Tarikh: 3 Jun 2025
Disediakan oleh: Unit Dirasat Ilmiah
Pengenalan
Tuntutan ibadah seperti
solat termasuklah berwuduk untuk menunaikan solat tidak akan gugur selagi
seseorang itu mencukupi syarat-syarat wajib mengerjakannya. Begitu juga, bagi
seseorang yang mengalami penyakit seperti kencing tidak lawas, istihadah, sentiasa keluar najis dan
seumpamanya, mereka dikategorikan sebagai sentiasa berhadas (daimul hadath atau faqid al-Taharah).
Hal ini menimbulkan kemusykilan dari sudut hukum solatnya kerana antara syarat
sah solat ialah suci daripada hadas dan najis. Justeru, artikel ini akan
membahaskan tentang hukum wuduk bagi golongan daimul hadath, pandangan fuqaha serta kaedah penyelesaiannya
menurut perspektif fiqh Islam.
Perkara-perkara yang membatalkan Wuduk
Menurut fiqh, apa sahaja yang keluar daripada qubul dan
dubur sama ada kencing, tahi, darah, angin atau lain-lain akan membatalkan
wuduk. Hal ini sebagaimana disebutkan oleh Imam al-Nawawi di dalam kitab al-Majmu’:
أَمَّا حُكْمُ الْمَسْأَلَةِ فَالْخَارِجُ مِنْ قُبُلِ
الرَّجُلِ أَوْ الْمَرْأَةِ أَوْ دُبُرِهِمَا يَنْقُضُ الْوُضُوءَ سَوَاءٌ كَانَ
غَائِطًا أَوْ بَوْلًا أَوْ رِيحًا أَوْ دُودًا أَوْ قَيْحًا أَوْ دَمًا أَوْ
حَصَاةً أَوْ غَيْرَ ذَلِكَ
Maksudnya: Adapun hukum dalam
masalah ini, maka segala sesuatu yang keluar dari qubul (kemaluan) lelaki atau
wanita, atau dubur mereka, membatalkan wuduk, sama ada ia berupa najis seperti
tahi, air kencing, angin, cacing, nanah, darah, batu kecil, atau selainnya.[1]
Pengertian Daimul Hadath
Daimul hadath adalah merujuk kepada individu yang sentiasa berada dalam keadaan berhadas, seperti mereka yang mengalami masalah salis al-bawl (kencing tidak lawas), istihadah (pendarahan wanita di luar waktu haid dan nifas) atau penyakit lain yang menyebabkan keluar najis secara berterusan.
Keadaan ini menimbulkan cabaran dalam pelaksanaan ibadah
seperti solat dan tawaf yang memerlukan kesucian anggota tubuh daripada hadas.
Orang yang sentiasa berhadas akan sentiasa menanggung najis yang menyebabkan
kesahan ibadahnya terjejas. Daimul hadath dinyatakan oleh para ulama
bahawa ia disamakan hukumnya dengan wanita yang mengalami darah istihadah.
Hal ini disebutkan oleh Imam al-Nawawi seperti berikut:
والاستحاضة حدث دائم كالسلس فلا تمنع الصوم والصلاة
Maksudnya: Dan istihadah adalah hadas yang berterusan seperti salisi (kencing tidak lawas), maka ia tidak menghalang puasa dan
solat.[2]
Selain itu, Imam al-Ramli turut menyatakan perkara yang sama
mengenai masalah ini, iaitu:
فَمَنْ بِهِ حَدَثٌ دَائِمٌ كَمُسْتَحَاضَةٍ وَسَلِسِ
بَوْلٍ وَمَنْ بِهِ جِرَاحَةٌ نَضَّاخَةٌ بِالدَّمِ أَوْ كَانَ مُنْتَعِلًا
بِنَعْلٍ بِهِ نَجَاسَةٌ رَطْبَةٌ وَخَشِيَ تَلْوِيثَ الْمَسْجِدِ بِشَيْءٍ مِنْ
ذَلِكَ فَلَهُ حُكْمُهَا
Maksudnya: Maka sesiapa yang
mengalami hadas berterusan seperti wanita yang mengalami istihadah, orang yang menghadapi masalah kencing tidak lawas, atau
seseorang yang mengalami luka yang mengeluarkan darah secara berterusan, atau
seseorang yang memakai kasut yang terdapat najis basah padanya, lalu dia
bimbang akan mencemarkan masjid dengan perkara tersebut, maka ia mengambil
hukumnya (iaitu diharamkan memasuki masjid jika dia bimbang akan
mencemarkannya).[3]
Berdasarkan pandangan para fuqaha, orang yang mengalami daimul hadath ini adalah orang yang hadasnya
berlaku secara berterusan seperti masalah kencing tidak lawas atau seseorang
yang mengalami luka yang mengeluarkan darah secara berterusan, maka hukumnya
seperti wanita yang sentiasa keluar darah istihadah.
Wuduk Bagi Daimul Hadath
Memandangkan daimul hadath adalah keadaan seseorang
sentiasa berhadas, maka terdapat beberapa perkara yang wajib diketahui ketika
mengambil wuduk untuk melaksanakan solat. Antara perkara yang perlu diambil
berat adalah seperti berikut;
- Tatacara yang perlu dijaga sebelum dan ketika mengambil wuduk
Sebelum mengambil
wuduk, orang yang sentiasa dalam hadas disyaratkan supaya beristinjak
(membersihkan kemaluan) terlebih dahulu kemudian bersegera menampal tempat
keluar najis dengan sesuatu yang dapat menghalang najis daripada mengotori
pakaian. Hal ini sebagaimana disebutkan dalam kitab I’anah al-Talibin bahawa terdapat beberapa perkara yang mesti
dipatuhi dan diikuti bagi seseorang yang daimul hadas sebelum berwuduk agar
wuduk dan solat yang dilaksanakan itu sah dan tidak perlu diulang semula,
iaitu;
وحاصل ما يجب عليه – سواء كان مستحاضة أو سلسا – أن يغسل
فرجه أولا عما فيه من النجاسة، ثم يحشوه بنحو قطنة – إلا إذا تأذى به أو كان صائما
– وأن يعصبه بعد الحشو بخرقة إن لم يكفه الحشو لكثرة الدم، ثم يتوضأ أو يتيمم،
ويبادر بعده إلى الصلاة، ويفعل هكذا لكل فرض وإن لم تزل العصابة عن محلها
Maksudnya: Kesimpulannya, apa yang wajib
dilakukan oleh seseorang yang mengalami istihadah
atau masalah hadas berterusan seperti salis
(kencing tidak lawas) adalah membasuh kemaluannya terlebih dahulu untuk menghilangkan najis yang ada.
Menyumbatnya dengan sesuatu seperti kapas, kecuali
jika ia mendatangkan mudarat atau jika dia sedang berpuasa. Jika sumbatan itu
tidak mencukupi kerana terlalu banyak darah, maka hendaklah membalutnya dengan
kain. Kemudian, dia perlu berwuduk atau bertayammum.
Segera menunaikan solat selepas itu. Perkara ini perlu dilakukan untuk setiap solat fardu,
walaupun balutan tersebut tidak berganjak dari tempatnya.[4]
Di samping itu, di
dalam kitab I’anah al-Talibin juga
menjelaskan bagaimana keadaan yang dimaksudkan dengan wajib ditukar pembalut
walaupun ia tidak bergerak dari tempatnya, seperti berikut:
وإن لم تزل عن موضعها أي يجب تجديدها، وإن لم تنتقل عن
موضعها، وإن لم يظهر الدم مثلا من جوانبها
Maksudnya:
Dan jika pembalut itu tidak
berganjak dari tempatnya, maka tetap wajib diperbaharui wuduk walaupun ia tidak
berpindah dari kedudukannya dan tidak kelihatan darah keluar sekelilingnya.[5]
Seterusnya, hendaklah
orang tersebut bersegera mengambil wuduk sesudah masuk waktu solat, bahkan
wuduknya tidak sah sekiranya dia berwuduk sebelum masuknya waktu solat. Perkara
ini telah dinyatakan oleh fuqaha shafi’iyyah seperti di dalam kitab Fath Mu’in
menyatakan bahawa:
وشمل سلس البول وسلس
الريح، فلو توضأ قبل دخول الوقت لم يصح لأنه طهارة ضرورة، ولا ضرورة قبل الوقت
Maksudnya:
Begitu juga termasuk bagi orang yang
mengalami masalah kencing tidak lawas (salis
al-bawl) serta masalah kentut tidak terkawal (salis al-rih). Oleh itu, jika dia berwuduk sebelum masuk waktu
solat, wuduknya tidak sah kerana ini adalah taharah
darurat, sedangkan keadaan darurat tidak berlaku sebelum masuk waktunya.[6]
Tambahan daripada itu,
penentuan masuk waktu solat tersebut sama ada secara yakin ataupun dzhan
(sangkaan) yang ditentukan oleh pesakit melalui ijtihadnya sendiri. Hal ini telah
dinyatakan seperti berikut;
الأنسب والأخصر أن يقول بعد قوله دخول وقت لدائم الحدث ولو
ظنا، أي سواء كان دخوله يقينا أو كان ظنا، فيما إذا اشتبه عليه الوقت أدخل أم لا،
فاجتهد فأداه اجتهاده إلى دخوله
Maksudnya:
Yang lebih sesuai dan ringkas ialah dengan
mengatakan selepas ucapan “masuk waktu bagi orang yang sentiasa berhadas
walaupun dengan sangkaan”, iaitu sama ada masuknya itu dengan yakin atau dengan
sangkaan, dalam keadaan apabila seseorang itu ragu-ragu sama ada waktu telah
masuk atau belum, lalu dia berijtihad dan ijtihadnya membawa kepada sangkaan
bahawa waktu telah masuk.[7]
Lanjutan daripada itu,
antara keadaan yang membenarkan seseorang yang mengalami daimul hadath melewatkan solat setelah berwuduk adalah apabila
terdapat maslahat yang berkaitan dengan solat. Hal ini dinyatakan Imam
al-Nawawi di dalam kitab al-Majmu’ mengenai sebab-sebab yang mengharuskan
seperti:
من أسباب الصلاة كستر العورة والأذان والإقامة والاجتهاد في
القبلة والذهاب إلى المسجد الأعظم والسعي في تحصيل سترة تصلي إليها وانتظار
الجماعة ونحو ذلك جاز وإن أخرت بلا عذر بطلت طهارتها لتفريطها
Maksudnya:
Antara sebab-sebab yang berkaitan
dengan solat ialah menutup aurat, azan, iqamah, berijtihad menentukan arah
kiblat, pergi ke masjid yang lebih besar, berusaha mendapatkan sutrah (penghalang) untuk solat
menghadapnya, menunggu jemaah dan seumpamanya. Semua ini dibolehkan setelah
berwuduk. Namun, jika seseorang melewatkan solat tanpa uzur, maka wuduknya
terbatal kerana kecuaiannya.[8]
Justeru, dalam hal yang dinyatakan
sebelum ini terdapat beberapa perkara dan tatacara pengambilan wuduk yang perlu
diambil berat bagi seseorang yang mengalami daimul
hadath dengan mengikut turutan seperti berikut;
- Memastikan
masuk waktu solat.
- Menyucikan,
menyumbat serta membalut tempat keluar najis sekadar termampu.
- Segera
berwuduk.
- Segera
menunaikan solat.
- Satu wuduk hanya dibolehkan untuk satu solat fardu sahaja dan beberapa ibadah sunat yang lain.
- Niat semasa wuduk
Orang
yang sentiasa dalam hadas, hendaklah berniat dengan wuduk tersebut untuk
mengharuskan solat. Maka, tidak memadai wuduknya jika ia diniatkan bagi
mengangkat hadas semata-mata kerana pada hakikatnya hadas tersebut tidak
terangkat. Contoh lafaz niat wuduk bagi mengharuskan solat fardu dan sunat adalah
seperti berikut:
نويت
الوضوء لاستباحة الصلاة لله تعالى
Maksudnya:
Sahaja aku berwuduk bagi mengharuskan solat kerana Allah Ta‘ala.
Oleh
itu, hal ini telah disebutkan oleh Imam Shihabuddin al-Ramli mengenai niat yang
perlu dilafazkan bagi seseorang yang mengalami daimul hadath seperti berikut:
(ومن دام حدثه كمستحاضة) وسلس بول أو نحوه
(كفاه نية الاستباحة) المارة (دون) نية (الرفع) المتقدم لعدم ارتفاع حدثه (على
الصحيح فيهما) أما الاكتفاء بنية الاستباحة فبالقياس على التيمم
Maksudnya: (Sesiapa yang mengalami
hadas berterusan, seperti wanita yang mengalami istihadhah) atau seseorang yang mengalami masalah kencing tidak
lawas –salis al-bawl– dan
seumpamanya, (maka memadai baginya dengan niat istibahah) -mengharuskan solat- sebagaimana yang telah disebutkan,
(tanpa) perlu berniat mengangkat hadas. Hal ini kerana hadasnya tidak terangkat
(tetap berterusan), menurut pendapat yang sahih dalam kedua-dua perkara ini.
Adapun kecukupan dengan hanya niat istibahah,
ia diqiyaskan kepada tayammum.[9]
Justeru, niat wuduk bagi seseorang
yang mengalami daimul hadath mempunyai kaifiat khusus yang
perlu diambil berat tentangnya seperti berniat untuk mengharuskan solat dan
tidak berniat mengangkat hadas kerana pada asalnya hadasnya tidak terangkat.
- Hukum yang berkaitan dengan wuduk Daimul Hadath
● Satu wuduk untuk satu ibadah
fardu
Bagi orang yang sentiasa dalam keadaan berhadas, satu wuduk
hanya sah untuk mendirikan satu ibadah fardu sahaja. Maka tidak sah bagi orang
tersebut mendirikan ibadah fardu yang lain jika dia telah pun mengerjakan satu
solat fardu dengan wuduknya itu tadi. Justeru, jika dia hendak mengerjakan
ibadah fardu yang lain selepas itu, maka wajib ke atasnya untuk berwuduk sekali
lagi dengan mengikut tatacara berwuduk bagi daimul
hadath. Menurut kenyataan Imam al-Dimyati al-Shafi’i bahawa:
(قوله: ويجب عليه الوضوء الخ) أي ويجب على دائم الحدث الوضوء
لكل فرض ولو منذورا، فلا يجوز أن يجمع بوضوء واحد بين فرضين، كما أنه لا يجوز أن
يجمع بتيمم واحد بينهما
Maksudnya: (Dan bagi perkataan: “Dan
wajib ke atasnya berwuduk…”) iaitu, wajib bagi orang yang mengalami hadas
berterusan untuk berwuduk bagi setiap ibadah fardu, termasuk solat yang
dinazarkan. Maka, tidak dibolehkan untuk menghimpunkan dua ibadah fardu dengan
satu wuduk, sebagaimana juga tidak dibolehkan menghimpunkan keduanya (ibadah
fardu) dengan satu tayammum.[10]
·
Solat jamak bagi pesakit daimul
hadath
Sebagaimana disebutkan yang lalu, wuduk bagi orang yang
sentiasa berhadas hanya sah untuk satu solat fardu sahaja dan seberapa banyak
solat sunat. Justeru, solat yang pertama adalah dari wuduk yang pertama dan
perlu berwuduk yang baru bagi solat yang kedua. Hal ini diqiaskan bagi pesakit daimul
hadath dengan orang yang bertayamum iaitu perlu bersuci untuk setiap kali
solat fardu, setelah masuk waktunya. Sheikh Sulayman al-Jamal menyebutkan;
أَنَّ الْمُسْتَحَاضَةَ قِيسَتْ عَلَى الْمُتَيَمِّمِ فِي
أَنَّ طُهْرَهَا لَا بُدَّ أَنْ يَكُونَ لِكُلِّ فَرْضٍ وَفِي الْوَقْتِ فَلَا
يَصِحُّ قَبْلَهُ وَقِيسَتْ عَلَى مَنْ بِهِ حَدَثٌ دَائِمٌ فِي الْغَسْلِ
وَالْعَصْبِ وَالْحَشْوِ وَالْمُبَادَرَةِ بِالْفَرْضِ، وَالْجَامِعُ بَيْنَهُمَا
أَنَّ كُلًّا مِنْ الْمُتَيَمِّمِ وَدَائِمِ الْحَدَثِ طُهْرُهُ مُبِيحٌ لَا
رَافِعٌ
Maksudnya: Sesungguhnya perempuan
yang beristihadah diqiaskan dengan orang yang bertayammum iaitu
hendaklah dia bersuci untuk setiap kali solat fardu, setelah masuk waktunya
iaitu tidak sah sebelumnya, dan diqiaskan (perempuan istihadah) dengan
orang yang sentiasa berhadas dalam bab mandi, menyumbat (dengan kapas) dan
membalutnya (tempat keluar najis) dan segera melaksanakan solat fardu, dan
persamaan antara keduanya ialah orang yang bertayammum dan orang yang sentiasa
berhadas ialah taharahnya hanya untuk mengharuskan (ibadah) dan bukannya untuk
mengangkat (hadas).[11]
Di dalam kitab Hashiyah I’anah al-Talibin, Sheikh
Uthman Shata al-Bakri menyatakan bahawa;
ويجب على دائم الحدث الوضوء لكل فرض ولو منذورا، فلا يجوز أن
يجمع بوضوء واحد بين فرضين، كما أنه لا يجوز أن يجمع بتيمم واحد بينهما
Maksudnya: Wajib ke atas orang yang
sentiasa berhadas untuk berwuduk bagi setiap solat fardu, walaupun solat nazar.
Maka tidak dibolehkan baginya untuk menghimpunkan dua solat fardu dengan satu
wuduk, sebagaimana tidak dibolehkan juga untuk menghimpunkan dua solat fardu
dengan satu tayammum.[12]
Oleh itu, bagi orang yang sentiasa berhadas menjamakkan
solat adalah harus kerana ia diqiaskan dengan masalah tayammum dengan syarat
mengambil wuduk sebanyak dua kali. Sebagai contoh, wuduk yang pertama bagi
solat Zohor dan wuduk yang kedua antara selang masa sebelum solat Asar secara
berturutan. Adapun senggang masa antara dua solat tersebut tidak memudaratkan kerana
ia dikira sebagai maslahat solat dan diringankan dalam perkara tersebut. Hal
ini dinyatakan oleh Imam al-Nawawi seperti;
وَلِهَذَا قَالَ جُمْهُورُ الْأَصْحَابِ يَجُوزُ الْجَمْعُ
بَيْنَ الصَّلَاتَيْنِ بِالتَّيَمُّمِ وَقَالُوا لَا يَضُرُّ الْفَصْلُ
بَيْنَهُمَا بِالطَّلَبِ
Maksudnya: Majoriti ashab (Shafi’iyyah)
ini berpendapat bahawa harus menghimpunkan dua solat dengan satu tayammum.
Mereka juga berkata: Tidak mengapa adanya senggang masa antara kedua-dua solat
tersebut disebabkan oleh usaha mencari air dan melakukan tayammum.[13]
● Wuduk untuk ibadah sunat yang
lain
Adapun untuk ibadah sunat pula, orang tersebut diharuskan
mengerjakan solat sunat dengan wuduknya itu sebanyak mana yang dikehendakinya
tanpa perlu berwuduk kembali walaupun setelah mengerjakan ibadah fardu. Hal ini
sebagaimana disebutkan oleh para fuqaha Shafi’iyyah mengenai perkara tersebut
seperti di dalam kitab ‘Ianah al-Talibin menyatakan:
واعلم أن دائم الحدث – كالمتيمم – يستباح له بوضوئه للفرض
أن يصلي الفرض
وما شاء من النوافل
Maksudnya: Ketahuilah bahawa
seseorang yang mengalami hadas berterusan -sama seperti orang yang bertayammum-
boleh dengan wuduknya untuk solat fardu menunaikan satu solat fardu serta
sebanyak mana solat sunat yang diinginkannya.[14]
·
Wuduk Daimul Hadath bagi
Jemaah Haji
Berdasarkan keputusan muzakarah haji
peringkat kebangsaan kali ke-39 bersamaan 1444H/2022M menyatakan bahawa;
Jemaah haji yang mengalami daimul
hadath boleh mengambil pandangan mazhab Maliki iaitu:
I.
Membersihkan najis dan boleh
mengambil wuduk sebelum masuk waktu solat.
II.
Meneruskan solat dengan wuduk yang
sama selagi ia tidak terbatal oleh lain-lain perkara yang membatalkan wuduk.
III.
Memperbaharui wuduk itu adalah sunat
sahaja.
Kesimpulan
Golongan yang menghadapi daimul
hadath seperti wanita yang mengalami istihadah,
kencing tidak lawas (salisi al-Bawl)
dan seumpamanya dikira sebagai golongan yang ‘uzur’ serta terdapat hukum yang
khusus buat golongan ini dalam bab taharah. Justeru, setelah diteliti
perbahasan yang lalu dapat disimpulkan beberapa perkara:
●
Daimul
hadath adalah orang yang
sentiasa berhadas menyebabkan wuduk dan solatnya terbatal. Justeru, terdapat
panduan dari para fuqaha dalam masalah ini yang perlu diambil berat terhadapnya
iaitu seseorang perlu mengambil wuduk setiap kali hendak mengerjakan solat dan
membalut tempat keluarnya najis tersebut.
Maka, solatnya dikira sah dan tidak perlu mengulanginya sekalipun dia
masih berhadas ketika mengerjakan solat.
●
Niat wuduk bagi daimul hadath adalah berniat untuk
mengharuskan solat bukannya untuk mengangkat hadas.
● Satu wuduk hanya dibolehkan untuk menunaikan satu ibadah fardu sahaja namun diharuskan untuk mengerjakan seberapa banyak ibadah sunat yang diinginkannnya.
[1] Abū
Zakariyyā al-Nawawī. al-Majmū’ Syarḥ al-Muhadhdhab. (Kaherah: Idarah al-Taba’ah
al-Munīriyah, t.t), 2:4.
[2] Abū
Zakariyyā Muhyi al-Dīn Yahya bin Sharaf al-Nawawī. Minhāj al-Ṭālibīn wa ‘Umdah al-Muftīn. (t.t.p: Dār al-Fikr, 2005),
19.
[3] Syams al-Dīn al-Ramlī. Nihāyat
al-Muhtāj ila Sharh al-Minhāj. (Beirut: Dar al-Fikr, t.t), 1:328.
[4] Abū Bakr Uthmān bin Muhammad Shaṭā al-Dimyātī al-Shāfi’ī. I’ānah al-Ṭālibīn ‘alā Ḥilli Alfāẓ Fatḥ
al-Mu’īn. (t.t.p: Dār al-Fikr li Ṭibā’ah wa al-Nashr wa al-Tawzī’, 1997),
1:47.
[5] Abū Bakr Uthmān bin Muhammad Shaṭā
al-Dimyātī al-Shāfi’ī. I’ānah al-Ṭālibīn
‘alā Ḥilli Alfāẓ Fatḥ al-Mu’īn. 1:47.
[6] Abū Bakr Uthmān bin Muhammad Shaṭā
al-Dimyātī al-Shāfi’ī. I’ānah al-Ṭālibīn
‘alā Ḥilli Alfāẓ Fatḥ al-Mu’īn. 1:47.
[7] Abū Bakr Uthmān bin Muhammad Shaṭā
al-Dimyātī al-Shāfi’ī. I’ānah al-Ṭālibīn
‘alā Ḥilli Alfāẓ Fatḥ al-Mu’īn. 1:47.
[8]Abū
Zakariyyā al-Nawawī. al-Majmū’ Syarḥ
al-Muhadhdhab. (Kaherah: Idarah al-Taba’ah al-Munīriyah, t.t), 2:537.
[9] Shamsuddīn Muḥammad bin Abī al-‘Abbās
Aḥmad bin Ḥamzah al-Ramlī. Nihāyah
al-Muḥtāj ilā Syarḥ al-Minhāj. 1:161.
[10] Abū Bakr Uthmān bin Muhammad Shaṭā
al-Dimyātī al-Shāfi’ī. I’ānah al-Ṭālibīn
‘alā Ḥilli Alfāẓ Fatḥ al-Mu’īn. 1:47.
[11] Sulaiman bin
Umar. Hāsyiah Jamal Alā Syarh al-Manhaj al-Ṭullāb. (Beirut: Dār al-Fikr,
t.t.), 1/244.
[12]Abū Bakr Uthmān bin Muhammad Shaṭā
al-Dimyātī al-Shāfi’ī. I’ānah al-Ṭālibīn
‘alā Ḥilli Alfāẓ Fatḥ al-Mu’īn. 1:47.
[13]Abū Zakariyyā
al-Nawawī. al-Majmū’ Syarḥ al-Muhadhdhab.
4/375.
[14] Abū Bakr Uthmān bin Muhammad Shaṭā
al-Dimyātī al-Shāfi’ī. I’ānah al-Ṭālibīn
‘alā Ḥilli Alfāẓ Fatḥ al-Mu’īn. 1:47.