#93 Taudhih Al-Hukmi : Bacaan Bagi Menggantikan Sujud
Tilawah
Tarikh:
29 Ogos
2025
Disediakan
oleh: Unit Dirasat Ilmiah
Pendahuluan
Sujud merupakan suatu bentuk penghambaan yang paling utama
bagi seorang Muslim kepada Allah SWT. Terdapat lima jenis sujud dalam Islam;
sujud solat, sujud Sahwi, sujud Tilawah, sujud Syukur, dan sujud Mutāba‘ah
di mana kesemua ini telah dihimpunkan oleh Shaykh Sāmī Bā Shukayl.[1] Artikel
ini hanya akan mengupas hukum berkaitan sujud Tilawah, iaitu sujud kerana
bacaan al-Quran yang ada ayat Sajdah, sama ada di dalam solat atau di
luar solat.
Hukum Sujud Tilawah
Tuntutan untuk melakukan sujud Tilawah bersandarkan kepada
sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abū Hurairah RA bahawasanya Rasulullah
SAW bersabda:
إِذَا
قَرَأَ ابْنُ آدَمَ السَّجْدَةَ فَسَجَدَ اعْتَزَلَ الشَّيْطَانُ يَبْكِي
يَقُولُ: يَا وَيْلَهُ – وَفِي رِوَايَةِ أَبِي كُرَيْبٍ: يَا وَيْلِي – أُمِرَ
ابْنُ آدَمَ بِالسُّجُودِ فَسَجَدَ فَلَهُ الْجَنَّةُ، وَأُمِرْتُ بِالسُّجُودِ
فَأَبَيْتُ فَلِيَ النَّارُ
Maksudnya:
Apabila seseorang anak Adam membaca ayat Sajdah lalu dia sujud, maka
syaitan akan terpinggir menangis sambil berkata: Celakalah dia – dalam Riwayat
Abu Kuraib: Celakalah aku – apabila anak Adam diperintahkan untuk sujud, lalu
dia sujud, maka baginya syurga. Adapun aku diperintahkan untuk sujud, tetapi
aku enggan, maka bagiku neraka.[2]
(Riwayat
Muslim)
Sesuatu tuntutan atau perintah pada asalnya menunjukkan
hukum wajib, namun jika terdapat qarinah (petunjuk)
yang menunjukkan kepada hukum sunat, maka ia akan berubah kepada hukum sunat.
Kaedah usul fiqh ini dihuraikan oleh Imam al-Maḥallī dalam Sharḥ al-Waraqāt:
والمتتبع
لكلام الفقهاء يجدهم يحملون الأمر على الوجوب، إلا إذا وجدت
قرينة
صارفة أو عارض الأمر دليل آخر
Maksudnya: Sesiapa
yang meneliti kata-kata fuqaha, dia akan mendapati bahawa mereka menggunakan
lafaz ’amr (perintah) merujuk kepada wajib melainkan jika terdapat qarīnah yang mengubah kepada makna lain atau suruhan tersebut disanggahi dengan
dalil lain.[3]
Dalam konteks ini, terdapat qarīnah yang menunjukkan suruhan dalam hadis di atas adalah sunat.
Antaranya ialah hadis yang diriwayatkan oleh Zaid bin Thābit RA, beliau
mengatakan:
قَرَأْتُ
عَلَى النَّبِيِّ ﷺ (وَالنَّجْمِ) فَلَمْ يَسْجُدْ فِيهَا
Maksudnya:
Aku telah membacakan kepada Nabi SAW Surah al-Najm dan Baginda tidak sujud
padanya.[4]
(Riwayat
al-Bukhārī)
Berdasarkan hadis ini, fuqaha mazhab Shāfi‘ī memahami bahawa
sujud Tilawah adalah tidak wajib, kerana Rasulullah SAW meninggalkannya. Imam
al-Māwardī ketika menghuraikan hadis ini mengatakan:
وَلَوْ
كَانَ وَاجِبًا لَسَجَدَ رَسُولُ ﷺ وَأَمَرَ
بِهِ زَيدًا
Maksudnya:
Sekiranya sujud Tilawah wajib, nescaya Rasulullah SAW akan sujud dan menyuruh
Zaid untuk sujud.[5]
Sujud Tilawah turut dinamakan sebagai ‘azā‘im al-sujūd, iaitu tempat yang dituntut untuk melakukan sujud.
Kata Imam Shams al-Dīn al-Ramlī:
رُوِيَ
عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ “ص لَيْسَتْ مِنْ عَزَائِمِ السُّجُودِ” أَيْ مِنْ
مُتَأَكِّدَاتِهِ
Maksudnya:
Diriwayatkan daripada Ibn Abbās RA bahawa “(ayat yang terdapat dalam) Surah Sad
tidak termasuk dalam ‘azā‘im al-sujūd”,
iaitu tempat yang dituntut untuk melakukan sujud (merujuk kepada sujud Tilawah).[6]
Maka, jelaslah bahawa hukum sujud Tilawah adalah sunat
mengikut pandangan muktamad mazhab Shāfi‘ī.
Pihak yang Dituntut Melakukan Sujud Tilawah
Sujud Tilawah disunatkan ke atas sesiapa yang membaca ayat
al-Quran yang padanya disunatkan sujud termasuk sesiapa yang mendengar bacaan
tersebut. Pensyariatan sujud Tilawah tidak terhad di luar solat, malah turut
merangkumi situasi di dalam solat. Makmum mesti mengikuti imam yang melakukan
sujud Tilawah selepas imam membaca ayat yang ada ayat Sajdah padanya.
Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abū Hurairah RA bahawasanya Nabi
SAW bersabda:
إِنَّمَا جُعِلَ الإِمَامُ لِيُؤْتَمَّ
بِه
Maksudnya:
Sesungguhnya dijadikan imam untuk diikuti.[7]
(Riwayat
al-Bukhārī dan Muslim)
Sebaliknya, jika makmum mendengar bacaan imam yang ada
padanya ayat Sajdah, tetapi imam tidak melakukan sujud Tilawah, maka
makmum tidak boleh melakukan sujud Tilawah ketika itu.[8]
Al-Bantanī dalam karyanya Nihāyāt al-Zayn menghuraikan situasi yang disunatkan untuk
melakukan sujud Tilawah dan situasi yang tidak disunatkan, sama ada pembaca atau
pendengar:
تسن
سَجدَات التِّلَاوَة لمن قَرَأَ آيَة سَجْدَة قِرَاءَة مَشْرُوعَة مَقْصُودَة أَو
سَمعهَا ويتأكد السُّجُود للسامع سُجُود القارئ وَالْمرَاد بالمشروعة أَن لَا تكون
مُحرمَة وَلَا مَكْرُوهَة لذاتها وَخرج غير الْمَقْصُودَة كَقِرَاءَة النَّائِم
والساهي والسكران والطيور وَنَحْوهَا وبالْمَشروعة غَيرُهَا كَقِرَاءَة البَالِغ
الْمُسلم الجنب وكقراءة الْمُصَلِّي فِي غير القيام
Maksudnya:
Sunat dilakukan sujud Tilawah bagi sesiapa yang membaca ayat Sajdah
dengan bacaan yang disyariatkan dan diniatkan padanya, atau bagi sesiapa yang
mendengarnya. Adalah lebih dituntut bagi pendengar untuk sujud sepertimana dituntut
bagi pembaca. Maksud bacaan yang disyariatkan adalah yang tidak haram dan tidak
makruh untuk membacanya. Tidak termasuk dalam kategori bacaan yang diniatkan
ialah bacaan orang yang sedang tidur, lalai, mabuk, pertuturan burung dan
seumpamanya. Tidak termasuk dalam kategori bacaan yang disyariatkan ialah
bacaan selainnya, seperti bacaan seorang Muslim baligh yang berada dalam
keadaan junub, dan bacaan orang yang sedang solat pada selain keadaan berdiri.[9]
Syarat dan Rukun Sujud Tilawah
Disyaratkan
pada sujud Tilawah sepertimana disyaratkan pada solat fardu, iaitu perlu suci
daripada hadas dan najis, menghadap kiblat, menutup aurat dan sebagainya.[10]
Manakala rukunnya pula berbeza mengikut situasi sama ada di dalam atau di luar
solat. Jika dilakukan di dalam solat, maka rukunnya ialah sujud sahaja di sisi Imam
Ibn Ḥajar al-Haytamī, berbeza pula di sisi Imam al-Ramlī yang menetapkan
rukunnya ialah niat dan sujud.[11]
Manakala, jika dilakukan di luar daripada solat, maka
terdapat enam rukun yang perlu dipenuhi untuk melakukan sujud Tilawah, iaitu;
niat, takbiratul ihram, sujud, duduk selepas sujud tanpa bacaan tahiyyat,
beri salam, dan tertib.[12]
Bacaan Sujud Tilawah
Selain daripada perbincangan tentang syarat dan rukun sujud
Tilawah, para fuqaha turut menyentuh berkenaan bacaan yang sunat dibaca ketika
melakukan sujud Tilawah. Imam al-Nawawī dalam Rawḍat al-Ṭālibīn mengatakan:
وَيُسْتَحَبُّ
أَنْ يَقُولَ فِي سُجُودِهِ: “سَجَدَ وَجْهِي لِلَّذِي خَلَقَهُ وَصَوَّرَهُ،
وَشَقَّ سَمْعَهُ وَبَصَرَهُ بِحَوْلِهِ وَقُوَّتِهِ”. وَأَنْ يَقُولَ: “اللَّهُمَّ
اكْتُبْ لِي بِهَا عِنْدَكَ أَجْرًا، وَاجْعَلْهَا لِي عِنْدَكَ ذُخْرًا، وَضَعْ
عَنِّي بِهَا وِزْرًا، وَاقْبَلْهَا مِنِّي كَمَا قَبِلْتَهَا مِنْ عَبْدِكِ
دَاوُدَ
Maksudnya: Disunatkan
untuk membaca ketika sujud (Tilawah) “Telah sujud wajahku kepada (Allah) yang
Menciptakannya, yang Membentuknya dan yang Membuka pendengarannya serta
penglihatannya dengan daya dan kekuatan-Nya.” Disunatkan juga untuk membaca:
“Ya Allah, tuliskanlah untukku pahala di sisi-Mu dengan sujud ini, jadikanlah
sujud ini bekalan untukku di sisi-Mu, hapuskanlah daripadaku dosa dengan sujud
ini, dan terimalah sujud ini daripadaku sebagaimana Engkau menerimanya daripada
hamba-Mu Daud AS.” Sekiranya seseorang membaca bacaan yang dibaca ketika sujud
solatnya (yang biasa), maka dibolehkan.[13]
Bacaan Bagi Menggantikan Sujud
Tilawah
Apabila melakukan sujud Tilawah hukumnya adalah sunat, maka
tidak berdosa sekiranya seseorang meninggalkan sujud ini walaupun dengan
sengaja. Bahkan sebahagian fuqaha telah membahaskan berkenaan bacaan yang boleh
dibaca bagi menggantikan sujud tersebut.[14]
Ini sebagaimana yang disebutkan dalam Hāshiyat
al-Jamal:
فَإِنْ
لَمْ يَتَمَكَّنْ مِنْ التَّطْهِيرِ أَوْ مِنْ فِعْلِهَا لِشُغْلٍ قَالَ أَرْبَعَ
مَرَّاتٍ سُبْحَانَ اللَّهِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ وَلَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ
وَاللَّهُ أَكْبَرُ وَلَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إلَّا بِاللَّهِ الْعَلِيِّ
الْعَظِيمِ قِيَاسًا عَلَى مَا قَالَهُ بَعْضُهُمْ مِنْ سَنِّ ذَلِكَ لِمَنْ لَمْ
يَتَمَكَّنْ مِنْ تَحِيَّةِ الْمَسْجِدِ لِحَدَثٍ أَوْ شُغْلٍ
Maksudnya:
Jika seseorang itu tidak bersempatan untuk bersuci atau melakukannya (sujud
Tilawah) kerana sibuk dengan sesuatu, maka dia boleh menyebut sebanyak empat
kali سُبْحَانَ
اللَّهِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ وَلَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَاللَّهُ أَكْبَرُ وَلَا
حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إلَّا بِاللَّهِ الْعَلِيِّ الْعَظِيم
diqiaskan ke atas pandangan sebahagian ulama yang menyatakan sunat untuk
menyebutnya bagi sesiapa yang tidak berkesempatan untuk menunaikan solat
Tahiyyatul Masjid kerana berhadas atau kesibukan lain.[15]
Ini menunjukkan bahawa sesiapa yang tidak melakukan sujud
Tilawah, maka dia boleh menggantikannya dengan zikir سُبْحَانَ اللَّهِ وَالْحَمْدُ
لِلَّهِ وَلَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَاللَّهُ أَكْبَرُ وَلَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ
إِلَّا بِاللهِ العَلِيِّ العَظِيم sebanyak empat
kali.[16] Hal
ini diqiaskan dengan orang yang tidak berkesempatan melakukan solat Tahiyyatul
Masjid yang bersandarkan kepada riwayat sebahagian salaf[17] yang
menyebut bahawa zikir tersebut menyamai ganjaran dua rakaat seperti yang dinukilkan
oleh al-Mullā ‘Ālī al-Qārī:
فَقَدْ رُوِيَ عَنْ بَعْضِ السَّلَفِ أَنَّ ذَلِكَ يَعْدِلُ
رَكْعَتَيْنِ فِي الْفَضْلِ، وَيُؤَيِّدُهُ مَا صَحَّ عَنْ جَابِرِ بْنِ زَيْدٍ –
الْإِمَامِ الْكَبِيرِ التَّابِعِيِّ – أَنَّهُ قَالَ: إِذَا دَخَلْتَ الْمَسْجِدَ
فَصَلِّ فِيهِ، فَإِنْ لَمْ تُصَلِّ فَاذْكُرِ اللَّهَ، فَكَأَنَّكَ قَدْ
صَلَّيْتَ.
Maksudnya: Diriwayatkan daripada sebahagian salaf
bahawa zikir tersebut menyamai fadilat dua rakaat (Tahiyyatul Masjid). Ini
turut disokong oleh riwayat yang sahih daripada Jabir bin Zaid – seorang ulama
besar dalam kalangan tabi‘in – bahawasanya beliau berkata: Apabila kamu masuk
ke dalam masjid, maka hendaklah kamu menunaikan solat di dalamnya. Jika kamu
tidak menunaikan solat, maka hendaklah kamu bezikir kepada Allah SWT (dan jika
kamu melakukannya), maka seolah-olah kamu telah menunaikan solat.[18]
Namun, Imam Ibn Ḥajar al-Haytamī dalam al-Fatāwā al-Kubrā tidak
bersetuju ketika mana beliau ditanya berkenaan melafazkan zikir tersebut bagi
menggantikan solat Tahiyyatul Masjid. Beliau mengemukakan tiga sebab; pertama;
tiada riwayat yang menyokong, kedua; tidak boleh menggunakan qias walaupun
sekiranya terdapat dalil sahih yang diriwayatkan daripada Nabi SAW, dan ketiga;
lafaz zikir tersebut mempunyai keistimewaan yang tiada pada zikir yang lain.[19]
Walau bagaimanapun, masih ramai dalam kalangan fuqaha mazhab
Shafi‘ī muta’ākhirīn yang mengatakan bahawa sunat untuk melafazkan zikir
tersebut menggantikan sujud Tilawah qias
kepada keadaan di mana seseorang tidak dapat melakukan solat Tahiyyatul Masjid,
seperti Muḥammad al-Shāṭirī[20], al-Qalyūbī[21], Uthman al-Bakrī[22], dan
lain-lain. Dinyatakan dalam Nihāyat al-Zayn:
فَإِن
لم يتَمَكَّن من فعلهَا لشغل قَالَ أَربع مَرَّات سُبْحَانَ الله وَالْحَمْد لله
وَلَا إِلَه إِلَّا الله وَالله أكبر وَلَا حول وَلَا قُوَّة إِلَّا
بِاللَّه الْعلي الْعَظِيم
Maksudnya:
Sekiranya seseorang tidak berkesempatan melakukannya (sujud Tilawah) kerana
kesibukan, maka dia boleh melafazkan sebanyak empat kali سُبْحَانَ الله وَالْحَمْد لله
وَلَا إِلَه إِلَّا الله وَالله أكبر وَلَا حول وَلَا قُوَّة إِلَّا
بِاللَّه الْعلي الْعَظِيم.[23]
Kesimpulan
Hukum sujud Tilawah adalah sunat bagi sesiapa yang membaca
atau mendengar ayat al-Quran yang terdapat sujud padanya. Adapun ketika solat,
jika imam melakukan sujud Tilawah, maka makmum mesti mengikutinya, namun makmum
tidak boleh sujud Tilawah jika imam tidak melakukannya. Sesiapa yang ingin
melakukan sujud Tilawah perlu memenuhi syarat dan rukunnya serta disunatkan
baginya untuk membaca
سَجَدَ وَجْهِي لِلَّذِي خَلَقَهُ
وَصَوَّرَهُ، وَشَقَّ سَمْعَهُ وَبَصَرَهُ بِحَوْلِهِ وَقُوَّتِه.
Tidak berdosa jika seseorang meninggalkan sujud Tilawah ini
kerana hukumnya tidak wajib. Jika seseorang tidak melakukannya di luar solat
atas sebab tertentu, maka dia boleh menggantikannya dengan melafazkan sebanyak
empat kali, iaitu:
.سُبْحَانَ اللَّهِ وَالحَمْدُ
لِلَّهِ وَلَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَاللَّهُ أَكْبَرُ وَلَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ
إلَّا بِاللَّهِ الْعَلِيِّ الْعَظِيم
[1] Sāmī
bin Muḥammad Bā Shukayl. Ta‘ẓīm al-Ma‘būd fī Fiqh al-Sujūd ‘alā Madhhab
al-Shāfi‘iyyah al-Manshūd. (Yaman, Hadramawt; Dār Taqrīb al-Turāth), 16. Beliau
berkata:
أنواع السُّجُود خمسة: سُجُودُ
صلاة، وسُجُودُ مُتَابَعَة، وسُجُود سَهْو، وسُجُودُ تِلَاوَة، وسُجُودُ شُكْر.
[2]
Muslim bin al-Hajjāj. Ṣaḥīḥ Muslim.
(Turki: Dār al-Ṭibā‘ah al-‘Āmirah), hadis no. 133, 1/61.
[3]
Al-Sulamī, ‘Iyāḍ bin Nāmī. Usul al-Fiqh ‘alladhī
lā yasa‘u al-Faqīh Jahluh. (Riyadh: Dār al-Tadmuriyyah), 225.
[4]
Al-Bukhārī, Muḥammad bin Ismā‘īl. Ṣaḥīḥ al-Bukhārī.
(Damsyik: Dār Ibn Kathīr & Dār al-Yamāmah),
Hadis no. 1023, 1/364.
[5]
Al-Māwardī, Ali bin Muhammad. Al-Ḥāwī al-Kabīr.
(Beirut, Lubnan: Dār al-Kutub al-‘Ilmiyyah), 1/7.
[6]
Al-Ramlī, Shams al-Dīn Muḥammad bin Aḥmad. Nihāyat al-Muḥtāj Sharḥ al-Minhāj.
(Beirut: Dār al-Fikr), 2/93.
[7]
Al-Bukhārī, Muhammad bin Isma‘īl. Ṣaḥīḥ al-Bukhārī.
(Damsyik: Dār Ibn Kathīr & Dār
al-Yamāmah), Hadis no. 371, 1/149; Muslim bin
al-Ḥajjāj. Ṣaḥīḥ
Muslim. (Turki: Dar al-Ṭibā‘ah
al-‘Āmirah), Hadis no. 417, 2/20.
[8] Disebutkan
dalam Mughnī al-Muḥtāj ’ilā Ma‘rifat Ma‘ānī al-Minhāj. (Dār al-Kutub
al-‘Ilmiyyah, 1994), 1/444:
فَلَوْ
سَجَدَ لِقِرَاءَةِ نَفْسِهِ أَوْ غَيْرِهِ أَوْ لِقِرَاءَةِ إمَامِهِ، لَكِنْ
عِنْدَ عَدَمِ سُجُودِهِ كَمَا سَيَأْتِي عَامِدًا عَالِمًا بِالتَّحْرِيمِ
بَطَلَتْ صَلَاتُهُ
[9]
Al-Bantanī, Muḥammad bin ‘Umar Nawawī. Nihāyāt al-Zayn. (Beirut: Dār al-Fikr),
86.
[10]
Al-Nawawī, Muḥy al-Dīn bin Yaḥyā. Rawḍat al-Ṭālibīn.
(Beirut: Damsyik, Amman: al-Maktab al-’Islāmī),
1/321. Beliau mengatakan:
أَمَّا شُرُوطُهُ، فَيَفْتَقِرُ إِلَى شُرُوطِ الصَّلَاةِ،
كَطَهَارَةِ الْحَدَثِ، وَالنَّجَسِ، وَسَتْرِ الْعَوْرَةِ، وَاسْتِقْبَالِ
الْقِبْلَةِ، وَغَيْرِهَا بِلَا خِلَافٍ
[11]
Al-Shāṭirī, Muḥammad bin Aḥmad. Sharḥ al-Yāqūt
al-Nafīs fī Madhhab Ibn ’Idrīs. (Jedah: Dār al-Minhāj), 167.
[12]
Musṭafā bin Aḥmad bin Abd al-Nabī. Mu’nis al-Jalīs bi
Sharḥ al-Yāqūt al-Nafīs. (Kuwait: Dār al-Ḍiyā’), 1/235. Beliau mengatakan:
(و) تسن أيضا (خَارِجَهَا) أي: الصلاة،
وأركانـها حينئذ ستة، وهي أركان سجود الشكر أيضًا: الأول: النية، الثاني: تكبيرة
التحرم مقرونة بالنية، وتصح من قيام، الثالث: السجود مرةً واحدةً، وهو كسجود
الصلاة في فرائضه وشروطه وسننه، الرابع: الجلوس أو الاضطجاع بعد السجود بدون
تشهدٍ، والسلام، والترتيب.
[13]
Al-Nawawī, Muḥy al-Dīn bin Yaḥyā. Rawḍat al-Ṭālibīn.
(Beirut, Damsyik, Amman: al-Maktab al-Islami), 1/322.
[14] Al-Qalyūbī, Aḥmad Salāmah & ‘Amīrah, Aḥmad
al-Burullusī. Ḥāshiyah Qalyūbī &
‘Amīrah. (Beirut: Dār al-Fikr), 1/235. Beliau berkata:
يَقُومُ مَقَامَ السُّجُودِ لِلتِّلَاوَةِ
أَوْ الشُّكْرِ مَا يَقُومُ مَقَامَ التَّحِيَّةِ لِمَنْ لَمْ يُرِدْ فِعْلَهَا،
وَلَوْ مُتَطَهِّرًا وَهُوَ سُبْحَانَ اللَّهِ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ، وَلَا إلَهَ
إلَّا اللَّهُ، وَاللَّهُ أَكْبَرُ
[15] Sulaymān bin
‘Umar al-Jamal. Ḥāshiyat al-Jamal ‘alā
Sharḥ al-Manhaj. (Dār al-Fikr), 1/467.
[16] Zikir (سُبْحَانَ اللَّهِ وَالْحَمْدُ
لِلَّهِ وَلَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَاللَّهُ أَكْبَرُ) dikenali sebagai al-Baqiyāt al-Ṣālihāt. Penambahan lafaz (وَلَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إلَّا
بِاللَّهِ الْعَلِيِّ الْعَظِيم) merupakan pandangan Ibn Rif‘ah, diterangkan
oleh Shaykh al-Islam Zakariyyā al-’Anṣārī dalam ’Asnā al-Maṭālib fī Sharḥ Rawḍ al-Ṭālib.
(Al-Maṭba‘ah al-Maimaniyyah), 1/205.
[17] Al-Nawawī, Muḥy al-Dīn bin Yaḥyā. Al-Adhkār. (Lubnan, Beirut; Dār-al-Fikr),
32.
[18] Al-Mullā al-Qārī,
‘Ālī bin Muḥammad. Mirqāt al-Mafātīh fī Sharḥ Mishkāt al-Maṣābīh. (Lubnan,
Beirut; Dār al-Fikr), 2/597.
[19] Al-Haytamī, Aḥmad
bin Ḥajar. Al-Fatāwā al-Fiqhiyyah al-Kubrā. (Al-Maktabah
al-’Islamiyyah), 1/194.
[20]
Al-Shāṭirī, Muḥammad bin Aḥmad. Sharḥ al-Yāqūt
al-Nafīs fī Madhhab Ibn ’Idrīs. (Jedah: Dār al-Minhāj), 168.
[21] Al-Qalyūbī,
Aḥmad Salāmah & ‘Amīrah, Aḥmad al-Burullusī. Ḥāshiyah Qalyūbī & ‘Amīrah. (Beirut: Dār al-Fikr), 1/235.
[22] Al-Bakrī, ‘Uthmān
bin Muḥammad Shaṭā. ’I‘ānat al-Ṭālibīn ‘alā Ḥallī ’Alfāẓ Fatḥ al-Mu‘īn.
(Beirut, Lubnan; Dār al-Fikr), 1/297.
[23]
Al-Bantanī, Muḥammad bin ‘Umar Nawawī. Nihāyāt al-Zayn. (Beirut: Dār al-Fikr),
88.