#50 Taudhih Al-Hukmi : Hukum Ziarah Kubur Pada Pagi Raya

 

Disediakan oleh: Ahmad Mursyid Bin Azhar

Tarikh: 9 April 2024


Pengenalan

Pagi hari raya Eidulfitri adalah salah satu waktu yang sering dinanti-nantikan oleh masyarakat Islam di Malaysia. Hal ini kerana ia merupakan salah satu hari yang umat Islam perlu syukuri dan menyambutnya dengan kegembiraan. Pada hari tersebut umat Islam akan mendirikan solat sunat Eidulfitriseterusnya bermaaf-maafan sesama ahli keluarga dan ziarah-menziarahi. Bukan itu sahaja, salah satu adat masyarakat Islam di Malaysia pada pagi raya Eidulfitriadalah menziarahi kubur ahli keluarga terdekat. Maka, artikel ini akan membincangkan hukum menziarahi kubur pada pagi raya.

 

Hukum Ziarah Kubur

 

Menurut mazhab Syafi’i, hukum ziarah kubur adalah sunat untuk golongan lelaki dan makruh untuk golongan wanita. Disunatkan kepada golongan lelaki untuk ziarah kubur kerana menziarahi kubur dapat mengingatkan kepada kematian. Manakala ziarah kubur dimakruhkan kepada wanita kerana ia boleh membangkitkan rasa sedih, menangis dan meratap kepada mereka yang telah meninggal dunia. Menurut al-Khatib al-Syirbini dalam Mughni al-Muhtaj:

 

(و) يندب (‌زيارة ‌القبور) التي فيها المسلمون (للرجال) بالإجماع، وكانت زيارتها منهيا عنها، ثم نسخت لقوله صلى الله عليه وسلم «كنت نهيتكم عن ‌زيارة ‌القبور فزوروها» ، ولا تدخل النساء في ضمير الرجال على المختار

Maksudnya: Dan disunatkan menziarahi kubur orang-orang Islam bagi golongan lelaki secara ijmak. Adapun sebelum ini menziarahi kubur adalah dilarang. Kemudian larangan tersebut dihapuskan dengan sabda Rasulullah SAW: “aku telah melarang kalian menziarahi kubur sebelum ini maka ziarahilah ia”. Manakala golongan wanita tidak termasuk dalam kata ganti nama lelaki menurut pandangan yang terpilih.[1]

 

Jelas menurut mazhab Syafi’i hukum ziarah kubur bagi lelaki adalah sunat. Manakala hukum ziarah kubur bagi wanita adalah makruh. Ini juga merupakan pandangan jumhur fuqaha seperti yang disebutkan oleh Prof Wahbah al-Zuhaili dalam Fiqh al-Islami Wa Adillatuhu:

 

رأي الجمهور: تندب زيارة القبور للرجال للاعتبار والتفكر، وتكره للنساء. وسبب كراهيتها للنساء لأنها مظنة لطلب بكائهن ورفع أصواتهن

Maksudnya: Pandangan jumhur adalah sunat menziarahi kubur kepada golongan lelaki untuk mengambil pengajaran dan peringatan. Manakala wanita makruh menziarahinya. Sebab dimakruhkan kepada golongan wanita menziarahi kubur kerana ia tempat yang boleh menyebabkan wanita menangis dan meninggikan suara mereka.[2]

 

Manakala Menurut mazhab Hanafi, golongan wanita juga disunatkan menziarahi kubur dengan syarat tertentu.

 

Menurut Wahbah al-Zuhaili:

 

رأي الحنفية: تندب زيارة القبور للرجال والنساء على الأصح … وزيارة النساء إن كانت لتجديد الحزن والبكاء والندب على ما جرت به عادتهن لا تجوز

Maksudnya: Pada pandangan mazhab Hanafi disunatkan menziarahi kubur bagi golongan lelaki dan wanita menurut pandangan yang al-asah. Manakala ziarah kubur bagi wanita jika ia boleh membuatkan wanita itu sedih, menangis dan meratap bukan seperti adat kebiasaan maka ia tidak dibolehkan.[3]

 

Kesimpulan berdasarkan pandangan mazhab Hanafi, golongan wanita juga disunatkan untuk menziarahi kubur sekiranya ziarah tersebut tidak membawa kepada kesedihan serta tidak meratapi yang melebihi adat kebiasaan. Jika wanita tersebut sedih dan meratap semasa menziarahi kubur maka ia tidak dibolehkan.

 

Ziarah Kubur Pada Waktu Tertentu

 

Ziarah kubur hukumnya adalah sunat untuk menziarahinya pada bila-bila masa tanpa ditetapkan waktu atau hari-hari tertentu. Walau bagaimanapun, terdapat sebahagian  ulama yang berpandangan digalakkan untuk menziarahi kubur pada waktu-waktu yang tertentu. Al-Syarwani dalam hasyiah beliau terhadap Tuhfat al-Muhtaj ada menyatakan:

 

اعتاد الناس زيارة القبور صبيحة الجمعة ويمكن أن يوجه بأن الأرواح تحضر القبور من عصر الخميس إلى شمس السبت تخصوا يوم الجمعة لأنه تحضير الأرواح فيه

Maksudnya: Telah menjadi kebiasaan orang ramai menziarahi kubur pada pagi Jumaat. Perkara ini berkemungkinan berdasarkan pandangan bahawa arwah hadir ke kubur bermula waktu Asar hari Khamis sehingga terbitnya matahari pada hari Sabtu. Maka dikhususkan hari Jumaat kerana arwah hadir ke kubur pada hari tersebut.[4]

 

Prof Wahbah al-Zuhaili juga ada menyatakan:

 

والأفضل أن تكون الزيارة يوم الجمعة والسبت والاثنين والخميس

Maksudnya: Dan digalakkan menziarahi kubur pada hari Jumaat, Sabtu, Isnin dan Khamis.[5]

 

Manakala dalam al-Fatawa al-Hindiyah ada menyatakan:

 

وأفضل أيام الزيارة أربعة يوم الاثنين والخميس والجمعة والسبت والزيارة يوم الجمعة بعد الصلاة حسن ويوم السبت إلى طلوع الشمس ويوم الخميس في أول النهار وقيل في آخر النهار وكذا في الليالي المباركة لا سيما ليلة براءة وكذلك في الأزمنة المتبركة كعشر ذي الحجة والعيدين وعاشوراء وسائر المواسم

Maksudnya: Digalakkan untuk menziarahi kubur pada empat hari iaitu hari Isnin, Khamis, Jumaat dan Sabtu. Ziarah kubur pada hari Jumaat selepas menunaikan solat adalah baik dan pada hari Sabtu sehingga terbit matahari dan juga pada awal siang hari Khamis. Ada juga yang berpandangan pada penghujung siang hari Khamis. Begitu juga digalakkan ziarah kubur pada malam-malam yang diberkati seperti malam bara’ah (nisfu Sya’ban). Begitu juga pada waktu-waktu yang diberkati seperti 10 hari Zulhijjah, dua hari raya, hari asyura dan musim-musim lain juga.[6]

 

Berdasarkan keterangan daripada pandangan tersebut, dapat disimpulkan terdapat beberapa hari dan waktu yang digalakkan untuk menziarahi kubur. Antaranya adalah hari Isnin, Khamis, Jumaat, Sabtu, malam nisfu Sya’ban serta waktu-waktu lain yang diberkati termasuk pada dua hari raya.

 

Ziarah Kubur Pada Pagi Raya

 

Berdasarkan pemerhatian yang dilakukan, tiada nas daripada al-Quran mahupun hadis yang mengkhususkan ziarah kubur pada pagi raya. Adapun yang dinyatakan dalam nas hadis hanyalah galakan menziarahi kubur secara umum. Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Buraidah RA daripada Nabis SAW telah bersabda:

 

إِنِّي كُنْتُ نَهَيْتُكُم عَن زِيَارَةِ الْقُبُورِ فَزُورُوهَا فَإِنَّهَا تُذَكِّرُكُم الآخِرَة

Maksudnya: Sesungguhnya aku telah melarang kalian daripada menziarahi kubur. Maka ziarahilah ia. Sesungguhnya ia akan mengingatkan kalian kepada akhirat.[7]

 

(Riwayat Muslim)

 

Begitu juga hadis daripada Abu Hurairah RA daripada Nabi SAW telah bersabda:

 

فَزُورُوا الْقُبُورَ فَإِنَّهَا تُذَكِّرُ الْمَوْتَ

Maksudnya: Ziarahilah kubur. Maka sesungguhnya ia akan mengingatkan kamu kepada kematian.[8]

 

(Riwayat Muslim)

 

Berdasarkan hadis-hadis tersebut, hukum menziarahi kubur adalah sunat untuk menziarahinya pada bila-bila masa. Oleh itu, ziarah kubur pada pagi raya dapat dihukumkan juga sebagai sunat atas beberapa sebab. Antara sebab-sebabnya adalah seperti berikut:

 

1)     Amalan ziarah kubur pada pagi raya mempunyai sandaran daripada dalil yang lebih umum iaitu hadis berkaitan keumuman galakan menziarahi kubur seperti yang dinyatakan sebelum ini. Hal ini bertepatan dengan kaedah berikut:

الآية أو الحديث إذا شملت بعمومها أمرا دل على مشروعيته

Maksudnya: Ayat al-Quran atau hadis jika dirangkumi oleh keumuman suatu perintah, maka ia menunjukkan pensyariatannya (dibenarkan untuk melakukannya).[9]

 

2)     Tiada dalil yang melarang amalan ziarah kubur pada pagi raya. Setiap perkara yang tidak diwajibkan atau diharamkan oleh syarak untuk melakukannya, maka tidak boleh dihukumkan sebagai wajib atau haram seperti yang dinyatakan oleh al-Laknawi.[10] Begitu juga amalan ziarah kubur pada pagi raya, tiada satu dalil yang melarang amalan tersebut. Maka ziarah kubur pada pagi raya dibenarkan.

 

3)     Hari raya Eidulfitri dan Eiduladha adalah antara hari yang diberkati. Hal ini berdasarkan hadis daripada Anas bin Malik RA daripada Nabi SAW telah bersabda:

 

إنَّ الله قَدْ أبدَلَكُم بهما ‌خَيرَاً مِنهما: يَومُ الأضحى، ويَومُ ‌الفِطرِ

Maksudnya: Sesungguhnya Allah SWT telah mengubah bagi kamu 2 hari yang lebih baik berbanding 2 hari semasa Jahiliah. Hari itu adalah hari Eiduladha dan Eidulfitri.[11]

 

(Riwayat Abu Daud)

 

4)     Berdasarkan fatwa Darul Ifta’ bertarikh 3 Jun 2019 yang dikeluarkan oleh mufti Mesir Prof Syauqi Allam, ziarah kubur pada hari raya dihukumkan sebagai sunat kerana meliputi keumuman hari-hari untuk menziarahinya. Menurut Prof Syauqi ‘Allam:

 

زيارة القبورمندوب إليها في جميع الأوقات، لأن الأمر بها جاء مطلقًا، فشمل ذلك جميع الأوقات، وتزيد أفضلية زيارتها في الأيام المباركة التي يلتمس فيها مزيد العطاء من الله تعالى، ومنها أيام العيدين؛ لما في ذلك من استشعار معاني الصلة والبر، والدعاء بالرحمة والمغفرة لمن توفي من الأهل والأقارب

 

Maksudnya: Ziarah kubur disunatkan ziarah pada setiap masa kerana tuntutan syarak itu datang secara mutlak. Maka ia merangkumi setiap masa. Ditambah pula dengan kelebihan menziarahinya pada hari-hari yang diberkati iaitu hari orang yang mencari lebihan kurniaan daripada Allah SWT, seperti dua hari raya. Hal ini kerana pada hari tersebut dapat merasai makna silaturrahim, berbuat kebaikan, mendoakan kerahmatan dan pengampunan kepada orang yang telah meninggal dunia daripada kalangan ahli keluarga dan kaum kerabat.[12]

 

 Walau bagaimanapun, ziarah kubur pada pagi raya dibenarkan apabila ziarah itu bertujuan mengingati mati dan mendatangkan keinsafan diri di samping mendoakan pengampunan kepada mereka yang telah meninggal dunia. Manakala jika tujuan ziarah itu untuk bersedih-sedihan dan meratapi orang yang telah meninggal dunia, maka ia adalah perkara yang dilarang dan dihukumkan sebagai makruh. Menurut Syaikh ‘Atiyyah Saqar dalam fatwa beliau:

 

أن ‌زيارة الناس للمقابر عقب صلاة العيد إن كانت للموعظة وتذكر من ماتوا وكانوا معهم فى الأعياد ينعمون بحياتهم، وطلب الرحمة لهم بالدعاء فلا بأس بذلك أبدا للرجال، أما النساء فقد مر حكم زيارته للمقابر … أما إذا كانت الزيارة بعد صلاة العيد لتجديد الأحزان ويتقبل العزاء على القبر أو إقامة سرادق أو تهيئة مكان لذلك فهو مكروه، لأن التعزية بعد دفن الميت بثلاثة أيام ممنوعة على جهة الحرمة أو الكراهة

 

 Maksudnya: Sesungguhnya jika ziarah kubur selepas solat raya bertujuan mengambil peringatan dan mengingati mereka yang telah meninggal dunia yang mana ketika mereka hidup dapat menikmati hari raya bersama mereka serta mendoakan kerahmatan kepada mereka yang telah meninggal dunia, maka dengan tujuan ini dibenarkan kepada golongan lelaki. Manakal golongan wanita, hukum ziarah kubur bagi mereka telah diterangkan hukumnya (iaitu makruh)… Manakala, jika tujuan ziarah kubur selepas solat raya itu untuk menambahkan rasa sedih atau membentuk perasaan dukacita di kubur atau mendirikan khemah yang besar atau membuat persiapan dekat kubur maka ia adalah makruh. Hal ini kerana berdukacita selepas 3 hari mayat ditanam adalah dilarang sama ada secara haram atau makruh.[13]

 

Kesimpulan

 

Berdasarkan penelitian ini, dapat disimpulkan bahawa:

 

1)     Disunatkan untuk menziarahi kubur pada bila-bila waktu.

 

2)     Ziarah kubur pada pagi raya dihukumkan sunat kerana meliputi keumuman hari-hari biasa yang lain berdasarkan hadis daripada Abdullah bin Buraidah RA dan Abu Hurairah RA berkenaan galakan ziarah kubur secara umum. Bahkan hari raya Eidulfitri dan Eiduladha adalah antara hari yang diberkati.

 

3)     Ziarah kubur pada pagi raya dibenarkan jika tujuan ziarah untuk mengambil peringatan serta mendoakan kebaikan bagi orang yang telah meninggal dunia.

 

4)     Ziarah kubur pada pagi raya dihukumkan sebagai makruh apabila ia bertujuan menambahkan rasa sedih dan dukacita pada hari tersebut.



[1] Al-Khaṭīb al-Shirbīnī, Muḥammad Ibn Muḥammad. Mughnī al-Muḥtāj. (Beirut: Dār al-Kutub al-ʿIlmiyyah, 1994), 2/56.

[2] Al-Zuhaylī, Wahbah al- Zuhaylī. Al-Fiqh al-Islāmī Wa Adillatuhu. (Syria: Dār al-Fikr, 1985), 2/541.

[3] Al-Zuhaylī. Al-Fiqh al-Islāmī Wa Adillatuhu, 2/540.

[4] Al-Haytamī, Aḥmad Ibn Muḥammad. Tuḥfat al-Muḥtāj Fi Sharḥ al-Minhāj. (Mesir: al-Maktabah al-Tijāriyyah al-Kubrā, 1983), 3/200.

[5] Al-Zuhaylī. Al-Fiqh al-Islāmī Wa Adillatuhu, 2/540.

[6] Niẓam al-Dīn al-Baranhābūrī. Al-Fatāwā al-Hindiyyah. (Mesir: al-Maṭbaʿah al-Kubrā al-Amīriyyah, 1893), 5/350.

[7] Muslim Ibn al-Ḥajjāj. Ṣaḥīḥ Muslim. (Mesir: ʿIsā al-Bābī al-Ḥalabī, 1955), no. hadith 977, 2/672.

[8] Muslim Ibn al-Ḥajjāj. Ṣaḥīḥ Muslim. No. hadith 976, 2/671.

[9] Al-Ahdal, Sayyid Muḥammad Ibn Maqbūl, Sunniyyah Rafʿul Yadayn Fī al-Ḍuʿā’ Baʿda al-Ṣalāh (Mesir: Maktabah al-Qāhirah, 2014), 94.

[10] Al-Laknawī, Muḥammad Ibn ʿAbd al-Ḥayy. Iqāmat al-Ḥujjah ʿAlā Anna al-Ikthār Fī al-Taʿabbud Laysa Bi Bidʿah. (Syria: Dār al-Bashā’ir al-Islāmiyyah, t.t), 149.

[11] Abū Dawūd, Sulaymān Ibn al-Ashʿath. Sunan Abī Dawud. (Beirut: Dār al-Risālah al-ʿAlamiyyah, 2009), no. hadith 1134, 2/345.

[12] https://www.dar-alifta.org/ar/fatawa/15027/%D8%AD%D9%83%D9%85-%D8%B2%D9%8A%D8%A7%D8%B1%D8%A9-%D8%A7%D9%84%D9%85%D9%82%D8%A7%D8%A8%D8%B1-%D9%81%D9%8A-%D9%8A%D9%88%D9%85-%D8%A7%D9%84%D8%B9%D9%8A%D8%AF

[13] Lujnah Dār al-Iftā’ al-Miṣriyyah. Fatāwā Dār al-Iftā’ al-Miṣriyyah. (Mesir: Dār al-Iftā’ al-Miṣriyyah, t.t), 8/391.

Accessibility Toolbar

PHP Code Snippets Powered By : XYZScripts.com