#1 Taudhih al-Hukmi : Mengangkat Tangan Ketika Khatib Membacakan Doa

Tarikh: 9 September 2022

Disediakan oleh: Unit Penyelidikan

Pendahuluan

Kebiasaannya seseorang akan mengangkat tangan ketika berdoa. Secara asasnya, mengangkat tangan ketika berdoa ini menjadi sebahagian adab yang dituntut berdasarkan sunnah Rasulullah SAW. Persoalannya, adakah mengangkat tangan ketika khatib membaca doa termasuk dalam tuntutan ini atau sebaliknya?

Untuk memahami perbahasan ini, mengangkat tangan ketika berdoa itu terbahagi kepada tiga kategori berikut:

  1. Doa yang dituntut untuk mengangkat tangan padanya

 

Hal ini berdasarkan riwayat daripada Anas bin Malik:

أَنَّ نَبِيَّ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم كَانَ لاَ يَرْفَعُ يَدَيْهِ فِي شَىْءٍ مِنْ دُعَائِهِ إِلاَّ فِي الاِسْتِسْقَاءِ حَتَّى يُرَى بَيَاضُ إِبْطَيْهِ

Maksudnya: Sesungguhnya Nabi SAW tidak mengangkat tangan baginda pada doa-doa baginda melainkan pada istisqa’, sehingga jelas kelihatan putihnya dua ketiak baginda SAW[1]

 

Imam al-San’ani dalam kitabnya Subul al-Salam mensyarahkan hadis ini dengan menyatakan sunat mengangkat tangan ketika berdoa seperti berikut[2];

 

وَفِي الحَدِيثِ دِلَالَةٌ عَلَى اسْتِحْبَابِ رَفْعِ اليَدَيْنِ فِي الدُّعَاءِ وَالأَحَادِيثُ فِيهِ كَثِيرَةٌ

Maksudnya: Hadis ini menunjukkan sunat mengangkat tangan ketika berdoa dan terdapat banyak riwayat hadis lain tentangnya.

 

 

  1.  Doa yang tidak dituntut mengangkat tangan padanya

Terdapat beberapa tempat yang dikenal pasti bahawa Rasulullah SAW tidak mengangkat tangan ketika berdoa terutamanya di dalam solat seperti doa istiftah, doa ketika sujud, doa antara dua sujud dan doa selepas tasyahud akhir.

Walau bagaimanapun, dalam hal mengangkat tangan ketika doa qunut, para ulama berselisih pendapat. Pendapat yang masyhur di sisi mazhab al-Shafi‘i menurut al-Nawawi[3] menyatakan mengangkat tangan ketika witir dan solat subuh adalah sunnah berdasarkan riwayat Anas bin Malik:[4]

‌فَلَقَدْ ‌رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَآلِهِ وَسَلَّمَ كُلَّمَا صَلَّى الْغَدَاةَ رَفَعَ يَدَيْهِ يَدْعُو عَلَيْهِمْ

Maksudnya: Aku telah melihat Rasulullah SAW setiap kali solat subuh, beliau mengangkat tangan dan berdoa.

  1. Doa yang tidak terdapat anjuran mengangkat tangan dan tidak pula dilarang

Para ulama mengharuskan untuk mengangkat tangan ketika berdoa bagi doa yang tidak terdapat dalil yang menunjukkan sama ada Rasulullah SAW mengangkat tangan atau tidak. Kategori ini termasuk dalam majoriti doa-doa umum yang dibacakan seperti doa makan, doa tidur, doa masuk tandas dan sebagainya. Kenyataan ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Salman al-Farisi RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ حَيِيٌّ كَرِيمٌ يَسْتَحِي إِذَا رَفَعَ الرَّجُلُ إِلَيْهِ يَدَيْهِ أَنْ يَرُدَّهُمَا صِفْرًا خَائِبَتَيْنِ

Maksudnya: Sesungguhnya Allah itu Maha Pemalu dan Maha Pemurah. Dia malu sekiranya seorang lelaki itu mengangkat tangan ke arah-Nya (dalam berdoa), lalu Dia membiarkan kedua-dua tangan tersebut kosong dan tertolak.[5]

Kategori ini mengambil makna umum daripada hadis riwayat Salman al-Farisi RA[6] yang menjadikan asas dalam berdoa adalah tanda menzahirkan kerendahan jiwa serta menimbulkan rasa hina diri seorang hamba di hadapan Allah SWT. Meskipun begitu, tidak salah jika seseorang berdoa tanpa mengangkat kedua-dua tangannya bagi doa kategori ini.

 

Mengangkat Tangan Ketika Khatib Membaca Doa

Terdapat dua pendapat para ulama dalam menjelaskan isu ini;

                      i.            Pendapat pertama: Sunat tidak mengangkat tangan ketika berdoa kecuali bagi solat istisqa’ (solat meminta hujan diturunkan) menurut sebahagian ulama mazhab Hanbali dan Maliki. Imam al-Buhuti (1015H) dalam hal ini menyatakan dalam kitabnya:[7]

(وَ)يُسَنُّ أَنْ (يَدْعُوَ لِلْمُسْلِمِينَ) لِأَنَّ الدُّعَاءَ لَهُمْ مَسْنُونٌ فِي غَيْرِ الخُطْبَةِ، فَفِيهَا أَوْلَى… (و‌‌َيُكْرَهُ لِلْإِمَامِ رَفُعُ يَدَيْهِ حَالَ الدُّعَاءِ فِي الخُطْبَةِ)

Maksudnya: Dan disunatkan berdoa bagi para Muslimin selain ketika khutbah … dan makruh bagi imam mengangkat tangannya ketika berdoa dalam khutbah.

Pendapat ini berdasarkan beberapa hadis yang menunjukkan Rasulullah SAW mengangkat tangan ketika berdoa. Antaranya hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA:

 أَنَّ نَبِيَّ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ لاَ يَرْفَعُ يَدَيْهِ فِي شَىْءٍ مِنْ دُعَائِهِ إِلاَّ فِي الاِسْتِسْقَاءِ حَتَّى يُرَى بَيَاضُ إِبْطَيْهِ

Maksudnya: Sesungguhnya Nabi SAW tidak mengangkat tangan baginda dalam doa-doa baginda melainkan ketika istisqa’ sehinggakan jelas kelihatan kedua-dua belah ketiak baginda SAW yang putih.[8]

Menurut pendapat ini, mengangkat tangan ketika khatib membaca doa termasuk dalam kategori doa yang imam dan makmum tidak perlu mengangkat tangan. Pendapat ini disokong oleh riwayat hadis lain apabila Umarah bin Ruwaibah mengkritik perbuatan Bishr bin Marwan mengangkat tangan ketika khutbah Jumaat bahawa ia tidak dilakukan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat.[9] Daripada Husayn bin Abd al-Rahman al-Sulami katanya:[10]

كُنْتُ إِلَى جَنْبِ عُمَارَةَ بْنِ رُوَيْبَةَ السُّلَمِيِّ وَبِشْرٌ يَخْطُبُ، فَلَمَّا دَعَا رَفَعَ يَدَيْهِ، فَقَالَ عُمَارَةُ: قَبَّحَ اللهُ هَاتَيْنِ اليَدَيْنِ رَأَيْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ يَخْطُبُ إِذَا دَعَا يَقُولُ هَكَذَا وَرَفَعَ السَّبَّابَةَ وَحْدَهَا.

Maksudnya: Aku berada disamping ‘Umarah bin Ruwaibah ketika Bishr bin Marwan sedang berkhutbah. Bishr berdoa dengan mengangkat kedua-dua tangannya. Lalu Umarah berkata, “Semoga Allah SWT memburukkan kedua-dua tangannya, aku telah melihat Rasulullah SAW mengangkat tangan baginda tidak lebih dari ini dan mengisyaratkan jari telunjuknya.

                    ii.            Pendapat kedua: Sunat mengangkat tangan ketika khatib membacakan doa. Ibn Hajar al-Haytami (974H) apabila ditanyakan tentang mengangkat tangan ketika khatib berdoa, beliau menyangkal pandangan mereka yang mengkhususkan mengangkat tangan ketika doa istisqa’ sahaja. Dalam al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra beliau menyebut:[11]

‌رَفْعُ ‌اليَدَيْنِ سُنَّةٌ فِي كُلِّ دُعَاءِ خَارِجِ الصَّلَاةِ وَنَحْوِهَا وَمَنْ زَعَمَ أَنَّهُ – صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – لَمْ يَرْفَعْهُمَا إِلَّا فِي دُعَاءِ الاِسْتِسْقَاءِ فَقَدْ سَهَا سَهْوًا بَيِّنًا وَغَلَطَ غَلْطًا فَاحِشًا…وَعِبَارَةُ العُبَابِ مَعَ شَرْحِي لَهُ (يُسَنُّ لِلدَّاعِي خَارِجَ الصَّلَاةِ رَفْعُ يَدَيْهِ الطَّاهِرَتَيْنِ) لِلاِتِّبَاعِ رَوَاهُ الشَّيْخَانِ وَغَيْرُهُمَا مِنْ طُرُقٍ كَثِيرَةٍ صَحِيحَةٍ فِي عِدَّةِ مَوَاطِنِ مِنْهَا الاِسْتِسْقَاءُ وَغَيْرُهُ كَمَا بَيَّنَهَا فِي المَجْمُوعِ…وَقَالَ مَنْ ادَّعَى حَصْرَهَا فَهُوَ غَالِطٌ غَلْطًا فَاحِشًا.

Maksudnya: Sunat mengangkat tangan pada setiap doa di luar solat dan seumpamanya. Sesiapa yang mendakwa baginda SAW tidak mengangkat tangan kecuali pada doa istisqa’, maka orang itu jelas sudah alpa dan melakukan kesalahan yang jelekTeks al-Ubab berserta syarahku menyatakan bahawa (sunat bagi orang yang berdoa di luar solat untuk mengangkat kedua-dua tangannya yang suci untuk mengikuti perlakuan baginda berdasarkan riwayat syaikhan (al-Nawawi dan al-Rafi‘i) dan selainnya daripada jalan periwayatan yang banyak dalam kitab al-Majmu’... Dan bagi mereka yang mendakwa ia terbatas kepada istisqa’, ia adalah anggapan yang salah.

Pendapat ini mengambil makna umum hadis yang menunjukkan Rasulullah SAW mengangkat tangan ketika berdoa. Perbuatan mengangkat tangan ketika berdoa merupakan kunci bagi termakbulnya doa. Antara dalilnya adalah berdasarkan hadis daripada Salman RA bahawa Rasulullah SAW bersabda[12]:

إِنَّ اللَّهَ حَيِيٌّ كَرِيمٌ يَسْتَحِي إِذَا رَفَعَ الرَّجُلُ إِلَيْهِ يَدَيْهِ أَنْ يَرُدَّهُمَا صِفْرًا خَائِبَتَيْنِ

Maksudnya: Sesungguhnya Allah itu Maha Pemalu dan Maha Pemurah. Dia malu sekiranya seorang lelaki itu mengangkat tangan ke arah-Nya (dalam berdoa), lalu Dia membiarkan kedua tangan tersebut kosong dan tertolak.[13]

Berdasarkan pendapat-pendapat yang diutarakan, terdapat banyak riwayat yang sabit bahawa Rasulullah SAW mengangkat tangan ketika berdoa. Akan tetapi, hadis Anas RA menerangkan bahawa Rasulullah SAW tidaklah mengangkat tangan terlalu tinggi sehingga menampakkan putih ketiak baginda melainkan ketika istisqa’. Hal ini menunjukkan dalam keadaan lain, Rasulullah SAW juga mengangkat tangan ketika berdoa dan kesungguhan itu terlihat lebih jelas apabila Rasulullah SAW mengangkat tangan lebih tinggi pada doa istisqa’ daripada keadaan lain. Menurut Ibn Rajab al-Hanbali (795H), perbezaan riwayat hadis tentang mengangkat tangan menunjukkan perbezaan keadaan Rasulullah mengangkat tangan dalam berdoa.[14]

Berkenaan riwayat hadis ‘Umarah bin Ruwaibah yang mengkritik perbuatan Bishr bin Marwan mengangkat tangan ketika khutbah Jumaat, Imam Nawawi menukilkan pendapat Imam Malik dan ashab mazhab Shafi‘i dalam menerangkan hal ini dengan menyatakan bahawa larangan ini khusus kepada imam, manakala jemaah yang mendengar khutbah tidak termasuk dalam larangan ini.[15]

 

Kesimpulan

Mengangkat tangan ketika khatib membaca doa termasuk dalam kategori doa yang tidak ada anjuran mengangkat tangan dan tiada pula larangan padanya. Maka, disunatkan bagi makmum untuk mengangkat tangan ketika khatib membaca doa dengan mengambil makna umum hadis riwayat Salman al-Farisi RA dan selainnya. Perkara ini bertepatan dengan asas berdoa sebagai tanda kerendahan jiwa seorang hamba di hadapan Allah SWT.



[1] Abu al-Husayn Muslim bin al-Hajjaj al-Qushairi al-Naisaburi, Sahih Muslim, Kitab Salah al-Istisqa’, Bab Raf’ al-Yadain bi al-Dua fi al-Istisqa’, no. hadis 895, Jil. 2, ms. 612.

[2] Muhammad bin Ismail bin Salah bin Muhamad al-San’ani, Subul al-Salam, (Dar al-Hadith: Kaherah, Mesir), Jil. 2, ms. 708.

[3] Abu Zakariyya Muhyi al-Din bin Sharaf al-Nawawi, al-Majmu’ Sharh al-Muhadzdzab, (Dar al-Fikr: Amman, Jordan), Jil. 3, ms. 500.

[4] Sulayman bin Ahmad bin Ayyub al-Lakhmi al-Shami, Abu al-Qasim al-Tabarani, al-Mu’jam al-Saghir, (al-Maktab al-Islami: Dar Ammar, Beirut, Lubnan), Jil. 1, ms. 324.

[5] Hadis riwayat Salman al-Farisi ini dinilai hasan gharib oleh Imam al-Tirmidzi; Muhamad bin Isa bin Sawrah al-Tirmidzi (279H), Sunan al-Tirmidzi, (Syarikat Maktabah wa Matba’ah Mustafa al-Babi al-Halabi: Mesir), Abwab al-Da’awat, no. hadis: 3665, Jil. 5, ms. 556.

[6] al-Tirmizi, Sunan al-Tirmidzi, Op.cit, Abwab al-Da’awat, no. hadis: 3665, Jil. 5, ms. 556.

[7] Mansur Bin Yunus al-Buhuti al-Hanbali, Kashaf al-Qina’ ‘an al-Iqna’, (Wizarah al-Adl: Arab Saudi), Jil. 3, ms. 356-357.

[8] Muslim, Sahih Muslim, Op. cit,.

[9] Muhammad al-Amin al-Harari, al-Kawkab al-Wahhaj wa al-Raud al-Bahhaj fi Sharh Sahih Muslim bin Hajjaj, (Dar al-Minhaj: Jeddah, Mekah), Jil. 10, ms. 356.

[10] Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Salah, Bab Takhfif al-Salah wa al-Khutbah no. hadis: 874, Jil. 2, ms. 595.

[11] Ahmad bin Muhamad bin Ali bin Hajar al-Haytami, al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, (al-Maktabah al-Islamiyyah: Beirut, Lubnan), jil. 1, ms. 252.

[12] Hadis ini hasan gharib menurut al-Tirmidzi; al-Tirmidzi, Sunan al-Tirmidzi, Op.cit, Abwab al-Da’awat, no. hadis: 3556, Jil. 5, ms. 556; Sulayman al-Ash’ath al-Sijistani, Abu Dawud, Sunan Abi Dawud, (Matba’ah al-Ansari Bidahli, India), no. hadis: 1488, Jil. 1, ms. 553.

[13] Hadis riwayat Salman al-Farisi ini dinilai hasan gharib oleh Imam al-Tirmidzi; Muhamad bin Isa bin Sawrah al-Tirmidzi (279H), Sunan al-Tirmidzi, (Syarikat Maktabah wa Matba’ah Mustafa al-Babi al-Halabi: Mesir), Abwab al-Da’awat, no. hadis: 3665, Jil. 5, ms, 556.

[14] Zayn al-Din Abd al-Rahman bin Ahmad Bin Rajab al-Hanbali, Fath al-Bari Sharh Sahih al-Bukhari, (Maktabah al-Gharb al-Athariyyah: Madinah), Jil. 9, ms. 219.

[15] Abu Zakariyya Muhyi al-Din Yahya bin Sharaf al-Nawawi, al-Minhaj Sharh Sahih Muslim (Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi: Beirut, Lubnan), Jil. 6, ms. 126.

Accessibility Toolbar

PHP Code Snippets Powered By : XYZScripts.com