#92 Taudhih Al-Hukmi : Adakah Baginda SAW Menceraikan Isteri-Isterinya Selepas Perintah Batasan Nikah Empat?
Tarikh: 18 Ogos 2025
Disediakan oleh: Unit Dirasat Ilmiah
Pendahuluan
Umum mengetahui bahawa Nabi Muhammad SAW mempunyai lebih daripada empat orang isteri sebelum diturunkan ayat al-Quran yang mengehadkan suami hanya boleh mempunyai empat orang isteri dalam satu masa. Terdapat dakwaan bahawa Baginda SAW menceraikan sebahagian isterinya setelah turun perintah tersebut. Oleh itu, artikel ini akan membincangkan persoalan yang berbangkit daripada dakwaan tersebut iaitu adakah Baginda SAW menceraikan sebahagian isterinya selepas perintah membataskan jumlah isteri kepada empat orang sahaja.
Baginda SAW Mempunyai Sembilan Isteri Dalam Satu Masa
Terdapat beberapa hadis yang menyebutkan bahawa Nabi Muhammad SAW memperisterikan sembilan orang isteri dalam satu masa. Hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Abbas RA katanya:
فَإِنَّهُ كَانَ عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تِسْعٌ كَانَ يَقْسِمُ لِثَمَانٍ وَلَا يَقْسِمُ لِوَاحِدَةٍ
Maksudnya: Maka sesungguhnya Nabi SAW mempunyai sembilan orang isteri. Lapan daripadanya Baginda SAW mengikut giliran bersama kecuali seorang daripada mereka (iaitu Saudah RA kerana beliau telah memberikan hari gilirannya kepada Aisyah RA).
(Riwayat al-Bukhari)[1]
Hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA katanya:
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَطُوفُ عَلَى نِسَائِهِ فِي لَيْلَةٍ وَاحِدَةٍ وَلَهُ تِسْعُ نِسْوَةٍ
Maksudnya: Sesungguhnya Nabi SAW pernah bergilir antara isterinya pada satu malam dan Baginda SAW mempunyai sembilan orang isteri.
(Riwayat al-Bukhari)[2]
Sembilan orang isteri Baginda SAW ialah Aisyah, Hafsah, Ummu Habibah, Ummu Salamah, Saudah, Zainab, Maimunah, Juwairiyyah dan Sofiyyah RA.[3]
Perintah Syarak Mengehadkan Empat Isteri
Syarak telah menetapkan satu hukum bahawa seorang suami tidak boleh mempunyai lebih daripada empat orang isteri dalam satu masa. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah al-Nisa’ ayat 3:
وَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تُقْسِطُوا۟ فِى ٱلْيَتَٰمَىٰ فَٱنكِحُوا۟ مَا طَابَ لَكُم مِّنَ ٱلنِّسَآءِ مَثْنَىٰ وَثُلَٰثَ وَرُبَٰعَ
Maksudnya: Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat.
Begitu juga berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Umar RA katanya:
أَسْلَمَ غَيْلَانُ الثَّقَفِيُّ وَعِنْدَهُ عَشْرُ نِسْوَةٍ، فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلى الله عَلَيه وسَلم: أَمْسِكْ أَرْبَعًا، وَفَارِقْ سَائِرَهُنَّ
Maksudnya: Ghaylan al-Thaqafi telah memeluk Islam dan beliau mempunyai sepuluh orang isteri. Lalu Baginda SAW bersabda: Kekalkan empat orang sahaja dan ceraikan selebihnya.
(Riwayat Ibn Hibban)[4]
Kata Imam al-Syafi’i dalam al-Umm:
فدلت سنة رسول الله صلى الله عليه وسلم على أن انتهاء الله عز وجل في العدد بالنكاح إلى أربع تحريم أن يجمع رجل بنكاح بين أكثر من أربع
Maksudnya: Hadis Nabi SAW telah menunjukkan bahawa Allah SWT mengehadkan bilangan isteri dalam satu pernikahan hanya sampai empat orang isteri sahaja. Haram bagi seorang lelaki mempunyai lebih empat orang isteri dalam pernikahan.[5]
Kata Imam al-Khatib al-Syirbini:
(و) يحل (للحر أربع فقط)
Maksudnya: Dan dihalalkan bagi lelaki yang merdeka mempunyai empat isteri sahaja.[6]
Baginda SAW Tidak Menceraikan Sebahagian Isterinya Setelah Syarak Mengehadkan Bilangan Isteri
Walaupun syarak membataskan kepada lelaki untuk mempunyai empat orang isteri sahaja dalam satu masa, tetapi Baginda SAW tidak terikat dengan perintah batasan tersebut. Hal ini kerana ia merupakan khususiyyat Nabi Muhammad SAW menurut kesepakatan ulama. Kata Imam al-Mahalli:
فإن دل دليل على الاختصاص به يحمل على الاختصاص ، كزيادته – صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – في النكاح على أربع نسوة
Maksudnya: Maka jika dalil menunjukkan kepada khusus maka perlu dibawa secara khusus seperti Nabi SAW bernikah lebih daripada empat orang isteri.[7]
Kata Imam al-Qustallani:
فإن احتجوا بأنه صلى الله عليه وسلم توفي عن تسع ولنا به أسوة قلنا: هذا من خصائصه صلى الله عليه وسلم كغيره من الأنبياء فلا دليل فيه
Maksudnya: Maka jika mereka berhujah dengan Nabi SAW wafat dalam keadaan mempunyai sembilan orang isteri dan bagi kita Baginda SAW layak untuk diikuti maka kita katakan ini adalah daripada pengkhususan Nabi SAW seperti para nabi lain maka ia tidak boleh menjadi dalil (bagi selain Nabi SAW untuk menikah lebih daripada empat). [8]
Bukan itu sahaja, terdapat riwayat yang menyebutkan Baginda SAW meninggalkan sembilan orang isteri setelah kewafatannya. Hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Abbas RA katanya:
تُوُفِّيَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَعِنْدَهُ تِسْعُ نِسْوَةٍ يُصِيبُهُنَّ
Maksudnya: Rasulullah SAW wafat dan bersama dengan Baginda SAW sembilan orang isteri yang bertemu dengan mereka.
(Riwayat al-Nasa’i)[9]
Mungkin ada yang terkeliru menyangkakan bahawa Baginda SAW menceraikan sebahagian isterinya berdasarkan kepada sebuah ayat al-Quran. Firman Allah SWT dalam Surah al-Ahzab ayat 51:
تُرْجِى مَن تَشَآءُ مِنْهُنَّ وَتُـْٔوِىٓ إِلَيْكَ مَن تَشَآءُ ۖ وَمَنِ ٱبْتَغَيْتَ مِمَّنْ عَزَلْتَ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكَ
Maksudnya: Engkau (Muhammad) boleh menangguhkan sesiapa yang engkau kehendaki dari mereka dan engkau boleh mendampingi sesiapa yang engkau kehendaki dan sesiapa yang engkau hendak mendampinginya kembali dari mereka yang telah engkau jauhi itu maka tidaklah menjadi salah bagimu melakukannya.
Sebahagian menganggap bahawa maksud تُرْجِى pada ayat ini adalah tidak menikahi. Oleh itu sebahagian mereka menyangkakan Nabi SAW menceraikan sebahagian isterinya berdasarkan ayat ini. Akan tetapi, maksud تُرْجِى pada ayat ini menurut jumhur ulama adalah menangguhkan giliran untuk bermalam bersama. Hal ini seperti dinukilkan oleh Imam al-Bukhari daripada Ibn Abbas tentang tafsiran ayat ini. Kata Imam al-Bukhari:
قال ابن عباس: ترجو تؤخر
Maksudnya: Telah berkata Ibn Abbas: ترجو adalah menangguhkan.[10]
Begitu juga dengan penerangan daripada Imam Ibn Hajar al-Asqalani:
وقوله ترجي من تشاء منهن أي تؤخرهن بغير قسم وهذا قول الجمهور وأخرجه الطبري عن بن عباس ومجاهد والحسن وقتادة وأبي رزين وغيرهم
Maksudnya: Dan firman Allah SWT berkenaan (ترجي من تشاء منهن ) iaitu menangguhkan untuk bersama tanpa mengikut giliran bermalam dan ini adalah pandangan jumhur dan ia direkodkan oleh al-Tabari daripada Ibn Abbas, Mujahid, al-Hasan, Qatadah, Abu Razin dan selain mereka.[11]
Kesimpulan
Dakwaan yang menyatakan bahawa Nabi Muhammad SAW menceraikan sebahagian daripada isteri Baginda SAW selepas turunnya perintah menghadkan bilangan isteri kepada empat orang dalam satu masa adalah tidak benar. Sebaliknya terdapat riwayat menyebutkan bahawa Nabi SAW mengekalkan pernikahan bersama isteri-isterinya yang berjumlah sembilan orang sehingga kewafatan Baginda SAW. Hal ini kerana ia merupakan salah satu khususiyyat Nabi Muhammad SAW.
[1] Al-Bukhārī, Muḥammad bin Ismāʿīl. Ṣaḥīḥ al-Bukhārī. (Mesir: Sulṭāniyah, 1893). No. hadis: 5067.
[2] Al-Bukhārī, Muḥammad bin Ismāʿīl. Ṣaḥīḥ al-Bukhārī. No. hadis: 5068.
[3] Ibn Hishām, ʿAbdul Malik bin Hishām. Al-Sīrah al-Nabawiyyah. (Mesir: Muṣṭafā al-Bābī al-Ḥalabī, 1955) 2/643.
[4] Ibn Ḥibbān, Muḥammad bin Ḥibbān. Al-Taqāsim Wa al-Anwāʿ. (Beirut: Dār Ibn Ḥazm, 2012) No. hadis: 1101.
[6] Al-Khaṭīb al-Shirbīnī, Muḥammad bin Muḥammad. Mughnī al-Muḥtāj. (Beirut: Dār al-Kutub al-ʿIlmiyyah, 1994) 4/296.
[7] Al-Maḥallī, Jalāl al-Dīn Muḥammad bin Aḥmad. Sharḥ al-Waraqāt Fī Uṣūl al-Fiqh. (Palestin: Jāmiʿah al-Quds, 1999) 150.
[8] Al-Qusṭallānī, Aḥmad bin Muḥammad. Irshād al-Sārī Lisharḥ Ṣaḥīḥ al-Bukhārī. (Mesir: al-Maṭbaʿah al-Kubrā al-Amīriyyah, 1905) 8/28.
[9] Al-Nasā’ī, Aḥmad bin Shuʿayb. Sunan al-Nasā’ī. (Mesir: Maktabat al-Tijāriyah al-Kubrā, 1930) No. hadis: 5288.
[10] Al-Bukhārī, Muḥammad bin Ismāʿīl. Ṣaḥīḥ al-Bukhārī. 6/117.
[11] Ibn Ḥajar al-ʿAsqalānī, Aḥmad bin ʿAlī. Fatḥ al-Bārī Bisharḥ Ṣaḥīḥ al-Bukhārī. (Beirut: Dār al-Maʿrifah, 1959) 8/526