#95 Taudhih Al-Hukmi : Adakah Liwat Dikira Jimak dan Perlu Mandi Wajib
Tarikh: 22 September 2025
Disediakan oleh: Unit Dirasat Ilmiah
Pendahuluan
Dalam Islam, mandi wajib merupakan syarat penting untuk mengangkat hadas besar bagi menentukan keabsahan sesuatu ibadah yang memerlukan kesucian seperti solat dan tawaf. Antara perkara yang mewajibkan mandi ialah jimak, keluar mani dan lain-lain. Namun, timbul persoalan apabila perbuatan yang dilakukan adalah liwat iaitu hubungan seksual melalui dubur, sama ada antara sesama jantina atau antara suami dengan isteri. Adakah perbuatan ini sama seperti perbuatan jimak yang mewajibkan mandi meskipun dilakukan melalui jalan yang diharamkan?
Definisi dan Hukum Liwat dalam Islam
Perkataan liwat ialah kata terbitan daripada kalimah لَاطَ (lāṭa) yang membawa maksud tempelan. Dari segi bahasa ia merujuk kepada perbuatan seseorang lelaki yang melakukan perbuatan seperti yang dilakukan oleh kaum Nabi Luth[1]. Dari segi syarak pula ia merujuk kepada perbuatan memasukkan hashafah (kepala zakar) ke dalam dubur lelaki atau wanita[2].
Allah SWT mengharamkan perbuatan liwat ini sebagaimana firman-Nya dalam Surah al-Naml ayat ke-55:
أَئِنَّكُمْ لَتَأْتُونَ الرِّجَالَ شَهْوَةً مِّن دُونِ النِّسَاءِ ۚ بَلْ أَنتُمْ قَوْمٌ تَجْهَلُونَ
Maksudnya: Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki, bukan perempuan, kerana memuaskan nafsu syahwat kamu. (Perbuatan kamu itu amatlah keji) bahkan kamu kaum yang jahil (yang tidak mengetahui akan akibatnya).
Berdasarkan ayat di atas, Allah SWT mengecam perbuatan kaum Nabi Luth AS yang meninggalkan hubungan halal dengan wanita dan memilih mendatangi lelaki kerana dorongan syahwat. Bahkan perbuatan tersebut merupakan tanda kejahilan seseorang yang telah melampaui batas.
Syeikh Mutawalli al-Sya’rawi menafsirkan bahawa kalimah الجهل dalam ayat tersebut tidak membawa maksud yang berlawanan dengan pengetahuan, sebaliknya merujuk kepada safih (kebodohan). Jahil di sini ialah apabila seseorang meyakini sesuatu yang bertentangan dengan hakikat sebenar. Dalam hal ini, orang yang buta huruf lebih mudah diyakinkan kerana fikirannya masih kosong. Ini kerana orang yang jahil meyakini pegangan yang salah dan memerlukan usaha untuk meninggalkan pegangan yang salah terlebih dahulu sebelum dimasukkan pegangan yang benar[3].
Di samping itu, pengharaman ini juga disebutkan oleh Nabi Muhammad SAW sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas RA:
لَعَنَ اللَّهُ مَنْ عَمِلَ عَمَلَ قَوْمِ لُوطٍ لَعَنَ اللَّهُ مَنْ عَمِلَ عَمَلَ قَوْمِ لُوطٍ ثَلاثًا
Maksudnya: Allah SWT melaknat siapa sahaja yang melakukan perbuatan kaum Luth, (Baginda) mengulanginya sebanyak tiga kali[4].
(Riwayat Ahmad)
Hadis di atas jelas menerangkan bahawa perbuatan liwat ialah perbuatan yang dilaknat oleh Allah SWT. Syeikh Ahmad al-Banna al-Sa’ati menjelaskan bahawa Nabi Muhammad SAW mengulangi lafaz ini sebanyak tiga kali kerana buruknya perbuatan ini dan besarnya keburukan yang terkandung dalamnya[5].
Justeru, dapat difahami bahawa perbuatan liwat bertentangan dengan syariat Islam serta perlu dijauhi. Bahkan, ia juga memberi kesan negatif terhadap keharmonian dan kesejahteraan kehidupan manusia.
Adakah Liwat Menyebabkan Mandi Wajib?
Secara asasnya, terdapat enam sebab seseorang diwajibkan mandi untuk mengangkat hadas besar. Hal ini sebagaimana dijelaskan oleh Imam Nawawi dalam Minhaj al-Talibin, katanya:
موجبه موت وحيض ونفاس وكذا ولادة بلا بلل في الأصح وجنابة بدخول حشفة أو قدرها فرجا وبخروج منى من طريقه المعتاد وغيره ويعرف بتدفقه أو لذة بخروجه أو ريح عجين رطبا أو بياض بيض جافا فإن فقدت الصفات فلا غسل
Maksudnya: Sebab-sebab yang mewajibkannya (mandi) ialah kematian, haid, nifas, begitu juga kelahiran tanpa keluar air (pada pendapat yang asah), dan janabah (hadas besar) kerana memasukkan hashafah (kepala zakar) atau kadar yang seumpamanya ke dalam faraj, serta kerana keluarnya mani sama ada melalui saluran yang biasa atau bukan. Mani itu dikenal pasti dengan tanda ia terpancut, atau terasa nikmat ketika ia keluar, atau berbau seperti bau tepung basah yang diuli, atau seperti putih telur ketika kering. Jika sifat-sifat ini tidak ada, maka tidak diwajibkan mandi[6].
Berdasarkan kenyataan ini, seseorang yang sedang berjunub (berhadas besar) diwajibkan mensucikan dirinya dengan mandi. Perintah ini selaras dengan firman Allah SWT dalam Surah al-Ma’idah ayat ke-6:
وَإِن كُنتُمْ جُنُبًا فَاطَّهَّرُوا
Maksudnya: Dan jika kamu junub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib.
Junub (hadas besar) secara syarak ditakrifkan sebagai suatu perkara maknawi yang terdapat pada tubuh badan yang menghalang kesahihan solat pada keadaan tiada rukhsah (keringanan)[7]. Justeru, junub berlaku apabila masuknya hashafah (kepala zakar) ke dalam faraj atau bertemunya dua khitan iaitu kemaluan lelaki dengan kemaluan wanita. Dalam erti kata yang lain ialah perbuatan jimak antara lelaki dengan wanita. Asas bagi hukum ini adalah hadis yang diriwayatkan daripada Sayyidatina Aisyah RA:
إِذَا الْتَقَى الْخِتَانَانِ فَقَدْ وَجَبَ الْغُسْلُ فَعَلْتُهُ أَنَا وَرَسُولُ اللَّهِ فَاغْتَسَلْنَا
Maksudnya: Apabila bertemu dua khitan, maka wajiblah mandi. Aku telah melakukannya bersama Rasulullah SAW, lalu kami berdua mandi[8].
(Riwayat Ibn Majah)
Menurut Imam al-Ramli yang dimaksudkan dengan الِالْتِقَاء (pertemuan) di sini ialah berhampiran atau bertentangan, kerana khitan wanita terletak di atas laluan masuk zakar dan kedua-duanya hanya dapat bertentangan apabila hashafah atau kadar yang sama dengannya bagi yang terpotong hashafahnya tenggelam ke dalam faraj[9].
Merujuk kepada takrifan yang telah dikemukakan, perbuatan liwat juga dihukumkan sebagai jimak kerana ia merujuk kepada perbuatan memasukkan hashafah (kepala zakar) ke dalam kemaluan. Hal ini dijelaskan oleh Imam Nawawi dalam Rawdhat al-Talibin, katanya:
وَالرَّابِعُ: الْجَنَابَةُ وَهِيَ بِأَمْرَيْنِ: الْجِمَاعُ وَالْإِنْزَالُ. أَمَّا الْجِمَاعُ فَتَغْيِيبُ قَدْرِ الْحَشَفَةِ فِي أَيِّ فَرْجٍ كَانَ سَوَاءٌ غُيِّبَ فِي فَرْجِ امْرَأَةٍ أَوْ بَهِيمَةٍ أَوْ دُبُرِهِمَا أَوْ دُبُرِ رَجُلٍ أَوْ خُنْثَى صَغِيرٍ أَوْ كَبِيرٍ حَيٍّ أَوْ مَيِّتٍ. وَيَجِبُ عَلَى الْمَرْأَةِ بِأَيِّ ذَكَرٍ دَخَلَ فَرْجَهَا حَتَّى ذَكَرِ الْبَهِيمَةِ وَالْمَيِّتِ وَالصَّبِيِّ. وَعَلَى الرَّجُلِ الْمُولَجِ فِي دُبُرِهِ.
Maksudnya: Keempat: Janabah (hadas besar), yang berlaku kerana dua perkara: jimak dan inzal (keluar mani). Adapun jimak, iaitu tenggelamnya kadar hashafah ke dalam mana-mana faraj, sama ada ia dimasukkan ke dalam faraj wanita, atau faraj binatang, atau dubur kedua-duanya (wanita atau binatang), atau dubur lelaki, atau dubur khunsa, sama ada kanak-kanak atau dewasa, yang hidup atau sudah mati. Wajib mandi bagi wanita apabila farajnya dimasuki oleh mana-mana zakar, termasuk zakar binatang, zakar mayat, atau zakar kanak-kanak lelaki. Wajib juga mandi bagi lelaki yang dimasukkan (zakar orang lain) ke dalam duburnya[10].
Begitu juga sebagaimana dinyatakan oleh Ibn al-Nuqayb al-Shafi’i dalam Umdat al-Salik wa ‘Uddah al-Nasik, katanya:
يجب على الرجل من خروج المني ومن إيلاج الحشفة في أي فرج كان قبلاً أو دبراً ذكراً كان أو أنثى ولو بهيمة أو صغيراً في صغيرة. ويجب على المرأة من خروج منيها ومن أي ذكر دخل في قبلها أو دبرها، ولو أشل أو من صبي أو بهيمة.
Maksudnya: Wajib mandi bagi lelaki kerana keluarnya mani, dan kerana memasukkan hashafah (kepala zakar) ke dalam mana-mana faraj, sama ada pada qubul atau dubur lelaki atau perempuan, walaupun pada binatang, atau kanak-kanak lelaki pada kanak-kanak perempuan. Dan wajib bagi perempuan kerana keluar air maninya sendiri, dan kerana masuknya mana-mana zakar ke dalam qubul atau duburnya, walaupun zakar itu milik orang yang lumpuh, kanak-kanak lelaki, atau binatang[11].
Berdasarkan keterangan di atas, istilah faraj merujuk kepada makna yang tidak hanya ditentukan kepada kemaluan wanita sahaja, tetapi ia mencakupi qubul dan dubur. Hal ini turut dijelaskan oleh sebahagian ulama Shafi’iyyah yang lain sebagaimana dinyatakan dalam Mukhtasar Tuhfat al-Muhtaj:
(فرجا)
واضحاً قبلا أو دبراً فوصل إلى بعد ما يجب غسله- ولو لسمكة وميت وجِنِّيَة إن تحققت
Maksudnya: (Wajib mandi kerana memasukkan hashafah atau kadar yang seumpamanya ke dalam) faraj yang mana sudah jelas maknanya, iaitu qubul atau dubur hingga melebihi had bahagian yang perlu dibasuh (ketika mandi wajib) sekalipun (faraj) ikan, mayat atau jin perempuan jika diyakini.
Justeru, keterangan ini jelas menunjukkan bahawa liwat juga dikategorikan sebagai perbuatan jimak yang mewajibkan mandi wajib ke atas pelaku dan pasangannya. Imam Nawawi menegaskan bahawa seseorang lelaki yang dimasukkan zakar ke dalam duburnya adalah diwajibkan mandi[12]. Malah hukum ini terpakai bagi keadaan liwat yang dilakukan secara sukarela mahupun terpaksa.
Kesimpulan
Perbuatan liwat termasuk dalam kategori jimak kerana melibatkan persentuhan secara langsung antara zakar dengan faraj (termasuk dubur), sekalipun dilakukan melalui jalan yang diharamkan. Oleh itu, mandi diwajibkan ke atas kedua-dua pihak yang terlibat sama ada pelaku mahupun pasangannya.
[1] Ibn Manẓūr, Lisān al-‘Arab, (Beirut: Dār Sādir, t.t), jil. 7, ms. 396.
[2] Al-Nawawī, Abū Zakariyā Muḥyī bin Syarf, Minhāj al-Ṭālibīn wa ‘Umdah al-Muftīn, (Dār al-Fikr, 2005M), ms. 295.
[3] Mutawallī al-Sya’rāwī, Tafsīr al-Sya’rāwī, (Maṭabi’ Akhbar al-Yawm, t.t), jil. 17, ms. 10805.
[4] Aḥmad bin Ḥanbal, Musnad Aḥmad, (Muassasah al-Risālah, 2001M), Hadis no. 2913, jil. 5, ms. 83.
[5] Aḥmad al-Banna al-Sā’ātī, Al-Fatḥ al-Rabbānīy li Tartīb Musnad al-Imām Aḥmad bin Ḥanbal, (Dār Iḥya al-Turāth al-‘Arabiy, t.t), jil. 19, ms. 295.
[6] Al-Nawawī, Minhāj al-Ṭālibīn wa ‘Umdah al-Muftīn, ms. 14.
[7] Al-Ramlī, Shams al-Dīn Muḥammad, Nihāyah al-Muḥtāj ilā Sharḥ al-Minhāj, (Beirut: Dār al-Fikr, 1983M), jil. 1, ms. 212.
[8] Ibn Mājah, Abū ‘Abdullāh Muḥammad al-Qazwīnīy, Sunan Ibn Mājah, (Dār al-Risālah al-‘Ālamiyyah, 2009M), Hadis no. 607, jil. 1, ms. 383.
[9] Al-Ramlī, Nihāyah al-Muḥtāj ilā Sharḥ al-Minhāj, jil. 1, ms. 212.
[10] Al-Nawawī, Abū Zakariyā Muḥyī bin Syarf, Rawḍah al-Ṭālibīn wa ‘Umdah al-Muftīn, (Beirut: al-Maktab al-Islāmīy, 1991M), jil. 1, ms. 81.
[11] Ibn Nuqayb al-Shāfi’ī, ‘Umdah al-Sālik wa ‘Uddah al-Nāsik, (Qatar: al-Syu’un al-Dīniyyah, 1982M), ms. 21.
[12] Al-Nawawī, Rawḍah al-Ṭālibīn wa ‘Umdah al-Muftīn, jil. 1, ms. 81.