#32 Taudih al-Hukmi : Mandi Wajib Bagi Pengguna Continuous Glucose Meter (CGM) yang Menghidap Diabetes

Tarikh: 21 September 2023

Disediakan oleh: Zubair Amir

 

Pendahuluan

 

Pesakit kencing manis perlu memantau kandungan glukosa dalam darah bagi memastikan kesihatannya berada pada tahap yang baik. Antara kaedah terkini yang boleh digunakan adalah dengan menggunakan alat Continuous Glucose Meter (CGM) sebagai alternatif baru kepada kaedah lama dengan menggunakan glukometer melalui pengambilan darah. Antara kelebihan CGM ini adalah ia dapat digunakan tanpa menyebabkan kecederaan berterusan akibat suntikan pada jari tangan. Namun, persoalan baharu timbul apabila alat glukometer terkini, iaitu Continuous Glucose Meter (CGM) ini digunakan secara tampalan bagi tempoh yang lama pada anggota badan pesakit dan berkemungkinan besar diletakkan pada anggota wuduk atau mana-mana bahagian badan. CGM pula hendaklah digantikan setiap 7 atau 14 hari bergantung kepada jenis CGM yang digunakan. Oleh itu, ia dapat menghalang air daripada mengenai kulit ketika pesakit hendak mengangkat hadas besar. Bagaimanakah kaedah mandi wajib bagi pengguna CGM?

 

Kategori Penghidap Diabetes

 

Penghidap penyakit diabetes yang menggunakan alat alternatif (CGM) terdiri daripada dua kategori:[1]

 

(1) Tahap pertama: Mereka ialah penghidap diabetes tahap biasa yang tidak perlu berulang kali memeriksa kandungan gula di dalam darah, sebaliknya pemeriksaan berkaitan hanya perlu dibuat sekali sehari atau sekali dalam dua atau tiga hari. Maka pesakit wajib mengambil wuduk atau mandi wajib seperti biasa dengan membuka CGM kerana tidak berhadapan dengan kesukaran yang banyak dan dia sendiri tidak perlu menggunakan CGM secara kerap.

 

(2) Tahap kedua: Mereka ialah penghidap diabetes tahap kritikal yang perlu melakukan pemeriksaan kandungan gula di dalam darah secara kerap sehari semalam. Jika pesakit menggunakan kaedah lama, iaitu dengan menggunakan suntikan pada jari tangan, hal ini akan menjadikan pesakit berada dalam kesukaran luar biasa untuk menjaga kebersihan di samping turut berpotensi terdedah kepada jangkitan kuman. Malah pesakit juga akan berhadapan dengan kesukaran untuk menukar pelekat CGM berulang kali sehingga terpaksa menanggung kos yang tinggi.

 

Oleh itu, pesakit yang menggunakan pelekat CGM seperti ini boleh mengambil keringanan seperti hukum jabirah ketika bersuci sama ada untuk berwuduk ataupun mandi wajib.

 

 

Mandi Wajib Pengguna CGM

 

Seseorang perlu meratakan air ke seluruh anggota bagi tujuan berwuduk untuk mengangkat hadas kecil. Manakala seseorang itu perlu meratakan air ke seluruh tubuh badan untuk mandi wajib bagi mengangkat hadas besar.

 

Namun apabila seseorang berhadapan dengan kesulitan mahupun kepayahan seperti sakit, dia diberikan keringanan (rukhsah) bagi menyempurnakan ibadat solat. Berhubung masalah ini, keringanan dalam bab bersuci disebutkan oleh para fuqaha dalam perbahasan jabirah (balutan patah), ‘isabah (balutan luka), lasuq (pelekat) dan luka yang tidak boleh dikenakan air.

 

Perbahasan Fuqaha Mengenai Balutan (Jabirah)

 

Pemakaian CGM boleh disamakan dengan pemakaian balutan (jabirah). Menurut mazhab Syafi’i, disyaratkan ketika hendak memasang CGM, hendaklah memakainya dalam keadaan suci (taharah) daripada hadas kecil dan hadas besar, iaitu sudah mengambil wuduk agar urusan ibadahnya terutama solat fardu menjadi mudah dan tidak perlu digantikan semula. Hal ini adalah sebagaimana yang dijelaskan Imam al-Nawawi:[2]

 

وَالصَّحِيحُ الْمَشْهُورُ أَنَّهُ يَجِبُ وَضْعُهَا عَلَى طُهْرٍ مطلقا

 

Maksudnya: Sahih Masyhur bahawa wajib meletakkan (jabirah) dalam keadaan bersuci secara mutlak.

 

Sekiranya dia tidak memakai CGM dalam keadaan taharah, maka dia hendaklah menggantikan solat tersebut setelah dia sihat. Pesakit yang menggunakan CGM hendaklah mandi wajib dengan mengalirkan air seperti biasa ke seluruh tubuh badan.

 

Dinasihatkan bagi pengguna CGM untuk mendapatkan alat yang kalis air agar ia tidak rosak dengan sebab air. Oleh itu, bahagian badan yang tidak kena air disebabkan oleh pemakaian CGM ini boleh dianggap sebagai balutan atau jabirah yang diperlukan dalam proses rawatan.

 

Menurut mazhab Syafi’i, dia hendaklah bertayamum bagi menggantikan kawasan yang tidak kena air tersebut. Hal ini berdasarkan zahir riwayat yang mauquf daripada Ibn Umar RA yang disebutkan oleh Imam al-Baihaqi dan dinukilkan juga oleh Imam al-Nawawi dalam al-Majmuk[3]:

 

أَنَّ ابْنَ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا تَوَضَّأَ وَكَفُّهُ مَعْصُوبَةٌ فَمَسَحَ عَلَيْهَا وَعَلَى الْعِصَابَةِ وَغَسَلَ مَا سِوَى ذَلِكَ

Maksudnya: Sesungguhnya Ibn Umar RA berwuduk dan tangannya dalam keadaan berbalut, lalu dia menyapu (air) ke atas tangannya serta ke atas balutan dan membasuh anggota selainnya.

 

Anggota yang sihat hendaklah dibasuh seperti biasa sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi di dalam al-Minhaj:[4]

فَإِنْ كَانَ كَجَبِيرَةٍ لَا يُمْكِنُ نَزْعُهَا غَسَلَ الصَّحِيحَ وَتَيَمَّمَ

Maksudnya: Sekiranya (anggota tersebut tidak boleh kena air) sebagaimana hukum balutan yang tidak boleh ditanggalkan, maka hendaklah dibasuh bahagian yang sihat dan bertayammum (menggantikan bahagian yang tidak boleh kena air).

 

Manakala pandangan kedua daripada Mazhab Maliki dan Hanafi, tidak disyaratkan balutan (jabirah) tersebut dipakai dalam keadaan berwuduk. Pesakit hendaklah menyapu balutan dengan air sebagai syarat dan membasuh anggota lain yang sihat seperti biasa. Dengan kaedah ini, pesakit boleh melaksanakan solat seperti biasa dan solat tersebut adalah sah serta tidak perlu digantikan.[5]

 

Kami cenderung kepada pandangan kedua iaitu balutan tersebut tidak disyaratkan untuk dipakai dalam keadaan berwuduk, dan solat tersebut tidak perlu digantikan. Hal ini disebabkan, terdapat keperluan untuk bertaqlid dalam masalah ini kerana terdapat keperluan (darurah) iaitu dalam keadaan sakit. Malah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memilih pandangan ini sebagaimana yang telah disebarkan melalui Panduan Bersuci dan Bersolat Bagi Pesakit.[6] Oleh itu, CGM tidak disyaratkan untuk dipakai dalam keadaan bersuci serta solat yang dilakukan juga tidak perlu diganti.

 

Kesimpulan

 

Pesakit diabetes tahap kritikal yang perlu bergantung kepada alat CGM boleh melakukan mandi wajib dengan mengalirkan air seperti biasa keseluruh bahagian tubuh badannya termasuk pada bahagian CGM. Tidak disyaratkan berwuduk sebelum memasang CGM dengan bertaqlid kepada pandangan mazhab Maliki dan Hanafi kerana adanya keperluan (darurah). Dengan kaedah tersebut, dia boleh melakukan solat fardu seperti biasa dan tidak perlu menggantikannya setelah dia sembuh. Manakala pesakit diabetes tahap biasa perlu membuka CGM untuk mandi wajib kerana dia tidak berhadapan dengan kesukaran yang banyak dan tidak perlu menggunakan CGM secara kerap.



[1] Diakses daripada https://hellodoktor.com/kencing-manis/diabetes-jenis-dua/penyakit-kencing-manis/

[2] Khatib al-Syirbini, Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifah Ma’ani Alfaz al-Minhaj, (Dar al-Kutub al-Ilmiah), Jil. 1, ms. 236

[3] Khatib al-Syirbini, Ibid., 2/236; Abu Bakr Ahmad bin al-Hussayn bin Ali al-Baihaqi (458H), Al-Sunan Al-Kabir, (Kaherah: Markaz Hajr li al-Buhuth wa al-Dirasat al-’Arabiyyah wa al-Islamiyyah) 2011/1432M, Jil. 2, ms. 194. Abū Zakariyyā Muhyī al-Din bin Sharaf al-Nawawī (m. 676H). Al-Majmū’ Sharh al-Muhadzdzab. Amman, Jordan: Dar al-Fikr.  1928M/1347H. Jil. 2, ms. 324-325.

[4] Khatib al-Syirbini, Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifah Ma’ani Alfaz al-Minhaj, (Dar al-Kutub al-Ilmiah), 1/236.

[5] Wahbah Al-Zuhaylī. Al-Fiqh al-Islāmī wa Adillatuhu. Beirut, Lubnan: Dar al-Fikr, 1989. Jil. 1, ms. .

[6] https://www.islam.gov.my/images/ePenerbitan/panduan_bersuci_dan_bersolat_bagi_pesakit.pdf

Accessibility Toolbar

PHP Code Snippets Powered By : XYZScripts.com