#100 Taudhih Al-Hukmi : Hukum Penggunaaan Menstrual Cup dan Menstrual Disc Bagi Wanita Mustahadhah

#100 Taudhih Al-Hukmi : Hukum Penggunaaan Menstrual Cup dan Menstrual Disc Bagi Wanita Mustahadhah

 

Tarikh: 27 November 25

Disediakan oleh: Unit Dirasat Ilmiah

 

Pendahuluan

Menstruasi[1] yang dialami wanita setiap bulan menuntut penggunaan alat bagi menampung dan mengumpul darah haid. Kebanyakan wanita memilih tuala wanita sebagai pilihan utama. Namun begitu, alternatif seperti menstrual cup (MC) dan menstrual disc (MD) kini semakin dikenali dan digunapakai meskipun penggunaannya masih terhad di Malaysia. Ciri-ciri unik kedua-dua produk ini bukan sahaja relevan untuk kegunaan wanita ketika haid tetapi juga bagi mereka yang mengalami istihadhah. Jadi, artikel ini akan menjelaskan hukum penggunaan alat ini bagi wanita mustahadhah khususnya ketika hendak menunaikan solat.

  

Definisi Menstrual Cup dan Menstrual Disc

 Menstrual cup (MC) adalah peranti tidak menyerap berbentuk loceng yang dimasukkan ke dalam faraj untuk mengumpul aliran darah haid. Ia mencipta kedap dan dipegang oleh dinding faraj. Kebiasaanya diperbuat daripada silikon gred perubatan. Ia mampu mengumpul tiga kali lebih banyak darah berbanding tuala wanita atau tampon[2] dan perlu dikosongkan setiap 6-12 jam, kemudian dibilas serta dimasukkan semula ke dalam faraj (dipakai sehingga tamat tempoh haid). Selepas setiap kitaran haid, cawan tersebut perlu disterilkan dengan dibiarkan di dalam air yang menggelegak selama 5-10 minit dan kebiasaan had tempoh penggunaan MC boleh digunapakai selama 5-10 tahun.[3]

 

Manakala menstrual disc (MD) merupakan cakera haid bersaiz kecil dan fleksibel yang diperbuat daripada silikon gred perubatan, getah atau elastomer termoplastik. Ia berbeza dengan tampon (berbentuk silinder) dan MC (berbentuk seperti loceng). MD mempunyai bentuk diameter yang lebih besar, leper, cetek dan direka untuk dimuatkan pada bahagian dasar serviks yang mampu menampung serta menahan darah haid dengan selamat sehingga 12 jam lantas menjadikannya pilihan yang lebih praktikal bagi kebanyakan wanita terutama yang berada di negara-negara Barat.[4] Berikut merupakan gambar MC dan MD:

        

Rajah 1: Gambar Menstrual Cup dan Menstrual Disc

 

 Ilustrasi kedudukan MC dan MD dalam Faraj Wanita

 Kedudukan MC dan MD dalam faraj wanita dapat dilihat sebagaimana berikut bagi melihat perbezaan kedudukannya sama ada di bahagian had batin faraj atau had zahir faraj dalam kedudukan mencangkung. Berdasarkan gambar 2, kedudukan MC berada sebahagian besarnya pada had batin faraj, manakala bahagian muncung MC terkeluar sedikit pada had zahir faraj:[5]

                                                    

  Pandangan sisi                                                Pandangan hadapan

Gambar 2: Kedudukan MC

 

Berdasarkan gambar 3, keseluruhan MD dan cangkuknya berada pada kedudukan had batin faraj. Bahagian cangkuknya pula boleh ditarik keluar dengan memasukkan jari ke dalam faraj bagi mengeluarkan MD. Penting untuk mengetahui kedudukan MC dan MD ini kerana ia boleh memberi kesan kepada hukum-hakam yang berkaitan dengan pelaksanaan ibadah.

                                                                    

Pandangan sisi                                                           Pandangan hadapan

Gambar 3: Kedudukan MD

 

 Hukum Penggunaan Menstrual Cup dan Menstrual Disc bagi Wanita Mustahadhah

 

Secara asasnya, istihadhah ialah darah yang keluar selain daripada waktu haid dan waktu nifas[6]. Terdapat juga sebahagian wanita yang menggunakan MC dan MD ketika istihadhah. Berdasarkan kedudukannya di had zahir dan had batin faraj, fungsi MC dan MD tetap sama seperti tuala wanita iaitu menampung dan mengumpul aliran darah wanita.

 

Wanita mustahadhah juga wajib mencuci dan membersihkan MC atau MD meskipun darah tidak kelihatan di luar faraj. Hal ini diqiyaskan dengan balutan atau alat yang menampung darah, sebagaimana dijelaskan oleh Imam al-Nawawi:

 

وقوله : وإن لم تزل عن موضعها أي يجب تجديدها وإن لم تنتقل عن موضعها وإن لم يظهر الدم مثلا من جوانبها[7]

 

Maksudnya: Dan katanya: Sekalipun tidak berganjak dari tempatnya yakni wajib memperbaharuinya (balutan), walaupun ia tidak berpindah dari tempatnya dan walaupun darah tidak kelihatan keluar dari sisi-sisinya.

 

Berdasarkan huraian di atas, kami berpandangan bahawa hukum penggunaan MC dan MD bagi wanita mustahadhah adalah harus. Ia mengambil hukum yang sama seperti pemakaian tuala wanita iaitu perlu dibersihkan sebelum menunaikan solat sesuai dengan ketetapan syarak yang menuntut penyucian daripada najis sebagai syarat sah ibadah.

 

Kesimpulan


Menstrual Cup dan Menstrual Disc merupakan alat alternatif yang membantu menampung dan mengumpul aliran darah wanita sama ada ketika haid atau istihadhah. Dengan fungsi tersebut, penggunaannya dihukumkan sama seperti penggunaan tuala wanita iaitu dianggap menanggung najis. Oleh itu, wanita mustahdhah harus menggunakan Menstrual Cup dan Menstrual Disc tetapi hendaklah berhati-hati dan sentiasa cakna dengan kesucian diri sebagaimana ketika menggunakan tuala wanita sebelum melaksanakan ibadah.

 

 


[1] Frasa “Menstruasi” ialah keluarnya darah daripada rahim wanita yang tidak hamil (tetapi masih subur untuk beranak), biasanya sekali sebulan, datang haid (datang bulan), Pusat Rujukan Persuratan Melayu, laman sesawang Dewan Bahasa dan Pustaka, maklumat diakses pada 3 Jun 2025. https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=menstruasi

[2] Frasa“Tampon” ialah pek, pad atau penyumbat diperbuat daripada kapas, span atau bahan lain yang digunakan untuk menyumbat hidung, faraj atau bahagian lain bagi mengawal pendarahan atau menyerap rembesan. Laman sesawang The Free Dictionary by Farlex, maklumat diakses pada 3 Jun 2025. https://medical-dictionary.thefreedictionary.com/tampon

[3] Guide Menstrual Hygiene Material, ms. 30, diakses dari laman sesawang https://www.unicef.org/media/91346/file/UNICEF-Guide-menstrual-hygiene-materials-2019.pdf

[4] Nurlisa Puteri binti Mohd Noor (Pengarah Helloqween International Sdn Bhd), dalam temubual bersama pegawai penyelidik Jabatan Mufti Negeri Selangor pada 6 Mac 2025.

[5] Had zahir faraj adalah bahagian yang terbuka ketika berdiri dan mencangkung serta wajib dibasuh ketika mandi wajib, manakala had batin faraj pula adalah bahagian yang tidak terbuka ketika mencangkung dan tidak wajib dibasuh ketika mandi wajib. Rujuk: Al-Nawawī, Abū Zakariyyā Muhyī al-Din bin Sharaf,  al-Majmū’ Sharh al-Muhazzab, (Amman, Jordan: Dar al-Fikr), jil. 2, ms. 112.

‌وَيَلْزَمُ ‌الثَّيِّبَ ‌أَنْ ‌تُوَصِّلَ ‌الْحَجَرَ ‌إلَى ‌الْمَوْضِعِ ‌الَّذِي ‌يَجِبُ ‌إيصَالُ ‌الْمَاءِ ‌إلَيْهِ ‌فِي ‌غُسْلِ ‌الْجَنَابَةِ ‌وَيَجِبُ ‌إيصَالُ ‌الْمَاءِ ‌إلَى ‌مَا ‌يَظْهَرُ ‌عِنْدَ ‌جُلُوسِهَا ‌عَلَى ‌قَدَمَيْهَا ‌وَإِنْ ‌لَمْ ‌يَظْهَرْ ‌فِي ‌حَالِ ‌قِيَامِهَا…قَالَ أَصْحَابُنَا مَا وَرَاءَ هذا فهو في حكم الباطن فلا يكلف إيصَالَ الْمَاءِ وَالْحَجَرِ إلَيْهِ وَيَبْطُلُ الصَّوْمُ بِالْوَاصِلِ إلَيْهِ

[6] Abū Syujā‘, Aḥmad bin al-Ḥusayn bin Aḥmad, Syihāb al-Dīn Abū al-Ṭayyib al-Aṣfahānī, Matn Abī Syujā‘ al-Musammā al-Ghāyat wa al-Taqrīb, (A’lam al-Kutub), ms.7

[7] Abu Bakar Uthmān bin Muḥammad al-Dumyāṭī al-Syāfi’ī, I’ānah al-Ṭālibīn ‘Alā Ḥal Alfāz Fatḥ al-Mu’īn, (Beirut: Dār al-Fikr, 1997), jil. 1, ms. 47.

Accessibility Toolbar