#8 Taudhih al-Hukmi : Hukum Memelihara dan Memegang Anjing

Tarikh: 28 Februari 2023

Disediakan oleh: Nor Hanani Ahmad

 

 

Pendahuluan

Anjing merupakan makhluk Allah SWT yang diberi kelebihan berupaya menghidu bagi mengesan sesuatu dengan sangat baik, mempunyai sifat kesetiaan kepada tuannya, mudah dilatih dan bijak mengikut arahan yang diberikan. Walaupun begitu, dalam Islam ia dikategorikan sebagai najis mughallazah iaitu najis berat yang apabila disentuh wajib disertu. Jadi, sejauh manakah keadaan dan keperluan yang membolehkan memelihara dan memegang anjing di dalam Islam?

Hukum Memelihara Anjing

Hukum memelihara anjing adalah diharuskan untuk keperluan dan keadaan tertentu sahaja seperti yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 

مَنْ أَمْسَكَ كَلْبًا، فَإِنَّهُ يَنْقُصُ كُلَّ يَوْمٍ مِنْ عَمَلِهِ قِيرَاطٌ، إِلَّا ‌كَلْبَ حَرْثٍ أَوْ ‌مَاشِيَةٍ[1]

 

Maksudnya: Sesiapa yang memelihara anjing, maka akan berkurang pahalanya sebanyak satu qirat setiap hari kecuali anjing yang digunakan untuk tujuan keselamatan atau penternakan. 

(Riwayat al-Bukhari)

 

Berdasarkan hadis di atas, memelihara anjing tanpa sebab yang dibenarkan oleh syarak adalah tidak dibenarkan. Hal ini kerana perkara tersebut akan mengurangkan pahala setiap hari seseorang yang memelihara anjing tanpa tujuan yang dibenarkan kecuali anjing digunakan untuk keselamatan atau penternakan[2] sebagai kemaslahatan kepada manusia dengan mematuhi peraturan dan batasan hukum syarak. 

Para Fuqaha juga telah bersepakat mengharuskan penggunaan anjing untuk tujuan keselamatan dan menjaga haiwan ternakan, seperti kenyataan berikut:

اتَّفَقَ الْفُقَهَاءُ عَلَى أَنَّهُ لَا يَجُوزُ اقْتِنَاءُ الْكَلْبِ إِلَّا لِحَاجَةٍ: كَالصَّيْدِ وَالْحِرَاسَةِ، وَغَيْرِهِمَا مِنْ وُجُوهِ الاِنْتِفَاعِ الَّتِي لَمْ يَنْهَ الشَّارِعُ عَنْهَا[3]

 

Maksudnya: Fuqaha telah bersepakat bahawa tidak harus memelihara anjing kecuali untuk keperluan tertentu seperti perburuan, keselamatan dan manfaat lain yang tidak melanggar syariat.

 

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang memutuskan bahawa hukum memelihara anjing di rumah oleh orang Islam sebagai haiwan peliharaan (pet) adalah haram melainkan hanya dengan tujuan yang muktabar yang termasuk sebagai keperluan dan kemaslahatan seperti perburuan, anjing pemandu jalan, keselamatan dan membantu penternakan[4]. Di samping itu juga, anjing harus digunakan untuk membantu urusan penyiasatan seperti anjing pengesan polis dan sebagainya[5]. Berikut dijelaskan keperluan dan kemaslahatan yang diharuskan untuk memelihara anjing dengan syarat tertentu:

 

(1) Anjing digunakan sebagai pemburu

Anjing yang digunakan untuk tujuan memburu[6] mestilah bersifat anjing yang tahan lasak dan tangkas sesuai untuk memburu binatang buruan dan bukanlah anjing yang jinak, kecil yang dijadikan binatang peliharaan di rumah. Adapun begitu, Islam hanya membenarkan perburuan sekadar untuk mendapatkan makanan, bukan memburu untuk suka-suka atau sebagai hobi. Hal ini berdasarkan surah al-Maidah ayat 4 berikut:

 

 

يَسْئَلُونَكَ مَاذَا أُحِلَّ لَهُمْ قُلْ أُحِلَّ لَكُمُ الطَّيِّباتُ ‌وَما ‌عَلَّمْتُمْ ‌مِنَ ‌الْجَوارِحِ ‌مُكَلِّبِينَ ‌تُعَلِّمُونَهُنَّ ‌مِمَّا ‌عَلَّمَكُمُ ‌اللَّهُ فَكُلُوا مِمَّا أَمْسَكْنَ عَلَيْكُمْ وَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ عَلَيْهِ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ سَرِيعُ الْحِسابِ (4)

 

Maksudnya: Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): Apakah (makanan) yang dihalalkan bagi mereka? Baginda menjawab katakanlah: dihalalkan bagi kamu (memakan) yang lazat-lazat serta baik, dan (buruan yang ditangkap oleh) binatang-binatang pemburu yang telah kamu ajar (untuk berburu) mengikut cara pelatih-pelatih binatang pemburu. Kamu mengajar serta melatihnya (adab peraturan berburu) sebagaimana yang telah diajarkan Allah kepada kamu. Oleh itu makanlah dari apa yang mereka tangkap untuk kamu dan sebutlah nama Allah atasnya (ketika kamu melepaskannya berburu); dan bertaqwalah kepada Allah (dengan memelihara diri dari memakan yang diharamkan Allah); Sesungguhnya Allah Maha Cepat hitungan hisabNya.

 

Tafsir Ibn Kathir menjelaskan berdasarkan ayat di atas bahawa dihalalkan memakan hasil anjing buruan yang telah dilatih dengan baik serta mematuhi setiap arahan yang diberikan sebagaimana yang telah ditetapkan oleh syarak[7]. Ini jelas menunjukkan penggunaan anjing sebagai perburuan adalah dibenarkan dengan memenuhi sifat anjing yang sesuai untuk berburu.

 

 

 (2) Anjing digunakan untuk membantu menjaga tanaman atau haiwan ternakan

Anjing yang digunakan untuk menjaga tanaman atau haiwan ternakan adalah anjing yang mempunyai sifat yang handal untuk menghalau pemangsa lain melalui suara salakan dengan sifat fizikal yang besar dengan karakter yang garang. Anjing yang digunakan untuk tujuan ini sudah dilatih dengan baik bagi mendengar arahan, setia dan tidak pernah ingkar arahan pengembala atau tuannya untuk menjaga tanaman di dusun atau haiwan ternakan di ladang ternakan dari diserang oleh haiwan perosak dan pemangsa lain[8]

 

(3) Anjing digunakan untuk kepolisan dan penyiasatan

Anjing yang digunakan oleh penguatkuasa keselamatan negara seperti polis, bomba, dan kastam untuk kepolisan dan penyiasatan. Anjing yang digunakan ini telah dilatih dengan baik sehingga sesuai digunakan untuk misi penyelamatan. Ini membantu pihak penguasa mengesan jenayah penyeludupan dadah atau terlibat dengan operasi mencari dan mengesan mangsa bencana alam seperti tanah runtuh dan sebagainya.

 

(4) Anjing digunakan untuk keselamatan

Anjing digunakan untuk menjaga keselamatan di kawasan perumahan, kilang dan sebagainya. Perkara ini bersesuaian dengan surah al-Kahf ayat 18 bahawa anjing sebagai pengawas atau penjaga:

‌وَكَلْبُهُمْ ‌بَاسِطٌ ‌ذِرَاعَيْهِ ‌بِالْوَصِيدِ[9]

Maksudnya: Sedang anjing mereka menghulurkan dua kaki depannya dekat pintu gua.

Menurut ayat ini, dikatakan anjing tersebut adalah pemilik Ashab al-Kahfi sebagai penjaga pintu gua atau mengawasi lokasi persembunyian mereka. Hal ini menunjukkan sifat anjing yang setia patuh arahan dan membantu menjaga keselamatan pemiliknya.


Hukum Memegang Anjing

Di Malaysia, hukum memegang anjing diperincikan berdasarkan mazhab Syafi’i yang menyatakan bahawa setiap juzuk daripada anggota badan anjing adalah najis seperti yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi:

 

واعلم أنه لا فرق عندنا بين ولوغ الكلب وغيره من أجزائه فإذا أصاب بوله أو روثه أو دمه أو عرقه أو شعره أو لعابه أو عضو من أعضائه شيئا طاهرا في حال رطوبة أحدهما وجب غسله سبع مرات إحداهن بالتراب[10]

Maksudnya: Ketahuilah, tidak ada perbezaan di kalangan kami antara jilatan anjing dan anggota-anggota badan anjing yang lain. Apabila sesuatu benda yang bersih terkena kencingnya, najisnya, darahnya, peluhnya, bulunya, air liurnya atau mana-mana anggota dari anggota badannya sedangkan salah satunya basah, maka wajib membasuhnya dengan tujuh kali basuhan dan salah satu daripadanya adalah tanah.

Bahkan, menyentuh anjing dengan sengaja adalah haram kerana anjing termasuk najis mughallazah iaitu haram di sisi Islam. Ini jelas menunjukkan haram bagi umat Islam memegang anjing dengan sengaja tanpa keperluan tertentu. Bahkan pemeliharaan anjing yang dibenarkan atas sebab tertentu tersebut perlu mematuhi peraturan jika berlaku perkara seperti yang dinyatakan oleh pandangan Wahbah bin Mustafa al-Zuhaili bahawa:

 

إذا شرب الكلب في إناء أحدكم فليغسله سبعاً[11]

 

Maksudnya: Apabila seekor anjing minum di dalam bekas salah seorang kami, maka hendaklah membasuhnya sebanyak tujuh kali basuhan.

 

 

Kesimpulan

Anjing yang diciptakan Allah SWT mempunyai beberapa kelebihan yang boleh memberi manfaat kepada manusa. Namun begitu, memelihara dan memegang anjing hanya dibolehkan oleh syarak atas keperluan dan maslahah tertentu sahaja. Penggunaanya hanya terhad kepada tujuan pemburuan, menjaga tanaman atau ternakan serta sebagai keselamatan oleh pihak penguatkuasa dan bukan bertujuan untuk belaian sebagai binatang peliharaan (pet). Kaedah memelihara dan memegangnya telah diperincikan oleh Fuqaha terutamanya dari aspek kebersihan dan pengawalan anjing tersebut. Justeru memelihara dan memegang anjing tanpa keperluan yang dibenarkan dari syarak adalah tidak dibenarkan. Hal ini tidak bermakna Islam tidak mengiktiraf keistimewaan anjing, tetapi umat Islam perlulah berhati-hati dalam isu memelihara dan memegang anjing supaya keharusan yang diberikan tidak disalah gunakan sewenangnya tanpa tujuan yang dibenarkan oleh syarak.

 



[1] ِAl-Bukhārī, Abū Abdullah Muḥammad Bin Ismā’il al-Bukhārī al-Ja’fi (1993). Ṣaḥīh al-Bukhārī. (Damsyik, Syria: Dār Ibn Kathīr), Hadis no. 2197, Jil. 2. ms 817; Abū al-Ḥusayn Muslim bin Al-Hajjāj bin Muslim Al-Qusyayrī Al-Nisāburī. (1955). Ṣaḥīḥ Muslim, (Kaherah: Matba’ah Īsa al-Bābī al-Ḥalbī wā Syarkahu), Hadis no. 1574, Jil. 3. ms. 1201.

[2] Ibn Baṭāl, Abū al-Ḥasan Alī bin Khalaf bin Abd Malik (2003). Syarḥ Ṣaḥīḥ al-Bukhārī li Ibn Baṭāl. (Riyādh: Maktabah al-Rushd), Jil. 6, ms. 458.

[3] Jamā’ah min Al-‘Ulama. (2006). Al-Mawsū’ah Al-Fiqhiyyah Al-Kuwaytiyyah, (Mesir: Maṭābi’ Dār Al-Ṣafwah), Jil. 35, ms. 124.

[4] Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), “Pemeliharaan Anjing Sebagai Peliharaan oleh Orang Islam”, dirujuk pada tarikh 24 Januari 2023 daripada  http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/fatwa/fatwa/find/pr/15814

[5] Jabatan Mufti Negeri Perlis, “Fatwa Berkaitan Muslim yang Berurusan dengan Anjing”, dirujuk pada 24 Januari 2023, https://muftiperlis.gov.my/index.php/himpunan-fatwa-negeri/582-fatwa-berkaitan-muslim-yang-berurusan-dengan-anjing

[6] Yūsuf al-Qaraḍāwī, al-Ḥalāl wā al-Ḥarām fī al-Islām, (Kaherah: Maktabah Wahbah, 2012), ms. 80.

[7] Ibn Kathīr, Abū al-Fida’ Ismāil bin Amr bin Kathīr al-Qurasyi al-Baṣrī. (1419H). Tafsīr al-Qurān al-Azīm, (Beirut: Dār Kutub al-Ilmiah), Jil. 3, ms. 28.

[8] Al-Khaṭīb al-Syarbaynī, Shams al-Dīn, Muḥammad bin Muḥammad. (1994). Mughnī al-Muḥtāj ilā Ma’rifah Ma’āni Alfāz al-Minhāj. (Dār al-Kutub ‘Ilmiah), Jil. 2. ms. 342.

[9] al-Ṭabari, Abū Ja’far Muḥammad bin Jarīr al-Ṭabarī. (2001). Tafsīr al-Ṭabarī Jāmi’ al-Bayān ‘an Takwīl Āya al-Qurān, (Dār al-Hijr lil Ṭaba’ah wa al-Nasyr wa al-Tawzi’ wa al-I’lān), Jil. 15, ms 194.

[10]  Al-Nawawī, Abū Zakariyyā Muḥyī al-Dīn bin Sharaf, (1392).  Al-Manhaj Syarḥ Ṣaḥīḥ Muslim bin Al-Hujāj. (Beirut: Dār Iḥya Al-Turāth Al-‘Arabiy). Jil. 3, ms. 185.

[11] Wahbah bin Muṣṭafā Al-Zuḥailī. (2012). Al-Fiqh Al-Islāmi wā Adillatuh. (Damsyik: Dār Al-Fikr), Jil. 1, ms. 284.

Accessibility Toolbar

PHP Code Snippets Powered By : XYZScripts.com