Pandangan Hukum Syarak Berkaitan Solat Jemaah Dan Jumaat, Majlis Akad Nikah Dan Ibadah Umrah Dalam Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) Covid-19

a) Cadangan Perluasan Bilangan Jemaah Solat Jumaat bagi Kawasan dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) COVID-19

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali Ke-5/2020 yang bersidang pada 17 Rabi’ul Awwal 1442H bersamaan 3 November 2020 bersetuju dan menerima Kertas Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke Sembilan yang bersidang pada 2 November 2020, iaitu:

Jumlah jemaah solat Jumaat diperluaskan sehingga 1/3  daripada kapasiti ruang solat utama dengan mengekalkan prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan Solat Jumaat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Dalam melaksanakan keputusan ini, Mesyuarat bersetuju menyerahkan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) setelah mendapat perkenan daripada DYMM Tuanku Sultan Selangor.

Setakat hari ini, D.Y.M.M. Sultan Selangor telah menitahkan bagi zon kuning dan merah tidak dibenarkan solat Jumaat. Kecuali masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam dan Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong yang hanya dibenarkan seramai 50 orang sahaja dan masjid lain dibenarkan 6 orang sahaja untuk mendirikan solat Jumaat dan solat fardhu.

b) Cadangan Menaikkan Jumlah Kehadiran Dalam Majlis Akad Nikah Bagi Kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali Ke-5/2020 yang bersidang pada 17 Rabi’ul Awwal 1442H bersamaan 3 November 2020 bersetuju dan menerima Kertas Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke Sembilan yang bersidang pada 2 November 2020, iaitu:

Penetapan jumlah kehadiran maksima dalam majlis akad nikah adalah 30 orang dengan mengambil kira keluasan premis yang ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam Negeri.

Namun begitu, pelaksanaan cadangan ini tertakluk kepada arahan Jabatan Agama Islam Negeri Selangor dari semasa ke semasa.

c) Cadangan Pelaksanaan Ibadah Umrah Berikutan Penularan COVID-19

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali Ke-5/2020 yang bersidang pada 17 Rabi’ul Awwal 1442H bersamaan 3 November 2020 bersetuju dan menerima Kertas Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke Sembilan yang bersidang pada 2 November 2020, iaitu:

Bahawa Ibadah umrah jemaah Malaysia buat masa ini ditangguhkan seketika kerana gelombang ketiga pandemik COVID-19 yang amat membimbangkan. Walaupun begitu, hal ini akan dikaji semula dari semasa ke semasa dan kebenaran akan diberi kepada mereka yang memenuhi syarat yang ditetapkan oleh pihak berkuasa kedua-dua negara. Kebenaran ini akan dipertimbangkan apabila lengkung penularan wabak COVID-19 semakin landai dan terkawal.

Bertarikh 3 November 2020

(MJKFNS. BIL.5/2020)

DATO’ SETIA HAJI MOHD TAMYES BIN ABD. WAHID

Pengerusi Jawatankuasa Fatwa

Negeri Selangor

Accessibility Toolbar

PHP Code Snippets Powered By : XYZScripts.com