#19 Taudih al-hukmi : Barang Perkakasan Dapur dan Rumah Dikira Harta Pusaka

Tarikh: 8 Mei 2023

Disediakan oleh: Naimah Mohamad Nasir

Pendahuluan

Pembahagian harta pusaka sering menjadi topik tumpuan yang dibincangkan oleh ahli keluarga selepas pemilik harta meninggal dunia. Maka, timbul persoalan dalam kalangan masyarakat tentang pengurusan pembahagian harta pusaka melibatkan barangan di dalam rumah milik individu yang sudah meninggal dunia seperti perabot, pinggan mangkuk dan sebagainya. Adakah barang perkakasan dapur dan rumah termasuk daripada harta yang diperlu difaraid dan dibahagikan kepada waris-waris yang berhak?

 

Harta Pusaka itu Harta Faraid

Faraid berasal daripada perkataan Bahasa Arab yang asalnya daripada perkataan farḍ yang bermaksud al-taqdīr (yang ditentukan). Menurut syarak, perkataan tersebut bermaksud apa yang telah ditetapkan oleh dalil yang bersumberkan kepada Al-Quran, hadis dan ijmak ulama dan ijtihad para sahabat RA[1]. Ilmu faraid ialah ilmu pembahagian harta pusaka (pewarisan) atau ilmu yang berkaitan dengan harta peninggalan si mati[2]. Ia adalah gabungan kaedah fiqh dan matematik yang membolehkan hak setiap waris diketahui daripada pengiraan yang dilakukan.

Manakala, harta pusaka atau al-tarikah (التركة) di sisi Jumhur Ulama bermaksud segala sesuatu yang menjadi kepunyaan si mati di masa hidupnya, kemudian ditinggalkan untuk waris-warisnya sama ada harta benda, hak-hak dan apa yang termasuk dalam miliknya setelah seseorang itu mati[3]. Harta pusaka ini diketahui setelah ditolak segala perbelanjaan menguruskan jenazah, hutang si mati, wasiat, hibah dan harta sepencarian menurut undang-undang[4]. Harta peninggalan si mati ini menjadi harta faraid yang perlu untuk dibahagikan kepada waris-waris yang berhak.


Kategori Harta Pusaka

Untuk mengenalpasti harta pusaka yang dimiliki oleh si mati, terdapat dua kategori harta iaitu harta alih dan harta tidak alih. Kedua-duanya perlu difaraidkan kepada ahli waris yang berhak. Hal ini dijelaskan dalam kitab fiqh al-Manhaji:

 

التركة ‌هي ‌جميع ما يخلفه الميت بعد موته، من أموال منقولة، كالذهب والفضة وسائر النقود والأثاث، أو غير منقولة كالأراضي والدور وغيرها. فجميع ذلك داخل في مفهوم ‌التركة، ويجب إعطاؤه لمن يستحقه[5]

 

Maksudnya: Harta pusaka ialah segala apa yang ditinggalkan oleh si mati selepas kematiannya sama ada dalam bentuk harta alih seperti emas, perak, duit, perabot dan sebagainya, atau dalam bentuk harta tidak alih seperti tanah, rumah dan sebagainya. Kesemua harta tersebut termasuk dalam definisi harta pusaka. Maka wajib diberikan harta tersebut kepada waris yang berhak. 

Berdasarkan takrifan di atas dapat difahami terdapat dua kategori harta pusaka iaitu[6]:

1- Kategori pertama ialah harta alih iaitu harta yang boleh dipindah atau diubah dari tempatnya sama ada bentuk dan keadaannya kekal dengan dipindahkan atau berubah bentuknya. Contohnya, wang dalam akaun simpanan bank, saham, simpanan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), insurans, peralatan rumah, kenderaan, senjata api, barang kemas, ASB dan sebagainya.

 

Termasuk harta pusaka alih ini juga, sewa yang belum dijelaskan kepada si mati, hutang kepada si mati yang dijelaskan selepas kematian, dividen atau faedah yang terbit daripada harta si mati, simpanan KWSP berpenama atau tiada penama dan barang yang terbit selepas mati seseorang dari usahanya semasa hayat[7].

 

2- Kategori kedua ialah harta tidak alih iaitu harta yang tidak boleh dipindah atau diubah dari tempat asalnya seperti tanah, bangunan, kebun, ladang dan rumah seperti tanah, rumah dan sebagainya.

Maka, dapat difahami bahawa yang tidak termasuk dalam harta pusaka ialah harta yang telah diberikan kepada orang lain semasa hayatnya, harta yang telah dijual oleh si mati, harta yang telah diwakafkan dan dihibahkan, khairat kematian, harta yang dipegang sebagai amanah oleh si mati, pencen (termasuk Pencen terbitan), ganjaran dan bayaran-bayaran di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (PERKESO) Socso serta pemberian oleh orang yang menziarahi si mati[8].

Berdasarkan takrifan dan pembahagian kategori harta pusaka di atas segala sesuatu yang ditinggalkan si mati termasuk barang perkakasan dapur, barangan di rumah seperti perabot, alat elektronik, alat tulis, jam tangan, pakaian dan sebagainya merupakan harta pusaka yang perlu dibahagikan secara faraid kepada para warisnya yang berhak. Meskipun dilihat harta itu kecil ia tetap bernilai dan terdapat hak waris-waris padanya.

Penyelesaian Faraid Barang Perkakasan Dapur dan Rumah

 

Sehubungan dengan itu, bagi menyelesaikan pengurusan harta kecil atau ringkas seperti ini waris-waris yang layak boleh mengadakan muafakat bersama atau lebih dikenali sebagai satu mekanisme sokongan hukum pusaka Islam yang dipanggilkan konsep takharuj[9]. Konsep takharuj ini merupakan tolak ansur yang dilakukan oleh sebahagian ahli waris mengikut nilaian tertentu sebagai balasan kerana menarik diri daripada haknya dalam harta pusaka. Ia boleh melibatkan semua ahli waris atau hanya sebahagian daripada mereka dan waris yang memberi imbalan akan mengambil haknya dalam pusaka. Imbalan tersebut boleh terdiri daripada harta pusaka atau diambil daripada harta-harta lain[10]. Hal ini disebabkan dalam beberapa situasi, jenis dan bentuk harta pusaka itu sendiri tidak sesuai untuk dibahagi secara fizikal[11]. Kaedah ini juga memberi peluang kepada setiap ahli waris memilih cara terbaik dalam menyelesaikan permasalahan pembahagian harta pusaka.

 

Namun begitu, sebelum amalan takharuj dilaksanakan dalam penyelesaian harta pusaka, waris-waris yang berhak dalam sesuatu harta pusaka itu hendaklah mengetahui terlebih dahulu kadar dan bahagian masing-masing. Perkara ini penting supaya waris yang terlibat dalam pusaka atau yang mempunyai hak dalam harta pusaka dapat membuat keputusan secara sukarela dengan penuh pengetahuan tentang bahagian mereka. Hal ini kerana, kesan tindakan waris melakukan takharuj ini akan mengugurnya hak pemilikan waris yang menarik diri daripada pewarisan. Jika perkara ini tidak diperhalusi oleh para waris  maka perasaan tidak puas hati boleh timbul sehingga boleh menjejaskan ikatan persaudaraan kelak. Justeru, setiap keputusan mesti berlandaskan kejujuran dan pengetahuan setiap ahli waris berhubung kadar bahagian dalam faraid mereka sebelum membuat keputusan melepaskan hak tersebut[12].

 

Dalam hal ini, pihak waris boleh mengenal pasti dan menyenaraikan terlebih dahulu harta-harta si mati daripada harta yang bernilai rendah sehinggalah harta yang tinggi nilainya. Kemudian, berdasarkan keizinan atau pelepasan hak waris yang memberikan bahagiannya kepada waris yang lain (takharruj), para waris boleh berbincang untuk membuat keputusan sama ada;

 

  1. Mengekalkan harta asal dengan memilih sesiapa yang akan memiliki dan menggunakan harta kecil tersebut dalam kalangan waris-waris yang layak.
  2. Menukarkan harta ringkas tersebut kepada nilai (menjualnya) kepada waris yang ingin memiliki dengan mengantikan bahagian yang dilepaskan oleh waris yang lain pada barang tersebut.
  3. Menukarkan harta ringkas tersebut kepada nilai (menjualnya) kemudian hasil jualan tersebut dibahagikan kepada waris-waris yang layak.
  4. Menyedekahkan harta kecil tersebut sebagai pahala yang bersambung bagi pihak si mati. 

Perkara utama yang hendak dicapai melalui pengurusan harta dengan cara yang baik ini adalah untuk mendapatkan keredaan Allah SWT. Hal ini dapat dicapai melalui sikap bertoleransi para waris-waris dan saling bekerjasama antara satu sama lain. Berdasarkan Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 2:

 

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

 

Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.

 

Kesimpulan

Oleh itu, bagi pihak waris yang layak penting untuk mengenalpasti dan menyenaraikan terlebih dahulu harta-harta si mati daripada harta yang bernilai rendah sehinggalah harta yang tinggi nilainya. Hal ini kerana, kesilapan yang sering dilakukan dalam pengurusan harta ini adalah hanya mengambilkira harta yang bernilai tinggi seperti tanah, rumah, saham, dividen dan sebagainya. Sedangkan barang kepunyaan si mati juga yang kecil nilainya juga adalah harta yang patut dan boleh diwariskan kepada waris. Perkara ini penting supaya pihak waris mendapat haknya dengan cara yang benar di sisi syarak dan lebih berhati-hati daripada mengambil hak orang lain dengan cara yang batil. Sepertimana Firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 188:

 

وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ وَتُدْلُوا بِهَا إِلَى الْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوا فَرِيقًا مِّنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالْإِثْمِ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ ‎

 

Maksudnya: Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).

 



[1] ‘Alī bin Muḥammad bin ‘Alī al-Zayn al-Sharīf al-Jurjānī. 1983. Kitāb al-Ta’rīfāt. Beirut: Dār al-Kutub al-‘Ilmiah. Ms. 165.

[2] ‘Alī bin Muḥammad bin ‘Alī al-Zayn al-Sharīf al-Jurjānī, Kitāb al-Ta’rīfāt, ms.166.

[3] Wizārah al-Awqāf wa- al-Shu’un al-Islāmiyyah. (t.t). Al-Mawsū’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaytīyyah. Dār al-Salāsih: Kuwait. Jil. 11, ms. 206.

[4] Muda, Resali. (2016). “Harta Pusaka Islam Di Malaysia: Antara Perundangan Dan Pentadbiran”. Malaysian Journal of Syariah and Law 4: Ms. 5-6.

[5] Mustafa al-Khin, Mustafa al-Bugha & ‘Ali al-Sharbajī. 1992. Al-Fiqh al-Manhajī ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi’i. Dār al-Qalam: Damsyik.  Jil.5, ms. 71.

[6] Ibid., Jil.5, ms. 71.

[7] Majlis Agama Islam Selangor (MAIS). Harta Pusaka. Diakses daripada laman web https://www.mais.gov.my/harta-pusaka/

[8] Ibid.

[9] Ahmad, Md Yazid. “Amalan Muafakat dan Aplikasi Takharuj dalam Pengagihan Pusaka menurut Perspektif Undang-undang Pusaka Islam”. Islamiyyat: International Journal of Islamic Studies 39, no. 1 (2017): ms 22.

[10] Abu Zahrah, Muhammad. 1923. Ahkām al-Tarikah wa Mawārīth. Kaherah: Dar al-Fikr al-‘Arabi. Ms. 231.

[11] Wan Najmiah & Md Yazid Ahmad. “Konsep Takhāruj Dalam Hukum Pusaka Islam”. Jurnal Muamalat 7 (2014): ms. 117.

[12] Ibid.

Accessibility Toolbar

PHP Code Snippets Powered By : XYZScripts.com