#105 Taudhih Al-Hukmi : Hukum Menelan Kahak, Hingus dan Sisa Makanan Ketika Solat

#105 Taudhih Al-Hukmi : Hukum Menelan Kahak, Hingus dan Sisa Makanan Ketika Solat

 

Tarikh: 23/2/2026

Disediakan oleh: Unit Dirasat Ilmiah

 

Pendahuluan

Perbuatan makan dan minum ketika solat secara umumnya antara perkara yang membatalkan solat. Makan dan minum ketika solat tidak terhad kepada suapan yang masuk ke dalam mulut, tetapi juga merangkumi sisa makanan yang terdapat dalam mulut dan cecair yang keluar dari rongga lalu ditelan semula. Permasalahan ini merupakan perbahasan penting berkaitan kesahihan ibadah solat seseorang. Justeru, atikel ini akan membincangkan sebahagian situasi makan dan minum ketika solat, sama ada ia membatalkan solat atau tidak.

 

Hukum Menelan Sesuatu Ke Rongga Kerongkong Ketika Solat

Pada asasnya, makan ketika solat membatalkan solat walaupun dalam kuantiti yang sedikit jika seseorang melakukannya dengan sengaja dan dia mengetahui hukum tersebut. Disebutkan dalam Nihayat al-Muhtaj:

(وَتَبْطُلُ) (‌بِقَلِيلِ ‌الْأُكْلِ) أَيْ الْمَأْكُولِ عُرْفًا، وَلَا يَتَقَيَّدُ بِنَحْوِ السِّمْسِمَةِ: أَيْ بِوُصُولِهِ إلَى جَوْفِهِ، وَإِنْ كَانَ مُكْرَهًا عَلَيْهِ لِشِدَّةِ مُنَافَاتِهِ لَهَا مَعَ نُدْرَتِهِ

Maksudnya: Solat terbatal disebabkan al-ukl, iaitu makanan yang ditelan dengan kadar sedikit mengikut uruf, dan tidak dihadkan dengan sesuatu yang kecil seperti biji bijan dari sudut ia masuk ke dalam rongga sekalipun dalam keadaan terpaksa kerana perbuatan tersebut sangat bertentangan (dengan ibadah solat) walaupun ia jarang berlaku.[1]

Begitu juga jika yang ditelan itu merupakan sisa fizikal yang melekat pada gigi atau makanan yang dimasukkan ke dalam mulut ketika solat, atau lendir seperti kahak dan hingus yang boleh ditahan daripada keluar. Kesemua ini membatalkan solat, Imam al-Nawawi berkata:

فَلَوْ أَكَلَ شَيْئًا وَإِنْ قَلَّ بَطَلَتْ صَلَاتُهُ….وَلَوْ كَانَ بَيْنَ أَسْنَانِهِ شَيْءٌ فَابْتَلَعَهُ أَوْ نَزَلَتْ نُخَامَةٌ مِنْ رَأْسِهِ فَابْتَلَعَهَا عَمْدًا بَطَلَتْ صَلَاتُهُ

Maksudnya: Sekiranya seseorang makan sesuatu walaupun sedikit, maka batal solatnya…..jika terdapat sesuatu di celahan giginya, lalu dia menelannya, atau terdapat kahak yang turun dari bahagian kepala, lalu dia menelannya dengan sengaja, maka batal solatnya.[2]

Namun begitu, jika sisa makanan tersebut sukar untuk dibuang, atau kahak tersebut sukar ditahan, atau kahak dan hingus sentiasa keluar dan terpaksa ditelan kerana sakit atau uzur, atau hanya terdapat rasa atau warna seperti selepas minum kopi tanpa ada sisa fizikal, maka kesemua ini tidak membatalkan solat.

بِخِلَافِ مَا إذَا جَرَى رِيقُهُ بِبَاقِي الطَّعَامِ بَيْنَ أَسْنَانِهِ وَعَجْزُهُ عَنْ تَمْيِيزِهِ وَمَجِّهِ أَوْ نَزَلَتْ نُخَامَةٌ وَلَمْ يُمْكِنْهُ إمْسَاكُهَا….أَيْ أَمَّا مُجَرَّدُ الطَّعْمِ أَوْ اللَّوْنِ الْبَاقِي بَعْدَ شُرْبِ نَحْوِ الْقَهْوَةِ مِمَّا يُغَيِّرُ لَوْنَ رِيقِهِ أَوْ طَعْمِهِ فَالْأَقْرَبُ أَنَّهُ لَا يَضُرُّ

Maksudnya: Berbeza halnya jika air liurnya mengalir bersama sisa makanan yang tertinggal di celah-celah giginya, sedangkan dia tidak mampu membezakannya dan meludahnya, atau jika kahak turun ke kerongkongnya dan dia tidak mampu menahannya…. Adapun rasa atau warna yang tertinggal selepas minum sesuatu seperti kopi yang mengubah warna atau rasa air liurnya, maka yang lebih tepat ialah hal itu tidak memudaratkan (tidak membatalkan solat).[3]

Seseorang yang menelan sesuatu dalam keadaan terlupa bahawa dia sedang menunaikan solat atau tidak tahu perbuatan tersebut adalah dilarang, maka dia tidak berdosa dan solatnya tidak batal. Namun demikian, jika yang ditelan itu dalam kuantiti yang banyak, maka solatnya batal walaupun dilakukan dalam keadaan terlupa atau tidak tahu.[4] Penentuan kadar sedikit atau banyak berbalik kepada uruf setempat.[5] Disebutkan dalam al-Majmu‘:

فلو أكل ناسيا للصلاة أو جاهلا بتحريمه فإن كان قليلا لم تبطل بلا خلاف وإن كثر بطلت على أصح الوجهين

Maksudnya: Seseorang yang makan dalam keadaaan lupa bahawa dia sedang solat atau tidak tahu tentang larangan perbuatan tersebut, jika makanan itu sedikit, maka solatnya tidak batal tanpa khilaf. Jika yang dimakan itu banyak,  maka batal solatnya mengikut pandangan yang lebih tepat dalam kalangan ashab.[6]

Sebahagian ulama seperti Imam al-Nawawi dalam al-Majmu‘ memberikan panduan umum berkenaan perkara yang membatalkan solat, iaitu apa yang membatalkan puasa juga membatalkan solat.[7] Namun begitu, terdapat perbezaan antara solat dengan puasa dari sudut pembatalan kedua-duanya disebabkan menelan makanan. Makan dengan kadar yang banyak ketika puasa dalam keadaan terlupa adalah dimaafkan berbeza dengan solat.[8] 

 

Hukum Mengunyah Ketika Solat

Mengunyah ketika solat dianggap sebagai perbuatan dalam solat. Mengunyah dengan kadar yang banyak boleh membatalkan solat, manakala jika dilakukan dalam kadar yang sedikit tidak membatalkan solat. Dari sudut ini, perbuatan mengunyah berbeza dengan menelan makanan ketika solat walaupun tanpa mengunyah. Sesuatu makanan yang ditelan dengan sengaja ketika solat walaupun sedikit menyebabkan solat terbatal. Sebaliknya, mengunyah sesuatu ketika solat dengan sengaja sebanyak satu atau dua kali tidak membatalkan solat. Imam al-Ramli mengatakan:

أَمَّا ‌الْمَضْغُ نَفْسُهُ فَلَا تَبْطُلُ بِقَلِيلِهِ كَبَقِيَّةِ الْأَفْعَالِ

Maksudnya: Perbuatan mengunyah itu sendiri sekiranya sedikit sahaja yang berlaku, maka solat seseorang tidak batal sama seperti perbuatan-perbuatan (tambahan) yang lain.[9]

Persamaan antara mengunyah dan menelan pula ialah mengunyah dengan kadar banyak atau menelan sesuatu dalam kuantiti yang banyak membatalkan solat sama ada berlaku dengan sengaja, atau tidak tahu, atau terlupa.[10]

 

Kesimpulan

Menelan sesuatu seperti kahak, hingus dan sisa fizikal makanan ketika solat adalah membatalkan solat. Justeru, jika dilakukan dengan sengaja walaupun kadar yang ditelan itu sedikit menyebabkan solat seseorang terbatal. Begitu juga hukumnya bagi perbuatan menelan atau perbuatan seperti mengunyah dengan kadar yang banyak walaupun pelaku tidak tahu atau terlupa akan larangan tersebut. Namun begitu, jika makanan yang ditelan adalah sedikit dan berlaku tanpa sengaja, atau seseorang mengunyah kurang daripada tiga kali ketika solat, maka dia dimaafkan dan solatnya adalah sah.



[1] Shams al-Dīn al-Ramlī, Muḥammad bin Aḥmad, Nihāyat al-Muḥtāj ’ilā Sharḥ al-Minhāj, (Beirut: Dār al-Fikr), jil. 2, ms. 52.

 

[2] Muḥy al-Dīn Al-Nawawī, Yaḥyā bin Sharf, Rawḍat al-Ṭālibīn wa ‘Umdat al-Muftīn, (Beirut, Damsyik, Amman: al-Maktab al-’Islāmī), jil. 1, ms. 296.

[3] Al-Sharwānī, Abd al-Hamīd bin al-Hasan, Ḥāshiyat al-Sharwānī ‘alā Tuḥfat al-Muḥtāj bi Sharḥ al-Minhāj, (Al-Maktabah al-Tijāriyyah al-Kubrā), jil. 2, ms. 155.

[4] Al-Bājūrī, Ibrāhīm bin Muḥammad, Ḥāshiyat al-Bājūrī ‘alā Sharḥ al-‘Allamah Ibn Qāsim al-Ghazzī ‘alā Matn Abī Shujā‘, (Jedah: Dār al-Minhāj), 2016, jil. 2, ms. 30.

ولا فرق في الكثير بين الجاهل والناسي وغيرهما فتبطل الصلاة به مطلقًا بخلاف الصوم فإنه لا يبطل بالكثير من الجاهل والناسي.

[5] Al-Khatīb al-Sharbīnī, Muḥammad bin Muḥammad, Mughnī al-Muḥtāj ’ilā Ma‘rifat Ma‘ānī ’Alfāẓ al-Minhāj, (et., Dār al-Kutub al-‘Ilmiyyah), 1994, jil. 1, ms. 419.

 (وَتَبْطُلُ بِقَلِيلِ الْأَكْلِ) لِشِدَّةِ مُنَافَاتِهِ لَهَا؛ لِأَنَّ ذَلِكَ يُشْعِرُ بِالْإِعْرَاضِ عَنْهَا، وَقِيلَ: لَا تَبْطُلُ بِهِ كَسَائِرِ الْأَفْعَالِ الْقَلِيلَةِ، أَمَّا الْكَثِيرُ فَتَبْطُلُ بِهِ قَطْعًا، وَيُرْجَعُ فِي الْقِلَّةِ وَالْكَثْرَةِ إلَى الْعُرْفِ.

[6] Muḥy al-Dīn Al-Nawawī, Yaḥyā bin Sharf, al-Majmū‘ Sharḥ al-Muhadhdhab, (Kaherah: ’Idārat al-Tibā‘ah al-Manīriyyah), jil. 4, ms. 90.

[7] Muḥy al-Dīn Al-Nawawī, Yaḥyā bin Sharf, al-Majmū‘ Sharḥ al-Muhadhdhab, jil. 4, ms. 90. Beliau mengatakan:

والضابط على هذا أن ما أبطل الصوم أبطل الصلاة.

[8] Al-Bājūrī, Ibrāhīm bin Muḥammad, Ḥāshiyat al-Bājūrī ‘alā Sharḥ al-‘Allāmah Ibn Qāsim al-Ghazzī ‘alā Matn Abī Shujā‘, (Jedah: Dār al-Minhāj), 2016, jil. 2, ms. 30.

[9] Shams al-Dīn al-Ramlī, Muḥammad bin Aḥmad, Nihāyat al-Muḥtāj ’ilā Sharḥ al-Minhāj, (Beirut: Dār al-Fikr), jil. 2, ms. 52.

[10] Al-Jamal, Sulaymān bin ‘Umar, Hāshiyat al-Jamal ‘alā Sharḥ al-Manhaj, (Dar al-Fikr), jil. 1, ms. 436.

(قَوْلُهُ فَتَبْطُلُ بِكَثِيرِهِ) أَيْ: كَالثَّلَاثِ الْمُتَوَالِيَةِ فَكَثْرَةُ الْمَضْغِ مُبْطِلَةٌ وَإِنْ قَلَّ الْمَأْكُولُ وَكَثْرَةُ الْمَأْكُولِ مُبْطِلَةٌ وَإِنْ قَلَّ الْمَضْغُ أَوْ انْتَفَى فَالتَّفْصِيلُ بَيْنَ الْقَلِيلِ وَالْكَثِيرِ فِي الْأَكْلِ مَا لَمْ يُكْثِرْ نَفْسَ الْمَضْغِ اهـ بِرْمَاوِيٌّ

Accessibility Toolbar