#42 Taudhih Al-hukmi : Imam Duduk Semula ke Tahiyat Awal Selepas Sempurna Qiyam

 Tarikh: 27 Februari 2024

Disediakan oleh: Zubair Amir

 

Pendahuluan

Menjadi kewajipan umat Islam untuk mempelajari hukum-hakam sesuatu ibadah bagi memastikan keabsahannya dan agar ia diterima disisi Allah SWT. Ilmu-ilmu berkaitan sesuatu ibadah terbahagi kepada beberapa perkara seperti rukun, syarat sah, syarat wajib, hukum dan sebagainya. Ibadah solat merupakan ibadah harian yang wajib dilakukan oleh semua mukallaf. Sebahagian hukum-hakamnya bersifat terperinci dan sebahagian yang lain bersifat diketahui secara umum.

 

Pelaksanaan solat secara berjemaah mempunyai tatacara dan hukum-hakam yang tersendiri yang mesti diketahui oleh imam khususnya sebagai orang yang mengetuai ibadah solat. Tidak dinafikan, fiqh solat berjemaah merupakan suatu topik yang luas dan mendalam perbahasannya. Artikel kali ini akan menfokuskan kepada isu berkaitan imam yang bangun untuk rakaat ke-3 dalam keadaan terlupa untuk mengerjakan tahiyat awal, kemudian duduk semula setelah teringat.

 

Sunat Ab’ad Dalam Solat

 

Tahiyat awal merupakan salah satu daripada sunat Ab’ad dalam solat. Orang yang meninggalkannya disunatkan untuk sujud sahwi setelah memberi salam.

 

Secara umumnya, Imam yang meninggalkan tahiyat awal tidak boleh kembali semula ke kedudukan tahiyat awal apabila dia telah bangun dalam keadaan sempurna qiyam. Ini berdasarkan kepada hadis daripada al-Mughirah bin Syu’bah, Nabi SAW bersabda:[1]

إذا قامَ أحدُكم منَ الرَّكعتينِ فلم يستتمَّ قائمًا فليجلِس فإذا استتمَّ قائمًا فلا يجلِسْ ويسجدُ سجدتَي السَّهوِ

Maksudnya: Jika seseorang bangun daripada rakaat kedua dan belum sempurna qiyamnya, maka hendaklah dia duduk (kembali kepada kedudukan tahiyat). Jika dia telah sempurna qiyamnya, maka janganlah dia duduk dan hendaklah dia melakukan dua kali sujud kerana terlupa (sujud sahwi).

(Riwayat Ibnu Majah)

Berdasarkan hadis ini, seseorang tidak boleh kembali kepada Tahiyat Awal setelah sempurna qiyam kerana qiyam merupakan rukun sedangkan duduk Tahiyat Awal adalah sunat. Perkara ini dijelaskan oleh Muhammad bin ‘Ali al-Damiri al-Syafi’i:

 

ولأن القيام فرض والتشهد الأول سنة، والفرض لا يقطع للسنة

Maksudnya: Kerana qiyam merupakan fardu sedangkan Tahiyat Awal adalah sunat. Fardu tidak boleh diputuskan dengan perkara sunat.[2]

 

Oleh itu, jika seseorang terlupa melakukan Tahiyat Awal, dalam keadaan dia telah bangun untuk melakukan qiyam. Terdapat beberapa keadaan dalam situasi ini.

 

Pertama – Kembali ke kedudukan Tahiyat Awal setelah sempurna qiyamnya, maka Ibn Nuqaib al-Syafi’i menyatakan:[3]

 

ولو ‌نسي ‌التشهد ‌الأول، فذكره بعد انتصابه، حرُم العود إليه، فإن عاد عمداً بطلت، أو سهواً أو جاهلاً سجد، ويلزمه القيام إذا ذكره

Maksudnya: Jika seseorang lupa melakukan Tahiyat Awal, lalu dia teringat selepas dia bangun qiyam. Haram dia kembali ke kedudukan Tahiyat Awal. Jika dia kembali dalam keadaan sengaja, batal solatnya. (jika dia kembali) dalam keadaan tidak sengaja, atau jahil (akan pengharaman), hendaklah dia melakukan sujud sahwi, dan dia perlu bangun qiyam segera setelah dia teringat.

 

Kedua – Kembali ke kedudukan Tahiyat Awal dalam keadaan qiyamnya belum sempurna, maka Ibn Nuqaib al-Syafi’i menyatakan:[4]

وإن عاد قبله لم يسجد إن لم يكن إلى القيام أقرب وإلا فيسجد

Maksudnya: Jika dia kembali sebelumnya (sempurna qiyam), maka dia tidak perlu sujud sahwi jika kedudukannya belum menghampiri kedudukan qiyam. Manakala (jika dia kembali setelah sempurna qiyam), hendaklah dia sujud sahwi.

 

Berdasarkan dua situasi ini, keadaan qiyam sempurna atau tidak, memberi kesan kepada hukum kembali ke Tahiyat Awal. Selain itu, perbuatan sengaja bangun ke kedudukan qiyam daripada tasyahud juga dijelaskan seperti berikut:

 

ولو نهض عامداً، ثم عاد بعد ما صار إلى القيام أقرب بطلت، وإلا فلا

Maksudnya: Jika dia bangun secara sengaja, kemudian dia kembali (duduk) setelah hampir kepada kedudukan qiyam, batal solatnya. Jika belum hampir ke kedudukan qiyam, tidak batal.

 

Walau bagaimanapun, seseorang yang kembali ke kedudukan Tahiyat Awal dalam keadaan jahil mengenai pengharamannya, dihukumkan sebagai tidak berdosa dan tidak membatalkan solatnya. Imam Syihabuddin al-Ramli dalam kitabnya Fath al-Rahman menjelaskan:[5]

 

فإن عاد، أي عامدا علما بالتحريم .. حرم عوده لزيادة قعوده وجاهل التحريم أو ناس له .. فلا يبطل عوده الصلاة أما الناسي .. فلرفع القلم عنه، وأما الجاهل .. فلأنه مما يخفي على العوام

Maksudnya: Jika dia kembali (ke kedudukan Tahiyat Awal) dalam keadaan sengaja dan tahu akan pengharamannya… haram hukumnya kerana dia telah menambah perbuatan duduk. Adapun orang yang jahil mengenai pengharamannya atau orang yang lupa… kembalinya (ke kedudukan Tahiyat Awal) tidak membatalkan solatnya. (Tidak batal solat bagi) Orang yang lupa… kerana diangkat pena (tidak ditulis amalan), dan orang yang jahil… kerana isu ini adalah perkara yang tersembunyi dalam kalangan orang awam.

 

Rumusannya, mereka yang kembali ke kedudukan Tahiyat Awal dimaafkan dalam 3 keadaan iaitu:

       Orang yang bangun dalam keadaan belum sempurna qiyamnya

       Orang yang jahil mengenai hukum tersebut

       Orang yang terlupa

 

Manakala, mereka yang tidak dimaafkan iaitu boleh membatalkan solatnya dalam keadaan berikut:

       Orang yang kembali ke kedudukan Tahiyat Awal dalam keadaan sengaja dan tahu akan pengharamannya.

 

Tindakan Individu yang Terlupa Tahiyat Awal

Berdasarkan perbahasan diatas, berikut merupakan beberapa tindakan yang perlu dilakukan oleh seseorang yang duduk kembali untuk mengerjakan Tahiyat Awal berdasarkan situasi berikut:

       Teringat dalam keadaan sebelum sempurna qiyam – Disunatkan untuk duduk kembali ke Tahiyat Awal kerana dia belum dikira masuk ke dalam rukun seterusnya iaitu qiyam.

       Teringat dalam keadaan telah sempurna qiyam secara sengaja dan tahu pengharamannya – Solatnya terbatal kerana dia telah masuk ke dalam rukun berikutnya iaitu qiyam.

       Teringat dalam keadaan telah sempurna qiyam secara tidak sengaja dan tidak tahu pengharamannya – Solatnya tidak batal kerana permasalahan ini merupakan masalah yang terperinci. Disunatkan untuk dilakukan sujud sahwi setelah dia teringat.

 

Tindakan Makmum Jika Imam Terlupa Tahiyat Awal

Bagi solat berjemaah, makmum perlu mengetahui tindakan yang perlu dilakukan dalam situasi imam melakukan kesilapan. Ibn Nuqaib al-Syafi’i menjelaskan berdasarkan dua situasi.[6]

Pertama – Imam turun semula ke kedudukan Tahiyat Awal setelah sempurna qiyam:

 

ولو نهض الإمام لم يجز للمأموم القعود له إلا أن ينوي مفارقته، فلو انتصب مع الإمام فعاد الإمام إليه حرمت موافقته بل يفارقه أو ينتظره قائماً، فإن وافقه عمداً بطلت.

Maksudnya: Jika imam telah bangun (qiyam), makmum tidak boleh duduk melakukan Tahiyat Awal kecuali dia berniat mufaraqah (daripada Imam). Jika dia mengikut Imam (bangun qiyam), lalu Imam kembali (ke kedudukan Tahiyat Awal) haram bagi seorang makmum mengikutinya. Bahkan makmum hendaklah berniat mufaraqah atau menunggu Imam dalam keadaan berdiri. Jika makmum mengikut Imam dalam keadaan sengaja, batal solatnya.

 

Kedua – Imam duduk Tahiyat Awal, sedangkan makmum bangun ke kedudukan Qiyam dalam keadaan terlupa:

ولو قعد الإمام وقام المأموم سهواً لزمه العود لموافقة إمامه

Maksudnya: Jika Imam duduk (Tahiyat Awal), sedangkan makmum berdiri (Qiyam) dalam keadaan terlupa, makmum hendaklah kembali mengikut Imam (duduk semula).

 

Kesimpulan

Sebahagian hukum fikah bersifat terperinci dan sebahagian lagi bersifat diketahui secara umum. Imam dinasihatkan agar mempelajari hukum-hakam solat berjemaah secara terperinci bagi memastikan tindakan yang dilakukan menepati ketetapan hukum.



[1] Ibn Mājah Abū Abdullah Muhamad Yazid al-Qizwini (m. 273 H), Sunan Ibn Mājah. Qatar: Dār  Ihyā’ al-Kutub al-‘Arabiyyah. T.t. Hadis no. 1208.

[2] Muhammad bin Musa bin ‘Isa bin ‘Ali al-Damiri al-Syafi’i. Al-Najm al-Wahhaj Fi Syarh al-Minhaj. Jeddah: Dar al-Minhaj, 2004. Jil. 2, ms. 255.

[3] Ibn Nuqaib al-Syafi’i, Umdah al-Salik wa ‘Uddah al-Nasik. Qatar: Syu’un al-Diniyyah, 1982. Ms. 63

[4] Ibn Nuqaib al-Syafi’i, Umdah al-Salik wa ‘Uddah al-Nasik. Qatar: Syu’un al-Diniyyah, 1982. Ms. 63

[5] Ahmad bin Ahmad bin Hamzah al-Ramli. Fath al-Rahman Bi Syarh Zubad Ibn Ruslan. Beirut: Lubnan, Dar al-Minhaj, 2009. Ms. 337.

[6] Ibn Nuqaib al-Syafi’i, Umdah al-Salik wa ‘Uddah al-Nasik. Qatar: Syu’un al-Diniyyah, 1982. Ms. 63

Accessibility Toolbar

PHP Code Snippets Powered By : XYZScripts.com