Bengkel Penyelarasan Takwim Waktu Solat Negeri Selangor Tahun 2027

Bengkel Penyelarasan Takwim Waktu Solat Negeri Selangor Tahun 2027

Shah Alam, 11 Februari 2026 – Jabatan Mufti Negeri Selangor (JMNS) melalui Bahagian Falak telah menganjurkan Bengkel Penyelarasan Takwim Waktu Solat Negeri Selangor bagi Tahun 2027.

Bengkel yang berlangsung di Jabatan Mufti Negeri Selangor ini merupakan langkah proaktif dalam penyediaan takwim waktu solat negeri Selangor ke arah perubahan waktu solat daripada sistem tiga (3) zon sedia ada kepada penentuan waktu solat mengikut daerah di seluruh Negeri Selangor. Langkah ini diambil berdasarkan kajian yang telah dilaksanakan bagi memastikan setiap daerah mendapat waktu solat yang lebih tepat dan spesifik mengikut koordinat geografi masing-masing, selaras dengan kemajuan teknologi hitungan falak masa kini.

Bengkel ini melibatkan komitmen penuh daripada kakitangan Bahagian Falak Jabatan Mufti Negeri Selangor dan turut hadir bersama ialah Prof. Madya Dr. Mohd Saiful Anwar Mohd Nawawi (Pensyarah Kanan, Universiti Malaya), Dr. Raihana Abdul Wahab (Pensyarah Kanan, Universiti Malaya), Ts. Dr. Muhamad Syazwan Faid (Pensyarah Kanan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia) dan Dr. Nurul Kausar Nizam (Persatuan Juru Falak Syarie)

Diharapkan sinergi berterusan antara agensi, ahli akademik dan pakar falak ini dapat terus memartabatkan bidang falak di Negeri Selangor, sekali gus menjamin ketepatan waktu solat demi kepentingan dan kemaslahatan umat Islam.

Unit Komunikasi Korporat
Jabatan Mufti Negeri Selangor

Accessibility Toolbar