#70 Taudhih Al-Hukmi : Hukum Beramal Dengan Hadis Dhaif

#70 Taudhih Al-Hukmi : Hukum Beramal Dengan Hadis Dhaif

Tarikh: 19 September 2024

Disediakan oleh: Ahmad Mursyid bin Azhar

 

Pendahuluan

Polemik hadis dhaif sering menjadi suatu isu yang hangat diperkatakan. Seruan mengajak kembali kepada al-Quran dan al-Sunnah telah disalah erti oleh sebahagian orang ramai. Ramai yang menganggap hanya perlu kembali kepada sunnah atau hadis yang sahih sahaja. Seterusnya, wujud pemikiran untuk menolak autoriti hadis dhaif dengan pelbagai tanggapan. Sama ada menganggap hadis dhaif setara dengan palsu atau menganggap hadis dhaif terlalu lemah untuk dijadikan sebagai sumber rujukan dan hukum. Justeru itu, artikel ini akan membincangkan isu tersebut.

 

 

Definisi Hadis Dhaif Dan Pembahagiannya

 

Ilmuwan hadis telah berbeza dalam mendefinisikan hadis dhaif. Walaupun begitu, kesemua definisi yang diterangkan membawa satu maksud yang sama. Nuruddin Itr telah mendefinisikan hadis dhaif sebagai:

ما فقد شرطا من شروط الحديث المقبول

Maksudnya: Sesuatu hadis yang telah gugur salah satu syarat hadis maqbul (sahih dan hasan).[1]

 

Para ilmuwan hadis muta’akhkhirin telah membahagikan hadis pada sudut penerimaan periwayatan hadis kepada dua bahagian iaitu maqbul dan mardud. Hadis maqbul adalah hadis sahih dan hasan. Manakala hadis mardud adalah hadis dhaif, maudhu’ dan sebagainya.[2] Ibnu Hajar al-Asqalani telah mendefinisikan maqbul dan mardud sebagai berikut:

المقبول وهو ما يجب العمل به عند الجمهور … وفيها المردود وهو الذي لم يترجح صدق المخبر به لتوقف الاستدلال بها على البحث عن أحوال رواتها

Maksudnya: Maqbul adalah sesuatu hadis yang mesti beramal dengannya pada pandangan jumhur … dan terdapat juga mardud yang bermaksud sesuatu keadaan yang tidak dapat dipastikan kebenaran perawi sesuatu hadis kerana tawaqquf pada istidlal ketika mengkaji keadaan para perawi.[3]

 

Daripada penerangan Ibnu Hajar tersebut, dapat difahami maqbul adalah keadaan sesuatu hadis itu boleh diterima pada sudut pengamalan disebabkan perawinya adalah benar dan tidak berdusta. Manakala mardud adalah keadaan suatu hadis yang belum pasti boleh diterima pengamalannya disebabkan terdapat perawi yang mendusta atau tidak dipastikan perawi tersebut mendusta ataupun tidak.[4] Bukanlah maksud maqbul hadis itu diterima dan mardud itu tertolak secara keseluruhannya.

Manakala, syarat hadis maqbul ada enam iaitu perawi yang ‘adil, baik penjagaan hadis tersebut (al-dhabt) walaupun penjagaannya tidak sempurna, bersambung sanad, tiada syaz, tiada ‘illah yang merosakkan kesahihan hadis dan mempunyai riwayat sokongan ketika memerlukannya.[5] Apabila salah satu atau lebih daripada enam syarat ini tidak terpenuhi maka dapat menatijahkan sesuatu hadis sebagai mardud. Sama ada dalam peringkat dhaif mahupun maudu’.

Hadis dhaif pula terbahagi kepada beberapa bahagian yang berbeza-beza kerana berbezanya sebab-sebab berlakunya dhaif. Akan tetapi, pembahagian hadis dhaif dapat disimpulkan kepada dua bahagian iaitu dhaif yang ringan (yasir) dan terlalu dhaif (syadid al-dha’f). Kata Nuruddin Itr dalam Manhaj al-Naqd Fi Ulum al-Hadis:

فإن مراتب الحديث الضعيف تتفاوت بحسب ذلك، فمنه الضعيف أيسر الضعف حتى يكاد يحكم بحسنه، ومنه ضعيف أشد الضعف

Maksudnya: Maka sesungguhnya peringkat hadis dhaif berbeza-beza disebabkan kepelbagaian sebab berlakunya dhaif. Antaranya adalah dhaif yang ringan sehingga hampir sahaja dihukumkan sebagai hasan dan antaranya terlalu dhaif.[6]

 

 

Tokoh-tokoh Yang Menerima Autoriti Hadis Dhaif

 

Terdapat sebilangan ramai tokoh-tokoh hadis baik daripada kalangan mutaqaddimin (salaf) mahupun mutaakhkhirin (khalaf) menerima autoriti hadis dhaif.

 

1.      Tokoh-tokoh Mutaqaddimin

 

1)      Abdul Rahman bin Mahdi:

Kata Abdul Rahman bin Mahdi “kami bermudah-mudahan dalam menerima sanad dan para perawi ketika kami meriwayatkan hadis-hadis berkaitan pahala, dosa dan kelebihan beramal. Kami juga bertegas dalam menerima sanad dan para perawi ketika kami meriwayatkan hadis yang berkaitan halal, haram serta hukum-hakam”.[7]

 

2)      Ahmad bin Hanbal:

Kata Ahmad bin Hanbal “kami akan bertegas dalam menerima sanad jika kami meriwayatkan daripada Rasulullah SAW berkaitan haram, sunan dan hukum-hakam. Kami akan bermudah-mudahan menerima sanad ketika meriwayatkan daripada Rasulullah SAW pada perkara kelebihan beramal yang tidak ditetapkan padanya hukum-hakam”.[8]

 

Manakala kata Ibnu Rajab al-Hanbali dalam Syarh ‘Ilal al-Tirmizi:

‌يتبين ‌من ‌عمل الإمام أحمد وكلامه أنه يترك الرواية عن المتهمين والذين غلب عليهم الخطأ للغفلة وسوء الحفظ، ويحدث عمن دونهم في الضعف مثل في حفظه شيء أو يختلف الناس في تضعيفه وتوثيقه

Maksudnya: Jelas daripada amali dan pandangan Imam Ahmad bahawa beliau meninggalkan riwayat para perawi yang ditohmah serta perawi yang sering melakukan kesilapan disebabkan lupa atau buruk hafalan. Di samping itu, beliau meriwayatkan daripada perawi yang tidak sampai kepada peringkat yang telah disebutkan dalam kalangan dhaif seperti hafalan kurang kuat atau mereka yang diperselisihkan status periwayatan mereka.[9]

 

3)      Al-Bukhari dan Muslim:

Penerimaan kedua-dua tokoh ini terhadap hadis dhaif dapat dilihat apabila mereka menerima periwayatan hadis mu’allaq[10] dalam kitab Sahih mereka.[11] Hadis mu’allaq merupakan salah satu hadis dhaif. Tambahan pula, Imam al-Bukhari juga ada meriwayatkan sebilangan hadis dhaif dalam kitab ­al-Adabul Mufrad. Kata Dr Salim Ulwan, muhaqqiq kitab al-Adabul Mufrad:

وفيه الصحيح والحسن والضعيف المنجبر بالشواهد

Maksudnya: Pada kitab ini terdapat hadis sahih, hasan dan dhaif yang boleh dinaik taraf dengan syawahid.[12]

 

4)      Abu Daud:

Kata Abu Daud dalam risalah beliau kepada ahli Mekah:

وأما المراسيل فقد كان يحتج بها العلماء فيما مضى مثل سفيان الثوري ومالك بن أنس والأوزاعي حتى جاء الشافعي فتكلم فيها وتابعه على ذلك أحمد بن حنبل وغيره رضوان الله عليهم، فإذا لم يكن مسند غير المراسيل ولم يوجد المسند فالمرسل يحتج به وليس هو مثل المتصل في القوة

Maksudnya: Adapun hadis-hadis mursal[13] diterima sebagai hujjah oleh ulama hadis seperti Sufyan al-Thauri, Malik bin Anas dan al-Auza’i sehingga datang Imam al-Syafi’i membincangkannya lalu diikuti oleh Ahmad bin Hanbal dan selain mereka. Jika tidak ditemui hadis musnad melainkan hadis mursal maka hadis mursal dijadikan sebagai hujjah dan ia tidaklah sama seperti hadis yang muttasil pada sudut kekuatan.[14]

 

 

2.      Tokoh-tokoh Mutaakhkhirin

 

Jumhur ulama mutaakhkhirin menerima autoriti hadis dhaif. Antaranya adalah Ibnu Solah[15], al-Nawawi, al-Sakhawi[16] dan al-Suyuti.[17] Kata al-Nawawi dalam al-Azkar:

قال العلماء من المحدثين والفقهاء وغيرهم: يجوز ويستحب العمل في الفضائل والترغيب والترهيب بالحديث الضعيف ما لم يكن موضوعا. وأما الأحكام كالحلال والحرام والبيع والنكاح والطلاق وغير ذلك فلا يُعمل فيها إلا بالحديث الصحيح أو الحسن إلا أن يكون في احتياط في شئ من ذلك، كما إذا ورد حديث ضعيف بكراهة بعض البيوع أو الأنكحة

Maksudnya: Telah berkata daripada kalangan ahli hadis dan fuqaha serta selain mereka bahawa harus beramal dengan hadis dhaif pada perkara fadilat, galakan dan ancaman selagi bukan hadis maudhu’. Manakala hadis hukum seperti halal dan haram, jual beli, pernikahan, talak dan lain-lain lagi, maka tidak boleh beramal dengannya melainkan dengan hadis sahih atau hasan sahaja. Kecuali untuk berhati-hati dalam perkara yang berkaitan seperti meriwayatkan hadis dhaif mengenai perkara yang makruh dalam bab jual beli atau pernikahan.[18]

 

 

Tokoh-tokoh Yang Menolak Autoriti Hadis Dhaif

 

Terdapat sebilangan tokoh-tokoh ilmuwan hadis yang menolak autorit hadis dhaif. Tokoh-tokoh yang menolak autoriti hadis dhaif ini adalah daripada kalangan ilmuwan kontemporari. Mereka menolak autoriti hadis dhaif sama ada disebabkan salah faham mereka terhadap beberapa istilah mahupun salah faham mereka terhadap nukilan-nukilan tokoh-tokoh hadis terdahulu seperti al-Bukhari, Muslim dan lain-lain. Perkara ini telah diterangkan dan telah dijawab oleh Syeikh Muhammad Awwamah secara panjang lebar dalam kitab beliau Hukmu al-‘Amal Bil Hadis al-Dhaif.[19] Antara tokoh yang menolak autoriti hadis dhaif adalah Syeikh Muhammad Tahir al-Jazairi[20], Syeikh Ahmad Syakir dan al-Albani.

 

Kata Syeikh Ahmad Syakir:

وأنه لا فرق بين الأحكام وبين فضائل الأعمال ونحوها في عدم الأخذ بالرواية الضعيفة، بل لا حجة لأحد إلا بما صح عن رسول الله صلى الله عليه وسلم من حديث صحيح أو حسن

Maksudnya: Sesungguhnya tiada beza antara hadis hukum mahupun fadilat beramal dan selainnya untuk tidak menerima periwayatan hadis dhaif. Bahkan tidak boleh dijadikan sebagai hujjah kecuali apa yang benar daripada Rasulullah SAW yang terdiri daripada hadis sahih atau hasan.[21]

 

Kata al-Albani:

أن الحديث الضعيف لا يعمل به مطلقا، لا في الفضائل والمستحبات، ولا في غيرهما

Maksudnya: Sesungguhnya hadis dhaif tidak boleh diamalkan (diterima) secara mutlak. Ini termasuklah dalam perkara fadilat beramal, keharusan dan selainnya.[22]

 

 

Hukum Beramal Dengan Hadis Dhaif

 

Setelah melihat kepada pandangan dan nukilan daripada tokoh-tokoh ilmuwan hadis, sama ada yang menerima mahupun yang menolak autoriti hadis dhaif, dapat disimpulkan hadis dhaif boleh diamalkan. Perkara ini dapat dilihat melalui nukilan-nukilan ilmuwan hadis terdahulu serta amali mereka dalam menerima hadis dhaif. Walaupun begitu, hadis dhaif boleh diamalkan dengan syarat-syarat tertentu. Antara syarat beramal dengan hadis dhaif adalah: [23]

 

1-      Hadis dhaif tersebut adalah hadis yang bukan berkaitan dengan hukum hakam dan akidah. Ianya hanya dibenarkan dalam perkara fadilat beramal, galakan dan ancaman. Manakala yang berkaitan dengan hukum-hakam dibenarkan beramal dengan hadis dhaif bagi tujuan ihtiyat dalam menentukan sesuatu hukum sebagai makruh atau sunat seperti yang diterangkan oleh al-Nawawi sebelum ini.

 

2-      Hadis dhaif tersebut mestilah dhaif yasir (ringan) bukan hadis dhaif syadid (terlalu dhaif). Ianya terkecuali daripada periwayatan yang bersendirian daripada kalangan perawi yang pendusta, yang ditohmah mendusta dan yang terlalu banyak melakukan kesilapan dalam periwayatan.

 

3-      Hadis dhaif tersebut mempunyai asal daripada dalil yang umum.

 

4-      Tidak beriktikad ketika beramal dengan hadis dhaif bahawa hadis tersebut secara thabit (pasti) adalah hadis Nabi SAW.[24] Bahkan perlu beriktikad bahawa hadis dhaif kemungkinan pasti (ihtimal thubut) ia adalah hadis Nabi SAW. Ini supaya tidak dinisbahkan sesuatu kepada Nabi SAW terhadap apa yang tidak ucapkan oleh Baginda SAW.

 

Seterusnya, ini menunjukkan hadis dhaif tidak dikategorikan sebagai palsu atau maudhu’. Ini kerana definisi bagi hadis maudhu’ adalah hadis yang direka cipta lalu dinisbahkan kepada Nabi SAW secara dusta. Secara hakikatnya hadis maudhu’ tiada hubung kait dengan Nabi SAW. Akan tetapi, ia disebut sebagai hadis kerana ia didakwa sebagai hadis.[25] Berbeza dengan hadis dhaif yang masih dinisbahkan kepada Nabi SAW walaupun secara ihtimal thubut.

 

Tidak Semua Hadis Sahih Boleh Diamalkan

Telah jelas bahawa hadis dhaif boleh diamalkan dengan syarat-syarat tertentu. Dapat difahami juga bahawa hadis dhaif ada yang boleh diamalkan dan ada juga yang tidak boleh diamalkan. Begitu juga hadis maqbul yang terdiri daripada sahih dan hasan. Ada hadis sahih yang boleh diamalkan dan dijadikan hujjah sebagai sumber hukum dan ada juga hadis sahih yang tidak boleh diamalkan. Kata Ibnu Hajar al-‘Asqalani:

ثم المقبول ينقسم أيضا إلى معمول يه وغير معمول به

Maksudnya: Kemudian hadis maqbul juga terbahagi kepada yang diamalkan dan tidak diamalkan.[26]

 

Hal ini kerana periwayatan hadis tersebut masih sahih atau hasan yang pada asalnya diterima sebagai hujjah dan dijadikan sumber hukum. Akan tetapi, hukum pada hadis sahih atau hasan tersebut telah dimansuhkan (mansukh) dengan dalil lain sama ada al-Quran mahupun hadis sendiri. Ini seperti yang disebutkan oleh al-Suyuti dalam Tadrib al-Rawi:

قال العراقي: فإن أراد أنه علة في العمل بالحديث فصحيح، أو في صحته فلا ; لأن في الصحيح أحاديث كثيرة منسوخة

Maksudnya: Telah berkata al-‘Iraqi bahawa jika yang dimaksudkan mansukh itu adalah ‘illah (kecacatan) untuk beramal dengan hadis maka ia adalah benar. Jika dimaksudkan ia sebagai ‘illah pada kesahihan hadis maka ia tidak benar sama sekali. Ini kerana pada hadis sahih terdapat hadis-hadis yang dimansuhkan.[27]

 

 

Kesimpulan

 

Berdasarkan perbincangan yang telah dinyatakan, dapat disimpulkan hadis dhaif boleh diamalkan dengan syarat-syarat tertentu. Hadis dhaif masih ada hubung kait dengan Nabi SAW walaupun secara ihtimal thubut berbeza dengan hadis maudhu’. Kemudian, tidak semua hadis maqbul daripada hadis sahih mahupun hasan boleh diamalkan. Ini kerana terdapat hadis sahih atau hasan pada periwayatan tetapi dimansuhkan hukumnya. Maka, yang menjadi penentu kepada keharusan beramal dengan sesuatu hadis bukan hanya pada sanad periwayatan sahaja. Bahkan dirayah dan makna hadis menjadi penentu kepada keharusan beramal dengan sesuatu hadis.

 



[1] Nūruddīn ʿItr. Manhaj al-Naqd Fī ʿUlūm al-Ḥadīth. (Syria: Dār al-Fikr, 1981) 286.

[2] Nūruddīn ʿItr. Manhaj al-Naqd Fī ʿUlūm al-Ḥadīth. 241 dan 285.

[5] Nūruddīn ʿItr. Manhaj al-Naqd Fī ʿUlūm al-Ḥadīth. 286.

[6] Nūruddīn ʿItr. Manhaj al-Naqd Fī ʿUlūm al-Ḥadīth. 288.

[7] al-Ḥākim, Muḥammad bin ʿAbdullah. Al-Madkhal Ilā Kitāb al-Iklīl. (Mesir: Dār al-Daʿwah, t.t) 29. Al-Khaṭīb al-Baghdādī, Aḥmad bin ʿAlī.  Al-Jāmiʿ Li Akhlākh al-Rāwī Wa Ādāb al-Sāmiʿ. (Saudi: Maktabah al-Maʿārif, 1983) 2/91.

[9] Ibn Rajab al-Ḥanbalī, ʿAbdurraḥmān bin Aḥmad. Sharḥ ʿIlal al-Timridhī. (t.t.p: Dār al-Ṣalāḥ, t.t) 92.

[10] Hadis mu’allaq adalah hadis yang terputus sanadnya bermula awal sanad seorang perawi atau lebih atau terputus sanad sehingga akhir sanad secara berturut-turut. Ia merupakan salah satu daripada hadis dhaif. Lihat Nūruddīn ʿItr. Manhaj al-Naqd Fī ʿUlūm al-Ḥadīth. 374.

[13] Hadis mursal adalah hadis yang disandarkan oleh Tabiib kepada Nabi SAW tanpa menyebut sahabat dalam sanad mereka. Ia merupakan salah satu daripada hadis dhaif. Lihat Nūruddīn ʿItr. Manhaj al-Naqd Fī ʿUlūm al-Ḥadīth. 370.

[15] Ibn al-Ṣalāḥ. Muqaddimah Ibn al-Ṣalāḥ.103.

[16] Al-Sakhāwī, Muḥammad bin ʿAbd al-Raḥman. Al-Qawl al-Badīʿ Fi al-Ṣalāh ʿAlā al-Ḥabīb al-Shafīʿ. 496.

[17] Al-Suyūṭī, ʿAbd al-Raḥman bin Abī Bakr. Tadrīb al-Rāwī. (t.t.p: Dār Ṭaybah, t.t) 1/350-351.

[19] Muḥammad ʿAwwāmah. Ḥukm al-ʿAmal Bi al-Hadīth al-Ḍaʿīf. (Saudi: Dār al-Minhāj, 2017) 135-220.

[20] Muḥammad Ṭāhir al-Jazā’irī. Tawjīh al-Naẓar Ilā Uṣūl al-Athar. (Syria: Maktabah al-Maṭbūʿāt al-Islāmiyyah, 1995) 2/658.

[21] Aḥmad Syākir. Al-Bāʿith al-Ḥathīth. (Beirut: Mu’assasah al-Risālah, 2015) 134.

[23] Nūruddīn ʿItr. Manhaj al-Naqd Fī ʿUlūm al-Ḥadīth. 293. Awwamah. Ḥukm al-ʿAmal Bi al-Hadīth al-Ḍaʿīf. 76. Al-Nawawī. Al-Adhkār. 8.

[24] Al-Sakhāwī. Al-Qawl al-Badīʿ Fi al-Ṣalāh ʿAlā al-Ḥabīb al-Shafīʿ. 497. Awwamah. Ḥukm al-ʿAmal Bi al-Hadīth al-Ḍaʿīf. 106.

[25] Nūruddīn ʿItr. Manhaj al-Naqd Fī ʿUlūm al-Ḥadīth. 301.

[26] Al-ʿAsqalānī. ʿAlī. Nuẓhat al-Naẓar Fī Tawḍīḥ Nukhbat al-Fikar. 76.

[27] Al-Suyūṭī. Tadrīb al-Rāwī.1/303. Al-ʿIrāqī, ʿAbdurraḥīm bin al-Ḥusayn. Sharḥ al-Tabṣirah Wa al-Tadhkirah. (Beirut: Dār al-Kutub al-ʿIlmiyyah, 2002) 1/290.

Accessibility Toolbar

PHP Code Snippets Powered By : XYZScripts.com