#52 Taudhih Al-Hukmi :  Hukum Lelaki Memakai Sutera Teratai

 

Tarikh: 2 Mei 2024

Disediakan oleh: Nor Hanani binti Ahmad

 

Pendahuluan

 

Sutera merupakan sejenis benang yang diperbuat daripada kepompong ulat sutera yang menghasilkan tekstil kain yang lembut, halus dan selesa yang sesuai dipakai pada mana-mana majlis. Ia menjadikan pemakaian kain sutera semakin terkenal dan permintaannya semakin meningkat khususnya dalam kalangan mereka yang inginkan penampilan yang mewah, anggun dan mempesonakan. Peningkatan ini menjadikan pengeluaran produk sutera bukan sahaja diperbuat daripada kepompong ulat sutera bahkan ia boleh dibuat daripada tumbuhan iaitu teratai. Namun begitu, Adakah dengan penggunaan bunga teratai untuk menghasilkan kain sutera dibenarkan pemakaiannya bagi lelaki?

 

Pengharaman Sutera Bagi Lelaki

 

Secara asasnya, pemakaian sutera bagi lelaki mukallaf adalah diharamkan[1] sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Abi Musa bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أُحِلَّ الذَّهَبُ وَالْحَرِيرُ لِإِنَاثِ أُمَّتِي ‌وَحُرِّمَ ‌عَلَى ‌ذُكُورِهَا[2]

Maksudnya: Dihalalkan bagi umatku yang perempuan emas dan sutera dan diharamkan bagi lelaki.

(Riwayat al-Nasa’i)

 

Menurut al-Syawkani, hadis ini merupakan dalil yang digunakan Jumhur ulama yang berpendapat bahawa sutera dan emas adalah haram bagi lelaki dan harus bagi wanita.[3] Ia juga diharamkan bagi lelaki menggunakan sutera untuk apa-apa tujuan sebagaimana dinukilkan dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji:

والحرير أيضاً حرام على الرجال لبساً، واستعمالاً في أي وجه من وجوه الاستعمال: كالجلوس عليه والتستر والتدثر به[4]

Maksudnya: Sutera haram bagi lelaki sama ada memakai atau menggunakannya dengan apa cara jua iaitu sama ada menggunakannya seperti duduk di atasnya, tirai dan selimut.

Terdapat riwayat lain yang tidak membenarkan penggunaan emas dan sutera iaitu daripada Abd al-Rahman bin Abi Layla bahawa beliau mendengar Nabi SAW bersabda:

 

‌لَا ‌تَلْبَسُوا ‌الْحَرِيرَ وَلَا الدِّيبَاجَ وَلَا تَشْرَبُوا فِي آنِيَةِ الذَّهَبِ وَالْفِضَّةِ وَلَا تَأْكُلُوا فِي صِحَافِهَا، فَإِنَّهَا لَهُمْ في الدنيا ولنا في الآخرة[5]

Maksudnya: Janganlah kamu memakai sutera, janganlah kamu minum daripada bekas emas dan perak serta jangan makan daripada bekas yang diperbuat daripadanya kerana ia adalah untuk mereka di dunia dan untuk kita di akhirat.

(Riwayat al-Bukhari)

 

Begitu juga hadis yang diriwayatkan daripada Umar bin al-Khatab bahawa Rasulullah SAW bersabda bahawa:

لَا ‌تَلْبَسُوا ‌الْحَرِيرَ ‌فَإِنَّهُ ‌مَنْ ‌لَبِسَهُ ‌فِي ‌الدُّنْيَا ‌لَمْ ‌يَلْبَسْهُ ‌فِي ‌الْآخِرَةِ[6]

Maksudnya: Jangan memakai sutera, sesiapa yang memakainya di dunia maka tidak memakainya di akhirat.

(Riwayat Muslim)

 

Pengharaman sutera bagi lelaki mempunyai hikmahnya[7] yang tersendiri iaitu sebagai ta’abbudi (patuh) kepada perintah Allah dan menjauhkan seseorang daripada sifat sombong. Tambahannya, tekstil kain sutera yang bersifat lembut dan halus sesuai digunakan oleh golongan wanita berbanding golongan lelaki. Hal ini kerana seorang lelaki secara fitrahnya diciptakan bersifat kasar, keras dan berperwatakan kuat berbeza dengan wanita yang bersifat lemah lembut dan sukakan perhiasan. Pemakaian kain sutera bagi wanita lebih menonjolkan sifat kelembutan dan mengekalkan sifat kewanitaan golongan wanita. Jadi, ia tidak sesuai digunakan oleh lelaki supaya tidak menyerupai sifat kewanitaan sebaliknya lelaki hendaklah mengekalkan sifat kelelakiannya sebagaimana fitrah penciptaannya.

 

Pemakaian sutera bagi lelaki hanya dibenarkan dalam dua keadaan sahaja iaitu:

(1) Keadaan Darurat: Apabila tiada apa-apa yang boleh digunakan untuk menutup aurat atau menutupi badan selain sutera ketika cuaca hujan atau panas dengan hanya sekadar keperluan sahaja.

(2) Keadaan Hajiyyat: Keadaan yang memerlukan seperti mempunyai penyakit yang hanya boleh memakai sutera sahaja bagi mengurangkan kesakitannya.[8]

Pembuatan Sutera Teratai

 

Sutera teratai berasal daripada tangkai bunga teratai yang dikenali sebagai padon-ma-kya yang mempunyai serat-serat halus yang sesuai untuk membentuk benang pada pakaian. Salah satu elemen mesra alam yang terlibat dari segi pembuatannya ialah gentian yang diekstrak daripada bunga teratai dipintal dengan tangan dan ditenun dalam masa 24 jam untuk menghasilkan fabrik yang serupa dengan sutera.[9]

 

Ia merupakan salah satu fabrik yang jarang ditemui di seluruh dunia berikutan pembuatannya sangat teliti dan mengambil tempoh yang lama kira-kira dua bulan untuk menghasilkan hanya sehelai selendang. Ia menjadi barangan mewah kerana hanya boleh dilakukan menggunakan tangan serta memerlukan kemahiran yang tinggi untuk mengekstrak dan menenun sehingga menjadi kain. Selain itu, produk yang ditenun daripada sutera teratai adalah tahan lama, ringan, lembut, kalis air serta sesuai dipakai semasa musim panas atau sejuk.

 

Proses pembuatannya bermula daripada pengambilan tangkai teratai yang telah dituai, batangnya akan dibersihkan dan dibalut dengan kain basah selama dua hari bagi memastikan tangkai tersebut segar. Kemudian serat akan terhasil dari tangkai tersebut dalam tempoh 10 hari sama ada daripada tangkai yang basah atau patah. Tangkai tersebut akan dipotong menjadi dua menggunakan pisau dan seumpamanya dan diregangkan kedua-dua tangkai tersebut supaya dapat menghasilkan serabut atau serat dari tangkai tersebut. Apabila serat benang tersebut keluar, ia akan diputar dan digulung menggunakan tangan di atas meja. Proses ini berulang sehingga tangkai tersebut hanya tinggal 3 inci dan diulang proses yang sama sehingga gentian yang diestrak menjadi tebal. Sepanjang proses ini dilakukan, air akan direnjiskan ke atas gentian benang untuk memastikan ia sentiasa lembap. Kemudian serat yang telah diekstrak akan diletakkan di bawah teduh untuk dijemur. Benang akan dicuci dengan bersih sebelum dijemur di bawah sinaran matahari. Gam tradisional yang diperbuat daripada beras akan disapukan pada benang serta disusuli dengan sapuan lilin. Sutera teratai kemudian dipusingkan untuk diletakkan pada alat tenunan dengan bantuan roda berputar. Kemudian penenun menganyam menggunakan alat tenun tradisional untuk menghasilkan produk berbentuk selendang, kain dan sebagainya.[10]

 

Proses pembuatan benang daripada bunga teratai sehingga membentuk kain sutera dilihat menghasilkan kain sutera yang sama sifatnya dengan sutera yang dihasilkan daripada kepompong ulat sutera iaitu menghasilkan kain sutera yang lembut dan halus. Ia tidak bercampur dengan bahan-bahan lain menjadikan ia menghasilkan sutera yang asli daripada tumbuhan.

 

Hukum Lelaki Memakai Sutera Teratai

 

Pengharaman sutera kepada lelaki jelas menunjukkan larangan bagi golongan lelaki memakai sutera seperti yang dinyatakan daripada hadis-hadis di atas. Sutera yang dimaksudkan daripada hadis-hadis di atas merupakan sutera asli yang diperbuat daripada kepompong ulat sutera[11]. Manakala sutera teratai yang diperbuat daripada tumbuhan tidak terdapat nas atau perbahasan ulama mengenai penggunaannya sama ada boleh dipakai oleh golongan lelaki atau tidak.

 

Selain itu, sutera teratai yang diperbuat daripada tumbuhan menghasilkan ciri yang sama seperti sutera asli yang diperbuat daripada kepompong ulat sutera. Tekstur kainnya yang lembut, dibentuk dengan pelbagai warna yang cantik dan anggun sesuai dipakai oleh golongan wanita yang berperwatakan lembut. Sutera teratai yang mempunyai ciri yang sama seperti sutera asli boleh mengelirukan orang lain yang melihatnya dengan sangkaan ia adalah sutera asli.

 

Justeru itu, melihat kepada sifat dan ciri-ciri sutera teratai, kami berpandangan bahawa pemakaian sutera teratai bagi lelaki adalah sebaiknya dielakkan. Hal ini kerana kedua-dua sutera adalah jenis kain yang lembut, halus, cantik dan mewah. Bertepatan dengan hikmah pengharaman pemakaian sutera bagi lelaki, sutera dipakai sebagai perhiasan bagi wanita dan tidak sesuai dipakai oleh lelaki kerana ia boleh menyebabkan sifat lembut dan feminin terbentuk dalam diri seorang lelaki, sedangkan seorang lelaki tersebut sepatutnya bersifat dengan sifat keras dan tahan lasak.

 

Kesimpulan

 

Walaupun sutera teratai tidak diperbuat daripada bahan yang sama dengan sutera asli, namun ia mempunyai persamaan dari sudut hasil akhir kain tersebut. Kedua-dua sutera tersebut menghasilkan kain sutera yang halus, lembut, mewah dan cantik digunakan sebagai barang perhiasan. Sifat yang ada pada sutera teratai dilihat sesuai digunakan oleh wanita yang memiliki sifat kelembutan, feminin dan sukakan perhiasan berbeza dengan sifat lelaki yang lasak, kasar dan tidak perlu kepada perhiasan. Persamaan ini menjadikan sutera teratai menyerupai sutera asli yang boleh mengelirukan bagi mereka yang tidak mengetahui ia bukanlah sutera asli. Lelaki sewajarnya mengelakkan diri daripada memakai sutera teratai bagi menjauhi perkara yang boleh membawa fitnah.



[1] Shams al-Dīn, Muḥammad bin Aḥmad al-Khaṭīb al-Syirbīnī al-Shāfi’ī, al-Iqnā’ fī Ḥil alfāz Abī Syuja’, (Beirut: Dār al-Fikr), Jil. 1, ms. 198.

[2] Abu Abd al-Rahman Ahmad bin Syuaib al-Nasai’i, 2001, al-Sunan al-Kubra, (Beirut: Mu’assasah al-Risalah), Hadis no. 9387, Jil. 8, ms. 358.

[3] Muhammad bin Ali bin Muhammad bin Abd Allah al-Syawkani al-Yamani, 1993, Nayl al-Awtar, (Mesir: Dar al-Hadis), Jil. 2, ms. 98.

[4] Mustafa al-Khin, Mustafa al-Bugha, ‘Ali al-Syarbaji, 1992, al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Madhab al-Imam al-Shafi’i, (Damsyik: Dar al-Qalam lil Taba’ah wa al-Naysr wa al-Tawzi’), Jil. 3, ms. 96.

[5] Abū Abdullah Muḥammad Bin Ismā’il al-Bukhārī al-Ja’fi, 1993, Ṣaḥīh al-Bukhārī, Peny. Mustafa Dib al-Bughā, (Damsyik:  Dār Ibn Katsīr), Hadis no. 5110, Jil. 5, ms. 2069.

[6] Abū al-Ḥusayn Muslim bin al-Hujāj bin Muslim al-Qusyairī al-Naysābūrī, Ṣaḥīḥ al-Imām Muslim, (Kaherah: Matba’ah Īsa al-Bābī al-Ḥalbī wā Syarkahu, 1955), Hadis no. 2069, Jil. 3, ms. 1641.

[7] Mustafa al-Khin, Mustafa al-Bugha, ‘Ali al-Syarbaji, 1992, al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Madhab al-Imam al-Shafi’i, (Damsyik: Dar al-Qalam lil Taba’ah wa al-Naysr wa al-Tawzi’), Jil. 3, ms. 97.

[8] Mustafa al-Khin, Mustafa al-Bugha, ‘Ali al-Syarbaji, 1992, al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Madhab al-Imam al-Shafi’i, (Damsyik: Dar al-Qalam lil Taba’ah wa al-Naysr wa al-Tawzi’), Jil. 3, ms. 97.

[9] Miguel Angel Gardetti dan Subramanian Senthilkannan Muthu, The Lotus Flower Fiber and Sustainable

Luxury, dalam Handbook of Sustainable Luxury Textiles and Fashion, (Springer, 2015), 5.

[10] Dippuraj Laishram, Binodini Sethi dan M. B. Tengli, Lotus Fibre: A Rarest Fabric, Science for Agriculture and Allied Sector (AGRIALLIS): A Monthly Magazine, Vol. 4, Bil, 12, ms 40.

[11] Mausū’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyah, diterbitkan oleh Wizārah al-Awqāf wa al-Syu’ūn al-Islāmiyah, (Kuwait: Dār al-Salāsil, 1984), Edisi ke 2, Jil. 17, ms. 205.

Accessibility Toolbar

PHP Code Snippets Powered By : XYZScripts.com