#47 Taudhih Al-Hukmi : Pendapat Ulama Tentang Bila Berlaku Lailatul Qadr

Tarikh: 22 Mac 2024

Disediakan oleh: Nur Izzatul Najihah binti Mohamad

 

Pendahuluan

Setiap umat Islam pasti menanti kehadiran bulan Ramadan yang penuh dengan keberkatan. Hal ini kerana, terdapat satu malam yang istimewa padanya iaitu Lailatul Qadr. Amal ibadah yang dilakukan pada malam tersebut lebih baik daripada 1000 bulan. Justeru itu, artikel ini akan menelusuri pandangan ulama terdahulu terhadap waktu berlakunya Lailatul Qadr.

 

Kelebihan Lailatul Qadr

Peristiwa Lailatul Qadr menggambarkan kebaikan yang Allah SWT limpahkan kepada mereka yang bangun menghidupkan malam tersebut. Setiap amal ibadah yang dilakukan oleh umat Islam akan mendapat ganjaran seakan beribadah selama 1000 bulan iaitu lebih kurang selama 83 tahun 4 bulan. Firman Allah SWT dalam surah al-Qadr ayat 1-5:

 

إِنَّا أَنزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ﴿١﴾ وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ﴿٢﴾ لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِّنْ أَلْفِ شَهْرٍ﴿٣﴾‎   ‎

‎تَنَزَّلُ الْمَلَائِكَةُ وَالرُّوحُ فِيهَا بِإِذْنِ رَبِّهِم مِّن كُلِّ أَمْرٍ﴿٤﴾ سَلَامٌ هِيَ حَتَّىٰ مَطْلَعِ الْفَجْرِ﴿٥﴾‎ ‎

Maksudnya: Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul Qadr, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul Qadr itu?, Malam Lailatul Qadr lebih baik Daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!

 

Berdasarkan ayat di atas, terdapat beberapa peristiwa penting yang berlaku pada malam al-Qadr.

1.      Al-Quran telah diturunkan sekali gus pada malam al-Qadr dari Luh Mahfuz ke Baitul Izzah (langit dunia).

2.      Beribadah pada malam al-Qadr lebih utama daripada beribadah selama 1000 bulan. Ini bermakna melakukan amal ibadat seperti solat sunat, berzikir, membaca al-Quran dan lain-lain adalah lebih baik daripada beramal pada 1000 bulan yang tidak ada malam al-Qadr.

3.      Malaikat Jibril turun bersama malaikat lain pada malam tersebut untuk membawa rahmat serta keberkatan ke atas orang yang menghidupkan malam tersebut dengan amal ibadah. Mereka turun dari setiap langit dari Sidratul Muntaha menuju ke langit dunia untuk mengaminkan doa orang yang memohon pada malam tersebut sehingga fajar.

 

Seterusnya, antara keistimewaan malam al-Qadr berbanding dengan malam-malam lain adalah Allah SWT menjanjikan ganjaran serta keampunan bagi mereka yang menghidupkan Lailatul Qadr dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala dari Allah SWT. Ini berdasarkan hadis riwayat Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 

مَنْ يَقُمْ ‌لَيْلَةَ ‌الْقَدْرِ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya: Sesiapa yang solat pada malam al-Qadr dengan penuh keimanan dan pengharapan (pahala), nescaya Allah SWT mengampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.[1]

(Riwayat al-Bukhari)

 

Jelaslah bahawa malam al-Qadr mempunyai pelbagai keistimewaan dan kelebihan. Namun begitu, Allah SWT merahsiakan malam yang mulia ini kepada hamba-hamba-Nya. Antara hikmah mengapa Allah SWT merahsiakan malam tersebut adalah supaya umat Islam terus beribadah dan bekerja keras untuk mencarinya melalui ibadat sunat, membaca al-Quran, doa, zikir, dan lain-lain. Sesungguhnya Allah SWT maha mengetahui apa yang akan dicapai oleh sesiapa yang melaksanakannya kerana iman dan memperoleh ganjaran yang mulia.

 

Dalil Waktu Berlaku Lailatul Qadr

Lailatul Qadr terdiri daripada 2 perkataan iaitu Lailah dan al-Qadr. Lailah dari segi bahasa bermaksud malam iaitu di antara matahari terbenam sehingga terbit fajar. Al-Qadr pula bermaksud kemuliaan dan ketetapan. Malam ini dinamakan sebagai Lailatul Qadr kerana kemuliaan dan keagungan malam itu.[2] Terdapat banyak hadis dan pandangan dalam kalangan ulama dalam menentukan bila berlakunya malam al-Qadr.

Pandangan Pertama: Malam al-Qadr berlaku pada 10 malam terakhir bulan Ramadan menurut pandangan Jumhur iaitu Hanbali[3], Māliki[4] dan sebahagian mazhab Syāfi’i.[5] Pandangan ini berdalilkan kepada hadis riwayat Abū Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda:

 

أُرِيتُ لَيْلَةَ الْقَدْرِ ثُمَّ أَيْقَظَنِي بَعْضُ أَهْلِي فَنُسِّيتُهَا فَالْتَمِسُوهَا فِي الْعَشْرِ الْغَوَابِرِ

Maksudnya: Sebenarnya aku pernah diperlihatkan (bermimpi) Lailatul Qadr, kemudian aku dikejutkan oleh sebahagian keluargaku lalu aku dibuat menjadi lupa, kerana itu carilah malam Lailatul Qadr pada sepuluh akhir bulan itu.[6]

(Riwayat Muslim)

 

Maka, 10 malam-malam terakhir di sini meliputi malam witir (ganjil) dan juga malam syafa’ (genap). Seterusnya, terdapat riwayat yang menunjukkan bahawa malam al-Qadr berlaku pada salah satu malam ganjil dari 10 akhir Ramadan iaitu berdasarkan hadis riwayat Aisyah RA:

 

تَحَرَّوْا لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِي الْوِتْرِ، مِنَ الْعَشْرِ الْأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ

Maksudnya: Carilah malam al-Qadr itu pada malam ganjil dari 10 malam terakhir Ramadan.[7]

(Riwayat al-Bukhari)

 

Berdasarkan hadis di atas, ulama berpandangan bahawa malam al-Qadr berlaku pada malam ke-21, sebahagian mereka percaya bahawa ia adalah malam ke-23, atau berlaku pada malam ke-29, dan sebahagian daripada mereka juga berkata: Ia berlaku di antara malam ganjil iaitu pada 10 malam akhir Ramadan.[8] Oleh kerana itu, Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalānī menyimpulkan bahawa malam al-Qadr berlaku pada malam-malam ganjil di antara 10 malam terakhir Ramadan.[9]  

 

Pandangan kedua:  Malam al-Qadr berlaku pada malam ke-21, berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Abū Sa’id al-Khudri RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 

إني أريتها لَيْلَةَ وِتْرٍ، وَإِنِّي أَسْجُدُ صَبِيحَتَهَا فِي طِينٍ وَمَاءٍ” فَأَصْبَحَ مِنْ لَيْلَةِ إِحْدَى وَعِشْرِينَ، وَقَدْ قَامَ إِلَى الصُّبْحِ. فَمَطَرَتِ السَّمَاءُ. فَوَكَفَ الْمَسْجِدُ. فَأَبْصَرْتُ الطِّينَ وَالْمَاءَ. فَخَرَجَ حِينَ فَرَغَ مِنْ صَلَاةِ الصُّبْحِ، وَجَبِينُهُ وَرَوْثَةُ أَنْفِهِ فِيهِمَا الطِّينُ وَالْمَاءُ. وَإِذَا هِيَ لَيْلَةُ إِحْدَى وَعِشْرِينَ مِنَ العشر الأواخر.

Maksudnya: Aku bermimpi melihatnya pada malam ganjil dan sesungguhnya aku bersujud pada pagi harinya di atas lumpur dan air (sebagai tanda), lalu masuk pagi 21, dan beliau bersiap untuk menunaikan solat subuh. Tiba-tiba hujan turun sehingga air hujan mula bocor melalui bumbung masjid dan aku melihat lumpur dan air. Kemudian, Baginda pun pergi setelah solat didirikan, dahi dan bahagian hidung Baginda basah dan berlumpur, dan ternyata ia adalah malam ke-21.[10]

(Riwayat Muslim)

 

Kemudian hadis tentang keadaan bentuk bulan pada malam tersebut yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA berkata:

تَذَاكَرْنَا لَيْلَةَ القَدْرِ عِنْدَ رَسولِ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عليه وسلَّمَ، فَقالَ: أَيُّكُمْ يَذْكُرُ حِينَ طَلَعَ القَمَرُ وهو مِثْلُ شِقِّ جَفْنَةٍ؟

Maksudnya: Kami teringat akan malam al-Qadr di sisi Rasulullah SAW, maka Rasulullah SAW pun bersabda: “Siapakah di antara kalian yang teringat ketika Bulan muncul (terbit) seperti syiqq jafnah (iaitu separuh belahan pinggan) berbentuk bulat. [11]

(Riwayat Muslim)

 

Imam ‘Izz al-Din Abd al-Salam menjelaskan keadaan bentuk bulan pada malam ke-21 seperti sisi pinggan yang separuh penuh, dan tidak ada bentuk bulan seperti ini kecuali pada malam ke-7 dan 21 Ramadan.[12] Imam Al-Nawawī dalam al-Majmu’ Sharh al-Muhazzab juga menjelaskan jafnah iaitu pinggan yang berbentuk bulat menunjukkan isyarat bahawa malam al-Qadr berlaku pada akhir bulan kerana bulan tidak muncul (terbit) sedemikian rupa seperti belahan pinggan berbentuk separa bulat, kecuali pada akhir- akhir bulan.[13]

 

Pandangan ketiga: Malam al-Qadr berlaku pada malam ke-27 Ramadan. Pandangan ini menurut riwayat Abū Ka’ab RA:

وَاللَّهِ إنِّي لأَعْلَمُهَا، وَأَكْثَرُ عِلْمِي هي اللَّيْلَةُ الَّتي أَمَرَنَا رَسولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عليه وسلَّمَ بقِيَامِهَا هي لَيْلَةُ سَبْعٍ وَعِشْرِينَ

Maksudnya: Demi Allah sesungguhnya aku mengetahuinya, dan kebanyakan ilmuku adalah malam yang diperintahkan oleh Rasulullah SAW untuk melaksanakannya iaitu malam ke-27.[14]

(Riwayat Muslim)

 

Dalam riwayat yang sama juga, turut menyatakan tanda dan alamat Lailatul Qadr pada malam ke-27 tersebut iaitu cahaya matahari pada keesokan paginya adalah tidak terik atau meredup.[15]

أَنْ تَطْلُعَ الشَّمْسُ في صَبِيحَةِ يَومِهَا بَيْضَاءَ لا شُعَاعَ لَهَا

Maksudnya: Sesungguhnya matahari terbit pada hari tersebut tidak mempunyai cahaya dan kepanasan.[16]

(Riwayat Muslim)

 

Antara riwayat lain yang menyatakan malam al-Qadr pada malam ke-27 adalah berdasarkan kepada riwayat Ibn Umar RA bahawa Nabi SAW bersabda:

 

 

 

 

مَن كان مُتحَرِّيَها فلْيَتحرَّها لَيْلةَ سَبعٍ وعِشْرينََ

 Maksudnya: Barang siapa yang ingin mendapatkannya, maka hendaklah ia mencarinya pada malam ke-27.[17]

(Riwayat Ahmad)

 

Kesimpulan

 

Berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, dapat disimpulkan bahawa malam al-Qadr berlaku pada malam-malam yang ganjil daripada 10 yang terakhir bulan Ramadhan menurut pandangan yang rajih. Adapun, malam yang ganjil menurut Imam Syafi’i adalah malam ke-21 atau malam ke-23 Ramadhan berdasarkan hadis Abu Sa’id RA. Manakala menurut jumhur ulama, malam ganjil yang berpeluang untuk berlaku malam al-Qadr adalah pada malam ke-27 Ramadhan. Hakikatnya, hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui bila berlaku malam al-Qadr. Justeru, sebagai umat Islam kita dituntut untuk menghidupkan setiap malam pada bulan Ramadan terutamanya pada 10 malam terakhir dengan melakukan ibadah sunat. Nescaya akan mendapat habuan dari ganjaran ibadah pada malam tersebut. Terdapat doa yang boleh diamalkan untuk bertemu dengan malam al-Qadr sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah RA:

اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي

Maksudnya: Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan Maha Pemurah, Engkau mudah memberikan keampunan, maka ampunilah aku. [18]

(Riwayat Tirmizi)

 

Semoga amalan yang dilakukan pada bulan yang mulia ini diterima oleh Allah SWT dan diberi peluang untuk bertemu dengan Lailatul Qadr yang istimewa ini.

 

 

 

 

 



[1] Abū Abdullah Muhammad Bin Isma’il al-Bukhārī al-Ja’fi, Ṣaḥīḥ al- Bukhārī, (Damsyik, Syria: Dār Ibn Katsīr, 1993), no. hadis 1802 & 1910, jil. 1, ms. 21.

[2] Abū al-Qāsim, Muhammad bin Abdullah Ibn Juzzay al-Kalbi al-Gharnātī, Al-Qawānīn al-Fiqhiyah. (Dār Ibn Hazm, 2013), ms. 229.

[3] Mansūr bin Yūnus bin Idris al-Buhūtī, Kashāf al-Qinā’ an Matan al-Iqnā’, (Beirut: Dār al-Fikr, 1968), jil. 5, ms. 348.

[4] Mālik Ibn Anas, al- Muwattā’, (Beirut, Lubnan: Dār Ihya’ al-Turāth al-‘Arabī, 1985), jil. 1, ms. 319.

[5] Ahmad bin Alī bin Hajar al-‘Asqalānī, Fatḥ al-Bārī Bi Syarḥ Ṣaḥīḥ al-Bukhārī, (Beirut: Dār al-Ma’rifah, 1959), jil. 4, ms. 263.

[6] Abū Husayn Muslim Bin Al-Hajjāj bin Muslim Al-Qusyairī Al-Nisāburī, Ṣaḥīḥ Muslim, (Beirut: Dār Ihyā’ al-Turāth al-‘Arabī, 1955), no. hadis 1166, jil. 2, ms. 824.

[7] Abū Abdullah Muhammad Bin Isma’il al-Bukhārī al-Ja’fi, Sahīh al- Bukhārī, (Damsyik, Syria: Dār Ibn Katsīr, 1993), no. hadis 1913, jil. 1, ms. 710.

[8] Sayyid Sābiq, (1977), Fiqh al-Sunnah, (Beirut: Dār al-Kitāb al-‘Arabī), jil. 1, ms. 472.

[9] Ahmad bin Alī bin Hajar al-‘Asqalānī, Fatḥ al-Bārī Bi Syarḥ Ṣaḥīḥ al-Bukhārī, (Beirut: Dār al-Ma’rifah, 1959), jil. 4, ms. 260.

[10] Abū Husayn Muslim Bin Al-Hajjāj bin Muslim Al-Qusyairī Al-Nisāburī, Ṣahīh Muslim. (Beirut: Dār Ihyā’ al-Turāth al-‘Arabī, 1955), no. hadis 1167, jil. 2, ms. 825.

[11] Abū Husayn Muslim Bin Al-Hajjāj bin Muslim Al-Qusyairī Al-Nisāburī, Ṣahīh Muslim. (Beirut: Dār Ihyā’ al-Turāth al-‘Arabī, 1955), no. hadis 1170, jil. 2, ms. 829.

[12] ‘Izz al-Dīn Abd al-Salām, Maqāsid al-Ibādāt, (1995), ms 51-52.

[13] Abū Zakariyyā Muhyī al-Din bin Sharaf al-Nawawī, Al-Majmū’ Sharh al-Muhazzab, (Amman, Jordan: Dār al-Fikr, 1928), jil. 8, ms. 66.

[14] Abū Husayn Muslim Bin Al-Hajjāj bin Muslim Al-Qusyairī Al-Nisāburī, Ṣahīh Muslim, (Beirut: Dār Ihyā’ al-Turāth al-‘Arabī, 1955), no. hadis 762, jil. 1, ms. 525.

[15] Petanda muncul malam seribu bulan. Diakses pada 5 Mac 2024.  https://selangorkini.my/2022/04/petanda-muncul-malam-seribu-bulan/

[16] Abū Husayn Muslim Bin Al-Hajjāj bin Muslim Al-Qusyairī Al-Nisāburī, Ṣahīh Muslim, (Beirut: Dār Ihyā’ al-Turāth al-‘Arabī, 1955), no. Hadis 762, jil. 1, ms. 525.

[17] Ahmad bin Hanbal, Musnad al-Imam Ahmad bin Hanbal, (2001), no. hadis 4808, jil. 8, ms. 426.

[18] Abū Isā Al-Tirmiẓi, Sunān Al-Tirmiẓi, (Mesir: Maktabah Muṣṭafā Al-Bābi Al-Halabi,1975), Edisi kedua, no. hadis 3513, jil. 5, ms.  490.

Accessibility Toolbar

PHP Code Snippets Powered By : XYZScripts.com