#90 Taudhih Al-Hukmi : Bacaan Sir Dan Jahar Ketika Doa Qunut
Tarikh: 8 Jun 2025
Disediakan oleh: Unit Dirasat Ilmiah
Pendahuluan
Bacaan doa Qunut semasa solat fardu Subuh merupakan satu pengamalan yang telah menjadi kebiasaan masyarakat Islam di negara kita. Hal ini kerana bacaan Doa Qunut hukumnya sunat ab’adh. Doa Qunut dibaca sama ada ketika solat bersendirian ataupun ketika solat berjemaah. Telah timbul beberapa persoalan dan isu berkaitan cara pembacaan doa Qunut terutamanya ketika solat berjemaah. Antara isu yang sering menjadi tanda tanya adalah bacaan sir dan jahar ketika membaca doa Qunut. Oleh itu, artikel ini akan memberikan penerangan tentang tatacara bacaan doa Qunut terutamanya yang berkaitan dengan bacaan sir dan jahar.
Hukum Bacaan Doa Qunut
Qunut pada bahasa adalah doa atau pujian. Manakala, Qunut pada sudut syarak pula adalah satu zikir khusus yang mempunyai doa dan pujian kepada Allah SWT. Definisi ini bertepatan dengan apa yang dikatakan oleh Syeikh Nawawi al-Bantani dalam kitab beliau:
ذكر مخصوص مشتمل على دعاء وثناء كاللهم اغفرلي يا غفور، فلو لم يشتمل الذكر عليهما لم يكن قنوتا
Maksudnya: Zikir tertentu yang merangkumi doa dan pujian seperti mengucapkan “ya Allah, ampunkanlah aku wahai Tuhan Yang Maha Mengampuni”. Jika zikir ini tidak merangkumi doa dan pujian maka ia tidak dikira sebagai Qunut.[1]
Bacaan doa Qunut disunatkan ketika iktidal rakaat kedua pada solat fardu Subuh.[2] Ia dikategorikan sebagai sunat ab’adh.[3] Ini bermaksud seseorang disunatkan untuk melakukan sujud sahwi ketika tertinggal atau sengaja meninggalkannya.
Tatacara Bacaan Qunut
Menurut mazhab al-Syafi’i, doa yang dianjurkan untuk dibaca semasa doa Qunut adalah seperti berikut:
اللَّهُمَّ اهْدِنِي فِيمَنْ هَدَيْتَ، وَعَافِنِي فِيمَنْ عَافَيْتَ، وَتَوَلَّنِي فِيمَنْ تَوَلَّيْتَ، وَبَارِكْ لِي فِيمَا أَعْطَيْتَ، وَقِنِي شَرَّ مَا قَضَيْتَ، إنَّك تَقْضِي وَلَا يُقْضَى عَلَيْكَ، إنَّهُ لَا يَذِلُّ مَنْ وَالَيْتَ، وَلَا يَعِزُّ مَنْ عَادَيْتَ، تَبَارَكْتَ رَبَّنَا وَتَعَالَيْتَ، فَلَكَ الْحَمْدُ عَلَى مَا قَضَيْتَ، أَسْتَغْفِرُكَ وَأَتُوبُ إلَيْكَ
Maksudnya: Ya Allah bimbinglah aku seperti orang yang Kau berikan bimbingan. sejahterakanlah kami sebagaimana orang yang Kau sejahterakan. Pimpinlah kami sebagaimana orang yang telah Kau pimpin. Dan berkatilah untuk aku setiap yang telah Kau berikan kepadaku. Jauhkanlah dariku sebarang takdir buruk yang Kau tentukan. Sesungguhnya hanya Kau sahajalah yang menetapkan dan tiada sesiapa pun yang berkuasa menetapkan sesuatu selain daripada Kau. Sesungguhnya tidaklah hina orang yang memperolehi pimpinanMu. Dan tidaklah mulia orang yang Kau musuhi. Kau telah memberikanku keberkatan dan ketinggian. Maka bagi-Mu segala pujian terhadap apa yang telah kau tetapkan. Aku minta ampun dan bertaubat kepada Kau.[4]
Kemudian, pada penghujung doa ini disunatkan untuk berselawat kepada Nabi SAW sebagai penutup doa Qunut. Kata Imam al-Nawawi:
والصحيح سن الصلاة على رسول الله صلى الله عليه وسلم في آخره
Maksudnya: dan menurut pandangan yang sahih, disunatkan berselawat kepada Rasulullah SAW pada akhir doa Qunut.[5]
Ketika doa Qunut, disunatkan untuk mengangkat tangan dan tidak disunatkan untuk menyapu muka setelah selesai membacanya.[6] Kedudukan tangan ketika membaca doa Qunut adalah separas ketinggian bahu. Boleh sahaja dirapatkan atau direnggangkan antara kedua-dua tangan semasa menadah tangan. Kedudukan jari boleh sahaja lebih tinggi daripada telapak tangan atau kedua-duanya sama paras kedudukan. Telapak tangan menghadap ke arah langit dan belakang tapak tangan menghadap ke tanah.[7] Mata pula memandang ke arah telapak tangan jika kedua-dua tangan dirapatkan. Jika tangan direnggangkan, maka perlu memandang ke arah tempat sujud dan tidak memandang ke langit.[8]
Timbul juga persoalan, adakah boleh membalikkan tangan ketika berdoa menolak bala semasa Qunut? Para ulama berbeza pandangan tentang hal ini. Menurut pandangan Imam Syamsuddin al-Ramli, dibolehkan untuk membalikkan tangan ketika berdoa menolak bala sama ada semasa doa Qunut atau selainnya.[9] Manakala Imam Syihabuddin al-Ramli dan Imam al-Khatib al-Syirbini berpandangan bahawa tidak disunatkan untuk membalikkan tangan ketika berdoa menolak bala semasa doa Qunut.[10] Justeru itu, melihat kepada kedua-dua pandangan ini, tiada halangan bagi sesiapa untuk membalikkan tangannya ketika berdoa menolak bala semasa doa Qunut.
Bacaan Doa Qunut Imam Dan Makmum
Ada sedikit perbezaan apabila membaca doa Qunut ketika solat bersendirian dan solat berjemaah. Begitu juga terdapat perbezaan antara cara bacaan doa Qunut imam dan makmum semasa solat berjemaah.
Ketika solat bersendirian, disunatkan untuk membaca doa Qunut secara sir iaitu suara yang perlahan. Kata Imam Syamsuddin al-Ramli:
وخرج المنفرد فيسر به قطعا
Maksudnya: Dan terkecuali orang yang solat bersendirian maka baginya membaca doa (Qunut) secara perlahan.[11]
Semasa solat berjemaah pula, imam disunatkan untuk membaca doa Qunut dengan lafaz jamak yang membawa maksud “kami”. Kata Imam al-Khatib al-Syirbini:
(و) يسن أن يقنت (الإمام بلفظ الجمع)
Maksudnya: Dan disunatkan untuk imam membaca Qunut dengan lafaz jamak.[12]
Selain itu, disunatkan bagi imam untuk membaca doa Qunut secara jahar iaitu dengan suara yang nyaring (didengari makmum) sepanjang doa Qunut tersebut mengikut pandangan yang muktamad. Secara asasnya, bacaan doa Qunut merangkumi doa, pujian-pujian kepada Allah SWT dan juga selawat kepada Baginda SAW. Oleh itu, sunat imam menyaringkan suara ini merangkumi keseluruhan doa Qunut yang terdiri daripada doa, pujian-pujian dan juga selawat. Kata Syeikh Ba’isyin:
(و) يسن (الجهر به) أي: بما مر من القنوت ولو الثناء والصلاة والسلام (للإمام) في الجهرية والسرية كمقضية نهاراً، ليسمع المأموم فيؤمن؛ للاتباع
Maksudnya: Dan disunatkan menyaringkan suara ketika doa Qunut walaupun pada bahagian pujian-pujian dan selawat kepada Nabi SAW bagi seseorang imam sama ada pada solat yang jahar dan solat yang sir seperti menggantikan solat pada waktu siang untuk didengari makmum supaya diaminkan makmum kerana mengikuti Nabi SAW.[13]
Kata Syamsuddin al-Ramli:
(و) الصحيح (أن الإمام يجهر به) استحبابا في السرية كأن قضى صبحا أو وترا بعد طلوع الشمس والجهر به للاتباع
Maksudnya: Dan pandangan yang sahih sesungguhnya seorang imam menyaringkan suara ketika doa Qunut adalah disunatkan juga pada solat sir seperti menggantikan solat fardu Subuh atau pada solat witir setelah terbit matahari dan perbuatan menyaringkan suara ketika doa Qunut kerana mengikuti Nabi SAW.[14]
Manakala bagi makmum pula disunatkan untuk mengaminkan secara nyaring ketika imam membaca bahagian doa dan selawat pada doa Qunut. Semasa imam membaca pujian-pujian, makmum boleh mengikuti bacaan imam dengan suara yang perlahan. Boleh juga makmum diam sambil mendengar bacaan imam atau juga makmum boleh menyebut “asyhadu” (أَشْهَدُ). Akan tetapi yang paling terbaik adalah dengan mengikuti bacaan imam dengan suara yang perlahan.
Kata Imam Ibn Hajar al-Haitami:
(و) الصحيح (أنه) إذا جهر به الإمام (يؤمن المأموم) جهرا (للدعاء) للاتباع ومنه الصلاة على النبي – صلى الله عليه وسلم – على المعتمد … (ويقول الثناء) سرا وهو الأولى وأوله أنك تقضي إلخ أو يسكت مستمعا لإمامه أو يقول أشهد
Maksudnya: Dan pandangan yang sahih sesungguhnya jika imam menyaringkan suara, makmum perlu mengaminkan juga secara nyaring semasa bahagian doa kerana mengikuti Nabi SAW. Begitu juga semasa imam membaca selawat kepada Nabi SAW mengikut pandangan yang muktamad… dan menyebut pujian-pujian dengan suara yang perlahan adalah lebih baik bermula pada (أنَّك تَقْضِي) sehingga akhir atau diam mendengar bacaan imam atau menyebut “asyhadu”.[15]
Kata Imam Syamsuddin al-Ramli:
(و) أنه (يقول الثناء) سرا وهو من فإنك تقضي إلى آخره، أو يستمع له لأنه ثناء وذكر لا يليق به التأمين والمشاركة أولى كما في المجموع
Maksudnya: Dan sesungguhnya makmum menyebut pujian-pujian dengan suara yang perlahan bermula (فإنَّك تَقْضِي) sehingga akhir atau mendengar bacaan imam kerana ia adalah pujian dan zikir yang tidak sesuai untuk diaminkan. Adapun mengikuti bacaan imam adalah lebih baik seperti yang diterangkan dalam al-Majmu’.[16]
Manakala pandangan yang tidak muktamad dalam mazhab al-Syafi’i adalah Sebaliknya. Iaitu imam membaca doa Qunut dari awal sehingga akhir dengan suara yang perlahan
Bagi memudahkan lagi kefahaman, berikut adalah jadual bagi bacaan imam dan makmum mengikut pandangan yang muktamad:
Bahagian Qunut | Doa Qunut | Bacaan Imam | Bacaan Makmum |
Doa | اللَّهُمَّ اهْدِنَا فِيمَنْ هَدَيْتَ |
Bacaan Secara Nyaring (Jahar) |
Sebut Amin Secara Nyaring (Jahar) |
وَعَافِنَا فِيمَنْ عَافَيْتَ | |||
وَتَوَلَّنَا فِيمَنْ تَوَلَّيْتَ | |||
وَبَارِكْ لَنَا فِيمَا أَعْطَيْتَ | |||
وَقِنَا شَرَّ مَا قَضَيْتَ | |||
Pujian-pujian | إنَّك تَقْضِي وَلَا يُقْضَى عَلَيْكَ |
Ikut Bacaan Imam dengan suara perlahan (Sir)/ Diam/ Sebut “Asyhadu” | |
إنَّهُ لَا يَذِلُّ مَنْ وَالَيْتَ | |||
وَلَا يَعِزُّ مَنْ عَادَيْتَ | |||
تَبَارَكْتَ رَبَّنَا وَتَعَالَيْتَ | |||
فَلَكَ الْحَمْدُ عَلَى مَا قَضَيْتَ | |||
Doa | نَسْتَغْفِرُكَ وَنَتُوبُ إلَيْكَ |
Sebut Amin Secara Nyaring (Jahar) | |
Selawat | وَصَلَّى اللهُ عَلَى سَيِّدِنَا مَحَمَّدٍ النَّبِيِّ الْأُمِّيِّ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَبَارَكَ وَسَلَّمَ |
Kesimpulan
Bagi sesiapa yang solat bersendirian, maka bacaan doa Qunutnya adalah dengan cara memperlahankan suara (sir). Manakala bagi mereka yang solat berjemaah, terdapat perbezaan bacaan doa Qunut imam dengan makmum. Mengikut pandangan yang muktamad, imam disunatkan untuk membaca doa Qunut secara nyaring dan jelas (jahar) sepanjang doa Qunut tersebut. Ini merangkumi bahagian doa, pujian dan selawat yang ada pada doa Qunut. Manakala makmum pula disunatkan untuk mengaminkan dengan nyaring bacaan doa dan selawat imam semasa doa Qunut. Ketika imam membaca bahagian pujian pada doa Qunut, makmum digalakkan untuk mengikuti bacaan imam dengan suara yang perlahan (sir) atau boleh juga diam mendengar bacaan imam atau boleh juga sebut “asyhad”. Adapun pengamalan kebiasaan imam di Malaysia yang membaca secara nyaring pada sebahagian doa Qunut dan secara senyap pada sebahagian yang lain adalah diharuskan.
[1] Al-Bantānī al-Jāwī, Muḥammad Nawawī bin ʿUmar. Qūt al-Ḥabīb al-Gharīb Tawshīḥ ʿAlā Ibn Qāsim. (Indonesia: Dār al-Kutub al-Islāmiyyah, 2022) 123.
[2] Al-Nawawī, Muḥy al-Dīn bin Sharf. Minhāj al-Ṭālibīn Wa ʿUmdah al-Muftīn Fī al-Fiqh. (Syria: Dār al-Fikr, 2005)
27. Kata al- Nawawī:
ويسن القنوت في اعتدال ثانية الصبح
[3] Al-Zuhaylī, Wahbah al- Zuhaylī. Al-Fiqh al-Islāmī Wa Adillatuhu. (Syria: Dār al-Fikr, 1985) 1/812.
Muḥammad bin Qāsim. Fatḥ al-Qarīb al-Mujīb. (Beirut: Dār Ibn Ḥazm, 2005) 80.
[4] Al-Khaṭīb al-Shirbīnī, Muḥammad bin Muḥammad. Mughnī al-Muḥtāj. (Beirut: Dār al-Kutub al-ʿIlmiyyah, 1994)
1/368. Kata Imam al- Khaṭīb al-Shirbīnī:
(وهو اللهم اهدني فيمن هديت إلى آخره) كذا في المحرر، وتتمته كما في الشرح: وعافني فيمن عافيت، وتولني فيمن توليت، وبارك لي فيما أعطيت، وقني شر ما قضيت إنك تقضي ولا يقضى عليك: إنه لا يذل من واليت تباركت ربنا وتعاليت … قال الرافعي: وزاد العلماء فيه: أي القنوت قبل تباركت وتعاليت: ولا يعز من عاديت، وبعده: فلك الحمد على ما قضيت أستغفرك وأتوب إليك.
قال في الروضة: قال أصحابنا: لا بأس بهذه الزيادة
[5] Al-Nawawī, Muḥy al-Dīn bin Sharf. Minhāj al-Ṭālibīn Wa ʿUmdah al-Muftīn Fī al-Fiqh. 27.
[6] Al-Nawawī, Muḥy al-Dīn bin Sharf. Minhāj al-Ṭālibīn Wa ʿUmdah al-Muftīn Fī al-Fiqh. 27. Kata Imam al- Nawawī:
ورفع يديه ولا يمسح وجهه
[7] Al-Ramlī, Muḥammad bin Abī al-ʿAbbās. Nihāyat al-Muḥtāj. (Beirut: Dār al-Fikr, 1984) 1/506. Kata Imam al- Ramlī:
وتحصل السنة برفعهما سواء أكانتا متفرقتين أم ملتصقتين، وسواء أكانت الأصابع والراحة مستويتين أم الأصابع أعلى منها، والضابط أن يجعل بطونها إلى السماء وظهورها إلى الأرض
Al-Haytamī, Aḥmad bin Muḥammad. Tuḥfat al-Muḥtāj Fi Sharḥ al-Minhāj. (Mesir: al-Maktabah al-Tijāriyyah al-Kubrā, 1983) 2/67. Kata Imam al-Sharwānī:
وتحصل السنة برفعهما سواء كانتا متفرقتين أم ملتصقتين وسواء كانت الأصابع والراحة مستويتين أم الأصابع أعلى منها واستحب الخطابي كشفهما في سائر الأدعية … والأوجه أن غاية الرفع إلى المنكب إلا إن اشتد الأمر ولا يرفع بصره إلى السماء قاله الغزالي وقال غيره الأولى رفعه إليها أي في غير الصلاة
[8] Al-Haytamī, Aḥmad bin Muḥammad. Tuḥfat al-Muḥtāj Fi Sharḥ al-Minhāj. 2/67. Kata Imam Ibn Ḥajar al- Haytamī:
وبحث أنه في حال رفعهما ينظر إليهما لتعذره حينئذ إلى موضع السجود ومحله إن ألصقهما لا إن فرقهما
[9] Al-Ramlī, Muḥammad bin Abī al-ʿAbbās. Nihāyat al-Muḥtāj. 1/506. Kata Imam al- Ramlī:
ويجعل فيه وفي غيره ظهر كفيه إلى السماء إن دعا لرفع بلاء ونحوه، وعكسه إن دعا لتحصيل شيء أخذا مما سيأتي في الاستسقاء
[10] Al-Khaṭīb al-Shirbīnī, Muḥammad bin Muḥammad. Mughnī al-Muḥtāj. 1/370. Kata Imam al- Khaṭīb al-Shirbīnī:
فهل يقلب كفيه عند قوله في القنوت وقني شر ما قضيت أو لا؟ أفتى شيخي بأنه لا يسن أي لأن الحركة في الصلاة ليست مطلوبة
[11] Al-Ramlī, Muḥammad bin Abī al-ʿAbbās. Nihāyat al-Muḥtāj. 1/507.
[12] Al-Khaṭīb al-Shirbīnī, Muḥammad bin Muḥammad. Mughnī al-Muḥtāj. 1/369.
[13] Saʿīd bin Muḥammad Bā ʿAlī Bā ʿIshīn. Bushrā al-Karīm Bisharḥ Masā’il al-Taʿlīm. (Saudi: Dar al-Minhāj, 2004) 232.
[14] Al-Ramlī, Muḥammad bin Abī al-ʿAbbās. Nihāyat al-Muḥtāj. 1/506.
[15] Al-Haytamī, Aḥmad bin Muḥammad. Tuḥfat al-Muḥtāj Fi Sharḥ al-Minhāj. 2/67.
[16] Al-Ramlī, Muḥammad bin Abī al-ʿAbbās. Nihāyat al-Muḥtāj. 1/507.