#46 Taudhih Al-Hukmi : Penjelasan Waktu Solat Sunat AWWABIN

Tarikh: 22 Mac 2024

Disediakan oleh: Nur Izzatul Najihah binti Mohamad

 

Pendahuluan

 

Solat sunat Awwabin merupakan ibadah sunat muakkad yang amat dituntut bagi setiap Muslim untuk melakukannya. Walaupun begitu, terdapat perbezaan pandangan dalam kalangan ulama dalam menentukan apa yang dimaksudkan dengan solat sunat Awwabin. Justeru itu, artikel ini akan menyoroti pandangan ulama berdasarkan dalil-dalil mereka tentang waktu pelaksanaan solat sunat Awwabin.

 

Keutamaan Solat Awwabin

Solat sunat Awwabin merupakan ibadah sunat yang dilakukan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Fadhilat pelaksanaan solat sunat Awwabin dapat menjaga dan memelihara keteguhan iman, serta dapat menghapuskan dosa bagi mereka yang beramal dengannya. Firman Allah SWT dalam surah Qaaf ayat 30 hingga 35:

 

يَوْمَ نَقُولُ لِجَهَنَّمَ هَلِ امْتَلَأْتِ وَتَقُولُ هَلْ مِن مَّزِيدٍ﴿٣٠﴾ وَأُزْلِفَتِ الْجَنَّةُ لِلْمُتَّقِينَ غَيْرَ بَعِيدٍ﴿٣١﴾

هَٰذَا مَا تُوعَدُونَ لِكُلِّ أَوَّابٍ حَفِيظٍ﴿٣٢﴾ مَّنْ خَشِيَ الرَّحْمَٰنَ بِالْغَيْبِ وَجَاءَ بِقَلْبٍ مُّنِيبٍ﴿٣٣﴾ 

ادْخُلُوهَا بِسَلَامٍ ۖ ذَٰلِكَ يَوْمُ الْخُلُودِ﴿٣٤﴾ لَهُم مَّا يَشَاءُونَ فِيهَا وَلَدَيْنَا مَزِيدٌ﴿٣٥﴾‏

(Surah Qaaf: 30-35)

 ‎‎

Maksudnya: “(Peringatkanlah manusia) akan hari Kami (Allah) bertanya kepada neraka jahanam: “Adakah engkau sudah penuh? ” Ia menjawab: “Adakah lagi sebarang tambahan?”. Dan (ingatkanlah pula hari) didekatkan Syurga bagi orang-orang yang bertakwa, di tempat yang tidak jauh (dari mereka). (Serta dikatakan kepada mereka): “Inilah yang dijanjikan kepada kamu, kepada tiap-tiap hamba yang sentiasa kembali (kepada Allah dengan mengerjakan ibadat), lagi yang sangat memelihara dengan sebaik-baiknya (segala hukum dan peraturan Allah); “(Iaitu) orang yang takut (melanggar perintah Allah) Yang Maha Pemurah, semasa tidak dilihat orang dan semasa ia tidak melihat azab Allah, serta ia datang (kepada Allah) dengan hati yang tunduk taat”. (Mereka dipersilakan oleh malaikat dengan berkata): “Masuklah kamu ke dalam Syurga dengan selamat sejahtera; hari ini ialah hari (bermulanya) kehidupan yang kekal”. Mereka beroleh apa yang mereka kehendaki di situ, dan di sisi Kami ada lagi tambahan (limpah kurnia yang tidak terlintas di hati mereka).

Berdasarkan ayat di atas, jelas menunjukkan bahawa Allah SWT telah menjanjikan ganjaran pahala yang besar bagi hamba-hamba yang sentiasa kembali kepada-Nya dengan mengerjakan amal ibadat. Justeru, dengan melaksanakan amalan ini secara istiqamah, seseorang dapat memperoleh banyak keutamaan dan manfaat di dunia dan akhirat.

 

 

 

Dalil Pelaksanaan Solat Sunat Awwabin

 

Awwabin adalah perkataan Bahasa Arab yang merupakan jamak kepada awwab yang bermaksud kembali kepada Allah dengan penuh taubat dan ketaatan.[1] Solat sunat Awwabin dilakukan untuk memelihara keteguhan dan nikmat keimanan yang berterusan serta dapat menghapuskan dosa-dosa. Terdapat dua pandangan ulama terhadap waktu pelaksanaan solat sunat Awwabin, iaitu: 

 

Pandangan pertama: Solat sunat Awwabin adalah solat Dhuha.

 

Solat sunat Awwabin adalah solat Dhuha menurut pandangan jumhur.[2] Waktu yang afdhal untuk melakukan solat sunat ini adalah selepas satu per empat hari iaitu ketika matahari mulai terpancar terik sekitar satu atau dua jam sebelum tergelincir matahari. Pandangan ini dipelopori oleh fuqaha Māliki[3], Hanafiyyah[4], Hanbali[5] dan sebahagian Syāfi’iyah[6] berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Zaid bin Arqam RA, di mana Nabi SAW bersabda:

 

صَلَاةُ الْأَوَّابِينَ حِينَ تَرْمَضُ الْفِصَالُ

 

Maksudnya: Solat Awwabin ialah solat yang dilakukan ketika pasir (di tanah lapang) menjadi panas (kerana matahari sudah terik).[7]

(Riwayat Muslim)

 

 

Hadis di atas jelas menunjukkan bahawa solat sunat Awwabin merujuk kepada solat Dhuha yang dilakukan pada waktu afdhal solat Dhuha. Solat Dhuha adalah sunat muakkad yang dilakukan dengan dua rakaat (minimum) dan paling maksimum adalah 8 rakaat dan hendaklah mengucapkan salam bagi setiap 2 rakaat.[8] Menurut Imam Al-Nawawī dalam al-Majmu’ Sharh al-Muhazzab bahawa lafaz al-fisal di dalam hadis berikut merujuk kepada anak-anak unta yang telah bangun dari tidurnya kerana mulai panas.[9]  

 

Menurut Sheikh al-Ramli dan Sheikh al-Ziyadi, solat sunat Awwabin dan solat Isyraq boleh dilakukan sebanyak 2 rakaat ketika matahari naik dengan membaca surah al-Ikhlas pada setiap rakaat dan lebih afdhal untuk membaca surah al-Syams dan al-Dhuha. Manakala, pandangan yang lebih rajih adalah melakukan sebanyak 12 rakaat.[10] Demikianlah, solat sunat Awwabin adalah solat Dhuha yang dilakukan pada waktu yang paling afdhal iaitu ketika panas matahari telah terasa di bumi.

 

Pandangan kedua: Solat sunat Awwabin dilakukan di antara Maghrib dan Isya’.

 

Seterusnya, pandangan yang dipelopori oleh sebahagian mazhab Syāfi’i[11] dan Syeikh Wahbah Zuhaili[12] bahawa solat sunat Awwabin dilakukan selepas matahari terbenam iaitu solat sunat di antara Maghrib dan Isya’. Hal ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda:

 

مَنْ صَلَّى بَعْدَ الْمَغْرِبِ سِتَّ رَكَعَاتٍ لَمْ يَتَكَلَّمْ فِيمَا بَيْنَهُنَّ بِسُوءٍ عَدَلْنَ لَهُ عِبَادَةَ اثْنَتَيْ عَشْرَةَ سَنَةً

Maksudnya: Barang siapa yang solat 6 rakat selepas matahari terbenam dan tidak bercakap buruk di antaranya, maka ia sama dengan dua belas tahun ibadatnya.[13]

(Riwayat Tirmizi)

 

Kemudian, hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 

مَنْ صَلَّى بَيْنَ الْمَغْرِبِ وَالْعِشَاءِ عِشْرِينَ رَكْعَةً بَنَى اللَّهُ لَهُ بَيْتًا فِي الْجَنَّةِ

Maksudnya: Sesiapa yang bersembahyang di antara Maghrib dan Isya’ 20 rakaat, Allah SWT membina untuknya sebuah mahligai dalam syurga.[14] 

(Riwayat Ibn Majah)

 

Hadis di atas jelas menunjukkan kelebihan orang yang melakukan solat sunat di antara Maghrib dan Isya’. Solat sunat Awwabin dilakukan di antara Maghrib dan Isya’ sebanyak 20 rakaat, ada juga diriwayatkan sebanyak 6 dan 4 rakaat dan 2 rakaat yang paling sedikit.[15] Berdasarkan hadis yang dinyatakan, jelas menunjukkan bahawa banyak ganjaran pahala yang diberikan bagi mereka yang melaksanakan solat sunat di antara Maghrib dan Isya’. Menurut Imam al-Mawardi dalam al-Hāwi al-Kabīr, para salafussoleh terdahulu mengerjakan solat ini dan menamakannya sebagai solat al-ghaflah.[16] Di sisi mazhab al-Syāfi‘i, solat sunat di antara Maghrib dan Isya’ juga disebut sebagai solat al-ghaflah kerana orang-orang yang mengerjakannya bertaubat kepada Allah SWT. Solat sunat ini dilakukan oleh orang yang lalai dan sibuk dengan urusan harian mereka seperti makan, tidur dan sebagainya.[17] Namun begitu, hadis-hadis yang disebutkan merupakan hadis dhaif, namun boleh beramal dengannya kerana termasuk dalam bab fadhail al-a’mal.[18] 

 

Tarjih

Selepas meneliti pandangan-pandangan para ulama beserta dalil dan hujah yang dibincangkan, terdapat dua pandangan ulama dalam penentuan solat sunat Awwabin sama ada solat sunat Awwabin adalah solat dhuha atau solat sunat yang dilakukan di antara Maghrib dan Isya’. Namun, dalam menguatkan lagi hujah perlu dilihat dari sudut kekuatan hadis. Justeru, pandangan yang rajih bagi waktu pelaksanaan solat sunat Awwabin adalah adalah solat sunat Awwabin merupakan solat Dhuha yang afdhal dilakukan apabila matahari mulai terik sehingga sebelum tergelincir matahari berdasarkan dalil-dalil yang sahih. Hadis yang diriwayatkan lebih kuat kerana diriwayatkan oleh Imam Muslim. Manakala, hadis yang menyebut solat sunat Awwabin di antara waktu Maghrib dan Isya’ merupakan hadis dhaif, namun boleh diamalkan dalam perkara fadhail al-a’mal seperti memperbanyakkan solat malam dan lain-lain.[19]

 

Kesimpulan

 

Berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, dapat disimpulkan bahawa solat sunat Awwabin adalah solat Dhuha yang dilakukan pada waktu afdhal Dhuha iaitu ketika cahaya matahari mulai terpancar terik. Pelaksanaan solat sunat Awwabin di antara Maghrib dan Isya’ adalah berdasarkan kepada hadis dhaif, namun boleh beramal dengannya kerana termasuk dalam bab fadhail al-a’mal. Justeru, solat sunat Awwabin sangat dituntut oleh syarak kerana terdapat banyak kelebihan bagi sesiapa yang melakukan solat sunat ini. Semoga amalan ini dapat menjadi sebahagian daripada kehidupan seorang Muslim yang beriman dan beramal soleh serta mendapat fadhilat dan ganjaran pahala daripada Allah SWT.

 



[1] Muhammad Mukarram bin Alī Abu Faḍl Jamāl al-Dīn Ibn Manzūr al-Anṣārī, Lisān al-‘Arab, (Beirūt: Dār al-Ṣadir, 1993), jil.1, ms. 219.

[2] Wizārah al-Awqāf, al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, (Kuwait: Dār al-Salāsil, 2010), jil. 27, ms. 134.

[3] Muhammad bin Yūsuf bin Abī al-Qāsīm bin Yūsuf al-Abdarī al-Gharnatī, Al-Tāj wa al-Iklīl li-Mukhtasar Khalil, (Dār al-Kutub ‘Ilmiyyah, 1994), jil. 2, Ms.372.

[4] Muhammad Amīn al-Shahīr bi Ibn Abidīn, Hasyiah Radd al-Muhtār Ala al-Durr al-Mukhtar, (Beirut: Dār al-Fikr, 1966), jil. 2, ms. 23.

[5] Mansūr bin Yūnus bin Idrīs al-Buhutī, Kashāf al-Qinā’ an Matan al-Iqnā’, (Beirut: Dār al-Fikr, 1968), jil. 1, ms. 142.

[6] Al-Nawawī, Abū Zakariyyā Muhyī al-Din bin Sharaf, al-Majmū’ Sharh al-Muhazzab, (Amman, Jordan: Dār al-Fikr, 1928), jil. 4, ms. 36.

[7] Abū Husayn Muslim Bin Al-Hajjāj bin Muslim Al-Qusyairī Al-Nisāburī, Ṣaḥīḥ Muslim, (Beirut: Dār Ihyā’ al-Turāth al-‘Arabī. 1955), no. Hadis 748, jil. 1, ms. 515.

[8] Al-Nawawī, Abū Zakariyyā Muhyī al-Din bin Sharaf, al-Majmū’ Sharh al-Muhazzab, (Amman, Jordan: Dār al-Fikr, 1928), jil. 4, ms. 36.

[9] Al-Nawawī, Abū Zakariyyā Muhyī al-Din bin Sharaf, al-Majmū’ Sharh al-Muhazzab, (Amman, Jordan: Dār al-Fikr, 1928), jil. 4, ms. 36.

[10] Ahmad Salamah al-Qalyubī & Ahmad al-Burulusi ‘Umairah, Hasyiah al-Qalyubī wa al-‘Umairah, (Beirut: Dār al-Fikr, 1995), jil.1, ms. 245.

[11] Abū al-Hasan ‘Ali bin Muhammad bin Habīb al-Mawardi al-Bashri, Al-Hāwi al Kabīr fi Fiqh Mazhab al-Imām al-Syāfi’i, (Beirut: Dār al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1999), jil. 2, ms. 287.

[12] Wahbah Al-Zuhaylī, Al-Fiqh al-Islāmī wa Adillatuhu. (Beirut, Lubnan: Dār al-Fikr, 1989).

[13] Abū Isā Al-Tirmiẓi. (1975). Sunan Al-Tirmiẓi. (Mesir: Maktabah Muṣṭafā Al-Bābi Al-Halabi). Edisi kedua, no. hadis 469. jil. 2, ms.  299.

[14] Abū ‘Abd Allah bin Yazid bin Majah al-Rab’i al-Qazwini, Sunan Ibn Majah, (Dār Omar al-Mokhtar, 2016), no. hadis 1373, jil 1, ms. 137.

[15]Al-Bakri al-Dimyāti Abu Bakar Uthman, I’ānah al-Thālibīn ‘ala Halli al-Fāz Fath al-Mu’īn, (Dār al-Fikr, 1997), jil 1, ms. 299.

[16] Abū al-Hasan ‘Ali bin Muhammad bin Habīb al-Mawardi al-Bashri, Al-Hāwi al-Kabīr fi Fiqh Mazhab al-Imām al-Syāfi’i, (Beirut: Dār al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1999), jil. 2, ms. 287.

[17] Al-Bujairimi, Sulaiman bin Muhammad, Hāsyiah al-Bujairimi ‘alā al-Khatīb, (Jordan: Dār al-Fikr, 1995), jil. 1, ms. 427.

[18] Dar al-Iftā’ Jordan, diakses daripada https://www.aliftaa.jo/Question2.aspx?QuestionId=3698

[19]Abdul Kadir, (2021, Oktober 6). Fiqh Ibadat: Apakah solat sunat Awwabin. binSahak.com, diakses daripada https://binsahak.com/index.php/fiqh-ibadat/3065-apakah-solat-sunat-Awwabin

 

Accessibility Toolbar

PHP Code Snippets Powered By : XYZScripts.com