#33 Taudih al-Hukmi : Hukum Membela Ular Tidak Berbisa

Tarikh: 21 September 2023

Disediakan oleh: Zubair Amir

 

Pendahuluan

 Sebahagian pihak gemar mengumpul dan membela haiwan-haiwan tertentu seperti ular sebagai hobi. Masyarakat perlu melihat dan menimbang tara daripada pelbagai sudut seperti sudut undang-undang, kaedah penjagaan dan juga sudut hukum Islam sebelum berbuat demikian. Terdapat larangan daripada hadis mengenai hukum membela ular secara umum kerana ular digelar haiwan yang berbahaya dan perosak. Namun begitu, sebahagian pihak ingin membela ular tidak berbisa yang tidak mendatangkan mudarat dan menjadikannya sebagai hobi semata-mata. Justeru, apakah hukum membela ular yang tidak berbisa?

 

Hukum Membela Ular

 

Ular adalah merupakan haiwan yang dikategorikan sebagai ‘perosak’ serta tidak dibenarkan untuk membelanya tanpa sebab. Terdapat sebuah hadis berkenaan isu ini daripada Saidatina Aisyah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

خَمْسٌ فَوَاسِقُ يُقْتَلْنَ فِي الْحِلِّ وَالْحَرَمِ : الْحَيَّةُ ، وَالْغُرَابُ الْأَبْقَعُ ، وَالْفَأْرَةُ ، وَالْكَلْبُ الْعَقُورُ ، وَالْحُدَيَّا [1]

 

Maksudnya: Lima binatang fawasiq (yang merosakkan) yang boleh dibunuh di tanah halal dan haram (atau dalam keadaan berihram) iaitu ular, burung gagak hitam bercampur putih, tikus, anjing gila, burung helang.

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

 

Berdasarkan kepada hadis di atas, mazhab Syafi’i berpandangan bahawa memelihara dan menjual ular secara umumnya adalah haram kerana haiwan tersebut dianggap memberi mudarat secara tabiatnya.[2] Ini bermaksud bahawa memelihara ular untuk apa jua tujuan seperti menjadikannya sebagai binatang peliharaan atau pet adalah diharamkan.

 

Di samping itu, terdapat suruhan untuk membunuh ular sebagaimana hadis daripada Abdullah bin Mas’ud:

 

 

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمَرَ مُحْرِمًا بِقَتْلِ حَيَّةٍ بِمِنًى[3]

 

Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah SAW memerintahkan orang yang sedang berihram untuk membunuh ular di Mina.

(Riwayat Muslim)

 

Menurut Imam Nawawi, hadis ini menunjukkan pengecualian bagi orang yang sedang berihram. Orang yang berihram adalah dilarang membunuh binatang, namun pengecualian diberikan bagi membunuh haiwan-haiwan yang merbahaya dan berbisa seperti ular ini bagi memelihara diri daripada sebarang kemudaratan.[4] Perkara ini menunjukkan bahawa ular adalah termasuk dalam kategori haiwan yang berbisa dan merbahaya secara umumnya. Namun begitu, terdapat sebahagian jenis ular yang dikategorikan sebagai tidak berbisa dan tidak berbahaya yang memerlukan kepada penelitian hukum syarak.

 

Hukum Jual Beli Ular

 

Menjual ular turut diharamkan oleh para ulama kerana ular termasuk haiwan serangga (hasyarat) yang tidak mempunyai manfaat serta mendatangkan mudarat. Namun, sekiranya haiwan serangga tersebut mempunyai manfaat, seperti ulat sutera untuk dijadikan kain sutera dan serangga lebah yang boleh menghasilkan madu maka ia harus dijual.[5]

 

Di dalam mazhab Hanafi, terdapat satu pandangan yang mengharuskan penjualan ular sekiranya ia boleh dimanfaatkan seperti untuk tujuan perubatan atau kulitnya.[6] Imam al-Haskafi menyebutkan satu dhabit fiqhi yang digunakan oleh mazhab Hanafi dalam isu ini:[7]

 

إِنَّ جَوَازَ الْبَيْعِ يَدُورُ مَعَ حِل الاِنْتِفَاعِ

 

Maksudnya: Keharusan jual beli adalah bergantung kepada manfaatnya.

 

Begitu juga terdapat satu pandangan di dalam mazhab Maliki yang mengatakan bahawa ular halal dimakan sekiranya dapat dipastikan tidak berbisa atau tidak membahayakan kesihatan dengan syarat ia hendaklah disembelih.[8]

 

Hukum Membela Ular Tidak Berbisa

 

Berdasarkan kenyataan di atas, kita dapat lihat bahawa majoriti ulama bersetuju bahawa membela dan menjual ular berbisa sebagai haram kerana ia merupakan sejenis haiwan berbisa dan tidak mendatangkan manfaat. Namun begitu, mereka berbeza pandangan mengenai hukum memelihara ular yang dikategorikan sebagai tidak berbisa. Perbezaan ini adalah berpunca daripada pemahaman hadis Nabi SAW mengenai keharusan membunuh haiwan tersebut sebagaimana yang telah disebutkan di atas.

 

Oleh itu, kami berpandangan bahawa membela ular tidak berbisa adalah makruh. Hal ini kerana pengharaman sesuatu mestilah berasaskan dalil yang jelas, sedangkan hadis mengenai fawasiq boleh difahami sebagai merujuk kepada haiwan berbisa yang mendatangkan mudarat kepada orang. Apabila tiada kemudaratan yang merupakan sebab pengharaman ular tersebut, maka hilanglah hukumnya. Ia bertepatan dengan kaedah fiqah:

 

الحكم يدور مع علته وجودا وعدما

 

Maksudnya: Hukum berlegar-legar bersama ‘illahnya ketika ia ada dan tiada.

 

Pandangan ini turut disebutkan oleh Dr. Ahmad Mamduh, Setiausaha Darul al-Ifta’ Mesir, pula berpendapat bahawa memelihara ular di rumah adalah tidak diharamkan dengan syarat-syarat tertentu.[9] Antara syarat tersebut adalah tuannya hendaklah mengambil langkah keselamatan yang sewajarnya serta perkara tersebut tidak menyebabkannya lalai daripada mengerjakan kewajipan syarak.

 

Ular yang tidak berbisa tidak memberi mudarat kepada tuannya sebagaimana haiwan-haiwan lain. Walau bagaimanapun, memelihara ular tidak berbisa ini tidak mempunyai faedah yang jelas, sewajarnya masyarakat mengelakkannya dan mengalihkan hobi kepada memelihara haiwan lain yang lebih bermanfaat. Begitu juga kos pembelian serta pemeliharaannya yang mahal. Tambahan pula terdapat alternatif atau gantian binatang pemeliharaan lain yang jelas keharusannya. Oleh itu, adalah lebih baik sekiranya perbuatan tersebut ditinggalkan. Namun, sekiranya terdapat keperluan dan maslahat berunsur pendidikan, sejarah seperti pihak museum ataupun agensi dan kumpulan pencinta haiwan yang ingin mengumpulkan dan memulihara ular daripada pelbagai jenisnya, maka jelaslah ia tidak menjadi makruh.

 

Kesimpulan

 

Hukum membela ular tidak berbisa adalah makruh kerana tidak mempunyai manfaat yang jelas. Tuannya hendaklah mengambil langkah-langkah keselamatan yang sewajarnya dan tidak menyebabkannya lalai daripada melaksanakan kewajipan. Hadis mengenai lima haiwan perosak yang disebut sebagai fawasiq boleh difahami sebagai merujuk kepada haiwan yang mendatangkan mudarat kepada manusia. Hal ini tidak terpakai kepada ular yang tidak berbisa yang tidak mendatangkan mudarat sebagaimana haiwan-haiwan yang lain. Namun, Perbuatan membela ular tidak berbisa ini hendaklah dielakkan dan dinasihatkan agar beralih kepada membela haiwan lain yang lebih bermanfaat.

 

 


[1] Al-Bukhari, Abū Abdullah Muhammad Bin Isma’il al-Bukhārī al-Ja’fi,  Sahih al-Bukhari, (Damsyik, Syria: Dar Ibn Katsir, 1993), Hadis no. 3314; Muslim, Abū Husayn Muslim Bin Al-Hajjāj bin Muslim Al-Qusyairī Al-Nisāburī, Ṣahīh Muslim, (Turki: Dar Al-Tiba’ah Al-‘Amarah, 2003), Hadis no. 1198.

[2] Ahmad bin Muhammad bin ‘Ali bin Hajar al-Haitami, Tuhfah al-Muḥtāj Fī Syarḥ al-Minhāj (Beirut: Dar Ihya’ Turath al-‘Arabi, 1983) Jil. 4, ms. 179.

[3] Muslim, Abū Husayn Muslim Bin Al-Hajjāj bin Muslim Al-Qusyairī Al-Nisāburī, Ṣahīh Muslim, (Turki: Dar Al-Tiba’ah Al-‘Amarah, 2003), Hadis no. 2235.

[4] Abū Zakariyyā Muhyī al-Dīn bin Sharaf al-Nawāwī (m. 676H). Syarḥ al-Nawawī ‘ala Muslim. Beirut, Lubnan: Dār Iḥyā’ Turath ‘Arabiy, 1392H, Jil. 14, ms. 234 ; Al-Zarkasyi, Badr al-Dīn Muhammad bin Abdullah bin Bahādir al-Syafi’i. al-Manthūr Fī Qawā’id al-Fiqhiyyah. (Wizarah al-Awqāf al-Kuwaitiyyah, 1985) Jil. 3, ms. 80.

[5] Wizārah al-Awqāf. (2010). al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah. Kuwait, Dār al-Salāsil. Jil. 17. ms. 280.

[6] Muhamad Amin Bin Umar Bin Abd Aziz ‘Ābidīn al-Dimasyqī Ibn ‘Abidīn al-Hanafiyy. (m. 1252H). Rad al-Muhtār ‘ala al-Dār al-Mukhtār. Beirut, Lubnān: Dār al-Fikr. 1386H/ 1966M.

[7] Muhamad Amin Bin Umar Bin Abd Aziz ‘Ābidīn al-Dimasyqī Ibn ‘Abidīn al-Hanafiyy. (m. 1252H). Rad al-Muhtār ‘ala al-Dār al-Mukhtār. Beirut, Lubnān: Dār al-Fikr. 1386H/ 1966M.

[8] Muhammad bin Muhammad bin Salim al-Majlisī al-Syanqīṭī, Lawāmi’ al-Durar Fi Hatki Astār al-Mukhtaṣar (Mauritania: Dar al-Riḍwān, 2015) Jil. 5, ms. 86.

[9] Diakses daripada https://www.elbalad.news/4923324.

Accessibility Toolbar

PHP Code Snippets Powered By : XYZScripts.com