A A
Arial | PT Sans | Century
A- A A+

Soalan Lazim

 1. Apakah fungsi Mufti?

Fungsi Mufti ditetapkan berdasarkan seksyen 45, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 iaitu:

Mufti hendaklah membantu dan menasihati Duli Yang Maha Mulia Sultan berkenaan dengan semua perkara Hukum Syarak, dan dalam semua perkara sedemikian hendaklah menjadi pihak berkuasa utama di Negeri Selangor selepas Duli Yang Maha Mulia Sultan, kecuali jika diperuntukkan selainnya dalam Enakmen ini.

2. Siapakah yang menganggotai Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor?

Keanggotaan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor ditetapkan berdasarkan seksyen 46, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 iaitu:

  1. Mufti, sebagai Pengerusi;
  2. Timbalan Mufti;
  3. Penasihat Undang-Undang Negeri;
  4. dua orang anggota Majlis yang dinamakan oleh Majlis (MAIS)
  5. seorang pegawai dari Jabatan Agama Islam Selangor yang mahir dalam hukum Syarak yang akan dilantik oleh Majlis;
  6. tidak kurang daripada dua orang dan tidak lebih daripada tujuh orang yang layak dan sesuai, yang dilantik oleh Majlis; dan
  7. seorang pegawai dari Jabatan Mufti yang dilantik oleh Majlis, sebagai Setiausaha.

3. Bagaimana proses sesuatu fatwa itu dikeluarkan?

Tatacara pembuatan fatwa di negeri Selangor berdasarkan seksyen 48, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 iaitu:

Bil

Tatacara

Keterangan

1.

Permohonan

 Permohonan daripada agensi kerajaan, swasta atau individu untuk mendapatkan   sesuatu fatwa bagi isu-isu baharu.

2.

Menjalankan kajian

 Sekiranya isu baharu, maka kajian akan dilaksanakan dan seterusnya   menyediakan kertas kerja untuk dibentangkan dalam mesyuarat.

3.

Pelaksanaan Mesyuarat

 Mufti akan mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa untuk   membincangkan isu tersebut dan membuat keputusan.

4.

Pemakluman kepada MAIS

 Keputusan fatwa akan dikemukakan kepada MAIS.

5.

Memohon perkenan DYMM Sultan Selangor

 Selepas menimbang teliti sesuatu fatwa (sekiranya diwartakan),  MAIS akan   membuat syor kepada DYMM Sultan Selangor untuk mendapatkan perkenan   pewartaan.

6.

Pemakluman kepada Kerajaan

 Setelah diperkenankan oleh DYMM Sultan, MAIS hendaklah memaklumkan fatwa   tersebut kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

7.

Pewartaan

 Setelah dimaklumkan kepada kerajaan negeri, fatwa tersebut hendaklah   disiarkan dalam warta.

 4. Adakah sesuatu isu yang mempunyai nas dalam al-Quran atau al-Sunnah perlu difatwakan?

Sesuatu isu yang mempunyai nas dalam al-Quran atau Sunnah secara qatie tidak perlu difatwakan. Perlu difahami bahawa sesuatu fatwa itu dibuat sekiranya terdapat isu-isu semasa atau apa-apa persoalan yang belum muktamad atau yang menimbulkan kontroversi. 

 5. Apakah perbezaan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dan Negeri?

Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia ditubuhkan pada awal tahun 1970 sebagaimana diperuntukan dalam Perkara 11 Peraturan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI). Jawatankuasa ini merupakan badan pengeluar dan penyelaras fatwa di peringkat Kebangsaan atas apa-apa perkara yang dirujuk kepadanya oleh Majlis Raja-Raja.

Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor diwujudkan berdasarkan Seksyen 46, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003. Jawatankuasa ini berperanan mengeluarkan fatwa terhadap sesuatu isu baharu atau apa-apa persoalan yang belum muktamad atau yang menimbulkan kontroversi berhubung hukum syarak.

 6. Kenapa wujud perbezaan fatwa antara kebangsaan dan negeri walaupun telah dibincangkan oleh semua Mufti?

Perbezaan wujud kerana melibatkan bidang kuasa. Senarai Kedua, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan memperuntukan bahawa hal ehwal agama Islam adalah bidang kuasa negeri yang diketuai oleh DYMM Sultan.

Sesuatu fatwa yang dibincangkan di peringkat kebangsaan akan dibincangkan semula dalam Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri dan ahlinya boleh memberikan pandangan terhadap fatwa tersebut.

Walaubagaimanapun Jawatankuasa Fatwa Negeri hendaklah menerima pakai nasihat dan syor Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan sekiranya telah dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja sebagaimana maksud seksyen 52, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.

 7. Apakah keutamaan jika terdapat perbezaan antara fatwa kebangsaan dan negeri?

Fatwa yang dibincangkan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) adalah sebagai Irsyad Hukum (pandangan hukum) sahaja.

Manakala sesuatu fatwa yang diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor dan diwartakan adalah mengikat serta mempunyai kesan perundangan. Setiap orang Islam yang berada di Negeri Selangor hendaklah mematuhi dan berpegang dengan fatwa berkenaan. Selain itu, sesuatu fatwa hendaklah diiktiraf oleh semua mahkamah di Negeri Selangor.

 8. Apakah perbezaan di antara fatwa yang diwartakan dengan yang tidak diwartakan?

Apa-apa ketetapan hukum yang diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa adalah fatwa. Namun, hanya fatwa yang diwartakan sahaja mempunyai kesan perundangan.

Kebiasaannya sesuatu fatwa yang diwartakan adalah melibatkan fatwa ajaran/fahaman sesat supaya ia boleh dikuatkuasakan.

 9. Adakah sesuatu fatwa boleh dipinda atau dibatalkan?

Sesuatu fatwa boleh dipinda atau dibatalkan sebagaimana yang diperuntukkan dalam Seksyen 50 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003. 

 10. Apakah qaul muktamad yang digunakan untuk mengeluarkan fatwa?

Jawatankuasa Fatwa hendaklah pada lazimnya mengikut qaul muktamad (pendapat-pendapat yang diterima) Mazhab Syafie.

Jika qaul muktamad dalam Mazhab Syafie berlawanan dengan kepentingan awam, Jawatankuasa Fatwa boleh mengikut qaul muktamad Mazhab Hanafi, Maliki atau Hanbali.

Jika tiada satu pun qaul muktamad daripada empat mazhab tersebut yang sesuai dengan kepentingan awam, Jawatankuasa Fatwa boleh membuat fatwa mengikut ijtihad tanpa terikat dengan mazhab tersebut selagi tidak bercanggah dengan al-Quran dan al-Sunnah.

 11. Sejauh mana penguatkuasaan sesuatu fatwa yang telah diwartakan?

Pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) atau mana-mana pihak yang berautoriti boleh mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap fatwa yang telah diwartakan.

Masyarakat perlu bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk menguatkuasakan sesuatu fatwa melalui aduan rasmi yang disampaikan. Sesuatu fatwa yang dikuatkuasakan adalah berkaitan ajaran/fahaman sesat yang antara elemennya mengancam akidah atau keselamatan awam.

 12. Adakah sesuatu fatwa yang dikeluarkan boleh dipengaruhi oleh mana-mana pihak?

Sesuatu fatwa yang dibuat tidak boleh dipengaruhi oleh mana-mana pihak. Ia dibuat berdasarkan tatacara yang telah ditetapkan dalam Seksyen 48 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.

Mana-mana pihak yang ingin mendapatkan fatwa bagi sesuatu isu baharu atau meminda atau mengubah suai, boleh mengemukakan kertas kerja kepada Jabatan Mufti. Tidak wujud elemen mempengaruhi kerana sesuatu fatwa itu dibuat melalui Jawatankuasa Fatwa.

 13. Apakah implikasi melanggar atau mempertikaikan fatwa?

Seksyen 12 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 memperuntukkan mana-mana individu yang menghina kuasa yang sah atau mengingkari, melanggar atau mepertikaikan perintah atau arahan Mufti yang dinyatakan atau diberikan melalui fatwa adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM3000 atau dipenjarakan tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya.

 14. Apakah mekanisme penyebaran fatwa di Negeri Selangor?

Penyebaran fatwa dilaksanakan melalui mekanisme berikut:

  1. Laman sesawang muftiselangor.gov.my
  2. Program Bicara Fatwa
  3. Program turun padang “Mesra Ummah Bersama Jabatan Mufti”
  4. Billboard/Banner Fatwa
  5. Akhbar tempatan (edisi nasional)
  6. Televisyen
  7. Radio
  8. Facebook Jabatan Mufti
  9. Khutbah Jumaat
  10. Perkhidmatan SMS/aplikasi whatsapp
  11. Terbitan poster/risalah
  12. Youtube Fatwa

15. Apakah yang dimaksudkan dengan ilmu Falak?

Ilmu falak pula merupakan ilmu yang mempelajari tentang posisi benda-benda langit, matahari, bulan, bintang dan sebagainya. Ini dapat difahami melalui firman Allah dalam surah Yāsīn ayat 40 dan surah al-Anbiyā’ ayat 33.

ayat1

Tidaklah mungkin bagi matahari mendapatkan bulan dan malam pun tidak dapat mendahului siang. Dan masing-masing beredar pada garis edarnya. (Yāsīn : ayat 40)

ayat2

Dan Dialah yang telah menciptakan malam dan siang, matahari dan bulan. Masing-masing dari keduanya itu beredar dalam garis edarnya. (al-Anbiyā’: ayat 33)

Ayat-ayat di atas menjelaskan bahawa matahari dan bulan bergerak dalam tempoh masa yang telah ditetapkan. Matahari tidak akan muncul pada waktu malam, manakala siang dan malam pula bergilir-gilir menggantikan antara satu dengan yang lain. Setiap sesuatu di langit itu beredar pada orbitnya masing-masing menurut ketentuan Allah SWT. Jelasnya, ilmu falak adalah ilmu yang membincangkan mengenai pergerakan jasad-jasad samawi khususnya bulan, matahari, bintang dan planet pada orbitnya masing-masing.  Pada hari ini ilmu falak lebih dikenali sebagai astronomi. Manakala skop kajian bidang falak ini terlalu luas kerana ia melibatkan alam cakerawala keseluruhannya. Bagaimana pun, di Malaysia, skop ilmu falak khususnya falak syar‘ie di jabatan-jabatan mufti tertumpu bagi tujuan penyempurnaan sesuatu ibadah khususnya bidang-bidang yang berkaitan penentuan waktu solat, penentuan arah kiblat, penentuan takwim hijrah, penetapan anak bulan dan gerhana matahari serta bulan.

16. Apakah yang dimaksudkan dengan arah kiblat?

Kiblat menurut bahasa adalah arah hadap. Dan kiblat yang dimaksudkan adalah Kaabah. Manakala menurut ilmu falak kiblat merujuk kepada arah menghadap ke Kaabah di atas glob bulatan bumi mengikut jarak yang terdekat. Para ulamak sepakat menyatakan bahawa menghadap ke kiblat merupakan salah satu daripada syarat sah solat melainkan dalam keadaan-keadaan tertentu yang dibenarkan seperti solat ketika dalam peperangan dan solat sunah dalam keadaan bermusafir. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 150 yang bermaksud:

Dan dari mana sahaja engkau keluar (untuk mengerjakan sembahyang), maka hadapkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haram (Kaabah); dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya.

Justeru, arah kiblat tidak membawa makna lain melainkan arah yang wajib dihadapkan oleh setiap orang Islam ketika mengerjakan solat fardhu 5 waktu sehari semalam. Arah ini hendaklah diketahui secara yakin atau qat’ie khusus bagi mereka yang berada berhampiran dan dapat melihat bangunan Kaabah. Diriwayatkan bahawa “sesungguhnya Rasulullah SAW solat 2 rakaat menghadap kaabah: dan baginda bersabda: Inilah kiblat”

17. Bagaimanakah cara menentukan arah kiblat?

Menentukan arah kiblat boleh dilakukan dengan pelbagai cara. Pertama sekali, seseorang itu perlu mengetahui nilai azimut kiblat bagi lokasi kedudukannya. Bagi Malaysia, nilai azimut adalah pada antara 291 darjah hingga 293 darjah. Antara kaedah menentukan kiblat adalah dengan menggunakan peralatan kompas, kaedah istiwa’ a’dzam, kaedah lintasan matahari se arah kiblat, kaedah pedoman suria (kaedah mendapatkan arah kiblat melalui kedudukan matahari harian), kaedah matahari terbit dan terbenam serta kaedah buruj bintang. 

18. Apakah yang dimaksudkan dengan istiwa a’dzam?

Berdasarkan perubahan arah terbit dan terbenam matahari di atas muka bumi ini, maka matahari akan melalui di atas Kaabah dan berada pada kedudukan istiwa’ dua kali dalam satu tahun iaitu pada 28 Mei (jam 5:16 petang) dan 16 Julai (jam 5:28 petang) pada tahun-tahun biasa dan kurang sehari iaitu pada 27 Mei dan 15 Julai pada tahun-tahun lompat. Pada ketika ini semua bayang-bayang sesuatu objek tegak yang kelihatan akan menghala ke arah Kaabah.

19. Benarkah arah kiblat bersamaan dengan arah matahari terbenam?

Dalam kaedah tradisional, kedudukan matahari ketika terbenam dikatakan boleh menjadi panduan arah kiblat. Walau bagaimanapun, disebabkan azimut matahari terbenam di Malaysia berubah-ubah pada azimut 2400 sehingga 2950, kaedah ini tidak sesuai digunakan kecuali jika diketahui perbezaan azimut matahari terbenam dengan azimut kiblat. Tanpa pengetahuan sudut perbezaan ini, arah kiblat yang digunakan kemungkinan akan selisih melebihi 500. Jadual di bawah merupakan nilai pembetulan yang perlu dibuat berdasarkan kedudukan matahari ketika terbenam. Didapati ketika bulan Jun dan Julai, nilai perbezaan sudut antara kiblat dan matahari terbenam adalah kecil.

jadual1

20. Bolehkah menentukan kiblat dengan buruj di langit?

Terdapat satu buruj yang sering dikaitkan dengan arah kiblat, iaitu Buruj 'Orion' atau Belantik. Buruj ini akan berada di atas kepala kita ketika waktu Maghrib diantara bulan Januari hingga bulan Mac. Bintang-bintang yang berada didalam buruj ini agak terang dan mudah di lihat. Buruj ini mempunyai 3 bintang yang sebaris menghala hampir ke arah Barat Laut iaitu arah kiblat. Tapi perlu diingat, kaedah Buruj 'Orion' ini hanya sesuai dan boleh digunakan di Malaysia atau negara jiran seperti Singapura, Brunei, Indonesia dan selatan Thailand.

21. Bolehkah pihak Jabatan Mufti menentukan arah kiblat rumah-rumah persendirian?

Peranan Jabatan Mufti Negeri Selangor adalah melakukan penentuan arah kiblat bagi masjid-masjid, surau-surau, musolla dan tanah perkuburan Islam; tidak termasuk rumah-rumah persendirian. Bagi rumah-rumah persendirian, mereka boleh merujuk kepada Perasatuan Ahli Falak Negeri Selangor yang memang melakukan perkhidmatan menentukan arah kiblat rumah-rumah persendirian.

22. Apakah yang dinamakan hilal dan fasa-fasa bulan?

Fasa bulan ialah peringkat perubahan bentuk bulan yang bercahaya sepanjang pusingannya mengelilingi bumi iaitu sebulan ijtimak. Oleh kerana bumi beredar mengelilingi matahari di satah ekliptik, maka kedudukan bumi relatif dengan kedudukan bulan dan matahari sentiasa berubah-ubah. Perubahan ini mengakibatkan permukaan bulan yang bercahaya dilihat dari bumi dalam keadaan yang berbeza-beza bentuk. Akibatnya terjadilah fasa-fasa bulan.

Dalam tempoh peredaran bulan,wujud empat fasa utama bulan yang dapat dilihat dari bumi:

  1. Fasa Pertama :           Hilal
  2. Fasa Kedua :              Bulan pada suku pertama
  3. Fasa Ketiga :              Bulan pada suku kedua(bulan purnama)
  4. Fasa keempat :          Bulan pada suku ketiga

Oleh itu, hilal adalah fasa pertama daripada fasa-fasa bulan iaitu cahaya bulan pertama yang kelihatan selepas berlakunya ijtmak. Atau disebut juga sebagai bulan sabit muda pertama yang dapat dilihat setelah terjadinya ijtimak pada arah dekat matahari terbenam yang menjadi acuan permulaan bulan dalam kalender Islam. Biasanya hilal diamati pada hari ke-29 dari bulan Islam untuk menentukan apakah hari berikutnya sudah terjadi pergantian bulan atau belum.

23. Bagaimanakah kaedah penentuan awal Ramadhan, Syawwal dan Zulhijjah?

Penentuan awal bulan Ramadhan, Syawwal dan Zulhijjah di Malaysia adalah berdasarkan satu kriteria kebolehnampakan hilal atau disebut sebagai Imkanurrukyah. Kriteria Imkanur-Rukyah adalah:

Sebelum matahari terbenam, ijtimak telah berlaku pada 29 haribulan hijriah dan melalui perkiraan kewujudan hilal adalah positif serta dapat memenuhi salah satu syarat-syarat berikut:

  • ketika matahari terbenam, ketinggian hilal di atas ufuk tidak kurang dari 2o dan jarak lengkung hilal-matahari tidak kurang 3o

         ATAU

  • ketika hilal terbenam, umur hilal tidak kurang daripada 8 jam selepas ijtimak berlaku.

Walau bagaimanapun, tarikh sebenar permulaan puasa dan hari raya adalah berdasarkan perisyhtiharan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.

24. Bilakah tarikh sebenar puasa sunat arafah? Adakah mengikut Arab Saudi atau mengikut Malaysia?

Umat Islam di Malaysia yang ingin melakukan puasa sunat Arafah hendaklah mengikut tarikh 9 Zulhijjah yang ditetapkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja berdasarkan kriteria Imkanurrukyah. Umat Islam di Malaysia tidak perlu mengikut tarikh hari Wuquf yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi.

25. Apakah jenis-jenis takwim hijriah yang digunakan oleh negara-negara di peringkat antarabangsa?

Pada asasnya Takwim Hijriah berdasarkan kepada peredaran bulan, tetapi secara praktikalnya ia terbahagi kepada beberapa jenis takwim seperti berikut:

  • Takwim Istilahi
    Bilangan hari bagi bulan-bulan yang terdapat di dalam takwim ini disusun berselang-seli 30 dan 29 hari menjadikan 354 hari setahun.
  • Takwim Ijtimak Hakiki
    Takwim yang berdasarkan kepada sistem ijtimak bumi-bulan-matahari, di mana penentuan awal bulan hijrah dikira berpandukan ketika berlakunya ijtimak hakiki. Apabila ijtimak berlaku sebelum matahari terbenam, maka sejak terbenamnya matahari itulah dikira awal bulan hijriah yang baru. Sebaliknya jika ijtimak berlaku selepas terbenam matahari, maka keesokan harinya digenapkan 30 haribulan.
  • Takwim Wujudul Hilal
    Takwim yang berasaskan sistem ijtimak juga, tetapi penentuan awal bulan dikira mengikut wujudnya hilal di atas ufuk ketika matahari terbenam. Bermula dari waktu terbenam matahari itulah bulan baru dikira.
  • Takwim Imkanur-Rukyah
    Takwim Imkanur-Rukyah adalah di mana penentuan bagi setiap awal bulan hijriah yang berdasarkan rukyah dan hisab mengikut kriteria ketetapan yang telah ditentukan.

26. Bagaimanakah kaedah yang digunakan dalam menentukan waktu solat di Selangor?

Jadual waktu solat Negeri Selangor yang dibentuk adalah mengambil kira kriteria-kriteria yang ditetapkan oleh JAKIM. Ciri-ciri jadual waktu solat Negeri Selangor adalah seperti berikut:

  1. Asas Hitungan
    Hitungan adalah mengguna pakai kaedah hitungan dengan berpandukan Almanak Falak Syar’ie dan perisian yang dibekalkan oleh JAKIM sendiri.
  1. Ihtiyati Dalam Hitungan
    Konsep pembulatan waktu digunakan bagi setiap waktu solat yang dihitung. Bagi waktu Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib dan Isyak, waktu yang dihitung dibulatkan kepada tambahan minit yang terhampir. Manakala bagi syuruk, waktu yang dihitung dibulatkan kepada pengurangan minit yang terhampir.

27. Apakah yang dimaksudkan dengan zon waktu solat?

Waktu solat sebenar adalah waktu yang dihitung berdasarkan lokasi setempat umpamanya kampung seperti kampung Batu Belah di Klang atau pekan seperti Kapar atau Jeram. Manakala zon waktu solat pula adalah kumpulan beberapa kampung atau pekan atau daerah yang mempunyai waktu yang sama atau hampir disatukan menjadi satu zon waktu solat seperti daerah Gombak dan Petaling yang mempunyai waktu solat yang hampir sama atau berselisih dalam julat waktu yang dianggap berpatutan agar menjadi satu zon waktu solat.

Bagi negeri Selangor, zon waktu solat semasa dibahagikan kepada 3 zon iaitu:-

Zon 1 : Meliputi daerah Hulu Selangor, Gombak, Petaling, Shah Alam, Hulu Langat dan Sepang dengan titik rujukan adalah Kampung Gedangsa (latitud: 3˚ 44’, longitud: 101˚ 23’).

Zon 2 : Meliputi daerah Sabak Bernam dan Kuala Selangor dengan titik rujukan di Balai Cerap Selangor ( latitud: 3˚ 49’, longitud: 100˚ 49’).

Zon 3: Meliputi daerah Klang dan Kuala Langat dengan titik rujukan di Pulau Ketam ( latitud: 3˚ 01’, longitud: 101˚ 15’).

Anda mungkin ingin mengetahui :

Soalan Lazim Bahagian Fatwa | Soalan Lazim Bahagian Falak