#12 Taudih al-Hukmi : Adakah Sertu Boleh Dilaksanakan Oleh Orang Bukan Islam

Tarikh: 3 April 2023

Disediakan oleh: Naimah Mohamad Nasir

Pendahuluan

Merujuk garis panduan “Sertu: Garis Panduan Sertu Menurut Perspektif Islam”[1] edisi 2013 yang dikeluarkan oleh pihak Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM):

 

Sertu menurut Kamus Dewan Edisi Keempat ialah menyucikan mana-mana bahagian badan yang terkena najis mughallazah (anjing dan babi) dengan air bercampur tanah sekali dan air mutlak enam kali,menyamak.

 

 Sertu juga bermaksud menyucikan sesuatu daripada najis mughallazah iaitu anjing, babi dan keturunannya. Najis mughallazah hendaklah disuci dengan membasuhnya menggunakan satu (1) kali dengan air bercampur tanah dan diikuti enam (6) kali dengan air bersih/mutlak.

 

 

Hal ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 

طَهُورُ إِنَاءِ أَحَدِكُمْ إِذَا وَلَغَ فِيهِ الْكَلْبُ، أَنْ يَغْسِلَهُ سَبْعَ مَرَّاتٍ أُولَاهُنَّ بِالتُّرَابِ

Maksudnya: Sucinya bekas salah seorang dari kamu apabila seekor anjing menjilat padanya (bekas tersebut) adalah dengan cara kamu membasuhnya sebanyak tujuh kali, dan basuhan pertama bercampur dengan tanah.

 

(Riwayat Muslim)

 

Hukum sertu orang bukan Islam

Secara asasnya, pensyariatan sertu merupakan satu bentuk pensyariatan yang dilakukan atas dasar ta’abudiy (kehambaan). Ta’abudiy bermaksud sesuatu hukum yang tidak diketahui ̒illahnya menggunakan akal. Seseorang hamba dituntut melaksanakan sesuatu perintah yang tidak dapat diketahui kenapa disyariatkan sebegitu rupa atau apa punca, tujuan atau ʻillah di sebaliknya. Terdapat beberapa ciri-ciri ta’abudiy di dalam amalan sertu seperti berikut[2]:

 

1-Tujuan sebenar pensyariatan sesuatu hukum samak dan sertu ini tidak dapat difahami oleh akal bahkan pensyariatannya adalah semata-mata perintah dari Allah.

 

2- Terkait dengan bilangan-bilangan atau kadar-kadar tertentu seperti 7 kali basuhan salah satu daripadanya air yang bercampur tanah.

 

3-Taʻabbudiy juga banyak berkaitan dengan penggunaan barang-barang dan alatan tertentu seperti penggunaan tanah untuk sertu/samak najis yang datang dari anjing atau babi serta keturunannya.

 

4-Taʻabbudiy banyak berkaitan dengan urusan ibadah semata-mata iaitu sesuatu tuntutan yang diwajibkan oleh Allah SWT ke atas hamba-Nya demi menunjukkan lambang ketaatan dan kepatuhan mereka kepada Allah SWT.

 

 

Oleh itu, dapat difahami bahawa amalan sertu ini ialah salah satu bentuk ibadah mahdah[3] iaitu tuntutan ibadah semata (li al-ta’abbud) yang dilakukan sebagai lambang kepercayaan dan kepatuhan kepada perintah Allah SWT. Hal ini juga dinyatakan dalam Garis Panduan Sertu Menurut Perspektif Islam, JAKIM dalam perkara (20):

 

Proses sertu perlu dipantau dan disahkan oleh Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN)/Majlis Jabatan Islam Negeri (MAIN) di sesebuah kilang, premis, hotel dan sebagainya.

 

i. Ahli Jawatankuasa Halal syarikat perlu memastikan perkara yang berkaitan  dengan pertukaran/perubahan proses pengeluaran atau penyimpanan dari produk non halal ke produk halal tidak berlaku pada masa depan.

ii. Halal Executive ( Pengurusan Kualiti Makanan ) mesti menghubungi JAIN atau JAKIM sekiranya terdapat isu-isu berkaitan halal terutamanya yang melibatkan proses sertu.

iii. Pihak syarikat perlu mengemukakan surat permohonan sertu kepada

pihak JAIN sekiranya diperlukan.

iv. Ahli Jawatankuasa Halal perlu melantik hanya pekerja Muslim sahaja yang akan melakukan sertu.

v. Pegawai JAIN perlu memantau dan mengesahkan proses sertu dilakukan dengan betul mengikut syarak.

vi. Surat rasmi pengesahan sertu perlu dikeluarkan oleh pihak JAIN kepada syarikat berkenaan

 

Tambahan pula, berdasarkan kajian amalan sertu yang telah dilakukan di Malaysia, proses ini melibatkan beberapa pihak dan prosedur tertentu. JAKIM sedang menyelaraskan dan  mempertimbangkan mekanisme bagi proses sertu ini melalui tiga kaedah seperti berikut:(1) sertu  dilakukan oleh pegawai di Bahagian Halal sendiri; (2) JAIN/MAIN melantik syarikat-syarikat luar (penyumberan luar atau kontrak) untuk melaksanakan sertu; dan (3) sertu dilakukan oleh  Jawatankuasa  Halal Dalaman atau Internal  Halal Committee(IHC) syarikat. Tiga kaedah ini masih dalam proses pemurnian di peringkat JAKIM[4]. Perlaksanaan proses penyucian  ini juga tetap memerlukan pengesahan daripada pihak jabatan agama Islam Negeri (JAIN). Di samping itu, bagi syarikat yang terlibat dalam menawarkan perkhidmatan sertu ini, mereka juga memerlukan perakuan daripada JAIN dalam usaha untuk meyakinkan klien dan juga bakal klien mereka bahawa perkhidmatan yang mereka tawarkan ini adalah sah dan boleh dipercayai.

 

Kesimpulan

Penyucian najis melalui sertu ini hanya boleh dilaksanakan oleh orang Islam sahaja kerana kaedah penyucian ini merupakan satu bentuk ibadah yang dilakukan atas dasar keyakinan kepada perintah Allah SWT. Pelaksanaan sertu hanya bagi orang Islam ini juga merupakan satu langkah ihtiyat (berhati-hati) supaya perkara ini tidak diambil mudah dan bagi memastikan tidak berlaku sebarang ketidakpatuhan dan kecuaian dalam melaksanakan prosedur ini. Hal ini kerana, juru sertu yang beragama Islam tentunya lebih menjaga dan menghayati kepentingan proses sertu ini sebagaimana yang dituntut dalam agama. 

 



[1] Bahagian Hab Halal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Sertu: Garis Panduan Sertu Menurut Perspektif Islam, (Selangor: Concept Press Sdn Bhd, 2013), 5.

[2] Shaarani, Ahmad Zakirullah Mohamed, and Fidlizan Muhamad. “Konsep Taʻabbudiy Dan Maʻqulat Al-Maʻna Dan Kesannya Dalam Pengeluaran Hukum Syarak Semasa: Analisis Aplikasi Dalam Operasi Zakat Dan Produk Bersuci.” Journal of Fatwa Management and Research (JFatwa) (2021): 118-120.

[3] Jamaa, La. “Konsep Ta’abbudi Dan Ta’aqquli Dan Implikasinya Terhadap Perkembangan Hukum Islam.” Asy-Syir’ah: Jurnal Ilmu Syari’ah dan Hukum, 47, no. 1 (2013): 13-14.

[4] Abd Aziz, Sumaiyah, Mohd Mahyeddin Mohd Salleh, Mustafa‘Afifi Ab Halim, and Hasdhatul Nor Aliah Md Said. “Amalan Terbaik Pelaksanaan Sertu dalam Industri Halal di Malaysia: Best Practices of Islamic Cleansing (Sertu) Implementation in the Malaysian Halal Industry.” Journal of Fatwa Management and Research (2021): 141.

 
 
 

Accessibility Toolbar

PHP Code Snippets Powered By : XYZScripts.com