#16 Taudih al-Hukmi : Berbuka Awal Kerana Mengikut Waktu Solat Pada Aplikasi

Tarikh: 13 April 2023

Disediakan oleh: Zubair Amir

 

Pendahuluan

Dalam bulan Ramadhan umat Islam diperintahkan untuk berpuasa iaitu menahan diri daripada makan dan minum serta perkara yang membatalkan puasa bermula dari terbit fajar hingga terbenam matahari. Ketetapan waktu ini adalah berdasarkan Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 187:

وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الْأَبْيَضُ

مِنَ الْخَيْطِ الْأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ ثُمَّ أَتِمُّوا الصِّيَامَ إِلَى اللَّيْلِ

Maksudnya: Dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam (kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib).

     

Berbuka Awal

Waktu sebenar yang diambil kira untuk berbuka puasa ialah apabila terbenamnya matahari. Pengiraan yang dibuat oleh ahli falak berbentuk kalendar, jam, termasuk aplikasi yang memaparkan waktu solat adalah bersifat zhanni (sangkaan). Walau bagaimanapun, bergantung kepada alat seperti jam atau seumpamanya adalah dibenarkan selagi mana ia bertepatan dengan realiti semasa iaitu telah terbenam matahari dengan sebenar-benarnya. Sesuatu alat itu boleh diubah suai waktunya mengikut ketetapan seseorang individu, maka disebabkan itu sering terjadi masalah-masalah seperti tersilap azan awal daripada waktunya, jam rosak, aplikasi yang kurang tepat dan sebagainya.

Berpegang kepada waktu yang terdapat pada jam atau aplikasi adalah dianggap suatu ijtihad mengenai masuknya waktu berbuka puasa dan ia bersifat zhanni (sangkaan). Oleh itu, sekiranya seseorang itu tersalah berbuka awal kerana bergantung kepada alat tersebut, maka puasanya dihukumkan batal. Perkara ini dijelaskan berdasarkan hadis daripada Asma’ binti Abi Bakr RA, beliau berkata:

‌أفْطَرْنا ‌عَلَى ‌عَهْدِ ‌النبيِّ ‌صلى ‌الله ‌عَلَيْهِ ‌وَسلم ‌يَوْمَ ‌غَيْمٍ ‌ثُمَّ ‌طَلَعَتِ ‌الشَّمْسُ.

 قِيلَ لِهشَامٍ فَأُمِرُوا بالْقَضاءِ قَالَ لَا بُدَّ مِنْ قَضَاءِ[1]

Maksudnya: Kami telah berbuka puasa pada zaman Nabi SAW pada hari mendung, sedangkan selepas itu matahari masih lagi muncul. Dikatakan kepada Hisham: Maka mereka diperintahkan untuk qada. Jawabnya: Mesti qada.

 

(Riwayat al-Bukhari)

 

Menurut Imam Badr al-Din al-`Aini hadis ini menunjukkan bahawa seseorang yang berbuka puasa dalam keadaan dia menyangka matahari sudah terbenam hendaklah menggantikan puasanya dan tidak dikenakan kaffarah. Perkara ini juga menunjukkan bahawa puasa tersebut batal sehingga perlu digantikan.[2]

 

Malah, para fuqaha juga telah membahaskan isu ini dalam kitab-kitab mereka antaranya Imam al-Khatib:[3]

(وَلَوْ ‌أَكَلَ بِاجْتِهَادٍ أَوَّلًا) أَيْ أَوَّلَ النَّهَارِ (أَوْ آخِرًا) أَيْ آخِرَ النَّهَارِ (وَبَانَ الْغَلَطُ بَطَلَ صَوْمُهُ) لِتَحَقُّقِهِ خِلَافَ مَا ظَنَّهُ، إذْ لَا عِبْرَةَ بِالظَّنِّ الْبَيِّنِ خَطَؤُهُ

Maksudnya: Sekiranya dia makan dengan ijtihadnya pada awal siang (waktu Subuh) atau penghujung siang (waktu Maghrib), lalu ternyata dia tersilap, maka batal puasanya kerana terbukti bahawa sangkaannya adalah salah. Hal ini kerana tidak diambil kira sangkaan yang telah terbukti kesilapannya.

 

 

Selain itu, perkara ini turut disebutkan di dalam kitab Fiqh al-Manhaji:[4]

وكذلك إذا أفطر في آخر النهار ظاناً غروب الشمس،

 ثم تبين أنها لم تكن قد غابت بعد بطل صيامه، ووجب عليه القضاء

Maksudnya: Begitu juga sekiranya dia berbuka pada penghujung siang kerana menyangka telah terbenam matahari (masuk waktu maghrib), kemudian ternyata bahawa matahari belum terbenam lagi, maka batal puasanya. Wajib ke atasnya qada.

 

Hal ini selari dengan kaedah al-fiqhiyyah:

لَا ‌عِبْرَةَ ‌بِالظَّنِّ ‌الْبَيِّنِ ‌خَطَؤُهُ[5]

Maksudnya: Tidak diambilkira zhan atau sangkaan yang jelas kesalahannya.

 

Melalui kaedah ini, apabila seseorang mendapat tahu bahawa waktu Maghrib belum masuk dan ternyata benar, maka zhan atau ghalabat al-zhan (sangkaan yang kuat) yang berlaku sebelum itu iaitu telah masuk waktu berbuka melalui aplikasi tersebut ia adalah salah. Maka, batal puasa orang yang berbuka sebelum waktunya ini kerana asalnya masih berada pada sebahagian waktu siang. Meskipun kesalahan ini tidak menyebabkan seseorang itu berdosa, mereka hendaklah mengqada puasa yang terbatal ini selepas Ramadhan.

Oleh itu, disarankan agar masyarakat mengambil langkah ihtiyat (berhati-hati) dalam bergantung kepada sebarang alat seperti jam, takwim, aplikasi dan lain-lain. Sebaiknya, hendaklah dipastikan terlebih dahulu bahawa waktu berbuka puasa telah benar-benar masuk. Hal ini kerana tidak salah melewatkan sedikit waktu berbuka bagi memastikan waktu telah masuk secara yakin.

 

Kesimpulan

Oleh itu, seseorang yang tersalah berbuka awal daripada waktunya kerana mengikut waktu solat pada aplikasi tertentu, puasanya pada hari tersebut batal dan dia diwajibkan qada. Masyarakat disarankan agar mengambil langkat ihtiyat (berhati-hati) dan tidak terburu-buru berbuka puasa sebelum disahkan dengan yakin dengan membuat pengesahan terlebih dahulu daripada sumber-sumber yang berautoriti. Pentadbir masjid dan surau serta individu juga perlu memastikan jam yang digunakan adalah tepat mengikut Waktu Piawai Tempatan (WPT) yang disahkan oleh pihak SIRIM melalui laman sesawang https://mst.sirim.my/.



[1] Al-Bukhārī, Muḥammad bin Ismāīl. (1994). Ṣaḥīḥ al-Bukhārī. Damsyiq: Dar Ibn Kathir, Dar al-Yamamah. Hadis no. 1858. Jil. 2 , ms 692.

[2] Badr al-Dīn al-`Ainī. (t.t). Umdah al-Qārī Syarḥ Ṣaḥiḥ al-Bukhārī. Beirut: Dar Ihyā’ al-Turath al-Arabī, Dar al-Fikr. Hadis no. 9591. Jil 11, ms. 68.

[3] Shams al-Dīn Muhammad Bin Ahmad Al-Khaṭīb Al-Shirbīnī Al-Shafi.(1994). Mughnī Al-Muhtāj Ila Al-Maʿrifati Maʿānī Al-Alfāz Al-Minhāj. Cairo, Egypt: Dār Al-Kutub Al-Islamiyyah. Jil. 2, ms. 161.

[4] Mustafā Khin, Mustafā Bughā, Alī Sharbaji. (1992). Al-Fiqh al-Manhajī. Damsyiq: Syria, Dar al-Qalam. Jil. 2, ms. 87.

[5] Jalāl al-Din  Abd Rahman al-Sayūṭī. Al-Asbāh wa al-Naẓāir fi Qawā’id wa Furu’ Fiqh al-Shāfi’iyyah. Dār al-Kutub al-‘Ilmiyyah: Mesir. Ms. 157.

Accessibility Toolbar

PHP Code Snippets Powered By : XYZScripts.com