#15 Taudhih al-Hukmi : Wanita Haid & Ramadhan

Tarikh: 11 April 2023

Disediakan oleh: Nor Hanani Ahmad

 

Pendahuluan

Bulan Ramadhan merupakan bulan yang dijanjikan ganjaran yang berlipat kali ganda. Ramai yang mengambil peluang menggandakan amalan di bulan Ramadhan. Namun begitu, bagaimana bagi wanita yang mengalami haid dalam bulan Ramadhan, adakah terdapat halangan dan larangan bagi wanita untuk melakukan amal ibadah dan kebaikan sepanjang bulan Ramadhan seperti mana orang yang berpuasa?

Wanita yang mengalami haid pada bulan Ramadhan tidak perlu bersedih kerana tidak dapat melakukan amalan seperti orang berpuasa. Hal ini kerana ia adalah ketentuan yang Allah tetapkan kepada wanita. Saidatina Aisyah RA juga pernah menangis kerana kedatangan haid sewaktu ingin mengerjakan haji, namun Rasulullah SAW menenangkan hati Saidatina Aisyah RA dengan sabdanya:

‌فَإِنَّ ‌ذَلِكِ ‌شَيْءٌ ‌كَتَبَهُ ‌اللَّهُ ‌عَلَى ‌بَنَاتِ ‌آدَمَ، فَافْعَلِي مَا يَفْعَلُ الْحَاجُّ، غَيْرَ أَنْ لَا تَطُوفِي بِالْبَيْتِ حَتَّى تطهري[1]

Maksudnya: Sesungguhnya yang demikian ini ialah yang telah ditetapkan Allah bagi kaum wanita daripada anak cucu Adam. Maka lakukanlah apa yang dilakukan oleh orang yang haji kecuali tawaf di Kaabah sehingga engkau suci.                                                                        

(Riwayat al-Bukhari)

Perasaan sedih wanita haid kerana tidak dapat beribadah ini adalah merupakan tanda kecintaan seseorang kepada Allah SWT untuk melakukan ketaatan. Justeru, wanita yang mengalami haid tidak sepatutnya menganggapnya sebagai cuti daripada melakukan ketaatan.

Amalan Wanita Haid di bulan Ramadhan

Wanita haid turut tidak terlepas untuk merebut pahala di bulan Ramadhan dengan mempelbagaikan amalan kebaikan yang lain bagi menggantikan ibadat yang tidak boleh dilakukan secara khusus ketika haid.

Antara cadangan amalan yang boleh dilakukan oleh wanita haid di bulan Ramadhan ialah:

1)      Mendengar bacaan al-Quran

Wanita haid boleh mendengar bacaan al-Quran menggunakan pelbagai medium di media sosial seperti Youtube, Facebook, Tiktok atau mendengar orang lain membaca al-Quran. Sesungguhnya al-Quran memberi manfaat kepada orang yang membaca dan mendengarnya seperti firman Allah SWT dalam surah al-A’raf ayat 204:

 

وَإِذَا قُرِئَ ٱلۡقُرۡءَانُ فَٱسۡتَمِعُوا۟ لَهُۥ وَأَنصِتُوا۟ لَعَلَّكُمۡ تُرۡحَمُونَ

Maksudnya: Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat.

Orang yang mendengar bacaan al-Quran juga mendapat pahala jika disertai dengan adab-adab dan menghayati bacaan al-Quran supaya dapat diambil pengajaran daripada bacaan ayat al-Quran tersebut[2]. Begitu juga jika mendengar al-Quran menggunakan peralatan elektronik seperti telefon bimbit, komputer riba, televisyen dan radio hendaklah memastikan ia dipasang pada tempat yang dibenarkan syarak dan bukan pada tempat yang dilarang seperti tandas dan sebagainya.

2)      Perbanyakkan bersedekah

Amalan sedekah di dalam bulan Ramadhan mempunyai ganjaran yang amat besar di sisi Allah SWT. Sedekah tidak disyaratkan bagi seseorang itu suci daripada sebarang hadas. Justeru, seorang wanita haid yang bersedekah masih boleh mendapat ganjaran pahala bersedekah di dalam bulan Ramadhan. Firman Allah SWT dalam surah al-Hadid ayat 18:

 

إِنَّ ٱلۡمُصَّدِّقِینَ وَٱلۡمُصَّدِّقَـٰتِ وَأَقۡرَضُوا۟ ٱللَّهَ قَرۡضًا حَسَنا یُضَـٰعَفُ لَهُمۡ وَلَهُمۡ أَجۡركَرِیم

Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang yang bersedekah baik laki-laki maupun perempuan dan meminjamkan kepada Allah pinjaman yang baik, niscaya akan dilipat-gandakan (ganjarannya) kepada mereka dan bagi mereka pahala yang banyak.

 

Berdasarkan ayat ini orang yang bersedekah sama ada lelaki dan perempuan akan diberi ganjaran yang berlipat kali ganda  iaitu satu kebaikan digandakan kepada 10 kebaikan sehingga ke 700 kali ganda kebaikan[3]. Begitu juga jika sedekah dilakukan pada bulan Ramadhan yang menjanjikan pahala yang banyak kepada orang yang membuat kebaikan.

 

3)      Perbanyakkan Doa dan Zikir

Wanita haid digalakkan untuk memperbanyakkan membaca doa, zikir dan menyeru kepada perkara kebaikan semasa berada di dalam bulan Ramadhan. Lazimi wirid-wirid harian seperti zikir pagi petang, selawat kepada Rasulullah SAW, doa pelindung dan lain-lain. Ayat al-Quran yang terdapat dalam wirid juga boleh dibaca oleh wanita haid kerana ia dianggap sebagai bacaan zikir.

Pada 10 malam terakhir Ramadhan, mereka juga tidak terlepas dan boleh mengejar lailatul qadar berpandukan kepada doa yang diajarkan oleh Nabi SAW.[4] Antaranya adalah seperti yang dianjurkan dalam sebuah riwayat daripada Aisyah RAnha beliau berkata:

يَا رَسُولَ اللَّهِ أَرَأَيْتَ إِنْ وَافَقْتُ لَيْلَةَ الْقَدْرِ مَا أَدْعُو قَالَ تَقُولِينَ اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي[5]

Maksudnya: Wahai Rasulullah, apakah pandangan kamu sekiranya aku bertemu dengan lailatul qadar apakah yang patut aku berdoa? Maka kata Nabi S.A.W: Ucapkanlah: Ya Allah, sesungguhnya Kau maha Pengampun, dan Kau sukakan pengampunan, maka ampunkanlah aku.

(Riwayat al-Tirmizi)

 

4)      Memberi atau Menyediakan Makanan Kepada Orang Berbuka Puasa

Wanita haid juga boleh memberi makanan atau menyediakan makanan kepada mereka yang berbuka puasa. Hal ini merupakan antara perkara yang mendatangkan pahala yang besar kepada pelakunya. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Zaid bin Khalid al-Juhani RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِهِ غَيْرَ أَنَّهُ لاَ يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِ الصَّائِمِ شَيْئًا[6]

Maksudnya: Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa dia akan mendapat pahala yang sama dengan orang yang berpuasa dalam keadaan pahala orang tersebut tidak berkurangan sedikit pun.

(Riwayat al-Tirmizi)

Menurut hadis ini, orang yang memberi makan orang berpuasa pahalanya sama seperti orang berpuasa walaupun hanya seteguk air dan sebiji kurma[7].

Hadis yang diriwayatkan daripada Ummu Ammarah bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الصَّائِمُ إِذَا أَكَلَتْ عِنْدَهُ المُفَاطِرُ صَلَّتْ عَلَيْهِ الملائِكَةُ[8]

Maksudnya: Orang yang berpuasa apabila makan di sisinya orang-orang yang berbuka puasa, nescaya para malaikat berselawat ke atasnya.

(Riwayat al-Tarmizi)

Berdasarkan hadis-hadis ini, jelas bahawa orang yang menyediakan makanan atau wanita yang sedang haid apabila memberi makan kepada orang yang berpuasa turut mendapat ganjaran yang tinggi seperti orang yang berpuasa.

5)      Memperbanyakkan Menuntut Ilmu

 

Memperbanyakkan menuntut ilmu seperti ilmu berkaitan hukum haid, mandi wajib, tafsir al-Quran dan pelbagai ilmu lain melalui pembacaan buku-buku ilmiah, bimbingan guru, menghadiri majlis ilmu atau mendengar daripada media sosial. Malah, mereka boleh mendapatkan pahala fardu dalam bulan Ramadhan ini dengan menuntut ilmu fardu ain. Ia memberi manfaat yang besar kepada diri sendiri atau orang lain bahkan diberi ganjaran yang besar bagi orang yang menuntut ilmu seperti yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 

وَمَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا ‌سَهَّلَ ‌اللهُ ‌لَهُ ‌بِهِ ‌طَرِيقًا ‌إِلَى ‌الْجَنَّةِ، وَمَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللهِ يَتْلُونَ كِتَابَ اللهِ، وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ إِلَّا نَزَلَتْ عَلَيْهِمُ السَّكِينَةُ، وَغَشِيَتْهُمُ الرَّحْمَةُ، وَحَفَّتْهُمُ الْمَلَائِكَةُ، وَذَكَرَهُمُ اللهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ[9]

Maksudnya: Barangsiapa yang menempuh satu jalan untuk menuntut ilmu maka Allah SWT akan memudahkan baginya jalan untuk ke Syurga. Tidaklah satu kumpulan berkumpul di dalam sebuah rumah di antara rumah-rumah Allah, membaca kitab Allah (al-Qur’an) dan mempelajarinya sesama mereka melainkan akan turun kepada mereka sakinah (ketenangan), diliputi ke atas mereka rahmat dan dinaungi oleh malaikat serta Allah SWT akan menyebut mereka pada malaikat yang berada di sisi-Nya.

(Riwayat Muslim)

 

Imam al-Nawawi berkata orang yang menempuhi jalan menuntut ilmu memperoleh kelebihan dan kedudukan yang mulia dengan syarat hendaklah ikhlas dalam menuntut ilmu[10].

Kesimpulan

Betapa besarnya kasih sayang dan rahmat Allah kepada hamba-Nya meskipun terdapat beberapa ibadah khusus yang tidak boleh dilakukan oleh wanita haid dalam bulan Ramadhan, ia sama sekali tidak menafikan peluang mereka untuk merebut dan meraih ganjaran yang besar di dalam bulan Ramadhan al-Mubarak. Pelbagai amalan kebaikan yang boleh mereka lakukan yang juga dianggap sebagai suatu ibadah yang semestinya merupakan perbuatan yang mulia di sisi Allah SWT. Hal ini kerana ketika seseorang melaksanakan perintah Allah ia merupakan ibadah, ketika seseorang meninggalkan larangan Allah ia juga merupakan suatu ibadah. Maka, apabila seseorang tidak dapat solat atau puasa atas sebab keuzuran kerana Allah ia juga merupakan ibadah.

 



[1] Abū Abd Allah Muḥammad Bin Ismā’il al-Bukhārī al-Ja’fi (M. 256), Ṣaḥīh al-Bukhārī, Peny. Mustafa Dib al-Bughā, (Damsyik, Syria:  Dār Ibn Katsīr, 1993), No. 299. Jil. 1, ms. 177.

[2] Abū Ja’far, Muḥammad bin Jarīr al-Ṭabarī. (t.t), Tafsīr al-Ṭabarī Jāmi’ al-Bayān an Takwīl Āya al-Qurān, (Mekah: Dār al-Tarbiyah wa al-Turāth), Jil. 13, ms. 344.

[3] Ibn Kathīr, Abū al-Fida’ Ismāil bin Amr bin Kathīr al-Qurasyi al-Baṣrī. (1419H). Tafsīr al-Qurān al-Azīm, Beirut: Dār Kutub al-Ilmiah. Jil. 8, ms. 55.

[4] Abū Zakariā Muḥy al-Dīn Yahya bin Sharf al-Nawawi. (1993), al-Aẓkār, (Beirut: Dār al-Fikr lil Tabā’ah wā al-Nasyr wā al-Tawzī’). ms, 191.

[5] Muḥammad bin Īsa bin Saurah bin Musā bin al-Daḥāk al-Tirmiẓī, Sunān al-Tirmiẓī, Peny. Aḥmad Muḥammad Syākir, (Meṣir: Syarikah Maktabah wa Matba’ah Muṣṭafa al-Bābī al-Ḥalabī, 1975), No. 3513, Jil. 5, ms. 534.

[6] Sunān al-Tirmiẓī, No. 807, Jil. 3, ms. 162.

[7] Muṣṭafā al-Khīn, Muṣṭafā al-Bughā dan al-Syarbajī, al-Fiqh al-Manhajī alā Maẓhab al-Imām al-Syāfi’i, (Damsyik: Dār al-Qalām lil Tabā’ah wa al-Nasyr wa al-Tawzi’, 1992), Jil. 2, ms. 90. 

[8] Abū Īsā Muḥammad bin Īsa al-Tirmiẓī, (1996). Sunan al-Tirmiẓī, (Beirut: Dār al-Gharb al-Islāmī). No. 784, Jil. 3, ms. 144.

[9] Abū al-Ḥusayn Muslim bin al-Hujaj bin Muslim al-Qusyairī al-Naysābūrī, Ṣaḥīḥ Muslim, (Turki: Dār al-Tabaā’ah al-Amirah, 1916), No. 2699, Jil. 8, ms. 71.

[10] Muḥammad al-Amin bin Abdullah al-Uramī al-’Alawī al-Hararī al-Syāfi’ī, (2009), al-Kawakib al-Wahhāj wa al-Rawd al-Bahhāj fi Syarḥ Ṣaḥīḥ Muslim bin al-Ḥujāj, (Dār al-Tawq al-Najāh: Dār al-Minhāj), Jil. 25, ms. 63.

Accessibility Toolbar

PHP Code Snippets Powered By : XYZScripts.com