#106 Taudhih Al-Hukmi : Hukum Menggunakan Teknologi Kecerdasan Buatan (AI)
Bagi Menyunting Gambar
Tarikh: 25 Februari 2026
Disediakan oleh: Unit Dirasat Ilmiah
Pengenalan
Peredaran zaman kini yang pesat dengan kemajuan dan penciptaan telah mewujudkan teknologi kecerdasan buatan atau artificial intelligence (AI). Teknologi ini telah menjadi sebahagian daripada kehidupan harian masyarakat melalui pelbagai aplikasi dan peranti pintar. Ia digunakan sama ada sebagai alat carian maklumat, bantuan maya dan pelbagai lagi bidang industri dan automasi. Salah satu kegunaan AI adalah menjana atau menyunting gambar. Masyarakat kini aktif menggunakan media sosial turut menggunakan teknologi AI untuk menyunting gambar-gambar tertentu sebelum dimuat naik ke platform media sosial mereka. Hal ini telah menimbulkan beberapa persoalan berkaitan hukum menggunakan teknologi AI bagi menjana atau menyunting gambar. Oleh itu, artikel ini akan membahaskan isu tersebut.
Penjana Imej AI
Penjana imej atau image generator adalah salah satu alat penjanaan dalam AI sendiri. Penjana imej AI adalah satu program komputer yang menggunakan algoritma pembelajaran mendalam (deep learning) dan penjanaan teks kepada imej. Algoritma ini dilatih menggunakan pelbagai data dan parameter imej untuk membolehkannya menjana imej baharu yang sepadan dengan deskripsi teks yang diberikan oleh pengguna.[1] Dengan menggunakan alat penjana imej AI, seseorang mampu menghasilkan gambar tertentu mengikut deskripsi yang telah ditetapkan oleh pengguna. Gambar yang dihasilkan sama ada gambar baharu atau hasil suntingan daripada gambar sedia ada.
Penjana Imej AI Sebagai Alat Bantuan
Secara asasnya, hukum menggunakan teknologi AI mahupun penjana imej AI untuk menyunting gambar adalah harus. Hal ini bertepatan dengan kaedah berikut:
الأصل في الأشياء الإباحة حتى يدل الدليل على التحريم
Maksudnya: Asal kepada sesuatu perkara adalah harus sehinggalah dibuktikan dengan dalil yang menunjukkan ia haram.[2]
Kaedah ini menjelaskan bahawa mana-mana perkara yang tidak dinyatakan dengan jelas sebagai haram oleh syarak, maka ia berkekalan harus sehinggalah ada dalil yang menunjukkan ia haram. Disebabkan AI adalah satu perkara baharu dan merupakan teknologi zaman kini, maka tiada satu dalil khusus yang qat’i daripada syarak yang menunjukkan ia haram digunakan. Oleh itu, menyunting gambar menggunakan penjana imej AI adalah diharuskan selama mana ia digunakan pada perkara yang harus dan baik. Contohnya seperti digunakan untuk mereka bentuk poster atau mencantikkan gambar sedia ada atau menjelaskan imej yang kabur.
Bukan itu sahaja, menggunakan penjana imej AI bagi menyunting gambar boleh dijadikan wasilah atau sebab untuk memperoleh pahala dengan menggunakannya pada jalan kebaikan dan dakwah. Apabila seseorang menjadikan teknologi AI sebagai alat bantuan dakwah untuk menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran, maka seseorang itu akan memperoleh ganjaran pahala bukan sahaja atas kebaikan yang dilakukannya, tetapi juga atas kebaikan yang dilakukan orang lain hasil daripada dakwah tersebut. Hadis yang diriwayatkan daripada Jarir bin Abdullah RA, sabda Rasulullah SAW:
مَنْ سَنَّ فِي الْإِسْلَامِ سُنَّةً حَسَنَةً، فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ كُتِبَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا، وَلَا يَنْقُصُ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْءٌ
Maksudnya: Sesiapa yang memulakan dalam Islam satu amalan yang baik lalu diamalkan oleh orang lain selepasnya, maka akan ditulis baginya pahala seperti pahala orang yang mengamalkannya tanpa dikurangkan sedikit pun daripada pahala mereka.
(Riwayat Muslim)[3]
Penyalahgunaan Teknologi AI Ketika Menyunting Gambar
Walaupun pada asasnya hukum menggunakan teknologi AI bagi menyunting gambar adalah harus, tetapi ia boleh menjadi haram sekiranya disalahgunakan. Haram bagi seseorang menyunting gambar yang bertentangan dengan syarak. Berikut adalah perinciannya:
1. Suntingan Gambar Berunsur Penipuan
Sesiapa yang menyunting gambar untuk menipu atau memperdaya orang lain maka haram baginya melakukan sedemikian. Contohnya seperti menjadikan wajah kelihatan lebih muda dan cantik atau menjual sesuatu produk dengan meletakkan wajah mahupun video tokoh tertentu. Begitu juga seperti menambah gambar wanita ajnabi pada seseorang lelaki. Hal ini kerana perbuatan sebegini boleh membawa kepada fitnah. Hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Mas’ud RA, sabda Nabi SAW:
وَإِنَّ الْكَذِبَ يَهْدِي إِلَى الْفُجُورِ، وَإِنَّ الْفُجُورَ يَهْدِي إِلَى النَّارِ
Maksudnya: Sesungguhnya berdusta membawa kepada kejahatan. Dan sesungguhnya kejahatan itu membawa kepada neraka.
(Riwayat al-Bukhari)[4]
Hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, sabda Nabi SAW:
وَمَنْ غَشَّنَا فَلَيْسَ مِنَّا
Maksudnya: Dan sesiapa yang menipu maka dia bukan daripada kalangan kami.
(Riwayat Muslim)[5]
Hadis-hadis ini menyatakan bahawa bahayanya perbuatan menipu. Ini secara tidak langsung menunjukkan perbuatan menyunting gambar yang mengandungi unsur penipuan dan tipu daya adalah dilarang.
2. Suntingan Gambar Berunsur Maksiat
Perbuatan menyunting gambar yang berunsurkan maksiat juga adalah haram. Antaranya menyunting gambar sehingga terlihat aurat seseorang sama ada diri sendiri atau orang lain. Tambahan pula sekiranya gambar yang disunting tersebut boleh membangkitkan syahwat orang yang melihatnya. Perbuatan sebegini jelas satu perlakuan yang haram dan berdosa. Maka perbuatan sebegini wajib ditinggalkan. Hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, sabda Nabi SAW:
صِنْفَانِ مِنْ أَهْلِ النَّارِ لَمْ أَرَهُمَا: قَوْمٌ مَعَهُمْ سِيَاطٌ كَأَذْنَابِ الْبَقَرِ يَضْرِبُونَ بِهَا النَّاسَ، وَنِسَاءٌ كَاسِيَاتٌ عَارِيَاتٌ مُمِيلَاتٌ مَائِلَاتٌ، رُؤُوسُهُنَّ كَأَسْنِمَةِ الْبُخْتِ الْمَائِلَةِ، لَا يَدْخُلْنَ الْجَنَّةَ وَلَا يَجِدْنَ رِيحَهَا، وَإِنَّ رِيحَهَا لَتُوجَدُ مِنْ مَسِيرَةِ كَذَا وَكَذَا
Maksudnya: Dua golongan daripada ahli neraka yang belum pernah aku lihat: Pertama adalah kaum yang bersama mereka cemeti-cemeti seperti ekor lembu, yang digunakan mereka untuk memukul manusia. Dan kedua adalah golongan wanita yang berpakaian dengan pakaian yang nipis lagi jarang, diri mereka telah menyimpang lalu menyimpangkan orang lain (daripada kebenaran), kepala-kepala mereka seperti bonggol unta yang tinggi. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya. Sedangkan bau syurga itu dapat dihidu dari jarak perjalanan sekian dan sekian.
(Riwayat Muslim) [6]
Hadis tersebut merupakan larangan untuk mendedahkan aurat. Oleh itu, mana-mana perbuatan menyunting gambar yang terdapat unsur-unsur maksiat adalah dilarang dan ditegah.
3. Suntingan Gambar Yang Mengaibkan
Perbuatan menyunting gambar yang boleh mengaibkan individu tertentu juga dilarang walaupun bertujuan gurau senda. Hadis yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas RA, sabda Nabi SAW:
لَا تُمَارِ أَخَاكَ، وَلَا تُمَازِحْهُ
Maksudnya: Janganlah kamu bertengkar dan janganlah bersenda gurau.
(Riwayat al-Tirmizi)[7]
Ibn Hajar al-Asqalani menjelaskan, hadis ini adalah larangan bergurau senda yang berlebihan dan melampau sehingga menyakiti orang lain atau sehingga menjatuhkan kehormatan dan kredibiliti seseorang.[8]
4. Eksploitasi Hak Cipta Orang Lain
Sememangnya penggunaan AI sangat membantu seseorang untuk mendapatkan sebuah imej atau gambar yang diinginkan dengan mudah. Namun terdapat segelintir individu telah mengambil hak cipta orang lain tanpa kebenaran dan persetujuan pemilik hak cipta. Contohnya menggunakan AI bagi membuang tera air (watermark) pada imej yang perlu dibeli atau meniru semula imej tersebut untuk mendapatkannya dengan percuma. Majma’ al-Fiqh al-Islami (International Islamic Fiqh Academy) pada bulan Disember tahun 1988 telah memutuskan bahawa hak cipta pemilikan sesuatu perkara adalah dibawah pemeliharaan syarak dan pencabulan hak cipta orang lain adalah dilarang.[9]
Kesalahan perbuatan menyunting gambar yang berunsurkan penipuan, maksiat, keaiban serta eksploitasi hak cipta orang lain bukanlah sebuah kesalahan yang kecil. Dosa yang diterima bukan sahaja disebabkan oleh kesalahan diri sendiri, bahkan akan menanggung dosa daripada orang lain yang mengikuti perbuatan tidak baik ini. Bertepatan dengan hadis yang diriwayatkan daripada Jarir bin Abdullah RA, sabda Rasulullah SAW:
وَمَنْ سَنَّ فِي الْإِسْلَامِ سُنَّةً سَيِّئَةً، فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ كُتِبَ عَلَيْهِ مِثْلُ وِزْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا، وَلَا يَنْقُصُ مِنْ أَوْزَارِهِمْ شَيْءٌ
Maksudnya: Dan sesiapa yang memulakan dalam Islam satu amalan yang buruk lalu diamalkan oleh orang lain selepasnya, maka akan ditulis ke atasnya dosa seperti dosa orang yang mengamalkannya tanpa dikurangkan sedikit pun daripada dosa mereka.
(Riwayat Muslim)[10]
Menurut Imam Ibn Allan, sesiapa yang melakukan maksiat atau keburukan walaupun sedikit lalu diikuti oleh orang lain, maka ke atasnya dosa atas sebab perbuatannya itu dan perbuatan orang yang mengikutinya.[11] Berdasarkan penjelasan ini, perbuatan menyunting gambar yang bersalahan dengan syariat bukan sahaja akan berdosa disebabkan perbuatan diri sendiri, bahkan akan menerima dosa disebabkan penularan gambar tersebut dan menjadi trend sehingga diikuti oleh orang ramai.
Kesimpulan
Menggunakan teknologi AI bagi menyunting gambar adalah harus selagi mana ia digunakan pada perkara yang diharuskan oleh syarak seperti mereka bentuk poster, mencantikkan gambar sedia ada atau menjelaskan imej yang kabur. Menyunting gambar menggunakan teknologi AI juga boleh menjadi sebab untuk memperoleh pahala sekiranya digunakan pada jalan dakwah. Namun, perbuatan menyunting tersebut boleh menjadi haram sekiranya ia digunakan untuk menghasilkan gambar yang berunsurkan penipuan, maksiat, keaiban serta eksploitasi hak cipta orang lain.
[1] Enjellina et. al. “A Review of AI Image Generator: Influences, Challenges, and Future Prospects for Architectural Field”. Journal of Artificial Intelligence in Architecture, 2 no. 1 (2023), 56.
[2] Al-Suyūṭī, ʿAbd al-Raḥman bin Abī Bakr. Al-Ashbah Wa al-Naẓā’ir. (Beirut: Dār al-Kutub al-ʿIlmiyyah, 1996). 60.
[3] Muslim bin al-Ḥajjāj. Ṣaḥīḥ Muslim. (Mesir: ʿIsā al-Bābī al-Ḥalabī, 1955). No. hadis: 1017.
[4] Al-Bukhārī, Muḥammad bin Ismāʿīl. Ṣaḥīḥ al-Bukhārī. (Mesir: Sulṭāniyah, 1893). No. hadis: 6094.
[5] Muslim bin al-Ḥajjāj. Ṣaḥīḥ Muslim. No. hadis: 101.
[6] Muslim bin al-Ḥajjāj. Ṣaḥīḥ Muslim. No. hadis: 2128.
[7] Al-Tirmidhī, Muḥammad bin ʿĪsā. Sunan al-Tirmidhī. (Mesir: Musṭafā al-Bābī al-Ḥalabī, 1975). No. hadis: 1995.
[8] Ibn Ḥajar al-ʿAsqalānī, Aḥmad bin ʿAlī. Fatḥ al-Bārī Bisharḥ Ṣaḥīḥ al-Bukhārī. (Beirut: Dār al-Maʿrifah, 1959). 10/526.
وأخرج من حديث ابن عباس رفعه لا تمار أخاك ولا تمازحه الحديث، والجمع بينهما أن المنهي عنه ما فيه إفراط أو مداومة عليه لما فيه من الشغل عن ذكر الله، والتفكر في مهمات الدين، ويئول كثيرا إلى قسوة القلب والإيذاء والحقد وسقوط المهابة والوقار
[9] Al-Zuhaylī, Wahbah al- Zuhaylī. Al-Fiqh al-Islāmī Wa Adillatuhu. (Syria: Dār al-Fikr, 1985)
إن مجلس مجمع الفقه الإسلامي المنعقد في دورة مؤتمره الخامس بالكويت من 1 إلى 6 جمادى الأولى 10/ 1409 إلى 15 كانون الأول (ديسمبر) 1988م. بعد اطلاعه على البحوث المقدمة من الأعضاء والخبراء في موضوع (الحقوق المعنوية) واستماعه للمناقشات التي دارت حوله.
قرر:
– أولاً: الاسم التجاري، والعنوان التجاري، والعلامة التجارية، والتأليف والاختراع أو الابتكار هي حقوق خاصة لأصحابها، أصبح لها في العرف المعاصر قيمة مالية معتبرة لتمول الناس لها. وهذه الحقوق يعتد بها شرعاً فلا يجوز الاعتداء عليها.
– ثانيا ً: يجوز التصرف في الاسم التجاري أو العنوان التجاري أو العلامة التجارية ونقل أي منها بعوض مالي إذا انتفى الغرر والتدليس والغش باعتبار أن ذلك أصبح حقاً مالياً.
– ثالثاً: حقوق التأليف والاختراع أو الابتكار مصونة شرعاً، ولأصحابها حق التصرف فيها، ولا يجوز الاعتداء عليها.
[10] Muslim bin al-Ḥajjāj. Ṣaḥīḥ Muslim. No. hadis: 1017.
[11] Ibn ʿAllān, Muḥammad binʿAlī. Dalīl al-Fāliḥīn Liṭuruq Riyāḍ al-Ṣāliḥīn. (Beirut: Dār al-Maʿrifah, 2004). 2/446.
(ومن سنّ في الإسلام سنة سيئة) معصية وإن قلَّت بأن فعلها فاقتدى به فيها أو دعا إليها أو أعان عليها (كان عليه وزرها) أي: وزر عملها (ووزر من عمل بها من بعده من غير أن ينقص من أوزارهم شيء)

