Fatwa Pengharaman Fahaman Dan Ajaran Wan Noor Hayati Binti Wan Alias (Ibu Yati)

  1. Fahaman dan ajaran Wan Noor Hayati binti Wan Alias (Ibu Yati) adalah menyeleweng dan bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar menurut pandangan Ahli Sunah Wal Jamaah kerana mengandungi elemen-elemen yang berikut:

(a) Mendakwa Allah SWT mempunyai tiga anak perempuan iaitu Al-Latta, Al-Uzza dan Al-Manna.

(b) Menyalahkan tafsir ayat al-Quran seperti berikut:

(i) Kiblat sebenar ialah di Becca (Petra), Jordan.

(ii) Tidak perlu solat.

(iii) Judi diharuskan.

(iv) Menyamakan Allah SWT dengan tuhan berhala.

(v) Mendakwa hadis di dalam Sahih al-Bukhari tidak sahih.

(vi) Mendakwa salah satu cara menyembah tuhan yang satu ialah dengan membaca lafaz Ila Ha Ila Ra Ila Ma.

  1. Apa-apa variasi, bentuk atau cabang mana-mana ajaran, pegangan atau fahaman baru yang mempunyai persamaan dengan semua atau sebahagian daripada elemen-elemen fahaman dan ajaran ini adalah disifatkan menyeleweng dan bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar menurut pegangan Ahli Sunah Wal Jamaah.
  2. Mana-mana orang Islam sama ada secara individu atau berkumpulan adalah dilarang dan diharamkan untuk—

(i) beramal atau berpegang dengan fahaman dan ajaran ini atau apa-apa fahaman dan ajaran yang mempunyai persamaan dengannya;

(ii) menjadi pengikut kepada fahaman dan ajaran ini atau apa-apa fahaman dan ajaran yang mempunyai persamaan dengannya;

(iii) mengisytiharkan diri sebagai orang yang berpegang dengan fahaman dan ajaran ini atau apa-apa fahaman dan ajaran yang mempunyai persamaan dengannya;

(iv) mengajar, menyebarkan atau mengembangkan fahaman dan ajaran ini atau apa-apa fahaman dan ajaran yang mempunyai persamaan dengannya;

(v) berada dalam majlis, perayaan atau sambutan keraian yang boleh dikaitkan dengan fahaman dan ajaran ini atau apa-apa fahaman dan ajaran yang mempunyai persamaan dengannya;

(vi) memiliki, menyimpan, menerbitkan, menyalin, mencetak, menjual, mengedar atau menyiarkan apa-apa bahan berkaitan dengan fahaman dan ajaran ini atau apa-apa fahaman dan ajaran yang mempunyai persamaan dengannya dalam apa-apa bentuk termasuk filem, rakaman video atau audio, penulisan, akhbar, risalah, buku, majalah atau lain-lain bentuk penulisan;

(vii) menganjur, mengadakan atau membantu menjayakan apa-apa perayaan, sambutan keraian atau majlis yang boleh dikaitkan dengan fahaman dan ajaran ini atau apa-apa fahaman dan ajaran yang mempunyai persamaan dengannya melalui pertubuhan, persatuan, syarikat atau badan lain;

(viii) memberi apa-apa kemudahan, sumbangan, pembiayaan atau bantuan kepada mana-mana orang atau badan untuk tujuan menyebarkan atau mengembangkan fahaman dan ajaran ini atau apa-apa fahaman dan ajaran yang mempunyai persamaan dengannya.

  1. Mana-mana orang Islam yang telah menyertai atau mengamalkan atau berpegang kepada fahaman dan ajaran ini hendaklah segera bertaubat dan memohon keampunan daripada Allah SWT.

Bertarikh 5 Ogos 2022

Accessibility Toolbar

PHP Code Snippets Powered By : XYZScripts.com