#48 Taudhih Al-Hukmi : Hukum Bapa Bayarkan Zakat Fitrah Untuk Anak Yang Telah Baligh

Disediakan oleh: Unit Dirasat Ilmiah

Tarikh: 4 April 2024

 

Pengenalan

Hari raya Aidilfitri merupakan waktu yang dinanti-nantikan oleh semua masyarakat Islam di Malaysia. Disamping melazimi perkara-perkara sunat pagi raya, tidak terkecuali juga waktu ini adalah waktu yang paling afdhal bagi umat Islam untuk membayar zakat fitrah sebelum solat sunat hari raya ditunaikan. Justeru, timbul persoalan adakah zakat fitrah wajib dibayar bagi anak yang telah baligh yang masih di bawah jagaan bapanya?

Pensyariatan Zakat Fitrah

Zakat fitrah telah difardukan pada tahun ke-2 Hijrah iaitu pada tahun yang sama difardhukan puasa Ramadhan. Pensyariatan zakat Fitrah adalah berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Saidina Ibn ‘Umar RA;

 

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَرَضَ ‌زَكَاةَ ‌الْفِطْرِ ‌مِنْ ‌رَمَضَانَ ‌عَلَى ‌النَّاسِ صَاعًا مِنْ تَمْرٍ، أَوْ صَاعًا مِنْ شَعِيرٍ عَلَى كُلِّ حُرٍّ، أَوْ عَبْدٍ ذَكَرٍ، أَوْ أُنْثَى مِنَ الْمُسْلِمِينَ

 

Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah SAW mewajibkan zakat fitrah pada bulan Ramadhan ke atas manusia sama ada segantang kurma, atau segantang gandum bagi semua orang yang merdeka, hamba lelaki atau perempuan yang Islam.[1] 

 

Zakat Fitrah diwajibkan kepada mereka yang cukup syarat wajib membayar zakat fitrah iaitu Islam, masih hidup ketika tenggelamnya matahari pada hari terakhir Ramadhan dan  mempunyai kecukupan dan lebihan makanan untuk dirinya dan keluarganya pada malam raya dan hari raya keesokannya.[2] Kadar lebihan makanan ini dinyatakan oleh Syeikh Muhammad Ba ‘Isyan:

 

بأن يكون (ما يخرجه فاضلاً عن مؤنته ومؤنة من عليه مؤنته ليلة العيد ويومه)

 

Maksudnya: Harta yang dikeluarkan untuk zakat Fitrah itu melebihi keperluannya dan keperluan orang yang berada di bawah tanggungannya pada malam hari raya dan siangnya. Hal ini kerana keperluannya dan keperluan orang yang berada di bawah tanggungannya itu adalah suatu keperluan.[3]

 

Oleh itu, mereka yang cukup syarat ini diwajibkan ke atas mereka membayar zakat fitrah pada waktunya dan berdosa jika mengabaikannya.

 

Tanggungan Zakat Fitrah

Dalam Mazhab Shafi’i, terdapat satu kaedah yang menjadi panduan bagi seseorang Islam itu mengeluarkan zakat fitrah bagi dirinya dan orang lain yang berada di bawah tanggungannya. Kaedah ini dinyatakan oleh Imam Khatib as-Sharbini:[4]

 

(وَمَنْ لَزِمَهُ فِطْرَتُهُ) أَيْ فِطْرَةُ نَفْسِهِ (لَزِمَهُ فِطْرَةُ مَنْ تَلْزَمُهُ نَفَقَتُهُ) بِمِلْكٍ أَوْ قَرَابَةٍ أَوْ زَوْجِيَّةٍ أَيْ إذَا كَانُوا مُسْلِمِينَ وَوَجَدَ مَا يُؤَدِّي عَنْهُمْ

 

Maksudnya: (Seseorang yang diwajibkan membayar zakat fitrah) iaitu ke atas dirinya, (wajib juga menanggung zakat Fitrah mereka yang berada di bawah tanggungan nafkahnya) dengan pemilikan (hamba) atau perkahwinan dengan syarat mereka beragama Islam dan dia mempunyai lebihan harta untuk ditunaikan zakat Fitrah bagi tanggungannya.

 

Justeru, kewajipan zakat Fitrah seseorang individu itu bergantung kepada hukum tanggungan nafkah seseorang. Sekiranya dia menanggung nafkah seseorang seperti isterinya, anak-anak, atau kaum kerabatnya, maka dia juga hendaklah menanggung dan menunaikan zakat Fitrah bagi pihak orang yang berada di bawah tanggungan nafkahnya. Malah, hamba yang dimilikinya juga tidak terkecuali daripada tanggungjawab ini dan perlu dibayarkan zakat Fitrah oleh tuannya berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah, Nabi SAW:

 

لَيْسَ عَلَى الْمُسْلِمِ فِي عَبْدِهِ صَدَقَةٌ إلَّا صَدَقَةَ الْفِطْرِ

Maksudnya: Tidak ada sesuatu sedekah orang Islam itu ke atas hambanya melainkan pada zakat fitrah.

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

 

Hukum Bapa Bayarkan Zakat Fitrah Untuk Anak Yang Sudah Baligh

Sebagaimana yang telah dijelaskan, anak-anak berada di bawah tanggungan nafkah seorang bapa. Namun begitu, hal ini berbeza jika anak tersebut telah baligh. Seorang bapa tidak wajib membayar zakat fitrah untuk anaknya yang telah baligh yang mampu bekerja atau orang yang tidak berada di bawah tanggungannya. Syeikh Mustafa al-Bugha menjelaskan:[5]

 

‌فلا ‌يجب ‌أن ‌يخرجها ‌عن ‌ولده ‌البالغ ‌القادر ‌على ‌الاكتساب، ولا عن قريبه الذي لا يكلف بالإنفاق عليه، بل لا يصح أن يخرجها عنه إلا بأذنه وتوكيله

 

Maksudnya: Tidak wajib mengeluarkan zakat Fitrah untuk anak yang baligh yang mampu bekerja, begitu juga kerabatnya yang tidak berada di bawah tanggungan nafkahnya. Bahkan tidak sah dia mengeluarkan zakat Fitrah untuk mereka melainkan dengan izinnya atau melalui wakilnya.

 

Penentuan seseorang anak yang telah baligh serta wajib menunaikan zakat Fitrah sendiri itu adalah jika anak itu mampu bekerja. Kemampuan ini merujuk kepada anak yang telah mampu memiliki atau mendapatkan hartanya dengan cara bekerja atau selainnya. Perkara ini dijelaskan oleh Imam Khatib as-Sharbini:

 

(بِخِلَافِ) وَلَدِهِ (الْكَبِيرِ) الرَّشِيدِ كَمَا قَيَّدَهُ فِي الْمَجْمُوعِ، فَلَا يَجُوزُ بِغَيْرِ إذْنِهِ؛ لِأَنَّ الْأَبَ لَا يَسْتَقِلُّ بِتَمْلِيكِهِ فَصَارَ كَالْأَجْنَبِيِّ بِخِلَافِ الصَّغِيرِ وَنَحْوِه

 

Maksudnya: Berbeza dengan anaknya yang telah dewasa dan rashid (cerdik) seperti yang telah diletakkan syarat ini di dalam kitab Majmu’, maka tidak boleh membayarkan zakat fitrah melainkan dengan izinnya. Kerana seorang bapa itu tidak berkuasa penuh ke atas pemilikan harta anak tersebut maka ia seperti ajnabi. Berbeza dengan anak yang masih kecil dan seumpamanya.[6]

 

Kayu ukur mampu bekerja bagi anak yang telah baligh juga turut dihuraikan oleh Imam Abu Bakar al-Dumyati:

 

(قوله: قادر على كسب) أي أو عنده مال،

 ولو قال غني – كالذي قبله – لكان أولى

 

Maksudnya: (Mampu bekerja) bermaksud dia mempunyai harta, jika menggunakan lafaz ‘kaya’ sebagaimana yang disebutkan sebelum ini, nescaya ia lebih baik.[7]

 

Kebiasaannya, anak-anak yang telah baligh sekurang-kurangnya mempunyai sedikit wang dalam bank atau poket mereka sehingga mereka dianggap sebagai orang yang berkemampuan serta diwajibkan untuk menunaikan zakat Fitrah sendiri. Menjadi tanggungajawab seorang bapa mendidik anak-anaknya yang telah baligh agar menunaikan zakat Fitrah sendiri kerana ia merupakan kewajipan individu sebagaimana ibadah-ibadah yang lain.

 

Kesimpulan

Tidak sah seorang bapa membayarkan zakat Fitrah untuk anaknya yang telah baligh yang mampu bekerja tanpa pengetahuan anak tersebut kerana zakat merupakan ibadah yang memerlukan kepada niat. Namun begitu, zakat tersebut sah jika anak mewakilkan bapa atau telah memberikan keizinan sebelum zakatnya dibayar.

 



[1] Muslim bin al-Ḥajjāj. Ṣaḥīḥ Muslim. (Mesir: Maṭbaʿah Īsa al-Bābī al-Ḥalabī, 1955), Jil. 2, ms. 677. Hadis no. 984.

[2] Sa’īd bin Muḥammad Bā ‘Ali Bā ‘Isyan al-Ḥaḍramī. Busyrā al-Karīm Bi Syarḥ Masāil al-Ta’līm (Jeddah: Dār al-Minhāj, 2004). ms. 510.

[3] Sa’īd bin Muḥammad Bā ‘Ali Bā ‘Isyan al-Ḥaḍramī. Busyrā al-Karīm Bi Syarḥ Masāil al-Ta’līm (Jeddah: Dār al-Minhāj, 2004). ms. 512.

[4] Al-Khāṭib Al-Sharbīnī. Mughnī Al-Muhtāj Ila Al-Maʿrifati Maʿānī Al-Alfāz Al-Minhāj. (Kaherah: Dār Al-Kutub Al-Islamiyyah). Jil. 2, ms. 114.

[5] Mustafa Khin, Mustafa Bugha, Alī Sharbaji. Al-Fiqh al-Manhajī. (Damsyiq: Syria, Dar al-Qalam, 1992), Jil. 1, ms. 229. 

[6] Al-Khāṭib Al-Sharbīnī. Mughnī Al-Muhtāj Ila Al-Maʿrifati Maʿānī Al-Alfāz Al-Minhāj. (Kaherah: Dār Al-Kutub Al-Islamiyyah) Jil. 2, ms. 119.

[7] Abu Bakar Uthmān bin Muḥammad al-Dumyāṭī al-Syāfi’ī. I’ānah al-Ṭālibīn ‘Alā Ḥal Alfāz Fatḥ al-Mu’īn. (Beirut: Dār al-Fikr, 1997) Jil. 2, ms. 193.

 

Accessibility Toolbar

PHP Code Snippets Powered By : XYZScripts.com