#30 Taudhih Al-Hukmi : Hukum Lelaki Memakai Perhiasan Emas

Tarikh: 29 Ogos 2023

Disediakan oleh: Ahmad Amiruddin bin Ahmad Shukri

Pendahuluan

Umum mengetahui bahawa emas ialah bahan yang sering digunakan dalam penghasilan barang-barang perhiasan seperti cincin, gelang, rantai dan sebagainya khusus bagi wanita. Namun begitu, timbul isu apabila penggunaan perhiasan yang berasaskan emas ini turut dipakai oleh golongan lelaki. Justeru, artikel pada kali ini akan mengupas berkenaan hukum lelaki memakai perhiasan emas.

 

Perhiasan Emas

 

Menurut perspektif Islam, pemakaian perhiasan emas adalah diharuskan dan dibenarkan hanya kepada wanita dengan syarat tidak berlebih-lebihan dan melampau. Adapun bagi lelaki ia diharamkan kerana sifat perhiasan emas hanya dikhususkan untuk wanita. Hal ini adalah berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA:

 

‌أَنَّهُ نَهَى ‌عَنْ ‌خَاتَمِ ‌الذَّهَبِ[1]

Maksudnya: Sesungguhnya Nabi SAW melarang (lelaki) daripada

memakai cincin emas.

(Riwayat al-Bukhari) 

            Justeru itu, seseorang lelaki tidak dibenarkan mengguna pakai perhiasan emas sebagai alatan perhiasan kerana ia merupakan perbuatan tasyabbuh iaitu menyerupai wanita. Bahkan larangan ini juga jelas disebut dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas RA beliau berkata:

‌لَعَنَ ‌رَسُولُ ‌اللَّهِ ‌صَلَّى ‌اللَّهُ ‌عَلَيْهِ ‌وَسَلَّمَ ‌الْمُتَشَبِّهِينَ ‌مِنَ ‌الرِّجَالِ ‌بِالنِّسَاءِ،

 ‌وَالْمُتَشَبِّهَاتِ ‌مِنَ ‌النِّسَاءِ ‌بِالرِّجَالِ[2]

 

Maksudnya: Rasulullah SAW melaknat orang-orang lelaki yang menyerupai wanita dan orang-orang perempuan yang menyerupai lelaki.

(Riwayat al-Bukhari)

 

Berdasarkan hadis di atas, Imam Ibn Hajar al-Asqalani telah menukilkan dalam kitabnya Fath al-Bari pandangan Imam al-Tabari, katanya:

‌لَا ‌يَجُوزُ ‌لِلرِّجَالِ ‌التَّشَبُّهُ ‌بِالنِّسَاءِ ‌فِي ‌اللِّبَاسِ ‌وَالزِّينَةِ ‌الَّتِي ‌تَخْتَصُّ ‌بِالنِّسَاءِ ‌وَلَا ‌الْعَكْسُ[3]

Maksudnya: Dilarang bagi seseorang lelaki menyerupai wanita dalam perihal pakaian dan perhiasan yang dikhususkan untuk wanita, begitu juga sebaliknya.

 

Maka kenyataan-kenyataan yang telah disebutkan jelas menunjukkan bahawa wujud larangan yang sabit berkenaan pemakaian perhiasan emas bagi lelaki. Namun begitu terdapat perbahasan lain yang membincangkan kedudukan perhiasan yang bersadur emas dan emas putih sama ada ia juga membawa hukum sama seperti emas yang tulen? 


Perhiasan bersadur Emas

Perhiasan bersadur emas terdiri daripada perhiasan yang disadur emas atau perak bahkan ia juga mirip dengan suasa. Sebagai contoh, cincin perak yang disalut emas.

 

Maka dalam menentukan status hukum bagi jenis logam yang bersadur emas atau campuran, maka Imam al-Nawawi menjelaskannya di dalam al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, katanya:

 

لَوْ كَانَ الْخَاتَمُ فِضَّةً وَمَوَّهَهُ بِذَهَبٍ أَوْ مَوَّهَ السَّيْفَ وَغَيْرَهُ مِنْ آلَاتِ الْحَرْبِ أَوْ غَيْرِهَا بِذَهَبٍ فَإِنْ كَانَ تَمْوِيهًا يَحْصُلُ منه شيء إنْ عُرِضَ عَلَى النَّارِ فَهُوَ حَرَامٌ بِالِاتِّفَاقِ وإن لم يحصل منه شيء فطريقان (أصحهما) وَبِهِ قَطَعَ الْعِرَاقِيُّونَ يَحْرُمُ لِلْحَدِيثِ[4]

 

Maksudnya: Sekiranya cincin itu diperbuat dari perak dan dicampur, disadur (menggunakan api) dengan emas atau pedang yang disadur ataupun selainnya dari alatan perang dengan emas, sekiranya dileburkan kembali di atas api lalu masih dapat dikesan emasnya maka hukumnya haram secara sepakat. Sekiranya tidak dapat dikesan lagi emas tersebut maka ada dua jalan (yang paling sahih di antara keduanya) dan dengannya diputuskan oleh ulama’ al-Iraq adalah haram berdasarkan hadis.

 

 

Oleh itu, berdasarkan kenyataan Imam al-Nawawi di atas jelas menunjukkan bahawa emas campuran dan perhiasan bersadur dengan emas yang mampu dikesan jika dileburkan hukumnya ialah haram. Adapun bagi emas campuran dan perhiasan yang bersadur emas tetapi emasnya tidak dapat dikesan jika dileburkan maka terdapat khilaf dalam kalangan ulama’ al-Shafi’iyyah. Menurut pandangan yang asoh hukumnya adalah haram kerana mengambil hukum haram emas secara mutlak bagi lelaki sama ada perhiasan mahupun peralatan yang diperbuat daripada emas. Menurut sebahagian ulama’ al-Shafi’iyyah, perhiasan bersadur dengan emas yang tidak dapat dikesan jika dileburkan adalah harus kerana dihukumkan seperti tiada.[5]

 

Suasa

Suasa pula ialah campuran antara emas, perak dan tembaga. Terdapat kajian menyebutkan bahawa kandungan campuran bahan dalam suasa adalah terdiri daripada 70% tembaga, 20% emas dan 10% perak[6]. Berdasarkan definisi suasa, terdapat persamaan yang jelas antara suasa dan perhiasan bersadur emas malah kitab fiqh menggunakan istilah تمويه bagi menjelaskan hukumnya.[7] Oleh itu, suasa mengambil hukum yang sama seperti perhiasan bersadur emas sebagaimana yang telah dinyatakan diatas.

 

Emas Putih dan Platinum

 

Realiti masyarakat kini turut memperagakan barang perhiasan yang bukan sahaja daripada emas kuning bahkan jua emas putih. Emas putih terdiri daripada dua bahan iaitu emas putih yang mengandungi emas kuning dan platinum. Naratif masyarakat beranggapan kedua-duanya adalah sama sedangkan terdapat perbezaan yang ketara di antara emas putih dan platinum. Menurut keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-52 yang bersidang pada 1 Julai 2002, emas putih didefinisikan seperti berikut[8]:

 

Emas putih terbentuk hasil daripada campuran beberapa unsur logam iaitu emas kuning, tembaga, nikel dan zink. Emas kuning yang digunakan untuk membentuk emas putih adalah dari emas kuning 18 karat (750) atau emas kuning 14 karat (585). Kadar campuran unsur logam bagi membentuk 1 gram emas putih dalam peratusan adalah seperti berikut:-

 

Emas kuning (18K)     : 56.94%

Tembaga                     : 26.77%

Nikel                            : 11.96%

Zink                             :   4.33%

 

Emas kuning (14K)     : 55.55%

Tembaga                     : 19.00%

Nikel                            : 13.78%

Zink                             : 11.67%

 

            Manakala platinum ialah logam yang berlainan dengan emas putih. Menurut mereka, platinum adalah campuran unsur logam yang bebas daripada emas. Kenyataannya adalah sebagaimana berikut[9]:

 

Kadar campuran unsur logam bagi membentuk 1 gram platinum dalam bentuk peratusan adalah seperti berikut;

 

Platinum          : 10%

Palladium        : 50%

Perak               : 40%

 

Jelas daripada  keterangan ini, bahawa emas putih bukanlah platinum sebagaimana yang disangka oleh beberapa pihak. Malah hukumnya juga berbeza, hukum bagi lelaki memakai emas putih sebagai perhiasan adalah haram sebaliknya memakai platinum sebagai perhiasan adalah dibenarkan. Namun begitu, mengambil jalan yang mengikut sunnah Nabi Muhammad SAW seperti memakai cincin yang berasaskan perak adalah terlebih utama khususnya bagi golongan lelaki. Hal ini adalah sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA, beliau berkata:

 

لَمَّا أَرَادَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ يَكْتُبَ إِلَى الرُّومِ، قِيلَ لَهُ: إِنَّهُمْ لاَ يَقْرَءُونَ كِتَابًا إِلَّا أَنْ يَكُونَ مَخْتُومًا، فَاتَّخَذَ خَاتَمًا مِنْ فِضَّةٍ، وَكَأَنِّي أَنْظُرُ إِلَى بَيَاضِهِ فِي يَدِهِ، وَنَقَشَ فِيهِ مُحَمَّدٌ رَسُولُ اللَّهِ[10]

Maksudnya: Ketika Nabi SAW hendak menulis surat kepada Rom, dikatakan kepada Baginda: Sesungguhnya mereka tidak membaca surat melainkan terdapat padanya cap mohor. Lalu Baginda membuat cincin yang bercap mohor yang diperbuat daripada perak, seolah-olah aku masih melihat kilauan putih cincin itu di tangan Baginda. Baginda mengukir padanya kalimah Muhammad Rasulullah padanya.

(Riwayat al-Bukhari)

 

Kesimpulan

          Hukum memakai perhiasan yang berasaskan emas sama ada emas secara keseluruhannya atau perhiasan bersadur emas, emas campuran, suasa dan emas putih ialah diharamkan bagi lelaki secara mutlak. Hal ini adalah kerana mengambil hukum secara umum berdasarkan hadis yang jelas menyatakan pengharamannya. Perhiasan emas hanya layak dimiliki dan digunakan oleh golongan wanita dengan syarat tidak berlebihan dan melampau kerana boleh mengundang kepada sifat riyak dan cinta kepada harta. Malah hikmah diharamkan perhiasan emas kepada lelaki juga adalah untuk membezakan perihal yang layak dimiliki oleh lelaki dan wanita. Sesungguhnya Allah SWT Maha Adil bagi setiap hamba-hambaNya.

 

 



[1] Al-Bukhārī, Muḥammad bin Ismāīl. (1994). Ṣaḥīḥ al-Bukhārī. Damsyiq: Dar Ibn Kathir, Dar al-Yamamah. Jil. 7, ms. 155. Hadis no. 5864.

[2]  Al-Bukhārī, Muḥammad bin Ismāīl. (1994). Ṣaḥīḥ al-Bukhārī. Damsyiq: Dar Ibn Kathir, Dar al-Yamamah. Jil. 5, ms. 2207. Hadis no. 5546.

[3] Ibn Ḥajar al-‘Asqalānī. Fatḥ al-Bārī bi Syarḥ Ṣaḥīḥ al-Bukhārī. Beirut: Dar al-Ma’rifah. Jil. 10, ms. 332.

[4] Abū Zakariyyā al-Nawawī. al-Majmu’ Syarḥ al-Muhazzab. Kaherah: Idarah al-Taba’ah al-Munīriyah. Jil. 4, ms. 441.

[5] Abū Zakariyyā al-Nawawī. al-Majmu’ Syarḥ al-Muhazzab. Kaherah: Idarah al-Taba’ah al-Munīriyah. Jil. 4, ms. 441.

[6] Hukum Lelaki Memakai Cincin Suasa – Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah yang berlangsung pada 19 Julai 1986. Rujuk: http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/index.php/main/mainv1/fatwa/pr/15923

[7] Abū Zakariyyā al-Nawawī. al-Majmu’ Syarḥ al-Muhazzab. Kaherah: Idarah al-Taba’ah al-Munīriyah. Jil. 4, ms. 441.

[8] Hukum Lelaki Memakai Emas Putih – Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-52 yang bersidang pada 1 Julai 2002.

Rujuk: http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/index.php/main/mainv1/fatwa/pr/15923

[9] Hukum Lelaki Memakai Emas Putih – Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-52 yang bersidang pada 1 Julai 2002.

Rujuk: http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/index.php/main/mainv1/fatwa/pr/15923

[10] Al-Bukhārī, Muḥammad bin Ismāīl. (1994). Ṣaḥīḥ al-Bukhārī. Damsyiq: Dar Ibn Kathir, Dar al-Yamamah. Jil. 3, ms. 1074. Hadis no. 2780.

Accessibility Toolbar

PHP Code Snippets Powered By : XYZScripts.com