#102 Taudhih Al-Hukmi : Hukum Membaca Surah Secara Tankis Dalam Solat
Tarikh: 27/01/2026
Disediakan oleh: Unit Dirasat Ilmiah
Pendahuluan
Membaca surah
secara tankīs
merujuk kepada bacaan surah yang tidak mengikut susunan dan tertib dalam
al-Qur’an. Sebagai contoh, dalam solat selepas membaca surah al-Fatihah,
seseorang membaca surah al-Falaq pada rakaat pertamanya, kemudian membaca surah
al-Ikhlas pada rakaat kedua. Walaupun kelihatan sebagai perkara kecil dalam
bacaan, namun ia sebenarnya menyentuh aspek pemeliharaan tertib mushaf yang
telah disusun sejak zaman Rasulullah SAW dan disepakati oleh para Sahabat.
Justeru, apakah hukum membaca surah secara tankīs dalam solat?
Definisi Tankis al-Suwar
Tankīs dari segi bahasa diambil daripada perkataan al-naks yang bererti membalikkan,
memulangkan serta menjadikan bahagian atas ke bawah dan bahagian hadapan ke
belakang. Seperti yang dinyatakan oleh Ibn Manẓūr di dalam Lisān
al-‘Arab, al-naks ialah:
قَلْبُ
الشَّيْءِ عَلَى رأَسه نَكَسَه يَنْكُسُه نَكْساً فانْتَكَسَ[1]
Maksudnya: Membalikkan
sesuatu pada kepalanya. Seseorang membalikkan sesuatu lalu ia menjadi terbalik.
Manakala dari segi istilah, maksud tankis yang akan
dibahaskan dalam artikel ini adalah membaca surah dalam al-Quran secara susunan terbalik iaitu
tidak mengikut tertib mushaf contohnya membaca surah al-Falaq dalam
rakaat pertama solat, kemudian membaca surah al-Ikhlāṣ dalam rakaat yang kedua.
Pendapat Ulama Mengenai Bacaan Surah Secara Tankis
1.
Makruh
Menurut jumhur ulama, membaca surah secara tankis
adalah khilaf al-awlā (menyalahi yang lebih utama) atau makruh kerana ia
menyalahi sunnah membaca al-Quran secara berturutan. Imam al-Nawawī menyebutkan
di dalam kitab al-Majmū‘ Sharḥ al-Muhadhdhab:
قَالَ
أَصْحَابُنَا وَالسُّنَّةُ أَنْ يَقْرَأَ عَلَى تَرْتِيبِ الْمُصْحَفِ
مُتَوَالِيًا فَإِذَا قَرَأَ فِي الرَّكْعَةِ الْأُولَى سُورَةً قَرَأَ فِي
الثَّانِيَةِ الَّتِي بَعْدَهَا مُتَّصِلَةً بِهَا قَالَ الْمُتَوَلِّي حَتَّى
لَوْ قَرَأَ فِي الْأُولَى (قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاسِ) يَقْرَأُ فِي
الثَّانِيَةِ مِنْ أَوَّلِ الْبَقَرَةِ وَلَوْ قَرَأَ سُورَةً ثُمَّ قَرَأَ فِي
الثَّانِيَةِ التي قَبْلَهَا فَقَدْ خَالَفَ الأولى وَلَا شَيْءٍ عَلَيْهِ
وَاَللَّهُ أَعْلَمُ[2]
Maksudnya: Ulama mazhab kami berpendapat bahawa
disunatkan membaca al-Quran mengikut tertib mushaf secara berturutan.
Jika seseorang membaca dalam rakaat pertama satu surah, maka dalam rakaat kedua
disunatkan membaca surah selepasnya yang bersambung dengannya. Al-Mutawallī
berkata: Seandainya seseorang membaca dalam rakaat pertama surah Qul
A‘ūdhu bi Rabbin-Nās (al-Nas), maka
dalam rakaat kedua dia membaca dari awal surah al-Baqarah. Namun, jika
seseorang membaca satu surah kemudian membaca surah sebelumnya dalam rakaat
kedua, maka perbuatan tersebut dianggap khilaf al-awlā
(menyalahi yang lebih utama) dan tidak dikenakan apa-apa ke atasnya. Wallāhu
a‘lam.
Imam al-Nawawi juga menyebutkan bahawa:
قال
العلماء الاختيار أن يقرأ على ترتيب المصحف فيقرأ الفاتحة ثم البقرة ثم آل عمران
ثم ما بعدها على الترتيب وسواء قرأ في الصلاة أو في غيرها حتى قال بعض أصحابنا إذا
قرأ في الركعة الأولى سورة قل أعوذ برب الناس يقرأ في الثانية بعد الفاتحة من
البقرة[3]
Maksudnya: Para ulama memilih pandangan
yang membaca al-Quran mengikut susunan sebagaimana yang terdapat dalam mushaf
iaitu dimulakan dengan surah al-Fatihah kemudian surah al-Baqarah diikuti surah
Ali ‘Imran dan seterusnya menurut tertib yang telah ditetapkan. Hal ini juga disunatkan sama ada ketika membaca di
dalam solat mahupun di luar solat. Bahkan sebahagian ulama dalam mazhab kami
(al-Shafi’iyyah) berpendapat bahawa sekiranya seseorang membaca surah Qul
A‘ūdhu bi Rabbin-Nās (al-Nas) pada rakaat pertama, maka hendaklah dia
membaca sebahagian daripada surah al-Baqarah selepas al-Fatihah pada rakaat
kedua.
Dinyatakan
juga dalam kitab al-Tibyan fi Adab Hamalat al-Quran bahawa:
قال
بعض أصحابنا ويستحب إذا قرأ سورة أن يقرأ بعدها التي تليها ودليل هذا أن ترتيب
المصحف إنما جعل هكذا لحكمة فينبغي أن يحافظ عليها إلا فيما ورد المشرع باستثنائه[4]
Maksudnya: Sebahagian Ashab kami
berpandangan bahawa disunatkan bagi seseorang yang membaca sesuatu surah untuk
membaca surah selepasnya sesudah itu mengikut tertib. Dalil bagi pandangan ini
ialah bahawa susunan dalam mushaf telah ditetapkan sedemikian rupa
kerana mengandungi hikmah tertentu, maka sewajarnya susunan tersebut dijaga dan
dipelihara kecuali dalam beberapa keadaan yang telah dikecualikan oleh syarak.
Imam al-Suyuti menyatakan dalam kitab beliau iaitu al-Itqan
fi ‘Ulum al-Quran bahawa:
وَفِيهِ
أَثَرٌ أَخْرَجَ الطَّبَرَانِيُّ بِسَنَدٍ جَيِّدٍ عَنِ ابْنِ مَسْعُودٍ أَنَّهُ
سُئِلَ عَنْ رَجُلٍ يَقْرَأُ الْقُرْآنَ مَنْكُوسًا قَالَ:
ذَاكَ مَنْكُوسُ الْقَلْبِ
Maksudnya: Dan dalam hal ini, terdapat sebuah athar
yang diriwayatkan oleh al-Ṭabarānī dengan sanad yang jayyid (sanad yang
baik dan boleh dijadikan hujah) daripada Ibn Mas‘ūd RA bahawa beliau pernah
ditanya tentang seorang lelaki yang membaca al-Quran secara terbalik. Lalu
beliau berkata: Itu adalah orang yang hatinya terbalik.
Athar ini menunjukkan bahawa Ibn Mas‘ūd RA tidak menyukai bacaan al-Quran secara tankis.
2.
Harus
Terdapat pendapat ulama yang
menyatakan jika seseorang membaca surah tidak mengikut turutan, maka hukumnya diharuskan.
Hal ini bersandarkan kepada beberapa hadis, antaranya:
a) Hadis yang diriwayatkan daripada Saidina Huzaifah RA menyatakan bahawa:
صَلَّيْتُ
مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَاتَ لَيْلَةٍ فَافْتَتَحَ الْبَقَرَةَ فَقُلْتُ:
يَرْكَعُ عِنْدَ الْمِائَةِ ثُمَّ مَضَى فَقُلْتُ:
يُصَلِّي بِهَا فِي رَكْعَةٍ فَمَضَى فَقُلْتُ: يَرْكَعُ بِهَا ثُمَّ افْتَتَحَ النِّسَاءَ فَقَرَأَهَا ثُمَّ
افْتَتَحَ آلَ عِمْرَانَ فَقَرَأَهَا… [5]
Maksudnya: Suatu malam, aku solat bersama Nabi SAW.
Baginda SAW memulakan bacaan dengan surah al-Baqarah. Aku menyangka Baginda SAW
akan rukuk apabila sampai seratus ayat, namun Baginda SAW meneruskan bacaan.
Aku menyangka Baginda SAW akan menghabiskan surah itu dalam satu rakaat, namun
Baginda SAW tetap meneruskan bacaan. Aku sangka Baginda SAW akan rukuk selepas
itu, tetapi Baginda SAW mula membaca surah al-Nisa’ dan membacanya hingga
selesai. Kemudian Baginda SAW membaca surah Ali ‘Imran dan membacanya hingga
selesai…
(Riwayat Muslim)
Hadis ini menunjukkan bahawa
Nabi SAW membaca surah al-Nisa’
sebelum surah Ali ‘Imran sedangkan dalam susunan mushaf,
surah Ali ‘Imran didahulukan daripada al-Nisa’. Al-Sindi menjelaskan:
قَوْله
ثمَّ افْتتح آل عمرَان مُقْتَضَاهُ عدم لُزُوم التَّرْتِيب بَين السُّور فِي
الْقِرَاءَة[6]
Maksudnya: Frasa (dalam hadis Saidina Huzaifah
RA) ‘kemudian Baginda SAW membaca surah Ali
‘Imran’ menunjukkan bahawa tidak
wajib mengikuti susunan surah ketika membaca al-Quran.
b) Pernyataan Imam
al-Bukhari di dalam Sahih beliau iaitu:
وقرأ
الأحنف الكهف في الأولى، وفي الثانية بيوسف أو يونس، وذكر أنه صلى مع عمر الصبح
بهما[7]
Maksudnya:
Al-Ahnaf membaca surah al-Kahfi pada rakaat pertama. Pada rakaat kedua,
beliau membaca surah Yusuf atau Yunus. Beliau menyebutkan bahawa beliau pernah
menunaikan solat Subuh bersama ‘Umar (Saidina ‘Umar ibn al-Khattab RA) dan
‘Umar membaca (dua surah) itu juga.
Ibn Rajab menyatakan bahawa hadis ini menjadi
dalil:
أنه
لا يكره قراءة القرآن على غير ترتيب المصحف، فيقرأ في الركعة الأولى سورة، وفي
الثانية بسورة قبلها في ترتيب المصحف[8]
Maksudnya: Bahawa tidak menjadi makruh jika
membaca al-Quran tidak mengikut tertib (susunan) dalam mushaf; yakni seseorang
boleh membaca satu surah pada rakaat pertama, kemudian membaca surah yang
sebelumnya dalam susunan mushaf pada rakaat kedua.
Meneliti kepada pendapat para ulama, kami
berpandangan untuk memilih pendekatan bahawa menjaga tertib susunan surah
sebagaimana dalam mushaf ketika solat adalah lebih utama bagi meraikan
dan menzahirkan penghormatan terhadap susunan yang telah disepakati oleh para
Sahabat serta kandungan hikmah tanzīmnya. Namun, membaca surah al-Quran
dengan tidak mengikut tertib mushaf tidaklah membatalkan solat dan tidak
termasuk dalam perkara yang dilarang secara qat‘i bahkan diharuskan
menurut sebahagian ulama berdasarkan dalil daripada beberapa hadis yang sahih.
Kesimpulan
Sebahagian ulama berpandangan bahawa membaca
surah secara tankīs di dalam solat adalah makruh serta menyalahi adab dan
tertib tilawah al-Quran. Manakala sebahagian yang lain mengharuskannya
sebagaimana dalil yang dinyatakan daripada hadis sahih dan amalan Nabi SAW.
Namun meninggalkan tankis lebih utama dan lebih afdhal bagi menjaga dan
memuliakan al-Quran.
[1] Ibn Manẓūr, Muḥammad
ibn Mukarram, Lisān al-‘Arab, (Beirut: Dār Ṣādir,
t.t.), jil. 6, ms. 241.
[2] Al-Nawawī, Yaḥyā
ibn Sharaf, al-Majmū‘ Sharḥ al-Muhadhdhab,
(Kaherah: al-Maṭba‘ah al-Munīriyyah, t.t.), jil. 3, ms. 385.
[3] Al-Nawawī, Yaḥyā
ibn Sharaf, al-Tibyān fī Ādāb Ḥamalat al-Qur’ān,
(Kaherah: Dār al-Manār, t.t.), ms. 98.
[4] Ibid.
[5]
Muslim, Muslim
ibn al-Ḥajjāj al-Qushayrī al-Naysābūrī, Ṣaḥīḥ Muslim, (Beirut: Dār Iḥyā’
al-Turāth al-‘Arabī, t.t.), no. ḥadīth 772, jil. 1, ms. 536.
[6] Al-Sindī, Abū al-Ḥasan Nūr al-Dīn Muḥammad ibn ‘Abd
al-Hādī al-Tātawī al-Sindī, Ḥāshiyat
al-Sindi ‘alā Sunan al-Nasā’ī, (Halab: Maktab al-Maṭbū‘āt
al-Islāmiyyah, 1986M), jil. 3, ms. 226.
[7] Al-Bukhārī, Ṣaḥīḥ al-Bukhārī, (Dimashq: Dār Ibn Kathīr
& Dār al-Yamāmah, 1414H/1993M), jld. 1, ms. 268.
[8] Ibn Rajab al-Ḥanbalī, Zayn al-Dīn ‘Abd
al-Raḥmān ibn Aḥmad, Fatḥ al-Bārī Sharḥ Ṣaḥīḥ al-Bukhārī, (Madīnah al-Nabawiyyah:
Maktabat al-Ghurabā’ al-Athariyyah, 1417H/1996M), jil. 7, ms. 68.

