#11 Taudhih al-Hukmi : Ilmu Ladunni Menurut Perspektif Ahli Sunnah Wal Jamaah

Tarikh: 24 Mac 2023

Disediakan oleh: Unit Penyelidikan

Pendahuluan

Antara cabaran semasa yang melanda umat Islam ialah dakwaan segelintir pihak memperoleh ilmu tertentu tanpa perlu berusaha mempelajarinya yang sering dikaitkan dengan istilah ilmu ladunni. Bahkan sebahagian pihak turut berani menyatakan secara terbuka dan sewenang-wenangnya bahawa kelebihan itu suatu karamah buat mereka sehingga menimbulkan kekeliruan dan kehairanan kepada masyarakat tentang kewujudan serta dakwaan ilmu ladunni tersebut. Sehubungan itu, ilmu ladunni wajar dijelaskan berdasarkan perspektif Ahli Sunnah Wal Jamaah.


Asas Ilmu Ladunni

Dari segi bahasa, ilmu ladunni terdiri daripada dua kata dalam bahasa Arab, iaitu “ilmu” dan “ladunni” berasal dari zaraf makan (kata yang menunjukkan tempat) “ladun” atau “ladayy”  yang merujuk kepada makna ilmu di sisi Allah SWT. Manakala, dari segi istilah para ulama memberikan makna yang pelbagai. Antaranya:

 

  1. Menurut Imam al-Ghazali (505H) dalam kitabnya Ihya’ Ulumuddin, “ilmu ladunni ialah ilmu yang tersingkap dalam hati tanpa terkait dengan sebab luaran.”[1]
  2. Menurut Imam al-Baydawi (685H), ilmu ladunni ialah ilmu yang berkait dengan Allah dan tidak diketahui kecuali dengan taufiq daripada-Nya serta ia terdiri daripada ilmu-ilmu ghaib.[2]

Berdasarkan takrifan di atas, perbahasan tentang ilmu ladunni berada di bawah kategori ilmu yang diperoleh langsung daripada Allah SWT. Ilmu ini apabila terjadi pada diri seorang nabi, ia dinamakan sebagai wahyu. Apabila ia dialami oleh orang yang bersih hatinya, ia dikenali sebagai ilham. Hal ini bermakna bukan sembarangan orang yang memperoleh ilmu ladunni ini bahkan mungkin hanya golongan tertentu sahaja. Sebahagian ulama menyatakan bahawa ilmu ini diperoleh melalui suatu proses pembinaan kekuatan dan kesucian jiwa. Manakala tentang apa yang diperoleh melalui ilmu ladunni ini, sebahagian ulama mengkhususkannya kepada ilmu ghaib dan rahsia yang datang dengan kurniaan Allah SWT.

Namun begitu, menurut Imam al-Taftazani (793H), ilmu ladunni mahupun ilham tidak menjadi sumber ilmu bagi setiap orang, justeru ia juga tidak boleh dijadikan kayu ukur untuk mengesahkan atau menyalahkan mana-mana pihak lain.[3] Natijahnya, ilmu ladunni yang terhasil bagi seorang individu tidak layak dijadikan sandaran bagi menghukum pihak lain ataupun dijadikan pandangan rasmi mana-mana kumpulan. Atas dasar ini jugalah ada sebahagian ulama mengkhususkan perbahasan ini hanya kepada peristiwa antara Nabi Musa AS dan Nabi Khidir AS kerana tiada sebarang perincian lain yang boleh dijadikan sandaran atau rujukan bagi menghuraikannya.[4]

 


Ilmu Ladunni Menurut al-Quran dan al-Sunnah


1- Penamaan ilmu ladunni secara khusus berdasarkan ayat 65 Surah al-Kahf pada perkataan min ladunna ilma:

فَوَجَدَا عَبْدًا مِّنْ عِبَادِنَا آتَيْنَاهُ رَحْمَةً مِّنْ عِندِنَا وَعَلَّمْنَاهُ مِن لَّدُنَّا عِلْمًا

Maksudnya: Lalu mereka dapati seorang dari hamba-hamba Kami yang telah kami kurniakan kepadanya rahmat dari Kami, dan Kami telah mengajarnya sejenis ilmu dari sisi Kami.

 

Para ulama seperti Imam al-Razi (505H) menyatakan bahawa ilmu ladunni diperoleh melalui jalan mukasyafah (singkapan hati).[5] Dalam hal ini, Nabi Khidir AS tidak terikat dengan syariat Nabi Musa AS kerana Nabi Musa AS diutuskan kepada Bani Israil dan tidak diutuskan kepada Nabi Khidir AS.

 

2- Ilmu ladunni merupakan sebahagian daripada ilham yang berbentuk lintasan hati yang baik berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Sa’id al-Khudri RA:[6]

اِتَّقُوا فِرَاسَةَ المُؤْمِنِ فَإِنَّهُ يَنْظُرُ بِنُورِ اللَّهِ ‏

Maksudnya: Waspadalah dengan firasat orang mukmin kerana sesungguhnya orang mukmin itu melihat dengan cahaya Allah.

 

Berdasarkan zahir hadis ini, dapat difahami bahawa firasat adalah sama ada suatu bentuk singkapan yang berlaku pada hati para wali Allah, justeru mereka mengetahui hal-ehwal sebilangan orang sebagai suatu bentuk karamah atau sangkaan yang benar dan jangkaan. Selain itu, firasat juga merupakan suatu pengetahuan yang terhasil berdasarkan petanda, percubaan, tabiat dan tindak-tanduk yang membolehkan seseorang mengetahui tentang hal-ehwal sebahagian orang.[7]

Berikutan itu, pandangan orang mukmin itu secara umumnya merupakan pandangan yang baik kerana dia mendapat cahaya petunjuk daripada Allah SWT, bukan kerana tahayul, khurafat dan sebagainya. Walau bagaimanapun, ilham itu mungkin sesuatu yang baik atau sebaliknya, justeru ia perlu dikembalikan kepada landasan Syariah.

 

Cara Berinteraksi dengan Dakwaan Ilmu Ladunni

Secara asasnya, ilmu ladunni tidak dimiliki oleh semua orang bahkan ia hanya dikurniakan kepada mereka yang dimuliakan Allah SWT. Tiada sesiapa dapat mengesahkan atau membenarkan mana-mana individu memiliki ilmu ini melainkan Allah SWT seperti pengiktirafan yang diberikan kepada Nabi Khidir AS. Maka perbahasan ini menjadi perkara yang perlu diambil perhatian kerana terdapat segelintir pihak menyalahgunakan ilmu ladunni dengan dakwaan mereka tidak perlu terikat atau bergantung kepada syariat sama seperti Nabi Khidir AS yang tidak bergantung kepada syariat Nabi Musa AS. Malah sesetengah pihak mendakwa mereka memperoleh ilmu ladunni melalui ilham dan mimpi tanpa proses pembelajaran dan mujahadah yang panjang. Sehubungan itu, dakwaan ini boleh dinilai berdasarkan dua perkara berikut:

 

1-Sifat orang yang mendakwa

Peribadi dan latar belakang pendidikan seseorang perlu diteliti terlebih dahulu sebelum menerima sebarang dakwaannya tentang ilmu ladunni. Hal ini demikian kerana seseorang yang dianggap sebagai ilmuwan mestilah mempunyai pengiktirafan daripada mana-mana individu atau institusi. Bahkan pengiktirafan yang bersifat ilmiah pula semestinya terbit daripada pihak lain yang memiliki kepakaran dalam bidang yang sama. Pengiktirafan inilah yang mencetuskan kepercayaan dan kewibawaan bagi dakwaan yang dibuat oleh seseorang.

 

Selain itu, orang tersebut mestilah terkenal dengan sifat jujur, amanah dan bijak serta sifat mahmudah lain sehinggakan kata-katanya boleh dipercayai dan tindak-tanduknya boleh dijadikan tauladan. Firman Allah SWT perihal orang yang berilmu dalam surah Fatir ayat 28:

إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ

Maksudnya: Di antara hamba-hamba Allah yang yang benar-benar takut kepada Allah adalah orang-orang berilmu (para ulama)

 

Berdasarkan ayat-ayat tadi, sifat utama bagi orang yang berilmu ialah rasa takut kepada Allah SWT. Orang yang berilmu juga sudah tentu akan menjaga maruah diri dan amanah ilmu yang digalas di atas pundaknya, justeru dia tidak akan sanggup membuat sebarang dakwaan pelik yang boleh menjatuhkan maruah diri, masyarakat dan agama.

 

2- Kandungan ilmu yang disampaikan

Dakwaan yang dikatakan ilmu ladunni mestilah dibandingkan dengan perkara yang sabit di sisi syarak dan tidak menyalahi epistemologi Ahli Sunnah yang telah dinyatakan sebelum ini. Dalam erti kata lain, syarak perlu dijadikan penentu bagi dakwaan tersebut, yakni ia perlu terlebih dahulu dinilai berdasarkan neraca al-Quran, hadis dan ijmak ulama. Sekiranya dakwaan tersebut didapati menyalahi salah satu sumber ini dan melibatkan perbahasan agama dan perkara ghaib yang tidak dapat disahkan oleh mana-mana pihak, maka ia perlu ditolak tanpa khilaf.

Oleh itu, benarlah kata-kata Imam Muhammad bin Sirin (110H) yang berpesan agar agama ini diambil daripada pihak yang diiktiraf dan berwibawa demi memastikan ilmu agama ini terus terpelihara:

إِنَّ هَذَا العِلْمَ دِينٌ فَانْظُرُوا عَمَّنْ تَأْخُذُونَ دِينَكُمْ

Maksudnya: Sesungguhnya ilmu ini adalah agama, maka lihatlah daripada siapa kamu mengambil agama kamu.[8]

 

Namun begitu, perbincangan ini tidaklah menafikan bahawa Allah SWT berkuasa untuk memberikan mimpi dan ilham yang benar kepada seseorang dalam hal-hal kehidupan yang bukan bersifat syariat baru. Semua mimpi dan ilham mestilah dipastikan tidak bercanggah dengan syarak demi memastikan ia bukan mainan syaitan. Di samping itu, mimpi ialah dalil qasir yang hanya untuk petunjuk  diri sendiri dan tidak boleh dijadikan hujah hukum.

 

Kesimpulan

Berdasarkan kenyataan di atas, ilmu ladunni merupakan sebahagian daripada ilham yang hanya dikurniakan kepada mereka yang dimuliakan oleh Allah SWT. Tiada sesiapa pun dapat mengesahkan atau membenarkan mana-mana individu bahawa dia benar-benar memiliki ilmu ini melainkan Allah SWT. Kesalahan memahami konsep ini boleh membawa kepada penyelewengan dan salah faham dalam masyarakat. Dalam berinteraksi dengan pelbagai maklumat dan penyampai maklumat, masyarakat perlu berhati-hati menerima suatu maklumat terutama sekali apabila ia melibatkan isu akidah dan kepercayaan. Jika sesuatu amalan yang diterima itu sesuatu yang baharu, pastikan ia menepati syarak dengan bertanya kepada golongan ilmuwan agar ia dapat diamalkan. Namun jika ia didapati tidak bertepatan dengan syarak, maka ia wajib ditinggalkan.



[1] Abu Ḥamīd al-Ghazalī. (t.t.). Iḥyā’ ‘Ulūm al-Dīn. Dār Al-Ma’rifah: Beirut. Jil. 3, ms. 24

[2] Naṣīr al-Dīn al-Baydawī. (1997). Tafsīr al-Baydawī, Dār Iḥyā’ Turāth al-Arabī: Beirut.  Jil. 3, ms. 387.

[3] Sa’d al-Dīn al-Taftazani. (2014). Sharḥ al-Aqā’id al-Nasafiyyah. Dār Iḥya’al-Turāth al-Arabī: Beirut. ms. 39.

[4]Ṣalāḥ Abd al-Fattaḥ al-Khālidī. (2015). Ma’a Qaṣāṣ as-Sabiqīn fī al-Qurān, Dār al-Qalam: Damsyik. Edisi keenam, ms. 412.

[5]Fakhr al-Dīn al-Razī. (1990). Mafātiḥ al-Ghayb,(Dār Iḥya’ Turath al-Arabī: Beirut , Lubnan. Edisi ketiga, Jil. 21, ms. 482.

[6] Abū Isā Al-Tirmiẓi. (1975). Sunān Al-Tirmiẓi. Maktabah Muṣṭafā Al-Bābi Al-Halabi, Mesir. Edisi kedua, no. hadis: 3127. Jil. 5, ms.  298.

[7] Ibn al-Athīr. (1979). al-Nihāyah fī Gharīb al-Hadīth. al-Maktabah al-Ilmiyyah, Beirut.  Jilid 3, ms. 428.

[8] Muslim bin al-Hajjaj.(t.t.). Muqaddimah Ṣaḥīḥ Muslim. Dār Iḥyā’ Turāth: Beirut.  Jil.1, ms. 14. 

Accessibility Toolbar

PHP Code Snippets Powered By : XYZScripts.com