Tarikh: 4 Jun 2025
Disediakan oleh: Unit Dirasat Ilmiah
Pendahuluan
Solat sunat Hari Raya Eidulfitri dan Eiduladha merupakan ibadah yang disyariatkan dalam Islam sebagai satu syiar dalam menyambut hari kemenangan serta menzahirkan kesyukuran kepada Allah SWT atas nikmat dan rahmat yang dikurniakan. Ia mula ditunaikan oleh Rasulullah SAW pada tahun kedua hijrah. Berbeza dengan solat Jumaat, solat sunat Hari Raya ini ditunaikan sebelum khutbah. Hal ini berdasarkan ucapan Ibn ‘Abbās RA :
شَهِدْتُ صَلاَةَ الْفِطْرِ مَعَ نَبِيِّ اللَّهِ ﷺ وَأَبِى بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ فَكُلُّهُمْ يُصَلِّيهَا قَبْلَ الْخُطْبَةِ
Maksudnya: Aku menghadiri Solat Hari Raya Eidulfitri bersama Nabi SAW, Abu Bakar, Umar dan Uthman. Kesemua mereka menunaikannya sebelum khutbah.[1]
(Riwayat Muslim)
Melaksanakan solat sunat Hari Raya adalah sunat dan menunaikannya secara berjemaah bersama imam adalah lebih utama.[2] Kelainan solat sunat Hari Raya berbanding solat yang lain adalah pada bilangan takbir tambahan yang dibaca di awal setiap rakaat. Pernah timbul isu yang menjadi tanda tanya dalam kalangan masyarakat berhubung keabsahan solat Hari Raya yang terkurang mahupun terlebih bilangan takbirnya disebabkan kekhilafan imam. Justeru, apakah hukum solat sunat Hari Raya ini jika berlaku situasi demikian ?
Bilangan Takbir dalam Solat Hari Raya
Seperti yang telah dinyatakan, kelainan solat Hari Raya adalah pada bilangan takbirnya di awal setiap rakaat. Hal ini disebut dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada ‘Amru bin ‘Auf RA menyatakan bahawa:
أَنَّ النَّبِيَّ ﷺ كَبَّرَ فِي العِيدَيْنِ فِي الأُولَى سَبْعًا قَبْلَ القِرَاءَةِ، وَفِي الآخِرَةِ خَمْسًا قَبْلَ القِرَاءَةِ
Maksudnya: Sesungguhnya Nabi SAW bertakbir dalam dua solat sunat Hari Raya. Pada rakaat pertama, Baginda bertakbir sebanyak tujuh kali sebelum membaca (al-Fatihah) dan pada rakaat yang kedua Baginda bertakbir sebanyak lima kali sebelum membaca (al-Fatihah).[3]
(Riwayat al-Tirmidhī)
Hadis ini jelas bahawa disunatkan pada rakaat pertama selepas takbiratul ihram dan doa iftitah untuk bertakbir sebanyak tujuh kali sebelum membaca al-Fatihah. Manakala pada rakaat kedua pula disunatkan selepas takbir bangun dari sujud untuk bertakbir sebanyak lima kali sebelum membaca al-Fatihah. Melalui pensyariatan tersebut, umat Islam juga disunatkan melafaz: “Subhanallah, Walhamdulillah, Wa La Ilaha Illallah, Wallahu Akbar” serta berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW pada setiap takbir bersandarkan kepada riwayat Ibn Mas‘ūd RA.[4]
Hukum Takbir Tambahan dalam Solat Hari Raya
Perbuatan dalam solat boleh dibahagikan kepada tiga kategori; rukun, sunat ab‘āḍ dan sunat hai’āt. Takbir tambahan dalam solat Hari Raya adalah sunat hai’āt. Hal ini disebutkan oleh Imam al-Ramlī dalam Nihayāt al-Muḥtāj ’ilā Sharḥ al-Minhāj bahawa perbuatan takbir itu adalah sama seperti hukum membaca istiazah dalam solat.
(وَلَسْنَ) أَيْ التَّكْبِيرَاتُ الْمَذْكُورَاتُ (فَرْضًا وَلَا بَعْضًا) وَإِنَّمَا هِيَ هَيْئَاتٌ كَالتَّعَوُّذِ وَدُعَاءِ الِافْتِتَاحِ فَلَا يَسْجُدُ لِتَرْكِهِنَّ عَمْدًا كَانَ، أَوْ سَهْوًا وَإِنْ كَانَ التَّرْكُ لِكُلِّهِنَّ، أَوْ بَعْضِهِنَّ مَكْرُوهًا[5]
Maksudnya: (Dan bukanlah ia) iaitu takbir-takbir yang disebutkan (sebagai fardu atau sunat ab’ad), tetapi ia hanyalah sebahagian daripada sunnah-sunnah dalam solat seperti membaca ta‘awwudh (istiazah) dan doa iftitah. Maka, tidak diwajibkan sujud sahwi jika meninggalkannya sama ada dengan sengaja atau terlupa. Adapun meninggalkan kesemuanya atau sebahagian daripadanya adalah makruh.
Oleh itu, perbuatan takbir tambahan dalam solat Hari Raya merujuk kepada sebahagian perbuatan sunat hai’at. Sunat hai’at adalah perkara sunat yang dituntut untuk melaksanakannya serta tidak memberi kesan jika meninggalkannya. Sekiranya terlepas sunat hai’at, maka tidak perlu melakukan sujud sahwi atau mengulangi perbuatan tersebut.
Maka, jika seseorang makmum tiba di masjid setelah imam selesai melakukan takbir-takbir ini atau sebahagian daripadanya, maka dia tidak perlu menggantikan takbir tersebut kerana ia hanyalah zikir yang disunatkan dan waktu pelaksanaannya telah pun berlalu. Hal ini sama seperti doa iftitah yang tidak perlu diqada. Namun, menurut pendapat qadim (lama) Imam al-Shafi‘i disebutkan bahawa ia perlu diqada kerana waktunya adalah ketika berdiri, dan makmum masih berada dalam keadaan berdiri.[6]
Imam Terkurang atau Terlebih Takbir Solat Hari Raya
Apabila imam terkurang bilangan takbir ketika melakukan solat Hari Raya, maka solat tersebut masih dianggap sah kerana perbuatan itu hanya sebahagian daripada sunat hai’at. Hal ini sebagaimana dijelaskan oleh Sheikh Muhammad al-Zuhaili:
“Sekiranya imam atau seseorang individu itu terlupa takbir-takbir (solat Hari Raya), kemudian dia teringat semula sebelum rukuk, dan dia sudah mula membaca surah, maka takbir-takbir itu tidak dikira dan tidak perlu mengulanginya. Sekiranya imam meninggalkan takbir-takbir tersebut, maka makmum tidak pula perlu menambah kerana takbir-takbir itu bukanlah fardu. Malah, ia juga bukan sunat yang sangat dituntut, tetapi sekadar sunat hai’at seperti membaca ta’awwuz (istiazah).”[7]
Dalam hal ini Imam al-Syafi’i berpandangan pada dua keadaan.[8] Pertama, apabila seseorang lupa melakukan takbir dalam keadaan telah memulakan bacaan, tidak perlu kembali mengulang perbuatan takbir tersebut. Sekiranya ingin mengulanginya, maka solat itu tidak batal;
فَإِنْ نَسِيَ التَّكْبِيرَ أَوْ بَعْضَهُ حَتَّى يَفْتَتِحَ الْقِرَاءَةَ فَقَطَعَ الْقِرَاءَةَ، وَكَبَّرَ ثُمَّ عَادَ إلَى الْقِرَاءَةِ لَمْ تَفْسُدْ صَلَاتُهُ، وَلَا آمُرُهُ إذَا افْتَتَحَ الْقِرَاءَةَ أَنْ يَقْطَعَهَا
Maksudnya: Jika seseorang terlupa takbir atau sebahagiannya sehingga dia memulakan bacaan (al-Fatihah), lalu dia menghentikan bacaannya, kemudian bertakbir dan kembali semula kepada bacaan, maka solatnya tidak batal. Namun, jika dia telah memulakan bacaan, tidak perlu untuk memutuskannya.
Manakala keadaan kedua, apabila seseorang lupa melakukan takbir dalam keadaan telah selesai bacaan. Tidak perlu kembali mengulang takbir dan teruskan solat tanpa perlu menggantikannya pada rakat kedua;
وَلَا إذَا فَرَغَ مِنْهَا أَنْ يُكَبِّرَ، وَآمُرُهُ أَنْ يُكَبِّرَ فِي الثَّانِيَةِ تَكْبِيرَهَا، وَلَا يَزِيدُ عَلَيْهِ
Maksudnya: Dan tidak perlu untuk bertakbir setelah selesai daripada bacaan tersebut. Hanya perlu bertakbir pada rakaat kedua dengan takbir yang sepatutnya, dan tidak menambah lagi.
Dalam pada itu, sekiranya imam tertambah bilangan takbir, maka ia juga tidak memberi kesan kepada solatnya. Jika berlaku situasi sedemikian, maka makmum tidak perlu mengikutnya. Jika makmum mengikut takbir tambahan yang dilakukan oleh imam, maka ia juga tidak membatalkan solat kerana ia dianggap sebagai zikir. Sheikh Sulaiman bin ‘Umar Bin Mansur al-Jamal al-‘Ujailī al-Shafi’i berkata :
لَوْ زَادَ إمَامُهُ عَلَى السَّبْعِ أَوْ الْخَمْسِ، هَلْ يُتَابِعُهُ أَمْ لَا؟ فِيهِ نَظَرٌ، وَيَنْبَغِي عَدَمُ مُتَابَعَتِهِ لَهُ لِأَنَّ الزِّيَادَةَ عَلَى السَّبْعِ أَوْ الْخَمْسِ غَيْرُ مَطْلُوبَةٍ، وَمَعَ ذَلِكَ لَوْ تَابَعَهُ فِيهَا بِلَا رَفْعٍ لَمْ يَضُرَّ، لِأَنَّهُ مُجَرَّدُ ذِكْرٍ
Maksudnya: Jika imam menambah takbir melebihi tujuh atau lima kali, adakah makmum perlu mengikutnya ataupun tidak? Ia perlu diteliti. Sepatutnya dia tidak perlu mengikut imam dalam perbuatan takbir tambahan tersebut kerana menambah takbir melebih tujuh atau lima kali adalah tidak dituntut. Namun, jika dia mengikut imam bertakbir tanpa mengangkat tangan, maka ia tidak memberi kesan kepada solatnya kerana ia hanya dianggap sebagai zikir.[9]
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, pengurangan atau penambahan bilangan takbir oleh imam secara tidak sengaja atau terlupa dalam solat sunat Hari Raya adalah dimaafkan. Hukum solat Hari Raya dalam keadaan imam terkurang atau terlebih bilangan takbir ini dikira masih sah di sisi syarak dan solat tersebut tidak perlu diulangi semula. Ini kerana takbir tersebut merupakan sunat hai’at sahaja yang dituntut melakukannya dan tidak batal jika meninggalkannya serta tidak dituntut sujud sahwi. Namun, mereka telah terlepas daripada mendapat kelebihan yang besar padanya.
[1] Muslim bin al-Ḥajjāj, Ṣaḥīḥ Muslim. (Mesir: ‘Isā al-Bābī al-Ḥalabī, 1955), 2: 602. No hadis. 405.
[2] Muhammad al-Zuḥailī, al-Mu‘tamad fī al-Fiqh al-Shāfi‘ī. (Damsyik: Dār al-Qalam, cetakan ke-4, 1434H), 1: 551.
[3] Abū ‘Isā Al-Tirmidhī. Sunan Al-Tirmidhī. (Mesir: Maktabah Muṣṭafā Al-Bābī Al-Ḥalabī, 1975), 4: 668. No. hadis. 536. Kata al-Tirmidhi: Hadis hasan.
[4] Al-Baihaqī, Abū Bakr Aḥmad Bin al-Ḥusīn Bin ‘Alī, al-Sunan al-Kubrā, (Beirut: Dār al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1433), No. hadis. 6186, 3: 410.
[5] Al-Ramlī, Shams al-Dīn Muḥammad Bin Abī al-‘Abbās, Nihāyat al-Muḥtāj ’ilā Sharḥ al-Minhāj. (Beirut: Dār al-Fikr. 1431), 2: 390.
[6] Al-Nawawī, Abu Zakariyyā Muhy al-Dīn bin Sharf, al-Majmū‘ Sharḥ al-Muhadhdhab. (Kaherah, Mesir: Idārah al-Ṭibā‘ah al-Maniriyyah, 1925), 5: 15.
[7] Muhammad al-Zuḥailī, al-Mu‘tamad fī al-Fiqh Al-Shāfi‘ī. (Damsyik: Dār al-Qalam, 2011), 1: 553.
[8] Abū ‘Abdullah Muḥammad Bin Idrīs al-Syāfi’ī, al-Um. (Beirut: Dār al-Fikr, 1431), 1: 270-271.
[9] Al-Jamal, Sulaimān bin ‘Umār bin Manṣūr al-‘Ujailī al-Azharī, Ḥāshiyat al-Jamal. (t.t.p.: Dār al-Fikr. 1431), 2: 94.