#34 Taudih al-Hukmi : Hukum Menggantung Gambar Konvokesyen & Keluarga

Tarikh: 2 Oktober 2023

Disediakan oleh: Naimah Binti Mohamad Nasir

 

 

Pendahuluan

 

Gambar merupakan salah satu cara untuk mengabadikan kenangan terindah dalam kehidupan. Ditambah pula dengan kemunculan lambakan telefon pintar dan kamera pada masa kini menggalakkan aktiviti fotografi dan menyimpan memori dalam bentuk gambar.  Sebahagian masyarakat pula menggantung gambar tersebut sebagai perhiasaan di kediaman, pejabat dan  ruangan tertentu. Namun, timbul persoalan memandangkan terdapat hadis Nabi SAW mengenai larangan melukis gambar seperti berikut:

إِنَّ أَشَدَّ النَّاسِ عَذَابًا يَوْمَ الْقِيَامَةِ الْمُصَوِّرُونَ

Maksudnya: Sesungguhnya seberat-berat azab siksaan pada manusia di hari kiamat adalah mereka yang melukis gambar.

 

Maka, apakah hukum menggantung gambar keluarga dan konvokesyen yang diamalkan oleh masyarakat, adakah diperbolehkan menurut pandangan fuqaha?

 

Definisi Taswir

 

Perbahasan tentang hukum gambar dikaitkan dengan perbincangan tentang taswir (التصوير) atau dalam Bahasa Arab diambil daripada perkataan al-surah pada kata mufrad (الصورة) atau pada kata jamak dipanggil al-suwar (الصور) dari segi bahasa merujuk kepada maksud gambar atau rupa. Hal ini  berdasarkan kepada firman Allah Ta’ala dalam Surah al-Infitar ayat ke 8:

فِي أَيِّ صُورَةٍ مَّا شَاءَ رَكَّبَكَ ‎

Maksudnya: Dalam bentuk atau rupa apa sahaja yang dikehendaki-Nya, Ia menyusun kejadianmu.

 

Perkataan taswir ini juga dapat difahami melalui salah satu nama Allah SWT iaitu al-Musawwir sebagaimana  firman Allah Ta’ala dalam Surah al-Hasyr ayat ke 24:

 

هُوَ اللَّهُ الْخَالِقُ الْبَارِئُ الْمُصَوِّرُ ۖ لَهُ الْأَسْمَاءُ الْحُسْنَىٰ ۚ يُسَبِّحُ لَهُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ ۖ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ

Maksudnya: Dia lah Allah, Yang Menciptakan sekalian makhluk; Yang Mengadakan (dari tiada kepada ada); Yang Membentuk rupa (makhluk-makhluk-Nya menurut yang dikehendaki-Nya); bagi-Nyalah nama-nama yang sebaik-baiknya dan semulia-mulianya; bertasbih kepada-Nya segala yang ada di langit dan di bumi; dan Dia lah Yang tiada banding-Nya, lagi Maha Bijaksana.

 

Maksud daripada ayat ke 24 Surah al-Hasyr ini menjelaskan bahawa Allah yang telah membentuk dan mengatur semua makhluk, memberikan setiap daripada mereka rupa yang istimewa dan bentuk yang tersendiri yang membezakan mereka dengan cara yang pelbagai[1].

Taswir dari segi istilah iaitu perbuatan melukis bentuk, membuat ukiran sama ada objek mempunyai bayang-bayang (apabila terkena cahaya seperti patung-patung) atau tidak mempunyai bayang[2].

 

Berdasarkan definisi di atas, para fuqaha mengambil makna umum taswir untuk semua jenis dan bentuk imej yang dihasilkan samada imej yang tetap, sementara, berdimensi, rata, bernyawa dan tidak bernyawa.

 

 

Definisi Gambar Fotografi

 

Perkataan fotografi dalam Bahasa Inggerisnya “photography” berasal daripada dua perkataan Yunani photos dan graphos yang bermaksud menggambarkan cahaya. Fotografi juga membawa maksud proses untuk menghasilkan imej foto melalui tindakan cahaya. Proses fotografi ini menghasilkan imej melalui kesan cahaya, apabila sinaran yang dipantulkan daripada pemandangan atau objek membentuk bayang di dalam bahan peka cahaya, dan kemudian bahan ini diproses selepas itu, menghasilkan imej yang mewakili pemandangan atau objek tersebut[3]. Fotografi didefinisikan sebagai gambar yang cukup stabil yang terhasil daripada tindak balas kesan cahaya pada zat kimia.

Kamera pula merupakan alat yang berfungsi untuk menangkap dan mengabadikan gambar/imej. Kamera yang pertama kali disebut sebagai camera obscura melalui metode  kamar  gelap, ditemukan dalam kitab Ilmuwan Islam bernama Ibn Al-Haytham berjudul Al-Manazir atau Book of Optics (De Aspectibus)[4]. Seterusnya ilmu ini dikembangkan oleh para saintis selepasnya.

Secara asasnya, perbincangan tentang hukum gambar fotografi yang terhasil daripada kamera tidak terdapat pada zaman silam. Maka, para ulama kontemporari berbeza pendapat dalam menetapkan hukumnya.

 

Hukum Gambar sama seperti  Hukum Lukisan?

 

Perbahasan fuqaha tentang hukum gambar berkait rapat dengan hukum menghasilkan lukisan makhluk yang hidup. Para fuqaha dalam membahaskan isu ini berselisih pendapat dalam menentukan hukum gambar berdasarkan sumber imej yang diambil sama ada daripada benda yang bernyawa atau tidak, serta tujuan di sebalik gambar tersebut dihasilkan seperti berikut:

 

1- Gambar yang mempunyai roh (Bernyawa)

 

Pendapat pertama: Haram mengambil gambar fotografi yang mempunyai roh seperti manusia dan haiwan sama seperti hukum melukis, mengukir dan sebagainya terhadap sesuatu objek yang mempunyai roh. Hal ini berdasarkan kepada keumuman makna hadis Rasulullah SAW, Antaranya berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada A’ishah RA bahawa:

إِنَّ أَشَدَّ النَّاسِ عَذَابًا يَوْمَ الْقِيَامَةِ الْمُصَوِّرُونَ[5]

Maksudnya: Sesungguhnya seberat-berat azab siksaan pada manusia di hari kiamat adalah mereka yang melukis gambar.

(Riwayat Muslim)

 

Begitu juga riwayat daripada ‘Abdullah bin ‘Umar RA, beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda:

 

إِنَّ الَّذِينَ يَصْنَعُونَ هَذِهِ الصُّوَرَ يُعَذَّبُونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ يُقَالُ لَهُمْ أَحْيُوا مَا خَلَقْتُمْ[6]

Maksudnya: Sesungguhnya mereka yang membuat gambar-gambar akan disiksa pada hari kiamat. Akan dikatakan kepada mereka: Hidupkanlah apa yang kalian ciptakan.

(Riwayat al-Bukhari & Muslim)

 

Hadis-hadis yang membincangkan tentang hukum melukis atau membuat gambar ini maknanya bersifat umum maka termasuk sama ada melukis dengan tangan atau gambar yang dihasilkan dengan alat seperti kamera. Pengharaman ini tidak dilihat pada cara mendapatnya akan tetapi dilihat pada hasil gambar yang diperoleh bahkan lebih mirip dengan objek berbanding dihasilkan dengan menggunakan tangan. Maka, para ulama mengharamkan gambar fotografi kerana masih disebut al-surah atau gambar termasuk dalam larangan tersebut. Walau bagaimanapun kumpulan ini berpendapat masih terdapat keringanan jika terdapat keperluan yang mendesak seperti gambar yang digunakan untuk membuat kad pengenalan, passport, lesen memandu dan sebagainya[7].

 

            Namun begitu, larangan ini tidak berlaku sekiranya gambar fotografi tersebut tidak sempurna iaitu hanya menampilkan sebahagian anggota sahaja iaitu jika dengan ketiadaan sebahagian anggota seperti kepala tersebut maka tiada bernyawa manusia dan haiwan itu[8]. Hal ini difahami berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa:

 

اسْتَأْذَنَ جِبْرِيلُ عَلَيْهِ السَّلَام عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ ادْخُلْ فَقَالَ كَيْفَ أَدْخُلُ وَفِي بَيْتِكَ سِتْرٌ فِيهِ تَصَاوِيرُ فَإِمَّا أَنْ تُقْطَعَ رُءُوسُهَا أَوْ تُجْعَلَ بِسَاطًا يُوطَأُ[9]

 

Maksudnya: Jibril AS meminta izin kepada Nabi SAW untuk masuk ke rumah Baginda. Nabi SAW menyebut: Masuklah. Kata Jibril: Bagaimana aku nak masuk sedangkan di dalam rumah engkau ada langsir yang ada lukisan padanya. Sama ada engkau potong kepala (lukisan tersebut) atau dijadikan alas yang dipijak-pijak.

(Riwayat al-Nasa’i)

 

Berdasarkan  kepada riwayat-riwayat yang dikemukakan, kecenderungan larangan yang terdapat pada gambar di zaman Rasulullah SAW mempunyai tiga ciri iaitu imej yang mempunyai roh manusia dan haiwan, dan imej dihasilkan bertujuan memuliakan, mencontohi atau meniru ciptaan Allah SWT Yang Maha Kuasa. Perkara ini dilarang sebagai sadd al-zari’ah supaya dapat menutup dan mencegah unsur-unsur penyembahan berhala,  memerangi syirik, dan memastikan manusia hanya mengagungkan Allah semata-mata[10]. Hal ini berlaku sebagaimana umat-umat terdahulu salah satu contohnya pada zaman antara nabi Adam AS dan Nuh yang pada asalnya membuat patung-patung untuk memperingati orang-orang soleh kemudian pada akhirnya orang setelah mereka telah menyembah patung tersebut sepertimana dalam surah al-Nuh ayat 23[11].

 

Pendapat Kedua: Sebahagian para ulama kontemporari berpendapat harus mengambil gambar kerana illah pengharaman gambar yang terdapat pada zaman Rasulullah SAW adalah kerana menyaingi ciptaan Allah SWT dan menyembah selain daripada Allah SWT tidak terdapat pada gambar fotografi[12].

 

Menurut pendapat ini, foto atau imej yang dihasilkan bukan menghasilkan gambar baru yang bertujuan untuk  menyaingi ciptaan Allah SWT. Bahkan imej yang dihasilkan berbentuk gambar itu ialah ciptaan atau makhluk Allah itu sendiri iaitu bayang-bayang sesuatu objek ciptaan Allah SWT itu diproses melalui kamera dan dicetak di atas lembaran kertas foto. Hal ini juga menunjukkan, imej yang dihasilkan melalui kamera tidak sama dengan menggunakan tangan kerana orang yang menangkap gambar hanya menekan tombol lalu jadilah sebuah foto, maka ini tidak lain hanya memindahkan gambar dengan alat moden seperti kamera dan bukan menggambar[13]. Foto yang dihasilkan daripada penggunaan kamera ialah proses menangkap bayang ibarat seperti hasil gambar di cermin.

 

Namun begitu menurut pendapat ini, keharusan menangkap gambar ini bukanlah secara mutlak kerana terdapat keadaan tertentu yang tidak diharuskan jika gambar yang dihasilkan membawa fitnah[14] seperti gambar yang menonjolkan aurat dan terdapat simbol atau unsur syirik seperti pemujaan dan memuliakan agama lain.

 

2- Gambar yang tidak mempunyai roh (Bernyawa)

 

Kebanyakan para ulama selain Imam al-Qurtubi[15] dan Imam Mujahid[16] menyatakan harus menggambar sesuatu yang tidak terdapat roh di dalamnya[17] iaitu selain haiwan dan manusia seperti pokok, gunung, sungai, laut dan lainnya karena pengharaman berdasarkan riwayat-riwayat hadis yang disebut sebelum ini terhad kepada menggambarkan sesuatu yang terdapat roh di dalamnya. Hal ini berdasarkan kepada riwayat antaranya daripada Ibnu Abbas RA:

 [18]فـَقَالَ وَيْحَكَ إِنْ أَبـَيْتَ إِلاَّ أَنْ تَصْنَعَ ، فـَعَلَيْكَ َِذَا الشَّجَرِ ، كُلِّ شَىْءٍ لَيْسَ فِيهِ رُوحٌ

Maksudnya: Jika engkau masih tetap ingin melukis, maka gambarlah pohon atau segala sesuatu yang tidak memiliki roh.

(Riwayat al-Bukhari)

 

Hukum Menggantung Gambar Keluarga dan Konvokesyen

 

Oleh itu, berdasarkan perbincangan di atas dapat difahami sesuatu hukum ditetapkan bergantung kepada kewujudan illah yang ditetapkan. Sekiranya illah pengharaman taswir pada asalnya itu tiada pada suatu perbuatan seperti tiada unsur menyaingi ciptaan Allah SWT, menyerupai unsur syirik dan penyembahan berhala maka tidak berlaku pengharaman pada gambar yang dihasilkan dari kamera. Hal ini bertepatan dengan kaedah fiqh yang menyebut:

 

الحكم ‌يدور ‌مع ‌علته وسببه وجودًا وعدمًا[19]

Maksudnya: Sesuatu hukum berlegar bersama-sama illahnya ketika ia ada dan tiada.

 

 Maka, hukum menggantungkan gambar yang dihasilkan untuk tujuan kenangan dan perhiasan seperti gambar konvokesyen dan keluarga juga harus selagi tidak terdapat unsur-unsur haram yang disebut di atas. Namun, keharusan hukum menggantungkan gambar ini hendaklah diperhalusi kerana ia boleh berubah kepada haram dan berdosa berdasarkan tujuan di sebalik gambar terutamanya apabila menggantung gambar tersebut untuk mengagungkan makhluk secara berlebihan sehingga membawa kepada mensyirikkan Allah SWT. Begitu juga, jika menggantung gambar  atas sebab menunjuk-nunjuk kekayaan, gambar yang mendedahkan aurat dan menggantungkan gambar wanita untuk kepuasan nafsu sehingga jatuh kepada perbuatan dan pandangan yang haram juga tidak dibenarkan. Hal ini bertepatan dengan kaedah fiqh yang menyebut:

 

الوسائل تتبع المقاصد في أحكامها[20]

Maksudnya: Segala wasilah atau cara mengikut hukum maksud atau tujuan

Kesimpulan

 

Hukum gambar fotografi adalah diharuskan kerana ia adalah suatu proses menangkap bayang seperti gambar yang terhasil pada cermin. Maka, hukum menggantungkan gambar fotografi yang dihasilkan sama ada gambar manusia, haiwan, tumbuhan, pemandangan dan sebagainya termasuk gambar konvokesyen dan keluarga untuk tujuan kenangan dan perhiasan di rumah mahupun pejabat adalah harus selagi tidak terdapat unsur-unsur haram seperti unsur menyaingi ciptaan Allah SWT, menyerupai unsur syirik dan penyembahan berhala. Namun begitu, keharusan menangkap dan menggantung gambar ini bukanlah secara mutlak kerana ia boleh berubah kepada haram dan berdosa jika terdapat tujuan maksiat dan boleh membawa fitnah di sebalik gambar yang ditampilkan.

 

 



[1] Muhammad Mukram bin Alī Abu Faḍl Jamāl al-Dīn  Ibn Manzūr al-Anṣārī . Lisān al-‘Arab. (Beirūt, Lubnān: Dār al-Ṣadir, 1993M). Jil. 4, ms. 473.

[2] Muhamad Ruās Qal’ajī. Mu’jam  Lughah al-Fuqahā. (Amman, Jordan: Dār al-Nafāis, 1988), ms. 133.

[3] Nawāl Muhammad Makkī Saqaṭi. Al-Taṣwīr al-Fūtūgrafī fi Dau’ al-Kitāb wa Al- Sunnah. Thesis PhD daripada Kuliyyah Da’wah dan Usuluddin, Bahagian Kitab al-Sunnah, Jāmi’ah Umm al-Qura, Mekah. Ms. 35.

[4] Lindberg, David C. “The Theory Of Pinhole Images From Antiquity to The Thirteenth Century.” Archive for History of Exact Sciences 5, no. 2 (1968): 154-176.

[5] Abū Husayn Muslim Bin Al-Hajjāj bin Muslim Al-Qushayrī Al-Nisāburī. Ṣahīh Muslim. (Turki: Dar Al-Tibā’ah Al-‘Amārah, 1915). Jil. 6, ms. 161.

[6] Abū Abdullah Muhammad Bin Isma’il al-Bukhārī al-Ja’fi. Ṣahīh al-Bukhārī. Peny. Mustafa Dib al-Bughā, (Damsyik, Syria:  Dār Ibn Katsīr, 1993). Jil.5, ms. 2220; Muslim. Ṣahīh Muslim. Jil. 3, ms. 1669.

[7] Fatawa Al-Lajnah Ad-Daimah Lil Buhuts Al-Ilmiyah wal Ifta 1/494.

[8] Abū Jaafar Ahmad Bin Muhammad Salāmah Abd al-Malik Bin Salamah al-Azdī al-Hajarī al-Ṭaḥāwī. Sharh Ma’ānī al-Atsār. (‘Ālim al-Kutub: Kaherah, 1994). Jil. 4, ms. 287.

[9] Abū Abd al-Rahman,Sunan al-Nasā’ī (Kaherah: al-Maktabah al-Tijāriyyah al-Kubrā. 1930). Jil. 8, ms. 216.

[10] Wahbah Al-Zuhaylī, Al-Fiqh al-Islāmī wa adillatuhu (Beirut, Lubnan: Dar al-Fikr, 1989), Jil. 4, ms. 2670.

[11]Abū Abdullah Bin al-Anṣārī al-Qurtubī. al-Jāmi’ li Ahkām al-Qurān. (Kaherah, Mesir: Dār al-Kutub al-Miṣriyyah, 1964), Jil. 18, ms 308

[12] Yusuf al-Qaradhāwī. Halāl wa al-Harām Fī Al-Islām. (Maktabah Wahbah: Kaherah, 1997), 103-104.

[13]Muhammad ‘Alī al-Sāyis. Tafsīr Ayāt al-Ahkām. (al-Maktabah al-‘Asriyyah: Beirut, 2002), ms. 677.

[14]Wahbah Al-Zuhaylī, Al-Fiqh al-Islāmī wa adillatuhu (Beirut, Lubnan: Dar al-Fikr, 1989), 7/ 625. Jil 4, ms. 2676

[15]Al-Qurtubī. al-Jāmi’ li Ahkām al-Qurān. Jil. 18, ms 308.

[16]Al-Qurtubī. Al-Jāmi’ li Ahkām al-Qurān. Jil. 13, ms 221.

[17] Abū Zakariyyā Muhyi al-Dīn Yahya bin Sharaf al-Nawawī. Al-Minhāj Sharh Sahīh Muslim (Dar Ihyā’ al-Turāth al-‘Arabī: Beirut, Lubnan,1972). Jil.14, ms. 81.

[18] Al-Bukhārī. Ṣahīh al-Bukhārī. Jil.2, ms. 775.

[19]Abū Abdullah Bin Muhammad Bin Abī Bakr Bin Ayyub Bin Qayyim al-Jawziyyah. A’lām al-Wuwaqi’īn ‘an Rab al-‘Ālamīn. (Dār ‘Aṭā’āt al-‘Ilm: Riyadh, 2019),Jil. 4, ms 558.

[20]Abū al-‘Abbās Shihabuddīn Ahmad Bin Idris Bin Abd Rahman al-Mālikī al-Qarāfī. al-Furūq li al-Qarāfī. (‘Ālam al-Kutub: Kaherah, t.t). Jil. 3, ms. 111.

Accessibility Toolbar

PHP Code Snippets Powered By : XYZScripts.com