#43 Taudhih Al-Hukmi : Status Hadis Doa Berbuka Puasa

Tarikh: 19 Mac 2024

Disediakan oleh: Ahmad Mursyid bin Azhar

 

Pendahuluan

 

Berdoa ketika berbuka puasa adalah perkara yang sangat digalakkan untuk dilakukan oleh umat Islam. Bahkan ia adalah perkara yang diamalkan oleh masyarakat Islam di negara kita sejak dahulu lagi. Terdapat beberapa hadis yang menerangkan bentuk-bentuk lafaz doa yang boleh dibaca ketika berbuka. Oleh itu, artikel ini akan membincangkan lafaz-lafaz doa berbuka puasa menurut hadis Nabi SAW.

 

 

Hadis-hadis Doa Berbuka Puasa

 

Telah menjadi amalan kebiasaan bagi masyarakat Islam di Malaysia, doa berbuka puasa yang sering dibaca adalah seperti berikut:

 

اللَّهُمَّ لَكَ صُمْتُ، وَبِكَ آمَنْتُ، وَعَلَى رِزْقِكَ أَفْطَرْتُ، بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ

Maksudnya: Ya Allah Ya Tuhan kami, kerana-Mu kami berpuasa, dan kepada-Mu kami beriman, dan dengan rezeki-Mu kami berbuka, dengan rahmat-Mu Ya Allah Tuhan Maha Pengasih.

 

Berdasarkan lafaz doa ini, didapati terdapat beberapa hadis yang menunjukkan Rasulullah SAW membaca doa berbuka puasa yang hampir sama. Antara hadis tersebut adalah seperti berikut:

 

1)      Hadis daripada Muaz bin Zuhrah RA:

 

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا أَفْطَرَ قَالَ: «‌اللَّهُمَّ ‌لَكَ ‌صُمْتُ، وَعَلَى رِزْقِكَ أَفْطَرْتُ»

Maksudnya: Adapun ketika Nabi SAW berbuka, Baginda SAW mengucapkan: Ya Allah Ya Tuhan kami, kerana-Mu kami berpuasa dan dengan rezeki-Mu kami berbuka.

 

Hadis ini diriwayatkan oleh Abdullah bin al-Mubarak dalam al-Zuhd Wa al-Raqa’iq[1], Ibnu Abi Shaibah dalam al-Musannaf[2], Abu Daud dalam Sunan beliau[3], al-Bayhaqi dalam Sunan al-Kubra[4] melalui jalan Husain daripada Muaz bin Zuhrah. Sanad hadis ini dhaif disebabkan oleh Muaz bin Zuhrah. Menurut Ibnu Hajar al-Asqalani dalam Tahzib al-Tahzib “Muaz bin Zuhrah juga dikenali sebagai Muaz Abu Zuhrah al-Dhabbiy seorang tabi’i meriwayatkan hadis mursal daripada Nabi SAW pada satu qaul berkenaan berbuka puasa”[5].

 

2)      Hadis daripada Anas bin Malik RA:

 

أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم كَانَ إِذَا أَفْطَرَ قَالَ: «بِسْمِ اللهِ، ‌اللَّهُمَّ ‌لَكَ ‌صُمْتُ، وَعَلَى رِزْقِكَ أَفْطَرْتُ، ‌تَقَبَّلْ ‌مِنِّي ‌إِنَّكَ ‌أَنْتَ ‌السَّمِيعُ ‌الْعَلِيمُ»

Maksudnya: Sesungguhnya Nabi SAW ketika berbuka menyebut: Dengan nama Allah, Ya Allah Ya Tuhan kami, kerana-Mu kami berpuasa dan dengan rezeki-Mu kami berbuka, terimalah amalan kami, sesungguhnya Engkau Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

 

 

Hadis ini diriwayatkan oleh al-Tabrani dalam al-Dhu’a’[6], juga dalam al-Mu’jam al-Saghir[7] dan al-Mu’jam al-Awsat[8], al-Daraqutni dalam al-Afrad[9]. Sanad hadis ini berstatus dhaif jiddan disebabkan terdapat perawi bernama Daud bin al-Zibriqan. Menurut Abu Hatim al-Razi dalam al-Jarh Wa al-Ta’dil[10]Daud bin al-Zibriqan dhaif al-hadith zahib al-hadith”. Menurut Ibnu Hajar dalam Taqrib al-Tahzibmatruk[11].

 

Walaupun hadis daripada Muaz bin Zuhrah dianggap dhaif, namun ia boleh diamalkan kerana termasuk dalam bab fadha’il a’mal (kelebihan beramal).

 

Terdapat hadis lain juga daripada Anas bin Malik RA, sabda Rasulullah SAW:

 

‌أَفْطَرَ ‌عِنْدَكُمُ ‌الصَّائِمُونَ، وَأَكَلَ طَعَامَكُمُ الأبْرَارُ، وَنَزَلَتْ عَلَيْكُمُ الْمَلائِكَةُ

Maksudnya: Telah berbuka puasa orang yang berpuasa dalam kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh telah memakan makanan kamu, dan para malaikat telah datang kepada kamu.

 

Begitu juga hadis daripada Abdullah bin Zubayr RA dengan lafaz yang hampir sama, sabda Rasulullah SAW:

 

‌أَفْطَرَ ‌عِنْدَكُمُ ‌الصَّائِمُونَ، وَأَكَلَ طَعَامَكُمُ الأبْرَارُ، وَصَلَّتْ عَلَيْكُمُ الْمَلائِكَةُ

Maksudnya: Telah berbuka puasa orang yang berpuasa dalam kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh telah memakan makanan kamu, dan para malaikat telah mendoakan kamu.

 

Hadis Anas bin Malik RA diriwayatkan oleh Ibnu Abi Shaybah dalam al-Musannaf[12], Ahmad dalam Musnad beliau[13], Abu Daud dalam Sunan beliau[14], al-Nasa’i dalam Sunan beliau[15] dan Ibnu Majah dalam Sunan beliau[16]. Manakala hadis Abdullah bin Zubayr RA diriwayatkan oleh Ibnu Hibban dalam Sahih beliau[17]. Menurut Ibnu al-Mulaqqin dalam Badr al-Munir[18] dan juga Ahmad al-Ghumari dalam al-Mudawi[19] hadis ini adalah hadis sahih.

 

Selain itu, terdapat hadis lain yang menyatakan bacaan doa Nabi SAW ketika berbuka, daripada Ibnu Umar RA, sabda Rasulullah SAW:

 

‌ذَهَبَ ‌الظَّمَأُ، وَابْتَلَّتِ الْعُرُوقُ، وَثَبَتَ الأجْرُ إِنْ شَاءَ اللهُ

 

Maksudnya: Telah hilang dahaga, telah basah urat-urat dan telah ditetapkan pahala dengan izin Allah.

 

Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Daud dalam Sunan beliau[20], al-Nasa’i dalam Sunan beliau[21], al-Daraqutni dalam Sunan beliau[22] dan al-Hakim dalam al-Mustadrak[23] melalui riwayat Ibnu Umar. Menurut al-Daraqutni “sanadnya hasan”.

 

 

Doa Berbuka Puasa Menurut Fiqh al-Syafi’i

 

Dalam kitab al-Majmu’ Sharh al-Muhazzab[24] ada menyatakan:

 

يستحب أن يدعوا عند إفطاره “‌اللهم ‌لك ‌صمت وعلى رزقك أفطرت”، وفي سنن أبي داود والنسائي عن ابن عمر ” كان النبي صلى الله عليه وسلم إذا أفطر قال ذهب الظمأ وابتلت العروق وثبت الأجر إن شاء الله تعالى”

Maksunya: Disunatkan untuk berdoa ketika berbuka

 

‌اللَّهُمَّ ‌لَكَ ‌صُمْتُ وَعَلَى رِزْقِكَ أَفْطَرْت

dan dalam Sunan Abu Daud dan Sunan al-Nasa’i daripada Ibnu Umar: adapun Nabi SAW mengucapkan setelah berbuka:

 

‌ذَهَبَ ‌الظَّمَأُ وَابْتَلَّتِ الْعُرُوقُ وَثَبَتَ الأجْرُ إِنْ شَاءَ اللهُ.

 

Kesimpulan

 

Berdasarkan perbincangan yang dikemukakan di atas, bacaan doa berbuka puasa yang sering diamalkan di Malaysia mempunyai asal daripada hadis Nabi SAW. Bahkan ia juga doa yang digalakkan untuk dibaca ketika berbuka seperti yang diterangkan dalam kitab al-Majmu’ Sharh al-Muhazzab. Dibenarkan untuk membaca apa-apa sahaja doa sama ada datangnya daripada al-Quran atau hadis atau bukan daripada kedua-duanya sekiranya doa tersebut adalah baik. Namun, doa yang dinyatakan dalam al-Quran ataupun hadis adalah lebih baik untuk diamalkan.



[1]Al-Marwazi, ʿAbd Allah Ibn al-Mubārak. al-Zuhd Wa al-Raqā’iq. (Beirut: Dār al-Kutub al-ʿIlmiyah, 2004) no. hadis: 1410, ms. 495.

[2] Ibn Abī Shaybah, ʿAbd Allah Ibn Muḥammad. Al-Muṣannaf. (Saudi: Dār al-Kunūz Ishbīliyā, 2015) no. hadis: 10004, jil. 6, ms. 119.

[3] Abū Dawūd, Sulaymān Ibn al-Ashaʿath. Sunan Abī Dawud. (Beirut: Dār al-Risālat al-ʿAlamiyyah, 2009) no. hadis: 2358, jil. 4, ms. 40.

[4] Al-Bayhāqī, Aḥmad Ibn Ḥusayn. Sunan al-Kubrā. (Mesir: Markaz Hijr, 2011) no. hadis: 8214, jil. 8, ms. 534.

[5] Al-ʿAsqalānī, Aḥmad Ibn ʿAlī. Tahdhīb al-Tahdhiīb. (India: Dā’irat al-Maʿārif al-Niẓamiyah, 1908) jil. 10, ms. 190.

[6] Al-Ṭabrānī, Sulaymān Ibn Aḥmad. Al-Ḍuʿāʿ. (Beirut: Dār al-Kutub al-ʿIlmiyah ,1993) no. hadis: 918, ms. 286.

[7] Al-Ṭabrānī, Sulaymān Ibn Aḥmad. Muʿ`jam al-Ṣaghīr. (Beirut; al-Maktab al-Islāmī, 1985) no. hadis: 912, jil. 2, ms. 133.

[8] Al-Ṭabrānī, Sulaymān Ibn Aḥmad. Muʿjam al-Awsaṭ. (Mesir: Dār al-Ḥaramayn, 1995) no. hadis: 7549, jil. 7, ms. 298.

[9] al-Dāraquṭnī, ʿAlī Ibn ʿUmar. Al-Afrād. (2008) no. hadis: 102, ms. 21.

[10] Ibn Abī Ḥātim,ʿAbd al-Raḥman Ibn Muḥammad. Al-Jarh Wa al-Taʿdīl. (Beirut: Dār Iḥyā’ al-Turāth al-Islāmī, 1952) 3/413

[11] Al-ʿAsqalānī, Aḥmad Ibn ʿAlī. Taqrīb al-Tahdhīb. (Syriay: Dār al-Rashīd,1986) ms. 198.

[12] Ibn Abī Shaybah, ʿAbd Allah Ibn Muḥammad. Al-Muṣannaf. (Saudi: Dār al-Kunūz Ishbīliyā, 2015) no. hadis: 10006, jil. 6, ms. 119.

[13] Aḥmad Ibn Ḥanbal. Musnad Aḥmad. (Beirut: Muassasat al-Risālah, 2001) no. hadis: 12177, jil 19, ms. 215.

[14] Abū Dawūd, Sulaymān Ibn al-Ashaʿath. Sunan Abī Dawud. (Beirut: Dār al-Risālah al-ʿAlamiyyah, 2009) no. hadis: 3854, jil. 5, ms. 661.

[15] Al-Nasā’ī, Aḥmad Ibn Shuʿayb. Sunan al-Nasā’ī. (Mesir: Maktabat al-Tijāriyah al-Kubrā, 1930) no. hadis: 6874, jil. 6, ms. 311.

[16] Ibn Mājah, Muḥammad Ibn Yazīd. Sunan Ibn Mājah. (Beirut: Dār al-Risālah al-ʿAlamiyyah, 2009) no. hadis: 1747, jil. 2, ms. 633.

[17] Ibn Ḥibbān, Muḥammad Ibn Ḥibbān. Al-Taqāsim Wa al-Anwāʿ, (Beirut: Dār Ibn Ḥazm, 2012) no. hadis: 6641, jil. 7, ms. 385.

[18] Ibn al-Mulaqqin, ʿUmar Ibn ʿAlī. Badr al-Munīr. (Saudi: Dār al-Hijrah, 2004) jil. 8, ms. 29.

[19] Al-Ghumārī, Aḥmad Ibn Muḥammad Ibn Ṣiddīq. Al-Mudāwī. (Mesir: Dār al-Kutbī, 1996) jil. 5, ms. 142.

[20] Abū Dawūd, Sulaymān Ibn al-Ashaʿath. Sunan Abī Dawud. (Beirut: Dār al-Risālah al-ʿAlamiyyah, 2009) no. hadis: 2357, jil. 4, ms. 40.

[21] Al-Nasā’ī, Aḥmad Ibn Shuʿayb. Sunan al-Nasā’ī. (Mesir: Maktabat al-Tijāriyah al-Kubrā, 1930) no. hadis: 3315, jil. 3, ms. 374.

[22] al-Dāraquṭnī, ʿAlī Ibn ʿUmar. Sunan al-Dāruquṭnī. (Beirut: Muassasat al-Risālah, 2004) no. hadis: 2279, jil. 3, ms. 156.

[23] Al-Ḥākim, Muḥammad Ibn ʿAbd Allah. Al-Mustadrak ʿAla al-Ṣaḥīḥayn. (Beirut: Dār al-Kutub al-ʿIlmiyah, 1990) no. hadis: 1536, jil. 1, ms. 584.

[24] Al-Nawawī, Muḥy al-Dīn Ibn Sharf. Al-Majmūʿ Sharḥ al-Muhadhdhab. (Mesir: al-Ṭibā`ah al-Munīriyyah, 1929) jil. 6, ms. 363. 

Accessibility Toolbar

PHP Code Snippets Powered By : XYZScripts.com