TANJONG MALIM, 19 Mei 2025 – S.S. Dato’ Setia Prof. Madya Dr. Haji Anhar bin Haji Opir telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), YBhg. Profesor Dato’ Dr. Md Amin bin Md Taff, sebagai tanda penghargaan dan terima kasih sempena penamatan rasmi perkhidmatan beliau sebagai pensyarah di universiti tersebut.
Dengan berakhirnya perkhidmatan akademik di UPSI, S.S. Dato’ Setia kini akan menumpukan sepenuhnya khidmat beliau sebagai Mufti Negeri Selangor di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor.
Dalam kunjungan tersebut, S.S. Dato’ Setia turut berkesempatan menyampaikan tausiah kepada sekumpulan mahasiswa dan mahasiswi semester 2 Pengajian Islam dan Tahfiz di bawah Fakulti Sains Kemanusiaan yang sedang menjalankan program perkhemahan. Sesi tersebut turut dihadiri oleh Ketua Jabatan Pengajian Islam, Fakulti Sains Kemanusiaan, UPSI, YBrs. Prof. Madya Dr. Husna binti Husain.
Kunjungan singkat ini diteruskan dengan kunjungan hormat ke pejabat Dekan Fakulti Sains Kemanusiaan, YBrs. Prof. Madya Ts. Dr. Nor Kalsum binti Mohd Isa.
Sebagai penutup, S.S. Dato’ Setia telah melakukan ‘punch out’ terakhir di sistem kehadiran UPSI, sebagai simbolik rasmi berakhirnya perkhidmatan beliau di universiti tersebut.









