#10 Taudhih al-Hukmi : Hukum Jual Beli Barangan Tiruan

Tarikh: 16 Mac 2023

Disediakan oleh: Nor Hanani Ahmad

 

Pendahuluan

 

Perniagaan barangan tiruan semakin berkembang luas di Malaysia dan luar negara. Ia melibatkan pelbagai jenis barangan dan keperluan masyarakat yang dijual di pasaran terbuka dan secara atas talian. Hakikatnya, fenomena penjualan barangan tiruan merupakan satu kesalahan di sisi undang-undang negara di bawah undang-undang harta intelek. Namun, barang tiruan ini tetap menjadi pilihan pengguna kerana harganya yang rendah dan mudah dimiliki. Persoalannya, adakah penjualan dan pembelian barangan tiruan ini dibenarkan oleh syarak?

 

Hukum Pembuatan Barang Tiruan dan Penjualannya 

 

Barang tiruan ialah produk-produk yang dibuat sama seperti produk asli atau menyerupai produk asal yang mempunyai jenama yang sudah didaftarkan, dipatenkan serta dimiliki hak cipta oleh seseorang atau atas nama perusahaan lain tanpa mendapat keizinan pemilik asal produk tersebut untuk tujuan mengaut keuntungan[1]. Barang tiruan sangat sinonim dengan harga yang jauh lebih murah dan rendah kualitinya tetapi dari segi jenama dan bentuknya yang  sama seperti versi asli.

 

Tambahan pula, perbezaan ciri-ciri barang tiruan dan barang asli kadangkala sukar dinilai dan dikenal pasti dengan mata kasar. Antara jenis-jenis barang tiruan  yang  banyak  terdapat  di  pasaran  termasuklah  pakaian,  makanan,  ubat-ubatan,  alat  ganti  kereta,  jam  tangan,  alat  tulis,  bahan  petroleum,  barangan  kulit,  rokok,  arak,  kasut,  cermin  mata,  barangan  elektrik,  alat  komunikasi, perkakasan komputer, cakera optik dan pita video.

 

Situasi pembuatan barang tiruan ini membuka peluang kepada mereka yang tidak bertanggungjawab menawarkan produk tiruan sesuai dengan peningkatan permintaan pasaran semasa. Kesannya, perkara ini menzalimi pemilik asal yang sudah berusaha mengeluarkan sesuatu produk yang terhasil daripada idea, maklumat, rekaan dan modal yang dimiliki untuk dikomersialkan dan dimanfaatkan oleh pengguna[2].

 

Maka dalam hal ini, ulama-ulama kontemporari Islam dalam keputusan Persidangan Fiqh Islam Sedunia ke-6 di Kuwait pada 1-6 Jamadil Awwal 1409 Hijrah telah memutuskan bahawa hak cipta dan hak kreativiti merupakan harta intelek yang tidak boleh dicerobohi dan diciplak oleh mana-mana individu [3]. Oleh itu, haram dan berdosa bagi seseorang yang membuat dan menjual barang tiruan. Hanya pemilik asal berhak menjual, memberi dan mewarisi hak cipta barangan tersebut. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Nisa’ ayat 29:

 

یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ لَا تَأۡكُلُوۤا۟ أَمۡوَٰلَكُم بَیۡنَكُم بِٱلۡبَـٰطِلِ إِلَّاۤ أَن تَكُونَ تِجَـٰرَةً عَن تَرَاضمِّنكُمۡۚ وَلَا تَقۡتُلُوۤا۟ أَنفُسَكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ بِكُمۡ رَحِیما

 

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu.

 

 

Berdasarkan ayat ini, mufassir seperti Imam al-Syawkani (1250H/1835M) dan Ibnu Kathir (774H) menafsirkan ayat ini menyatakan bahawa Allah SWT melarang hamba-Nya yang beriman daripada memakan harta sesama mereka dengan cara yang batil[4] iaitu dengan pelbagai perbuatan yang tidak patuh syariah seperti riba, judi dan segala jenis helah[5]. Perkara ini termasuklah mencuri serta meniru perbuatan barangan orang lain tanpa izin.

 

Di samping itu, larangan terhadap pembuatan barangan tiruan dengan bertujuan untuk mengaburi dan menipu orang ramai bagi mendapatkan keuntungan adalah dilarang. Ia juga disokong oleh hadis Nabi SAW yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah:

 

[6]… ‌وَمَنْ ‌غَشَّنَا ‌فَلَيْسَ ‌مِنَّا

Maksudnya: Sesiapa yang menipu maka dia bukan daripada kalangan kami.

 

(Riwayat Muslim)

 

Berdasarkan hadis ini, istilah gash dijelaskan sebagai perbuatan menipu yang mencampurkan antara perkara baik dengan buruk dan mencampurkan antara halal dengan haram[7] seperti pembuatan barang tiruan. Manakala istilah laisa minna pula, menurut Imam al-Nawawi dalam Syarh Sahih Muslim, merujuk kepada mereka yang tidak mematuhi ajaran Rasulullah SAW[8].

 

Maka difahami bahawa pembuatan dan penjualan barangan tiruan tanpa keizinan pemilik asal ini juga adalah merupakan salah satu perbuatan batil. Dalil-dalil ini menunjukkan suatu larangan tegas terhadap umat Islam daripada melakukan sebarang bentuk perbuatan helah bagi mendapat keuntungan yang lebih dengan mencipta produk lain dengan cara mencuri hak cipta orang lain dan menjual sesuatu yang bukan hak miliknya[9].

 

Bahkan dari sudut undang-undang, pembuatan dan penjualan barangan tiruan ini merupakan satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan di bawah undang-undang harta intelek seperti Akta Cap Dagangan 2019, Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Hak Cipta 1987 yang ditetapkan oleh pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

 

 

 

Hukum Pembelian Barang Tiruan

 

Secara asasnya, hukum membeli barangan tiruan adalah haram sama seperti hukum menjualnya kerana ia merupakan perbuatan yang salah iaitu mengambil sesuatu daripada orang lain dengan jalan yang tidak dibenarkan syarak[10]. Maka berdosa bagi mereka yang terlibat dengan jual beli barang tiruan ini melainkan sekiranya mereka tidak mengetahui. Namun, dari segi akad, jual beli barang tiruan adalah sah sekiranya ia mencukupi rukun dan syarat jual beli.


Pembeli juga dianggap sebagai bersubahat dengan mereka yang mencuri hak cipta orang lain. Firman Allah SWT dalam Surah al-Maidah ayat 2:

 

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۖ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

 

Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).

 

 

Maka, dalam konteks barangan tiruan, apabila diharamkan pembuatan dan penjualan barang tiruan, maka diharamkan juga pembelian barang tiruan tersebut. Justeru, adalah disarankan kepada pembeli agar berjaga-jaga semasa membeli barangan supaya tidak terlibat dengan perkara yang diharamkan serta salah di sisi undang-undang negara.

 

 

Kesimpulan

 

Pembuatan dan penjualan barangan tiruan sebagai helah untuk mendapat keuntungan dan kepentingan peribadi dengan mencuri hak cipta orang lain tanpa izin pemilik asal adalah dilarang dalam Islam. Mereka yang terlibat dengan aktiviti ini  sama ada sebagai pembuat, penjual atau pembeli yang dilakukan dengan sengaja adalah berdosa kerana sudah sedia maklum bahawa produk tersebut adalah tiruan yang bukan sahaja menyalahi tuntutan syarak serta menyalahi undang-undang hak cipta yang ditetapkan oleh negara.  



[1] Dahlan, Nur Khalidah, and Nurdiana Rosmin. (2002). “Penguatkuasaan Undang-undang dalam Isu Penjualan Barang Tiruan: Perbandingan antara Malaysia dengan United Kingdom.” Kanun: Jurnal Undang-undang Malaysia 34, no. 1, 75-96.

[2] Hamzah, Azizah, and Siti Ezaleila Mustafa. (2009). “Hak Cipta Harta Intelektual: Kesedaran dan Perlindungannya di Malaysia.”, Jurnal Pengajian Media Malaysia, vol.10, no. 1.

[3] Majma’ Fiqh al-Islāmīy, https://iifa-aifi.org/ar/; Wahbah bin Muṣṭafā Al-Zuḥailī. (2012). Al-Fiqh Al-Islāmi wā Adillatuh. (Damsyik: Dār Al-Fikr),  Jil. 7, ms. 5077.

 

[4] Muḥammad bin ‘Alī bin Muḥammad bin ‘Abd Allah al-Syawkānī al-Yamānī. (1993). Fatḥ al-Qadīr, (Beirut: Dār Ibn Kathīr). Jil. 1, ms. 526.

[5] Abū al-Fida’ Ismāil bin ‘Umar bin Katsir Al-Quraisy Al-Baṣri. (1999). Ibn Katsir, Tafsīr Al-Qurān al-’Aẓīm, (Beirut: Lubnan: Dār al-Kutub Ilmiyyah), Jil. 2, ms. 268.

[6] Abū al-Ḥusayn Muslim bin al-Hujaj bin Muslim al-Qusyairī al-Naysābūrī, Ṣaḥīḥ Muslim, (Turki: Dār al-Tabaā’ah al-Amirah, 1916), No. 101, Jil. 1, ms. 69.

[7] Muḥammad Alī al-Shafi’i, Dalīl al-Fāliḥīn Lil Ṭariq Riyāḍ as-Ṣāliḥīn, (Beirut: Lubnan, Dār al-Ma’rifah, 1425H/2004M), Jil. 8, ms. 422.

[8] Abu Zakaria Muḥy al-Dīn Yaḥya bin Syarf al-Nawawī, Manhaj Syarḥ Ṣaḥīḥ Muslim bin al-Hujaj, (Beirut: Dār Iḥya’ al-Turāth al-’Arabi, 1392), Jil. 1, ms. 109.

[9] ‘Ali bin Muḥammad, Abū al-Ḥassan Nur al-Dīn al-Qari. (1985). Syarḥ Musnad Abī Ḥanifah, (Beirut: Lubnan: Dār al-Kutub Ilmiyyah), Jil. 1, ms. 236.

[10] Yūsuf al-Qaraḍāwī. (2012).  al-Ḥalāl wā al-Ḥarām fī al-Islām, (Kaherah: Maktabah Wahbah), ms. 300. 

Accessibility Toolbar

PHP Code Snippets Powered By : XYZScripts.com