JAPAN – MALAYSIA: SEMINAR & WORKSHOP ON HILAL OBSERVATION 2025
Jabatan Mufti Negeri Selangor telah menyertai program Japan –
Malaysia: Seminar & Workshop On Hilal Observation 2025 anjuran Rukyah
Hilal Committee Japan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang
diadakan di Ginza Blossom Hall, Tokyo pada hari Ahad 19 Oktober 2025. Para
peserta terdiri daripada ahli Rukyah Hilal Committee Japan, ahli Japan
Muslim Association, pihak pengurusan masjid sekitar Tokyo serta para
pegawai JAKIM, Jabatan Mufti Negeri-Negeri dan
ahli-ahli akademik institusi pengajian tinggi awam.
Sempena program ini, Y.A.D. Dato’ Setia Dr. Hj. Anhar bin Hj. Opir,
Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor telah membentangkan kertas kerja
bertajuk Fatwa Management In Malaysia yang menyentuh secara khusus
peranan Muzakarah Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam (MKI) serta peranan
Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor dalam hukum Syarak dan proses pengeluaran
fatwa.
Di samping itu, beberapa kertas kerja berkaitan hilal dan waktu
solat turut dibentangkan oleh para penyelidik daripada Universiti Malaya (UM),
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Jabatan Mufti Negeri Perak. En. Hardi
bin Mohamad Sadali, Penolong Mufti Kanan, Bahagian Falak, Jabatan Mufti Negeri
Selangor telah membentangkan kertas kerja bertajuk Empowering Falak
Management In Selangor: eFalak Selangor. Satu taklimat ringkas berhubung
tatacara penggunaan eFalak Selangor dalam menentukan arah kiblat secara tepat
turut disampaikan kepada para peserta.
Sementara itu, Dr. Salimur Rahman Khan Nadwi, Pengerusi Rukyah
Hilal Committee Japan telah membentangkan sejarah dan latarbelakang kaedah
penentuan awal Ramadhan, Syawwal dan Zulhijjah yang diamalkan oleh masyarakat
Islam di Jepun. Pihak Rukyah Hilal Committee telah memainkan peranan
penting dalam melaksanakan cerapan hilal di Jepun. Laporan hasil cerapan di
Malaysia menjadi rujukan dan panduan kepada pihak Rukyah Hilal Committee
sebelum memuktamadkan tarikh permulaan puasa dan hari raya bagi panduan
masyarakat Islam di Jepun.
Seminar ini penting dalam memperkukuh hubungan dan perkongsian
maklumat berkaitan ilmu falak antara pihak berkuasa agama di Malaysia dan badan-badan
pertubuhan Islam di Jepun.







