#45 Taudhih Al-Hukmi : Hukum Wanita Haid Menulis Ayat al-Quran

Tarikh: 20 Mac 2024

Disediakan Oleh: Ahmad Amiruddin bin Ahmad Shukri

 

Pendahuluan

 

Al-Quran merupakan kitab teragung yang diturunkan kepada sekalian manusia. Al-Quran juga akan menjadi syafaat pada hari kiamat kelak bagi sesiapa yang membaca dan mengamalkan isi kandungannya. Oleh itu, umat Islam sangat dianjurkan membaca dan memelihara adab terhadap al-Quran. Di antara adab yang perlu ditekankan adalah seseorang perlu berwuduk sebelum memegangnya serta membaca dalam keadaan suci daripada sebarang hadas. Namun begitu, terdapat beberapa keadaan yang menjadi persoalan berkaitan hukum haid dan al-Quran yang perlu kepada penelitian syarak. Hal ini kerana, terdapat keadaan wanita terpaksa menulis ayat al-Quran disebabkan tujuan-tujuan yang penting seperti peperiksaan dan sebagainya sekalipun mereka sedang uzur. Maka pada kesempatan ini kami akan memfokuskan perbahasan berkenaan hukum wanita yang sedang mengalami haid menulis ayat al-Quran.

 

Haid dan Al-Quran

 

            Secara asasnya, Allah SWT mewajibkan seseorang itu berada dalam keadaan suci ketika hendak menyentuh Al-Quran. Hal ini adalah berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah al-Waqiah ayat ke-79:

 

 لَّا يَمَسُّهُ إِلَّا الْمُطَهَّرُونَ

Maksudnya: Yang tidak menyentuhnya (al-Quran) melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci.

 

            Imam ‘Izz al-Din Abd al-Salam dalam menafsirkan ayat ini menerangkan bahawa seseorang tidak dibenarkan menyentuh al-Quran dengan menggunakan tangannya kecuali orang tersebut berada dalam keadaan suci daripada mensyirikkan Allah SWT atau suci daripada sebarang dosa dan kesalahan atau suci daripada sebarang hadas, najis atau sebagainya.[1]

 

            Bahkan di sisi ulama Shafi’iyyah juga terdapat larangan secara jelas sebagaimana dinyatakan oleh Imam Abu Syuja’ dalam kitabnya bahawa terdapat lapan perkara yang diharamkan bagi wanita yang sedang haid dan nifas, katanya:

 

ويحرم بالحيض والنفاس ثمانية أشياء: الصلاة والصوم وقراءة القرآن ومس المصحف وحمله ودخول المسجد والطواف والوطء والاستمتاع بما بين السرة والركبة[2]

 

Maksudnya: Lapan perkara yang diharamkan bagi wanita yang sedang haid dan nifas; iaitu solat, berpuasa, membaca al-Quran, menyentuh dan membawa mushaf, memasuki masjid, melakukan tawaf, melakukan persetubuhan dan istimta’ (bersedap-sedapan) di antara pusat dan lutut.

 

Justeru itu, seseorang wanita yang sedang mengalami haid adalah diharamkan beberapa perkara mengenai al-Quran iaitu membacanya, menyentuh dan membawa lembarannya. Meskipun begitu, terdapat pandangan dalam mazhab Maliki yang tidak mengharamkan bacaan al-Quran kepada wanita yang sedang haid dan nifas untuk tujuan pembelajaran:

 

ذَهَبَ الْمَالِكِيَّةُ إِلَى أَنَّهُ لَا يَمْنَعُ الْحَيْضُ وَالنِّفَاسُ قِرَاءَةَ الْقُرْآنِ، مَا دَامَتِ الْمَرْأَةُ حَائِضًا أَوْ نُفَسَاءَ بِقَصْدِ التَّعَلُّمِ أَوِ التَّعْلِيمِ؛ لأَِنَّهَا غَيْرُ قَادِرَةٍ عَلَى إِزَالَةِ الْمَانِعِ[3]

 

Maksudnya: Mazhab Maliki berpendapat bahawa wanita yang sedang haid dan nifas tidak dilarang membaca al-Quran selagi diniatkan untuk tujuan pembelajaran, kerana wanita tidak berkemampuan menghilangkan halangan tersebut (keluar darah haid dan nifas).

 

 Menjadi guru, mempelajari al-Quran, atau mengajar anak-anak membaca al-Quran merupakan contoh tujuan pembelajaran yang diharuskan ketika haid atau nifas mengikut pandangan ini. Seseorang wanita tidak mampu mengawal darah haid atau nifas tersebut kerana ia keluar secara semulajadi menjadi sebab keharusan. 

 

Pendapat ini boleh diamalkan sekiranya terdapat keperluan yang mendesak seperti seseorang yang ingin mengulang hafazan kerana tujuan peperiksaan dalam tempoh singkat dan yang seumpama dengannya. Adapun selain daripada itu, maka kembali kepada hukum asal dalam mazhab Shafi’i iaitu diharamkan dan berdosa jika dilakukan secara sengaja.

 

Wanita Haid Menulis Ayat al-Quran

 

Berkenaan hukum wanita yang sedang haid menulis ayat al-Quran pula, ia berbeza keadaanya dengan hukum larangan membaca dan menyentuh mushaf. Perihal ini dijelaskan oleh Imam Nawawi dalam kitab al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, katanya:

 

(الرَّابِعَةُ) إذَا كَتَبَ الْمُحْدِثُ أو الجنب مصحفا نظران حَمَلَهُ أَوْ مَسَّهُ فِي حَالِ كِتَابَتِهِ حَرُمَ وَإِلَّا ‌فَالصَّحِيحُ ‌جَوَازُهُ ‌لِأَنَّهُ ‌غَيْرُ ‌حَامِلٍ ‌وَلَا ‌مَاسٍّ ‌وَفِيهِ ‌وَجْهٌ ‌مَشْهُورٌ ‌أَنَّهُ ‌يَحْرُمُ وَوَجْهٌ ثَالِثٌ حَكَاهُ الْمَاوَرْدِيُّ أَنَّهُ يَحْرُمُ عَلَى الْجُنُبِ دُونَ الْمُحْدِثِ

Maksudnya: (Keempat) jika seseorang yang berhadas atau berada dalam keadaan junub menulis mushaf, maka terdapat dua keadaan hukum yang perlu diperhatikan. Jika dia menulis sambil membawa atau menyentuh mushaf tersebut, maka hukumnya adalah haram. Dan jika sebaliknya (menulis tetapi tidak membawa atau menyentuh mushaf), maka hukumnya menurut pendapat yang sahih adalah harus kerana dia tidak membawa dan menyentuh mushaf tersebut. Menurut pendapat yang masyhur hukumnya haram. Dan menurut pandangan lain sebagaimana yang disampaikan oleh al-Mawardi adalah diharamkan bagi orang yang berada dalam keadaan junub dan tidak diharamkan kepada orang yang sedang berhadas.[4]

 

Malah, Imam Nawawi turut menyebutkan dalam kitabnya al-Tibyan fi Adab Hamlah al-Quran, katanya:

 

إذا كتب الجنب أو المحدث مصحفا إن كان يحمل الورقة أو جسها حال الكتابة فحرام وان لم يحملها ولم يمسها ففيه ثلاثة أوجه * 1 – الصحيح جوازه * 2 – والثاني تحريمه * 3 – والثالث يجوز للمحدث ويحرم على الجنب

 

Maksudnya: Jika seseorang yang sedang berada dalam keadaan junub atau berhadas menulis ayat mushaf sambil membawa dan menyentuh lembaran yang ditulis ayat al-Quran tersebut maka hukumnya adalah haram. Dan jika dia menulis dalam keadaan tidak membawa dan menyentuh lembarannya maka dihukumkan berdasarkan tiga pendapat: 1. Menurut pendapat yang sahih adalah harus, 2. Haram, 3. Diharuskan bagi orang yang sedang berhadas dan diharamkan bagi orang yang berada dalam keadaan junub.[5]

 

Berdasarkan kenyataan-kenyataan ini, dapat difahami bahawa seorang wanita yang sedang mengalami haid diharamkan menulis ayat al-Quran sambil menyentuh kertas atau lembaran yang digunakan untuk menulis ayat al-Quran. Namun begitu, para ulama ashab Shafi’iyyah berselisih pendapat berkenaan hukum wanita yang sedang haid menulis ayat al-Quran tetapi tidak menyentuh lembaran yang digunakan untuk menulis ayat al-Quran. Maka dalam hal ini, kami cenderung kepada pendapat yang mengharuskannya iaitu harus bagi wanita yang sedang haid menulis ayat al-Quran dengan syarat tidak menyentuh lembaran ataupun mushaf.

 

Di samping itu, sesuatu penulisan itu juga perlu ditentukan sama ada ia mengambil hukum mushaf ataupun sebaliknya. Maka dalam penentuan ini, kita perlu mengetahui takrifan mushaf secara teliti. Terdapat beberapa definisi mushaf yang diberikan oleh para ulama seperti berikut:

 

          Mushaf secara istilah adalah sesuatu yang ditulis padanya al-Quran secara keseluruhan ataupun sebahagiannya di antara dua kulit secara juzuk ataupun hizib[6]. Justeru itu, dapat difahami bahawa sebahagian ayat al-Quran yang ditulis di atas lembaran juga dihukumkan sebagai mushaf.

 

          Menurut pandangan asoh dalam mazhab Shafi’i, sebarang papan yang ditulis padanya ayat al-Quran untuk tujuan pembelajaran adalah haram disentuh oleh orang yang sedang berhadas kerana tulisan ayat al-Quran tersebut menyerupai mushaf.[7]

 

          Manakala menurut pandangan muqobil asoh dalam mazhab Shafi’i pula menyatakan bahawa orang yang sedang berhadas harus menyentuh kertas atau papan yang tertulis padanya ayat al-Quran kerana lembaran tersebut tidak ditulis dengan tujuan untuk menjadikannya sebagai mushaf, maka ia tidak mengambil hukum mushaf[8]. Sebagai contoh, kertas digunakan untuk tujuan peperiksaan al-Quran, dinding yang tertulis kaligrafi ayat al-Quran dan seumpamanya.

 

Berdasarkan definisi-definisi di atas, boleh difahami bahawa sesuatu itu dianggap sebagai mushaf apabila menepati pandangan-pandangan di atas.   Pandangan asoh dalam mazhab Shafi’i akan menyebabkan hukum al-Quran terpakai kepada banyak perkara seperti bingkai ayat al-Quran, dinding, kertas peperiksaan, papan putih dan sebarang perkakas yang tertulis ayat al-Quran. Justeru terdapat keperluan bagi memudahkan orang awam mengikut pandangan yang lain.

 

Jika dilihat pada realiti masa kini, terdapat permasalahan yang besar terutamanya kepada para wanita yang terpaksa menulis ayat al-Quran dalam keadaan dan tempoh tertentu seperti menduduki peperiksaan tahriri (bertulis) bagi ujian al-Quran, menanda kertas peperiksaan yang memerlukan kepada pembetulan ayat al-Quran dan sebagainya. Kaedah fiqh menyebut:

 

إذا ضاق الأمر اتسع

Maksudnya: Apabila sesuatu perkara menjadi sempit, maka hukumnya menjadi luas.

 

Dengan erti kata yang lain, sesuatu perkara yang ditimpa kesukaran maka syarak mengizinkan kelapangan sebagai jalan keluar daripada permasalahan tersebut.  Maka dalam keadaan tertentu seperti ini, seseorang wanita yang mengalami haid dibenarkan beramal dengan kaedah fiqh di atas. Oleh itu, seseorang wanita yang sedang mengalami haid adalah diharuskan menulis dan menyentuh lembaran yang tidak dihukumkan sebagai mushaf menurut pandangan yang mengharuskan perkara tersebut. Adapun menulis al-Quran tanpa keperluan adalah tidak digalakkan kerana mengambil jalan keluar daripada khilaf.

 

 

Kesimpulan

 

Setelah meneliti perbahasan-perbahasan berikut, diharuskan bagi wanita haid menulis ayat-ayat al-Quran pada lembaran-lembaran kerana ia tidak dihukumkan sebagai mushaf. Adapun penulisan pada sesuatu yang dihukumkan mushaf adalah diharamkan menyentuhnya. Namun begitu, keharusan ini hanya terpakai dalam keadaan-keadaan yang sukar dielakkan dan perlu kepada tempoh yang khusus seperti menjawab peperiksaan penulisan al-Quran, menanda kertas peperiksaan yang memerlukan kepada pembetulan ayat al-Quran dan sebagainya.



[1]‘Izz al-Dīn Abd al-Salām. Tafsīr al-‘Izz bin ‘Abd al-Salām. Beirut: Dar Ibn Hazm. Jil. 3, ms. 280.

[2]Abū Syujā’. Matn Abī Syujā’ al-Musammā al-Ghāyah wa al-Taqrīb. Kaherah: Dar al-Salam. Ms. 39

[3]Wizārah al-Awqāf wa al-Syuūn al-Islāmiyyah. al-Mawsū’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaytiyyah. Kuwait: Dar al-Salasil. Jil.8, ms. 86.

 

[4]Abū Zakariyyā al-Nawawī. al-Majmū’ Syarḥ al-Muhadhdhab. Kaherah: Idarah al-Taba’ah al-Munīriyah. Jil. 2, ms. 70.

[5]Abū Zakariyyā al-Nawawī.al-Tibyān fī Adāb Ḥamlat al-Qurān. Beirut: Dar Ibn Hazm. Ms. 193

[6]Wizārah al-Awqāf wa al-Syuūn al-Islāmiyyah. al-Mawsū’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaytiyyah. Kuwait: Dar al-Salasil. Jil.38, ms. 5.

[7] Al-Khatīb al-Shirbīnī. Mughnī al-Muḥtāj Ilā Ma’rifat Ma’ānī Alfāz al-Minhāj. Dar al-Kutub al-Ilmiah. Jil. 1, ms. 150.

[8] Al-Khatīb al-Shirbīnī. Mughnī al-Muḥtāj Ilā Ma’rifat Ma’ānī Alfāz al-Minhāj. Jil. 1, ms. 150.

 

Accessibility Toolbar

PHP Code Snippets Powered By : XYZScripts.com