap memberikan sesuatu yang berhak mereka miliki di atas muka bumi ini[9]. Dalam hal ini, Allah SWT tidak melarang berlaku baik kepada orang bukan Islam yang tidak memerangi orang Islam, bahkan tugas bagi setiap hamba adalah perlu berlaku ihsan secara adil tanpa mengira latar belakang agama yang dianuti. Di samping itu juga, mendoakan agar orang bukan Islam yang tidak memahami agama agar diberi hidayah juga pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW ketika pulang dari Taif:

 

اللهُمَّ اهْدِ قَوْمِي فَإِنَّهُمْ لَا يَعْلَمُونَ[10]

Maksudnya: Ya Allah! Berilah hidayah kepada kaumku. Sesungguhnya mereka tidak mengetahui.

(Riwayat al-Bayhaqi)

 

Justeru itu, Imam Ibnu Hajar al-Haytami telah merumuskan hukum mendoakan pesakit bukan muslim yang sedang sakit ini di dalam Tuhfah al-Muhtaj, katanya:

 

وَيَجُوزُ الدُّعَاءُ لِلْكَافِرِ بِنَحْوِ صِحَّةِ الْبَدَنِ وَالْهِدَايَةِ[11]

Maksudnya: “Dan diharuskan bagi orang Islam mendoakan kesembuhan dan petunjuk kepada orang-orang kafir.”

 

Maka berdasarkan keterangan di atas, adalah harus bagi seseorang Muslim mendoakan dan memohon kesembuhan serta keselamatan kepada orang bukan Islam yang sedang sakit. Dalam masa yang sama, diharuskan juga berdoa agar diberikan taufik dan petunjuk oleh Allah dalam kehidupan kerana ia merupakan uslub dakwah yang penuh dengan hikmah dan kasih sayang.

 

Kesimpulan

Menziarahi serta mendoakan orang bukan Islam yang sedang sakit adalah diharuskan di dalam Islam bahkan ia perlu diikuti dengan tujuan berdakwah sebagai menzahirkan keindahan akhlak Islam. Ini jelas menunjukkan bahawa Islam sangat menitikberatkan peranan ihsan antara sesama manusia kerana ia merupakan lambang kemurnian yang dapat menyentuh hati-hati manusia agar turut berpaut kepada Islam.

 



[1] Al-Bukhārī, Muḥammad bin Ismāīl. (1994). Ṣaḥīḥ al-Bukhārī. Damsyiq: Dar Ibn Kathir, Dar al-Yamamah. Hadis no. 1183. Jil. 1, ms 418.

[2]  Muslim, Muslim bin al-Ḥajjāj. (1955) Ṣaḥīḥ Muslim. Kaherah: al-Halabi. Hadis no. 2162. Jil. 4, ms. 1705.

[3] Wizārah al-Awqāf wal Syu’ūn al-Islamiyyah. (1428). Mausū’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah. Mesir: Dar as-Safwah, Jil. 35, ms. 9.

[4] Al-Bukhārī. Ṣaḥīḥ al-Bukhārī. Hadis no. 5325. Jil. 5, ms 2139.

[5] Al-Bukhārī. aḥīḥ al-Bukhārī. Hadis no. 1290. Jil. 1. ms. 455.

[6] Al-Nawawī. Abū Zakariyyā Muḥyī al-Dīn al-Syaraf. (1994). Al-Adhkār. Beirut: Dar al-Fikr, ms. 254-255.

[7] Al-Nawawī. Al-Adhkār. Ms. 254-255.

[8] Al-Ansārī. Abū Yaḥya Zakariyya. (t.t.). Asnā al-Maālib Syarḥ Rawḍ at-Ṭālib. Dar al-Kutub al-Islamiyy. Jil 1. ms. 295.

[9] Al-Sya’rāwī, Muḥammad Mutawallī. (1997). Tafsīr al-Sya’rāwī. Akhbar al-Yaum. Jil. 11. ms. 6755.

[10] Al-Bayhaqī, Abū Bakar bin Muḥammad bin Ḥussīn. (2003). Syu’ab al-Īmān. Hind: Maktabah ar-Rusyd. Hadis no. 1375. Jil. 3. ms. 45

[11] Al-Haytamī. Aḥmad bin Muḥammad bin ‘Alī. (1983). Tuḥfah al-Muḥtaj fī Syarḥ al-Minhāj. Beirut: Dar Ihya at-Turath. Jil. 2. ms. 88.

Accessibility Toolbar

PHP Code Snippets Powered By : XYZScripts.com