#97 Taudhih Al-Hukmi : Hukum Solat
Jenazah Tanpa Wuduk
Tarikh:
12/11/2025
Disediakan
oleh: Unit Dirasat Ilmiah
Pendahuluan
Solat jenazah merupakan tuntutan fardu kifayah yang perlu
dilaksanakan segera setelah jenazah dimandi dan dikafankan. Namun, dalam
keadaan tertentu, terdapat jemaah yang tidak sempat mengambil wuduk untuk
bersama jemaah menunaikan solat jenazah. Justeru itu, artikel ini akan
menjelaskan hukum menunaikan solat jenazah tanpa wuduk.
Hukum Solat Jenazah Tanpa Wuduk
Terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan ulama mengenai
syarat sah solat jenazah, khususnya berkaitan keperluan wuduk sebelum
menunaikannya. Ada yang berpendapat bahawa wuduk merupakan syarat sah solat
jenazah, manakala sebahagian yang lain berpendapat sebaliknya. Perincian
tersebut akan dijelaskan seperti berikut:
(1) Wuduk Sebagai Syarat Sah Solat Jenazah
Menurut mazhab Shafi’i, solat jenazah tidak sah dilakukan
tanpa wuduk kerana ia tertakluk kepada syarat sah solat sebagaimana solat
fardu. Antara syarat sah solat adalah suci daripada hadas dan najis, menutup
aurat dan menghadap kiblat. Perkara ini seperti dinukilkan oleh Imam al-Nawawi
dalam kitab Majmu’ Syarh Muhazzab seperti berikut:
ومن شرط صحة صلاة الجنازة الطهارة
وستر العورة لانها صلاة فشرط فيها الطهارة وستر العورة كسائر الصلوات[1]
Maksudnya:
Antara syarat sah solat jenazah adalah bersuci dan menutup aurat kerana ia
(solat jenazah) merupakan solat yang disyaratkan padanya bersuci dan menutup
aurat seperti solat-solat yang lain.
Perkara ini telah disepakati oleh para ulama mazhab Shafi‘i
bahawa bersuci merupakan syarat sah solat jenazah:
يُشْتَرَطُ لِصِحَّةِ صَلَاةِ الْجِنَازَةِ
طَهَارَةُ الْحَدَثِ وَطَهَارَةُ النَّجَسِ فِي الْبَدَنِ وَالثَّوْبِ
وَالْمَكَانِ وَسَتْرُ الْعَوْرَةِ وَاسْتِقْبَالُ الْقِبْلَةِ إلَّا فِي شِدَّةِ
الْخَوْفِ[2]
Maksudnya:
Syarat sah solat jenazah ialah suci daripada hadas, suci daripada najis pada
badan, pakaian dan tempat serta menutup aurat dan menghadap kiblat kecuali
dalam keadaan sangat takut.
Terdapat juga hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Umar RA
yang menyatakan bahawa antara syarat sah solat adalah suci daripada hadas:
لَا تُقْبَلُ
صَلَاةٌ بِغَيْرِ طُهُورٍ[3]
Maksudnya:
Solat tidak diterima tanpa bersuci.
(Hadis Riwayat Muslim)
Hadis ini telah disyarahkan dalam kitab al-Majmu’ Syarh
al-Muhazzab menyatakan bahawa:
هِيَ شَرْطٌ فِي صِحَّةِ الصَّلَاةِ
هَذَا مُجْمَعٌ عَلَيْهِ وَلَا تَصِحُّ صَلَاةٌ بِغَيْرِ طَهُورٍ إمَّا بِالْمَاءِ
وَإِمَّا بالتيمم بشرطه سراء صَلَاةُ الْفَرْضِ وَالنَّفَلِ وَصَلَاةُ
الْجِنَازَةِ وَسُجُودُ التِّلَاوَةِ وَالشُّكْرِ[4]
Maksudnya:
Ia adalah syarat sah solat. Perkara ini telah disepakati secara ijmak ulama
bahawa tidak sah solat tanpa bersuci sama ada dengan air atau dengan tayammum
yang memenuhi syaratnya sama ada solat fardu, solat sunat, solat jenazah, sujud
tilawah dan sujud syukur.
Imam al-Syirbini menghuraikan makna قبول (penerimaan) dalam hadis di atas dengan:
والقبول يقال لحصول الثواب ولوقوع
الفعل صحيحا وهو المراد هنا بقرينة الإجماع فالمعنى لا تصح صلاة إلا بوضوء[5]
Maksudnya:
Perkataan penerimaan dikatakan membawa maksud mendapat pahala (ganjaran) atau
berlaku sesuatu amalan yang sah. Yang dimaksudkan di sini berdasarkan petunjuk
ijmak ulama ialah solat tidak sah kecuali dengan wuduk.
Maka, jelaslah bahawa hukum solat jenazah tanpa wuduk adalah
tidak sah mengikut pandangan mazhab Shafi’i.
(2) Wuduk
Bukan Syarat Sah Solat Jenazah
Terdapat
sebahagian ulama yang menyatakan solat jenazah boleh dilakukan tanpa berwuduk
sebagaimana dinukilkan oleh Amir bin Sharahil al-Sha’bi, Dawud bin Ali
al-Asbahani (al-Zahiri) dan Ibn Jurayj al-Tabari bahawa:
أَنَّ
الصَّلَاةَ عَلَى الْمَيِّتِ دُعَاءٌ لَا يَفْتَقِرُ إِلَى طَهَارَةٍ[6]
Maksudnya:
Bahawa solat ke atas jenazah itu hanyalah doa, maka ia tidak memerlukan kepada
bersuci (suci dari hadas).
Perkara ini
juga dinukilkan dalam kitab al-Najmu al-Wahhaj fi Sharh al-Minhaj, Muhammad Ibn
Jarir al-Tabari menyatakan bahawa mengikut pandangan al-Sha’bi dan golongan
Syiah:
تصح من غير طهارة مع إمكان الوضوء والتيمم
لأنها دعاء[7]
Maksudnya:
Solat jenazah sah dilakukan tanpa bersuci (wuduk dan tayammum), sekalipun
berkemampuan untuk berwuduk dan bertayammum kerana ia hanyalah doa.
Menurut
pendapat ini, solat jenazah boleh dilakukan tanpa berwuduk kerana ia merupakan
doa yang tidak perlu kepada syarat bersuci.
Pandangan Terpilih
Berdasarkan kepada perbahasan kedua-dua pendapat di atas,
kami berpandangan bahawa solat jenazah
hendaklah dilakukan dengan berwuduk (bersuci) sebagai syarat sah solat jenazah.
Hal ini kerana menurut Imam al-Mawardi pendapat kedua yang menyatakan boleh
solat jenazah tanpa wuduk adalah menyalahi ijmak (kesepakatan ulama), maka ia
tidak boleh diambil perhatian[8].
Selain itu, menurut Imam al-Ramli dalam Nihayah al-Muhtaj,
beliau menjelaskan bahawa kenyataan Imam al-Nawawi yang mewajibkan wuduk
sekalipun dalam solat jenazah adalah bertujuan untuk menolak pandangan
al-Sha’bi yang mengharuskan solat jenazah tanpa bersuci kerana dianggap sebagai
doa semata-mata. Beliau menyatakan:
(وَلَوْ صَلَاةَ
جِنَازَةٍ) إنَّمَا قَالَ ذَلِكَ قَصْدًا لِلرَّدِّ عَلَى الشَّعْبِيِّ حَيْثُ
قَالَ بِجَوَازِهَا مَعَ الْحَدَثِ؛ لِأَنَّهَا دُعَاءٌ[9]
Maksudnya:
Frasa “walaupun solat jenazah” (disebut oleh Imam al-Nawawi) adalah dengan
tujuan untuk menolak pendapat al-Sha’bi. Hal ini kerana al-Sha’bi berpendapat
solat jenazah boleh dilakukan dalam keadaan berhadas kerana ia hanyalah doa
semata.
Perkara
ini menjelaskan bahawa pandangan al-Sha’bi ditolak kerana bertentangan dengan
ijmak ulama yang telah menetapkan tidak sah solat jenazah tanpa berwuduk.
Kesimpulan
Solat
jenazah tetap tertakluk kepada syarat sah solat iaitu bersuci daripada hadas.
Berdasarkan pandangan mazhab Shafi’i, ia tidak sah tanpa wuduk atau tayamum.
Pandangan yang menganggap solat jenazah hanyalah doa dan tidak memerlukan taharah
(bersuci) adalah tertolak kerana menyalahi ijmak. Oleh itu, tidak harus solat
jenazah tanpa wuduk.
[1] Al-Nawawī,
Abū Zakariyyā Muḥyī al-Dīn bin Sharf al-Nawawī, al-Majmū’ Sharḥ
al-Muhadhdhab, jil 5, ms. 222.
[2] Al-Nawawī,
Abū Zakariyyā Muḥyī al-Dīn bin Sharf al-Nawawī, al-Majmū’ Sharḥ
al-Muhadhdhab, jil 5, ms. 223.
[3] Abū Ḥusayn
Muslim bin Al-Ḥajjāj bin Muslim al-Qusyairī al-Nīsābūrī, Ṣaḥīḥ Muslim,
(Kaherah: Maṭba’ah ‘Īsā al-Bābī al-Ḥalabī wa Syirkāhu, 1955), Hadis no. 224,
jil. 1, ms. 204.
[4] al-Nawawī, Abū Zakariyyā Muḥyī al-Dīn bin Sharf al-Nawawī, al-Majmū’
Sharḥ al-Muhadhdhab, jil 2, ms. 131.
[5] Shams al-Dīn
Muḥammad bin Muḥammad, al-Khatīb al-Syirbīnī, Mughnī al-Muḥtāj Ila Ma’rifah
Ma’ānī Alfaz al-Minhāj, (Dār al-Kutub Ilmiah, 1994), Jil. 1, ms. 149.
[6] al-Mawardī,
Abū al-Ḥasan ‘Alī bin Muḥammad bin Muḥammad bin Ḥabīb al-Baṣrī al-Baghdādī, al-Ḥāwī
al-Kabīr fī Fiqh Mazhab al-Imām al-Shāfi’ī, (Beirut: Dār al-Kutub ‘Ilmiah,
1999), jil. 1, ms. 281.
[7] Kamāl
al-Dīn, Muḥammad bin Mūsā bin ‘Īsā bin ‘Alī al-Damīrī Abū al-Baqā’ al- Shāfi’ī,
al-Najm al-Wahhāj fī Sharḥ al-Minhāj, (Jeddah: Dār al-Minhāj, 2004),
jil. 3, ms. 52.
[8] Kamāl
al-Dīn, Muḥammad bin Mūsā bin ‘Īsā bin ‘Alī al-Damīrī Abū al-Baqā’ al- Shāfi’ī,
al-Najm al-Wahhāj fī Sharḥ al-Minhāj, jil. 3, ms. 52.
[9] Shams al-Dīn
Muḥammad bin Abī al-Abbās Aḥmad bin Ḥamzah Shihāb al-Dīn al-Ramlī, Nihāyah
al-Muḥtāj ila Syarḥ al-Minhāj, (Beirut: Dār al-Fikr, 1984), Jil. 1, ms. 122.

