#94 Taudhih Al-Hukmi : Hukum Menyedekahkan Bacaan Al-Quran Kepada Si Mati

HUKUM MENYEDEKAHKAN BACAAN AL-QURAN KEPADA SI MATI

Tarikh: 8 September 2025

Disediakan oleh: Unit Dirasat Ilmiah

Pengenalan

Membaca al-Quran adalah antara ibadah untuk mendekatkan diri seorang Muslim kepada Allah SWT serta menjadi sebab untuk memperoleh ganjaran pahala. Namun, bolehkah seseorang itu menyedekahkan pahala bacaan al-Quran kepada orang lain? Sehinggakan, menjadi suatu amalan kebiasaan bagi masyarakat Melayu untuk menyedekahkan pahala bacaan al-Quran itu kepada si mati seperti dalam majlis tahlil, majlis zikir, doa dan sebagainya. Justeru, artikel ini ingin membincangkan mengenai hukum menyedekahkan pahala bacaan al-Quran kepada si mati serta adakah amalan ini sampai pahalanya kepada si mati atau sebaliknya.

Amalan Menyedekahkan Pahala Bacaan Al-Quran Kepada Si Mati

Dalam tradisi umat Islam seperti di Nusantara, terdapat satu amalan iaitu sedekahkan pahala bacaan al-Quran kepada orang yang telah meninggal dunia. Ia sebagai tanda kasih sayang, penghormatan serta doa agar si mati mendapat rahmat dan keampunan daripada Allah SWT. Namun begitu, ulama berselisih pandangan mengenai amalan ini, adakah amalan tersebut diharuskan dan pahalanya sampai kepada si mati atau sebaliknya?

Pandangan Pertama: Makruh dan Tidak Sampai Pahalanya Kepada Si Mati

Ia merupakan pandangan daripada mutaqaddimin (ulama terdahulu) dalam mazhab Maliki serta pandangan yang masyhur di sisi mazhab Shafi’i seperti penjelasan berikut:

  • Imam Ibn ‘Arafah sebagaimana dalam kitab Hashiyah al-Dusuqi menyatakan;

(وَ) كُرِهَ قِرَاءَةٌ (بَعْدَهُ) أَيْ بَعْدَ مَوْتِهِ (وَعَلَى قَبْرِهِ) لِأَنَّهُ لَيْسَ مِنْ عَمَلِ السَّلَفِ[1]

Maksudnya: Adalah makruh membaca (al-Quran) selepasnya iaitu selepas kematiannya (seseorang) dan juga (membaca al-Quran di atas kuburnya) kerana (perbuatan tersebut) bukan daripada amalan golongan salaf (generasi awal umat Islam).

  • Imam al-Nawawi menerusi karyanya Sharh Muslim menyatakan bahawa:

وَأَمَّا قِرَاءَةُ الْقُرْآنِ فَالْمَشْهُورُ مِنْ مَذْهَبِ الشَّافِعِيِّ أَنَّهُ لَا يَصِلُ ثَوَابُهَا إِلَى الْمَيِّتِ[2]

Maksudnya: Adapun bacaan al-Quran, maka yang masyhur daripada mazhab

al-Shafi’i tidaklah sampai pahalanya kepada si mati.

Antara Dalil Yang Tidak Mengharuskan

Antara dalil yang menyatakan tidak harus sedekah bacaan al-Quran dan tidak sampai pahala tersebut kepada si mati adalah berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Najm ayat 39:

وَأَن لَّيْسَ لِلْإِنسَانِ إِلَّا مَا سَعَىٰ

Maksudnya: Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya.

Menurut Imam Ibn Kathir bahawa setiap manusia hanya akan mendapat pahala daripada usahanya sendiri dan juga tidak menanggung dosa orang lain. Berdasarkan ayat al-Quran ini, Imam al-Shafi’i dan yang mengikuti pandangannya berpendapat bahawa pahala bacaan al-Quran tidak sampai kepada orang yang telah meninggal kerana ia bukan daripada usaha si mati. Rasulullah SAW dan para sahabat juga tidak pernah menganjurkan atau mencontohkan amalan tersebut.[3]

Selain itu, terdapat hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

‌إِذَا ‌مَاتَ ‌الْإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثَةٍ: إِلَّا مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ[4]

Maksudnya: Apabila seseorang manusia itu meninggal dunia, terputuslah semua amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang dapat memberi manfaat kepadanya dan anak soleh yang mendoakan untuknya.

(Riwayat Muslim)

Menurut Imam al-Nawawi bahawa para ulama menjelaskan bahawa maksud hadis ini adalah apabila seseorang meninggal dunia, semua amalannya akan terhenti melainkan  tiga perkara yang tetap memberi pahala kepadanya walaupun sudah meninggal dunia. Tiga perkara itu ialah: anak yang soleh hasil didikannya, ilmu bermanfaat yang ditinggalkannya sama ada melalui pengajaran atau penulisan dan sedekah jariah seperti wakaf.[5]

Justeru, dapat difahami daripada hadis ini bahawa hanya amalan tertentu sahaja yang dapat memberi pahala yang berterusan kepada seseorang walaupun setelah meninggal dunia.

Pandangan Kedua: Harus dan Sampai Pahalanya Kepada Si Mati 

Ia merupakan pandangan majoriti ulama daripada mazhab Hanafi dan Hanbali serta sebahagian ulama mazhab Shafi’i dan Maliki seperti penjelasan berikut:

  • Imam Ibn Nujaim daripada mazhab Hanafi menyatakan:

فَإِنَّ مَنْ صَامَ أَوْ صَلَّى أَوْ تَصَدَّقَ وَجَعَلَ ثَوَابَهُ لِغَيْرِهِ مِنْ الْأَمْوَاتِ وَالْأَحْيَاءِ جَازَ وَيَصِلُ ثَوَابُهَا إلَيْهِمْ عِنْدَ أَهْلِ السُّنَّةِ وَالْجَمَاعَةِ[6]

Maksudnya: Jika seseorang berpuasa, solat atau bersedekah, kemudian menyedekahkan pahalanya kepada orang lain sama ada yang telah meninggal dunia atau yang masih hidup, maka ia diharuskan dan pahala tersebut akan sampai kepada mereka menurut pandangan Ahli Sunnah wal Jamaah.

Imam Ibn ‘Abidin pula menyatakan sesuatu amalan sama ada fardu atau sunat boleh disedekahkan pahala amalan tersebut kepada orang lain, sama ada seseorang itu masih hidup atau meninggal dunia jika diniatkan dari awal atau selepas selesai melakukannya. Beliau menyatakan;

أَنَّهُ لَا فَرْقَ بَيْنَ أَنْ يَكُونَ الْمَجْعُولُ لَهُ مَيِّتًا أَوْ حَيًّا. وَالظَّاهِرُ أَنَّهُ لَا فَرْقَ بَيْنَ أَنْ يَنْوِيَ بِهِ عِنْدَ الْفِعْلِ لِلْغَيْرِ أَوْ يَفْعَلَهُ لِنَفْسِهِ ثُمَّ بَعْدَ ذَلِكَ يَجْعَلُ ثَوَابَهُ لِغَيْرِهِ، لِإِطْلَاقِ كَلَامِهِمْ، ‌وَأَنَّهُ ‌لَا ‌فَرْقَ ‌بَيْنَ ‌الْفَرْضِ ‌وَالنَّفَلِ[7]

Maksudnya: Tidak ada perbezaan sama ada orang yang disedekahkan pahala amalan itu adalah orang yang telah meninggal dunia atau masih hidup. Secara zahirnya tiada perbezaan sama ada diniatkan ketika melakukan amalan itu untuk orang lain atau melakukannya untuk dirinya sendiri kemudian diniatkan pahalanya kepada orang lain, berdasarkan keumuman pandangan ulama tentang perkara tersebut. Begitu juga, tiada perbezaan antara amalan fardu dan amalan sunat (dalam hal menyedekahkan pahala).

  • Imam al-Dusuqi daripada mazhab Maliki menyatakan:

لَكِنْ ‌الْمُتَأَخِّرُونَ ‌عَلَى ‌أَنَّهُ ‌لَا ‌بَأْسَ ‌بِقِرَاءَةِ ‌الْقُرْآنِ وَالذِّكْرِ وَجَعْلِ ثَوَابِهِ لِلْمَيِّتِ وَيَحْصُلُ لَهُ الْأَجْرُ إنْ شَاءَ اللَّهُ وَهُوَ مَذْهَبُ الصَّالِحِينَ مِنْ أَهْلِ الْكَشْفِ[8]

Maksudnya: Namun, ulama muta’akhkhirīn (generasi terkemudian) berpendapat bahawa tidak mengapa membaca al-Quran, berzikir dan menyedekahkan pahalanya kepada si mati. Dengan izin Allah pahala tersebut akan sampai kepadanya. Dan ini adalah pendapat golongan para solihin daripada kalangan ahli kashf.

  • Imam al-Sharwani dalam Hashiahnya ke atas Tuhfat al-Muhtaj menyatakan bahawa:

فَالْحَاصِلُ أَنَّهُ إذَا نَوَى ‌ثَوَابَ قِرَاءَةٍ لَهُ أَوْ دَعَا عَقِبَهَا بِحُصُولِ ثَوَابِهَا لَهُ أَوْ قَرَأَ عِنْدَ قَبْرِهِ حَصَلَ لَهُ مِثْلُ ‌ثَوَابِ قِرَاءَتِهِ وَحَصَلَ لِلْقَارِئِ أَيْضًا الثَّوَابُ[9]

Maksudnya: Apabila seseorang berniat menyedekahkan pahala bacaan (al-Quran) kepada si mati, atau dia berdoa selepas membaca agar pahala itu sampai kepadanya (si mati), atau dia membaca al-Quran di sisi kuburnya (si mati), maka si mati akan mendapat pahala bacaan tersebut. Pada masa yang sama, orang yang membaca juga tetap memperoleh pahala bacaannya (al-Quran).

  • Imam al-Buhuti daripada mazhab Hanbali menyatakan;

(وَكُلُّ قُرْبَةٍ فَعَلَهَا الْمُسْلِمُ وَجُعِلَ ثَوَابُهَا أَوْ بَعْضُهَا كَالنِّصْفِ وَنَحْوِهِ) كَالثُّلُثِ أَوْ الرُّبُعِ (لِمُسْلِمٍ حَيٍّ أَوْ مَيِّتٍ جَازَ) ذَلِكَ (وَنَفْعُهُ، ذَلِكَ لِحُصُولِ الثَّوَابِ لَهُ، حَتَّى لِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ)…قَالَ أَحْمَدُ: الْمَيِّتُ يَصِلُ إلَيْهِ كُلُّ شَيْءٍ مِنْ الْخَيْرِ، لِلنُّصُوصِ الْوَارِدَةِ فِيهِ وَلِأَنَّ الْمُسْلِمِينَ يَجْتَمِعُونَ فِي كُلِّ مِصْرٍ وَيَقْرَءُونَ وَيَهْدُونَ لِمَوْتَاهُمْ مِنْ غَيْرِ نَكِيرٍ فَكَانَ إجْمَاعًا[10]

Maksudnya: Dan setiap amalan (yang mendekatkan diri kepada Allah) yang dilakukan oleh seorang Muslim, kemudian pahalanya sama ada seluruh atau sebahagiannya seperti separuh, sepertiga atau suku disedekahkan kepada seorang Muslim lain, sama ada yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia adalah harus. Demikian itu, (orang yang disedekahkan pahala) akan mendapat manfaat kerana pahala tersebut akan sampai kepadanya, bahkan sekalipun kepada Rasulullah SAW. Imam Ahmad berkata: Segala kebaikan akan sampai kepada si mati, berdasarkan nas-nas yang warid dalam perkara ini sebagaimana kaum Muslimin berkumpul di kebanyakan tempat kemudian mereka membaca (al-Quran) dan menyedekahkan pahala kepada orang mati tanpa ada sesiapa yang mengingkari perbuatan tersebut, maka ia telah menjadi satu ijmak (kesepakatan).

Antara Dalil Yang Mengharuskan

Antara dalil yang menyatakan keharusan sedekah bacaan al-Quran dan sampai pahala tersebut kepada si mati adalah berdasarkan keumuman dalil doa orang yang masih hidup kepada orang yang telah meninggal dunia. Firman Allah SWT dalam surah al-Hashr ayat 10;

وَالَّذِينَ جَاءُوا مِن بَعْدِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ

Maksudnya: Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman.

Menurut Imam al-Baghawi maksud ayat ini ditujukan kepada golongan Tabi’in, iaitu mereka yang datang selepas golongan Muhajirin dan Ansar sehingga hari kiamat. Kemudian Allah SWT menyebutkan bahawa mereka berdoa untuk diri mereka sendiri dan untuk orang-orang yang telah mendahului mereka dalam keimanan serta memohon keampunan bagi mereka.[11] Di dalam ayat ini menunjukkan keharusan dalam mendoakan dan meminta keampunan kepada sesama saudara Islam kerana hubungan orang mukmin dengan mukmin tidak putus di dunia hingga akhirat.

Rasulullah SAW juga turut mengajar umatnya supaya mendoakan orang yang telah meninggal dunia sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada ‘Uthman bin ‘Affan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

اسْتَغْفِرُوا لِأَخِيكُمْ وَسَلُوا لَهُ بِالتَّثْبِيتِ ‌فَإِنَّهُ ‌الْآنَ ‌يُسْأَلُ[12]

Maksudnya: Mintalah ampun oleh kamu sekalian akan saudara kamu dan mintalah untuknya keteguhan, kerana sesungguhnya dia sekarang sedang disoal (oleh malaikat).

(Riwayat Abu Daud)

Selain itu, terdapat juga hadis yang membenarkan seseorang yang masih hidup untuk meniatkan pahala amalan sedekah kepada ibunya yang telah meninggal dunia. Hadis yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah RA bahawa seorang lelaki datang berjumpa Rasulullah SAW bertanya akan perihal ibunya yang telah meninggal dunia; 

إِنَّ أُمِّي افْتُلِتَتْ نَفْسُهَا وَأَظُنُّهَا لَوْ تَكَلَّمَتْ تَصَدَّقَتْ فَهَلْ لَهَا أَجْرٌ إِنْ تَصَدَّقْتُ عَنْهَا؟ قَالَ: نَعَمْ[13]

Maksudnya: Sesungguhnya ibuku meninggal dunia secara mengejut (tiba-tiba), aku menyangka kalau dia dapat bercakap nescaya dia akan bersedekah, maka adakah dia mendapat pahala sekiranya aku bersedekah untuknya? Rasulullah SAW menjawab: Ya.

(Riwayat al-Bukhari)

Imam Ibn ‘Abdi al-Barr menyebutkan bahawa hadis ini disepakati maksudnya oleh para ulama bahawa sedekah yang dilakukan oleh orang hidup untuk orang yang telah meninggal dunia adalah dibolehkan dan memberi manfaat kepadanya, asalkan harta yang digunakan adalah harta yang baik.[14]

Justeru, berdasarkan dalil-dalil al-Quran dan al-Sunnah yang dinyatakan menunjukkan bahawa pahala amalan yang diniatkan khusus kepada orang yang telah meninggal dunia seperti sedekah atau doa yang dipohonkan untuknya  adalah sampai kepadanya.

Tarjih Pandangan

Setelah meneliti pandangan para ulama di atas, jelas terdapat perselisihan pandangan di antara yang mengatakan makruh dan pahala bacaan tersebut tidak sampai kepada si mati serta terdapat pandangan harus dan pahala bacaan tersebut sampai kepada si mati.

Mengikut pandangan yang lebih kuat, iaitu pandangan Jumhur ulama, harus perbuatan tersebut dan pahala yang disedekahkan itu sampai kepada si mati. Hal ini berdasarkan hujah dan dalil yang seperti berikut:

  • Dalil ayat al-Quran di dalam surah al-Najm ayat 39 yang lalu;

Menurut Ibn Abbas, ayat ini telah dimansuhkan dengan ayat 21 dalam surah al-Tur yang menyatakan bahawa anak-anak dapat masuk syurga atas kebaikan bapanya pada hari kiamat serta Allah SWT akan memberikan syafaat kepada ibu bapa melalui anak-anak dan sebaliknya (kepada anak-anak melalui ibu bapa). Hal ini sebagaimana ditunjukkan dalam firman Allah SWT:

آبَاؤُكُمْ وَأَبْنَاؤُكُمْ لَا تَدْرُونَ أَيُّهُمْ أَقْرَبُ لَكُمْ نَفْعًا

Maksudnya: Ibu bapa kamu dan anak-anak kamu, kamu tidak mengetahui siapa di antaranya yang lebih dekat serta banyak manfaatnya kepada kamu.[15] 

  • Menurut Sheikh al-Islam Zakaria al-Ansari dalam Fath al-Wahhab: “Apa yang disebut sebagai pendapat yang masyhur dalam mazhab itu dimaksudkan sekiranya ia dibaca bukan di hadapan si mati dan tidak meniatkan pahala bacaannya kepadanya, atau meniatkannya tetapi tidak berdoa untuknya”.[16] Bahkan, terdapat teks Imam Shafi’i sendiri dalam kitab al-Umm yang zahirnya menyokong penjelasan ini, katanya:

‌وَأُحِبُّ ‌لَوْ ‌قُرِئَ ‌عِنْدَ ‌الْقَبْرِ، ‌وَدُعِيَ ‌لِلْمَيِّتِ

Maksudnya: Dan aku suka kalau dibacakan (al-Quran) di sisi kubur dan didoakan untuk si mati.[17]

Justeru, dapat difahami bahawa menyedekahkan pahala bacaan kepada si mati mestilah dengan niat dan doa sekaligus. Manakala doa sahaja tidak memadai tanpa niat, kerana niat itu dilakukan semasa membaca, manakala doa pula dilakukan selepas selesai membaca. Justeru, ini adalah maksud sebenar Imam al-Shafi’i.

Perkara ini turut dijelaskan juga oleh para ulama lain seperti berikut:

  • Menurut Imam Ibn Qudamah di dalam al-Mughni menyatakan bahawa di sisi beliau, amalan (sedekahkan bacaan al-Quran) ini merupakan ijmak (kesepakatan) umat Islam tanpa ada sebarang bantahan.[18]
  • Di dalam kitab Subul al-Salam terdapat sebahagian ulama’ dalam kalangan ahli sunnah dan bermazhab Hanafi berpendapat bahawa seseorang boleh menyedekahkan pahala amalannya kepada orang lain, sama ada solat, puasa, haji, sedekah, bacaan al-Quran, zikir atau apa jua bentuk amalan ketaatan. Dan inilah pendapat yang lebih kuat dari segi dalil sebagaimana riwayat Imam al-Daraqutni yang membenarkan seseorang solat dan berpuasa untuk ibu bapanya yang telah meninggal dunia dan juga riwayat Imam Abu Daud yang menyuruh untuk dibacakan surah Yasin kepada si mati.[19]
  • Imam al-Nawawi dalam karyanya Fatawa; “Masalah: Adakah sampai kepada si mati pahala apa yang disedekahkan untuknya doa ataupun bacaan al-Quran? Jawapan: Sampai kepadanya pahala doa dan pahala sedekah dengan Ijmak ulama’. Dan mereka berselisih pula tentang pahala bacaan al-Quran. Maka kata Ahmad dan sebahagian ashab al-Shafi’i: Ia sampai. Manakala kata Imam al-Shafi’i dan kebanyakan ulama: Tidak sampai”.[20]

Walaupun amalan ini menjadi perselisihan para ulama, akan tetapi Imam al-Nawawi memberikan panduan bagi menyelesaikan masalah ini iaitu seseorang boleh berdoa selepas sesuatu amalan yang dilakukan serta ia diniatkan kepada si mati. Beliau menyatakan di dalam kitab al-Adhkar bahawa;

فالاختيار أن يقول القارئ بعد فراغه: اللهمّ أوصلْ ثوابَ ما قرأته إلى فلان، والله أعلم

Maksudnya: Maka pandangan yang terpilih adalah si pembaca al-Quran berkata setelah selesai bacaannya: “Ya Allah, sampaikanlah pahala apa yang telah aku baca kepada si fulan”, Wallahu ‘Alam.[21]

Justeru, dapat disimpulkan bahawa mengikut pandangan yang lebih kuat, amalan menyedekahkan pahala bacaan al-Quran kepada si mati adalah diharuskan dan pahala tersebut sampai kepadanya jika doa dan niat tersebut ditujukan kepada si mati.

Kesimpulan

Amalan menyedekahkan pahala bacaan al-Quran kepada si mati merupakan perkara khilaf dalam kalangan ulama’. Walaupun terdapat pandangan yang mengatakan ia tidak sampai pahalanya, pandangan yang lebih kuat dan diterima oleh jumhur ulama’ ialah amalan ini diharuskan dan pahalanya sampai kepada si mati sekiranya diniatkan dan disertakan doa untuknya.

[1] Muḥammad bin Aḥmad bin ‘Arafah al-Dusūqī al-Mālikī, Ḥāshiyah al-Dusūqī ‘Alā al-Sharḥ al-Kabīr, (t.t.p.: Dār al-Fikr, t.t.), jil. 1 ms. 423.

[2] Abū Zakariyā Muḥiyuddīn Yaḥyā bin Sharaf al-Nawawī, al-Minhāj Sharḥ Ṣaḥīḥ Muslim bin al-Ḥajjāj. (Beirut: Dār Iḥyā al-Turāth al-‘Arabī, t.t.), jil. 1, ms.  90.

[3] Abū al-Fidā’ Ismāīl bin Umar bin Kathir al-Qurasyī al-Baṣrī, Tafsīr al-Qurān al-‘Aẓīm, (t.t.p: Dār Ṭībah li al-Nasyr Wa al-Tawzī’, 1999), jil. 7, ms. 465.

[4] Abū Ḥusayn Muslim bin al-Ḥajjāj bin Muslim Al-Qusyairī Al-Nīsābūri, Ṣaḥīḥ Muslim. (Turki: Dār Al-Ṭibā’ah Al-‘Amārah, 1915). Hadis no. 1631 jil. 5, ms.  73.

[5] Abū Zakariyā Muḥiyuddīn Yaḥyā bin Sharaf al-Nawawī, Al-Minhāj Sharḥ Ṣaḥīḥ Muslim bin al-Ḥajjāj, jil. 11, ms.  85.

[6] Ibn Nujaīm al-Miṣrī, Zainuddīn bin Ibrāhīm bin Muḥammad, Al-Baḥr al-Rāiq Sharḥ Kanz al-Daqāiq, (t.t.p: Dār al-Kitāb al-Islāmī, t.t.), jil. 3, ms.  63.

[7] Ibn ‘Ābidīn, Muḥammad Amīn, Ḥāshiyah Radd al-Muḥtār ‘Alā al-Durr al-Mukhtār, (Mesir: Sharikah Maktabah Wa Maṭba’ah Muṣṭafā al-Bābī al-Ḥalābī, 1966), jil. 2, ms.  243.

[8] al-Dusūqī al-Mālikī, Ḥāshiyah al-Dusūqī ‘Alā al-Sharḥ al-Kabīr, jil. 1, ms.  423.

[9] Ahmad bin Muhammad bin ‘Ali bin Hajar al-Haitami, Tuhfah al-Muḥtāj Fī Syarḥ al-Minhāj wa Ḥawāshī al-Sharwānī wa al-‘Abbādī (Beirut: Dar Ihya’ Turath al-‘Arabi, 1983), jil 7, ms. 74.

[10] Manṣūr bin Yūnus bin Idrīs al-Buhūtī, Kashshāf al-Qinā’ ‘An Matn al-Iqnā’, (Riyaḍ: Maktabah al-Naṣr al-Ḥadīthah, t.t.), jil. 2, ms.  147.

[11] Muḥiyu al-Sunnah, Abū Muḥammad al-Ḥusain bin Mas’ūd al-Baghāwī, Ma’ālim al-Tanzīl fī Tafsīr al-Qurān. (t.t.p: Dār Ṭibah Li al-Nashr Wa al-Tawzī’, 1997), jil. 8, ms.  79.

[12] Abū Daūd al-Ash’ath al-Azdī Al-Sijistānī, Sunan Abū Daūd, (t.t.p: Dār Risālah al-‘Ālamiyyah, 2009). Hadis no. 3221, jil. 5, ms. 127..

[13] Al-Bukhārī, Muḥammad bin Ismāīl, Ṣaḥīḥ al-Bukhārī, (Dimasyq: Dār Ibn Kathir, Dār al-Yamamah, 1994), Hadis no. 1322,  jil. 1, ms.  467.

[14] Abū Umar bin Abdi al-Barr al-Namrī al-Qurṭubī. Al-Tamhīd Limā Fī al-Muwatṭo’ Min al-Ma’ānī Wa al-Asānīd Fī Ḥadis Rasulullah. (London: Muassasah al-Furqān Li al-Turāth al-Islāmī, 2017), 14: 111.

[15]Abu Abdullāh, Muḥammad bin Aḥmad al-Anṣarī al-Qurṭubī, al-Jāmi’ li Aḥkām al-Qurān, (Kaherah: Dār al-Kutub al-Maṣriyyah 1964), jil. 17, ms. 114-115.

[16] Zakariyyā bin Muḥammad bin Aḥmad bin Zakariyyā al-Anṣārī, Fatḥ al-Wahhāb bi Sharḥ Manhaj al-Ṭullab, (t.t.p.: Dār al-Fikr Li al-Ṭibā’ah Wa al-Nashr, 1994), jil. 2, ms. 23.

وَمَا قَالَهُ مِنْ مَشْهُورِ الْمَذْهَبِ مَحْمُولٌ عَلَى مَا إذَا قَرَأَ لَا ‌بِحَضْرَةِ ‌الْمَيِّتِ وَلَمْ يَنْوِ ثَوَابَ قِرَاءَتِهِ لَهُ أَوْ نَوَاهُ وَلَمْ يَدْعُ

[17] Abū Abdullāh Muḥammad bin Idrīs al-Shāfi’ī, Al-Umm, (Beirūt: Dār al-Fikr, 1983), jil. 1, ms.  322.

[18]Abū Muḥammad Abdullāh bin Aḥmad bin Muḥammad bin Qudāmah al-Maqdisī al-Hanbalī, Al-Mughnī, (Riyaḍ: Dār ‘Ālam al-Kutub Li al-Ṭibā’ah Wa al-Nashr Wa al-Tawzī’, 1997), jil. 3, ms. 522.

وأنَّه إجْمَاعُ المسلمين؛ فإنَّهُم في كُلِّ عَصْرٍ ومِصْرٍ يَجْتَمِعُونَ ويَقْرَأونَ القُرْآنَ، ويُهْدونَ ثَوَابَهُ إلى مَوْتَاهم مِن غيرِ نَكِيرٍ

[19]Muḥammad bin Ismāīl al-Amīr al-Yamanī al-Ṣan’ānī, Subul al-Salām, (Mesir: Dār al-Hadīth, 1997), jil. 2, ms. 509-510.

[20] Abū Zakariyā Muḥīyuddīn Yaḥyā bin Sharaf al-Nawawī, Fatāwā al-Imam al-Nawawī, (Beirūt: Dār al-Bashāir al-Islāmiyyah, 1996), ms. 83.

[21] Abū Zakaria Muḥiyu al-Dīn Yaḥyā bin Sharaf al-Nawawī, al-Adhkār, (Beirūt: Dār al-Fikr Li al-Ṭibā’ah Wa al-Nashr Wa al-Tawzī’, 1994), ms. 165.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Accessibility Toolbar