#21 Taudhih Al-Hukmi : Tertib solat sunat Rawatib ketika solat jamak

 

Tarikh: 26 Mei 2023

Disediakan oleh: Ahmad Amiruddin bin Ahmad Shukri


Pendahuluan

Islam menjadikan ibadah solat sunat sebagai ganjaran tambahan kepada hamba-hamba-Nya yang beriman. Antara solat sunat yang digalakkan serta dianjurkan ialah solat sunat Rawatib iaitu solat sunat qabliyyah (sebelum) dan ba’diyyah (selepas) solat fardu. Tujuannya adalah sebagai pelengkap yang menyempurnakan kekurangan ibadah solat fardu yang didirikan. Secara lazimnya, solat sunat Rawatib ini terbahagi kepada dua iaitu sunat muakkad dan ghayr muakkad. Namun perbahasan pada kali ini ingin memfokuskan perihal tertib solat sunat Rawatib bagi orang yang solat jamak.

 

Secara umumnya, solat sunat Rawatib disunatkan bagi sekalian solat fardu bahkan ia juga sunat dilakukan bagi orang yang sedang sedang bermusafir dan melaksanakan solat secara jamak dan qasar. Hal ini sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam Nawawi dalam kitab al-Majmu’ Syarh al-Muhadhab, katanya:

 

‌قَالَ ‌أَصْحَابُنَا ‌يُسْتَحَبُّ ‌صَلَاةُ ‌النَّوَافِلِ فِي السَّفَرِ سَوَاءٌ الرَّوَاتِبُ مَعَ الْفَرَائِضِ وَغَيْرِهَا[1]

Maksudnya: Berkata ashab kami (ulama mazhab Shafi’i) bahawa sunat mengerjakan solat-solat sunat ketika bermusafir, sama ada solat sunat Rawatib yang diiringi dengan solat fardu ataupun solat sunat lain.

 

Berdasarkan kenyataan yang dikemukakan oleh Imam Nawawi di atas, perihal solat sunat tidak hanya dikhususkan bagi solat sunat Rawatib bahkan solat sunat yang selainnya juga turut sunat dilakukan ketika bermusafir.

 

 

Tertib solat sunat Rawatib ketika solat jamak

 

Imam Nawawi dalam kitab Raudhah al-Talibin telah mengklasifikasikan tertib atau turutan bagi solat sunat Rawatib ketika jamak dan qasar, katanya:

 

‌إِذَا ‌جَمَعَ ‌الظُّهْرَ ‌وَالْعَصْرَ ‌صَلَّى ‌سُنَّةَ ‌الظُّهْرِ ثُمَّ سُنَّةَ الْعَصْرِ ثُمَّ يَأْتِي بِالْفَرِيضَتَيْنِ. وَفِي جَمْعِ الْعِشَاءِ وَالْمَغْرِبِ يُصَلِّي الْفَرِيضَتَيْنِ ثُمَّ سُنَّةَ الْمَغْرِبِ ثُمَّ سُنَّةَ الْعِشَاءِ ثُمَّ الْوِتْرَ. قُلْتُ: هَذَا الَّذِي قَالَهُ الْإِمَامُ الرَّافِعِيُّ فِي الْمَغْرِبِ وَالْعِشَاءِ صَحِيحٌ، وَأَمَّا فِي الظُّهْرِ وَالْعَصْرِ فَشَاذٌّ ضَعِيفٌ، وَالصَّوَابُ الَّذِي قَالَهُ الْمُحَقِّقُونَ: أَنَّهُ يُصَلِّي سُنَّةَ الظُّهْرِ الَّتِي قَبْلَهَا، ثُمَّ يُصَلِّي الظُّهْرَ، ثُمَّ الْعَصْرَ، ثُمَّ سُنَّةَ الظُّهْرِ الَّتِي بَعْدَهَا، ثُمَّ سُنَّةَ الْعَصْرِ[2]

 

Maksudnya: Apabila seseorang itu ingin melakukan solat jamak Zohor dan Asar, maka dia perlu menunaikan solat sunat Zohor, kemudian solat sunat Asar, dan setelah itu barulah dia menunaikan solat fardu tersebut. Manakala pada jamak antara Isyak dan maghrib pula, hendaklah dia menunaikan dua fardu itu (Maghrib dan Isyak), kemudian solat sunat Maghrib, kemudian solat sunat Isyak, dan setelah itu solat sunat Witir. Aku berkata (Imam Nawawi): Apa yang dikatakan oleh Imam Rafi’i pada jamak taqdim antara Maghrib dan Isyak adalah betul. Adapun pada Zohor dan Asar, maka ia adalah pandangan syaz yang lemah. Yang lebih tepat adalah sebagaimana yang disebutkan oleh para ulama Muhaqqiqun iaitu seseorang itu perlu melakukan solat sunat qabliyyah Zohor kemudian solat fardu Zohor, kemudian solat fardu Asar, kemudian solat sunat ba’diyyah Zohor dan setelah itu barulah solat sunat Asar.

 

 

Kenyataan di atas turut disokong oleh Syeikh Zakariyya al-Ansari iaitu tokoh di dalam mazhab Shafi’i. Syeikh Zakariyya al-Ansari menyebutkan bahawasanya:

 

 

(‌وَإِنْ ‌جَمَعَ ‌تَقْدِيمًا) ‌بَلْ ‌أَوْ ‌تَأْخِيرًا ‌فِي ‌الظُّهْرِ، ‌وَالْعَصْرِ (‌صَلَّى ‌سُنَّةَ ‌الظُّهْرِ ‌الَّتِي ‌قَبْلَهَا، ‌ثُمَّ ‌الْفَرِيضَتَيْنِ) ‌الظُّهْرَ، ‌ثُمَّ ‌الْعَصْرَ (‌ثُمَّ ‌بَاقِيَ ‌السُّنَنِ ‌مُرَتَّبَةً) ‌أَيْ ‌سُنَّةَ ‌الظُّهْرِ ‌الَّتِي ‌بَعْدَهَا، ‌ثُمَّ ‌سُنَّةَ ‌الْعَصْرِ (‌وَفِي ‌الْمَغْرِبِ، ‌وَالْعِشَاءِ ‌يُصَلِّي ‌الْفَرِيضَتَيْنِ، ‌ثُمَّ ‌السُّنَنَ ‌مُرَتَّبَةً) ‌سُنَّةَ ‌الْمَغْرِبِ، ‌ثُمَّ ‌سُنَّةَ ‌الْعِشَاءِ (‌ثُمَّ ‌الْوِتْرَ)[3]

 

Maksudnya: (Jika seseorang melakukan jamak taqdim) bahkan sekalipun ta’khir pada solat Zohor dan Asar, (dia perlu solat sunat qabliyyah zohor terlebih dahulu, kemudian tunaikan kedua-dua solat fardu) iaitu fardu Zohor kemudian fardu Asar secara jamak taqdim, (kemudian tunaikan baki solat sunat menurut turutan) iaitu solat sunat ba’diyyah Zohor, setelah itu solat sunat Asar (qabliyyah Asar). (Dan bagi solat Maghrib dan Isyak, tunaikan kedua-dua solat fardu terlebih dahulu, kemudian solat sunat mengikut turutan) iaitu sunat ba’diyyah Maghrib, kemudian sunat Isyak, (kemudian Witir).


 

Maka dirumuskan tertibnya adalah sebagaimana berikut:

 

  1. Turutan jika solat jamak taqdim Zohor dan Asar. (Begitu juga hal keadaan jamak ta’khir)

 

       Solat sunat Qabliyyah Zohor

       Solat fardu Zohor

       Solat fardu Asar

       Solat sunat Ba’diyyah Zohor

       Solat sunat Qabliyyah Asar

 

  1. Turutan solat jika jamak taqdim Maghrib dan Isyak. (Begitu juga hal keadaan jamak ta’khir)

 

       Solat fardu Maghrib

       Solat fardu Isyak

       Solat sunat Ba’diyyah Maghrib

       Solat sunat Qabliyyah Isyak

       Solat sunat Ba’diyyah Isyak

       Solat sunat Witir

 

 

Kesimpulan

Solat sunat Rawatib boleh dikerjakan ketika jamak dan qasar bahkan pengamalannya juga disunatkan. Justeru seseorang yang ingin melaksanakan solat sunat Rawatib ketika jamak dan qasar perlu mengikut turutan seperti berikut iaitu, bagi solat jamak taqdim Zohor dan Asar maka perlu dimulakan dengan solat sunat qabliyyah Zohor terlebih dahulu kemudian diikuti dengan solat fardu Zohor dan fardu Asar, setelah itu diselesaikan dengan solat sunat ba’diyyah Zohor dan solat sunat qabliyyah Asar. Adapun bagi solat jamak Maghrib dan Isyak pula, perlu dimulakan dengan dengan solat fardu Maghrib dan fardu Isyak terlebih dahulu, setelah itu diikuti dengan solat sunat ba’diyyah Maghrib kemudian qabliyyah dan ba’diyyah Isyak serta diakhiri dengan solat sunat Witir.

 

 



[1] Al-Nawawī. Abū Zakariyyā Muḥyī al-Dīn al-Syaraf. al-Majmu’ Syarḥ al-Muhadhab. Dar al Fikr. Jil. 4, ms. 400.

[2] Al-Nawawī. Abū Zakariyyā Muḥyī al-Dīn al-Syaraf. (1991). Rawḍhah al-Ṭālibin wa ‘Umdah al-Muftīn. Beirut: Maktabah al-Islamiyy. Jil. 1, ms. 402.

[3] Al-Ansārī. Abū Yaḥya Zakariyya. (t.t.). Asnā al-Maālib Syarḥ Rawḍ at-Ṭālib. Dar al-Kutub al-Islamiyy. Jil. 1, ms. 245.

Accessibility Toolbar

PHP Code Snippets Powered By : XYZScripts.com